KPI Dashboard
Showing posts with label minda.STRATEGIK. Show all posts
Showing posts with label minda.STRATEGIK. Show all posts

persekitaran YSB (9) - jejak-jejak senario


Malam Jumaat atau Sabtu lalu ramai di antara kita yang sempat menghadiri majlis atau ceramah Israq dan Mikraj. Kisah perjalanan Nabi kita dari Masjid Al-Haram di Makkah, ke Masjid Al-Aqsa di Palestin dan seterusnya naik ke langit (yang tidak di ketahui berapa jauhnya) dalam tempoh yang singkat.

Tentu masih lagi segar di ingatan kita. Kerana filem itu dimainkan setiap bulan Rejab. Seperti juga khutbah Jumaat, kita diingatkan untuk bertaqwa kepada Allah.

Ketika memudahcarakan sesi merangka senario 30 tahun bisnes dan industri berkaitan Ahad lalu, peserta telah dibawakan pengajaran Israq dan Mikraj... sebagai mukadimahnya. Disambung pula dengan kisah Nabi Musa cuba menuntut ilmu dengan Khidir (seperti diarahkan Tuhan)... Sebenarnya lakaran di atas itu tercetus selepas solat Suboh pagi tersebut.

Alhamdulillah, ternyata memudahkan minda mereka! Hinggakan seorang Pengurus beragama Hindu berkata "...saya tahu cerita itu Tuan Haji. Ketika di sekolah menengah dahulu!" Selepas cuba diperjelas lanjut kepada beliau.

Coretan di atas adalah di antara beberapa teknik dalam mereka senario awalan. Episod awal dalam pemikiran senario amat penting. Penting dalam mendapatkan maklumat-maklumat yang 'diketahui'.

Merangka atau merancang senario itu bermula dengan menggunakan maklumat yang kita ketahui. Episod-episod akhirnya adalah cabaran utamanya. Mengapa? Kerana episod-episod akhir sesuatu perancangan senario itu merupakan jejak-jejak senario atau babak-babak 'fantasi bisnes!'

Minda kita tidak dikuniakan dengan mukjizad Nabi kita
- tayangan filem akhirat.
Minda kita tidak dikurniakan dengan ilmu (Nabi) Khidir
- kejadian masa depan.

Tetapi, minda kita dikurniakan kekuatan untuk mengolah maklumat-maklumat persekitaran yang tidak terjangkau! ....Di antaranya, maklumat-maklumat dalam PEST.

Sampai di sini dahulu.

persekitaran YSB (7) - lakar senario


Gambar terbaru cucu di Dubai, yang diterima semalam... kena pula saiz baju yang dibelikan neneknya di Medan tempoh hari! Cucu yang seorang lagi hampir setiap hujung minggu mesti ke rumah Subang Jaya... hendak makan nasi yang nenek masak sendiri!

Paparan di atas, seperti promo Hari Merdeka 50 Tahun TV3 (pertama kali, mengatasi sentuhan Petronas - pada penilaian sendiri) tentu banyak mengingatkan zaman kanak-kanak kita dahulu, mungkin. Episod-episod dalam iklan TV3 itu sememangnya amat segar lagi di ingatan.

klip video kredit: zikri83/uTube

Ahad lepas, ada sesuatu yang agak memeranjatkan. Cucu yang berumur 4 tahun itu telah membuat 'flasback' peristiwa-peristiwa hidupnya ketika berumur di bawah 12 bulan!... khususnya yang berkaitan 'perebutan kasih sayang Atuk dan Nenek'

Mengapa ingatan-ingatan serupa itu boleh muncul di minda kita?

Dalam Model Sistem Berfikir, telah di tunjukkan bahawa persekitaran yang sentiasa berubah (YSB) itu adalah pembentuk kepada hasrat pencapaian masa hadapan. Analogi yang mudah adalah ketika merangka episod-episod - tidak kira novel jibunsyi atau pun sesi penggambaran siri telenovela... Apa yang kita lakukan adalah melakar senarionya.

Dalam pemikiran strategik, lakaran senario adalah perkara asas. Kekuatan, kepakaran dan kejituan dalam memahami elemen-elemen PEST itulah penentu tahap kejayaannya. Proses tersebut di kenali sebagai Perancangan Senario (scenario planning).

Apa yang pasti, 'permainan tembak-tembak' dan peristiwa-peristiwa dalam pencapaian matlamat itu adalah proses pembikinan episod. Episod yang baik tentu sekali menghasilkan kepuasan...Episod yang kekal di minda dan mudah pula dikeluarkan semula.

Jumaat hingga Ahad ini ke Melaka lagi. Kali ini untuk berkongsi sedikit ilmu bersama anggota pengurusan tertinggi sebuah organisasi. Matlamatnya adalah ke arah pembentukan episod-episod bisnesnya untuk tempoh 30 tahun akan datang.

Jumpa Isnin nanti, insyaAllah.

pelan modal insan LID



LANGKAWI 7 Ogos – Dialog Antarabangsa Langkawi (LID 2007) yang berakhir hari ini menggariskan tujuh tindakan bagi melaksanakan langkah strategik ke arah membangunkan modal insan dan meningkatkan keupayaan negara-negara peserta.

Pelan tindakan bertema ‘Jalan ke Depan’ itu menyentuh mengenai pendekatan holistik yang dipersetujui negara peserta bagi menangani isu kemiskinan dengan penekanan kepada pembangunan pengetahuan, kepakaran dan dana intelek.

Tindakan tersebut ialah:

1. Menubuhkan badan penyelaras pada tahap nasional bagi menyelaras pelbagai kementerian dan agensi yang terlibat dalam bidang pembasmian kemiskinan;

2. Menubuhkan sistem pangkalan data berpusat untuk mengambil kira dan memantau perkembangan program pembasmian kemiskinan;

3. Mengutamakan objektif pembasmian kemiskinan bagi program pendidikan, kesihatan, pekerjaan dan lain-lain;

4. Menggalakkan penyertaan syarikat multinasional (MNC) dalam program-program pembasmian kemiskinan, pembangunan modal insan dan pembinaan keupayaan;

5. Menggalakkan media untuk memainkan peranan yang berterusan dalam meningkatkan kesedaran dan pengetahuan awam dan bagi memastikan laporan berita adalah adil dan saksama, khususnya berhubung isu-isu pembangunan serta kemiskinan;

6. Menubuhkan program khusus bagi pembasmian kemiskinan berasaskan kepada model yang terbukti berjaya bagi menghasilkan kesan dan manfaat ekonomi serta sosial; dan

7. Menubuhkan penunjuk prestasi sasaran asas bagi memantau perkembangan pelaksanaan setiap isu dan program utama.

Pelan tersebut juga menyebut, peserta LID boleh melapor pada dialog seterusnya berhubung perkembangan yang dibuat pada projek yang telah atau sedang dilakukan, dalam konteks menangani isu pembasmian kemiskinan melalui pembangunan modal insan dan pembinaan keupayaan.

Berdasarkan pelan itu, para peserta LID telah bersetuju untuk menangani isu pembasmian kemiskinan dengan melaksanakan polisi dan langkah-langkah bagi mewujudkan peluang pekerjaan termasuk pekerjaan sendiri dengan memberi akses kepada tanah, dana serta sumber produktif lain.

Mereka turut sepakat untuk mewujudkan persekitaran yang kondusif bagi pergantungan ekonomi secara sendiri; pembangunan dan peruntukan perkhidmatan sosial dan prasarana asas dan memperkasakan golongan wanita bagi menggalakkan kesaksamaan gender dan mengembangkan potensi mereka bagi pembangunan ekonomi serta sosial.

“Selain itu, LID juga mahu melindungi hak kanak-kanak dan belia bagi pendidikan dan perkhidmatan kesihatan dan tadbir urus baik dan pentadbiran berkesan bagi melindungi perpaduan sosial dan menggalakkan kestabilan sosial serta politik,” demikian menurut kandungan pelan tindakan itu.

Bagi mencapai objektif tersebut, para peserta LID telah bersetuju melaksanakan langkah-langkah strategik bagi pembangunan modal insan dengan memastikan akses kepada pendidikan bagi setiap peringkat masyarakat, tidak kira gender, dan menggalakkan latihan kemahiran teknikal serta vokasional bagi golongan belia.

Mereka juga bersetuju menggalakkan penglibatan sektor swasta dalam menyalurkan latihan, kepakaran dan peluang pekerjaan; menggalakkan keseimbangan gender dengan menggalakkan penyertaan kanak-kanak perempuan di sekolah dan mewujudkan persekitaran yang kondusif bagi pembelajaran.

“Negara-negara peserta LID turut sepakat untuk mempertingkatkan perkongsian antara masyarakat antarabangsa dengan tempatan dalam penyaluran pendidikan dan latihan serta menggalakkan pertukaran kepakaran dalam program-program pendidikan,” kata pelan tindakan itu.

Bagi membina keupayaan negara-negara peserta, LID telah bersetuju mempertingkatkan kesedaran dan akses bagi penyaluran kesihatan dan pendidikan bagi semua serta menggalakkan pendekatan bersepadu bagi pembangunan luar bandar merangkumi aspek ekonomi, sosial, infrastruktur serta institusi.

Peserta LID juga bersetuju menubuhkan institusi berstruktur bagi menyalurkan pengurusan, dana, latihan dan perkhidmatan sokongan kepada kumpulan sasar dan memperbaiki keupayaan kumpulan sasar bagi melaksanakan program perolehan pendapatan berterusan, termasuk dalam penggunaan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT).

Ia termasuk membentuk program kewangan mikrokredit yang sesuai dengan suasana negara masing-masing, menubuhkan penasihat kewangan melibatkan pasukan sektor awam-swasta bagi menyalurkan perkhidmatan tersebut dan menubuhkan Friends for Finance, rangkaian perikatan antara institusi kewangan, agensi kerajaan dan masyarakat untuk menyokong kecelikan kewangan.

Selain itu, negara-negara peserta turut bersetuju mempertingkatkan keupayaan perancang dan pembuat dasar melalui perkongsian latihan dan pintar serta memperkasakan kepimpinan dan masyarakat tempatan untuk menyumbang secara berkesan kepada usaha pembasmian kemiskinan.

Petikan lapuran @Utusan Malaysia
- oleh RAJA LUVENA SHARIFUDDIN

persekitaran YSB(6): ada apa pada NAMA?


Sering kita dengar bijak pandai berkata "Ada apa pada nama?"...

Di ruang ruang Ekonomi Berita Harian pagi ini, terpapar gambar di atas [tetapi... gambar dan ceritanya telah 'hilang' dari arkib berita...berita bergambar lain pula yang keluar. Pelik bin Ajaib punya kerja?]

Disebabkan gambar itu boleh menceritakan segalanya, entri ini tidak bercadang mengulas lanjut... Cuma hendak sentuh sedikit kisah seorang usahawan yang memiliki PhD itu sahaja. Beliau membeli jenama "IDEAL" dari sebuah syarikat di Jerman, setelah nama 'kampung'nya ternyata tidak membawa tuah. Kini produk keluaran Ideal Healthcare Sdn Bhd, di Kedah itu telah berada di pasaran 12 buah Negara!

Kesimpulannya: "...nama yang sesuai untuk entiti bisnes, produk dan perkhidmatan yang ditawarkan senenarnya PEMANGKIN kejayaan".

Ianya berupaya bertindak melakar dan membentuk persekitaran. Persekitaran yang boleh dikawal, berbanding hanya membiarkan persekitaran terus menerus menentukannya.

strategi ROBO


Kelmarin, ketika masuk kuliah KJ Method, Puan Sifu adalah tersebut berkenaan Strategi Lautan Biru (Blue Ocean Strategy)...

Di atas permintaan beberapa mentee, diberikan sedikit maklumat awalannya. Tetapi... kena berpindah rumah sekejap. Blog versi Bahasa Inggeris intellectual.INNOVATION.resources memberikan pengenalan kepada ROBOs.

Entri-entri khusus yang berkaitan 'strategi melaksanakan strategi' akan membicarakan strategi-strategi RedOcean dan BlueOcean... agar tidak 'lemas' dalam kedua-dua lautan tersebut (buzz words).

Sebagai makluman, buku Blue Ocean Strategy itu telah diterjemahkan ke dalam 39 bahasa setakat ini. Versi bahasa Indonesia telah berada di pasaran. Tidak lama lagi akan terbit versi Melayu dan Arab...

InsyaAllah, sedapat mungkin akan dipermudahkan maksud buzz words itu nanti. Sabar.

persekitaran YSB (5) - POLITIK

Faktor PEST yang pertama ialah POLITIK.

Ahli politik, di mana sahaja di dunia sebenarnya adalah 'pembikin berita'.

Kadangkala berita gembira,
Kadangkala berita membawa derita,
Kadangkala berita yang tiada beritanya!

Berita-berita yang dipengaruhi politik banyak memberi kesan kepada persekitaran. Perubahan kuasa politik sering memberi kesan mendalam persekitaran bisnes sesebuah Negara. Namun, bagi Negara yang kerangka pemikiran di kalangan rakyatnya sudah 'mantap', perubahan kuasa politik tidak memberi kesan yang ketara. Contohnya Jepun dan USA.

Walau pun di Jepun Perdana Menterinya bertukar setiap tiga tahun, seolah-olah tidak memberi kesan kepada kuasa ekonomi Asia itu memacu dunia ekonomi global. Begitu juga USA, setiap kali pertukaran Presiden (dari dua parti politiknya) polisi luar negaranya, khususnya terhadap anak emasnya Israel tetap kekal. Mencari jalan untuk berperang digelanggan negara lain segar sepanjang zaman. Mengapa? Kerana kuasa politik USA ditangan kuasa ekonomi Israel di USA!

Politik dan kehidupan sudah sebati dalam hidup kita. Sampai ketikanya nanti penjurusan pemikiran kita berlandaskan politik itu menjadi tindakan sepontan!

Itu sebabnya, bagi kebanyakan orang Melayu hendak buat bisnes mesti main politik. Kalau tidak main politik tidak boleh bisnes! Inilah masalahnya dengan minda orang kita...

Lebih 12 tahun lalu, ketika ditugaskan untuk mengwujudkan Program Pembangunan Usahawan (melibatkan tiga Syarikat gergasi Negara); salah satu faktor kegagalan dan cabaran yang menanti adalah skeptisme "orang Melayu buat bisnes mesti main politik, kalau tidak main politik ia bukan Melayu!" Sestrategik mana untuk mengatasinya, rupa-rupanya 'main politik' jugalah pemusnahnya! Ada kebenarannya.

Begitulah juga dengan sukan... baru minggu ini timbul kesedaran bahawa orang politik yang menjadi 'pemimpin sukan' itu lebih memudaratkan, dari baiknya. Mungkin setelah jelas sekarang lunturnya kecemerlangan 'bisnes' beberapa jenis sukan yang dipolitikkan?

Yang pastinya, komponen politik dalam menjana persekitaran yang selalu berubah itu tidak memerlukan penjelasan yang panjang...

persekitaran YSB (4): MEMBENTUK PERSEKITARAN


Berjumpa kembali, selepas berehat seketika. Terima kasih kepada yang masih setia mengunjung... walau pun terasa hampa. Terima kasih juga, kerana masih ada yang setia menunggu...

26-27 dan 31 Julai, terlibat dalam sesi perkongsian ilmu bersama sekumpulan 20 orang kumpulan Pengurusan sebuah organisasi yang komited untuk merencanakan kerangka pelan strategik 30 tahunnya. Kali ini CEOnya "direhatkan". Komposisi kumpulan seimbang - lingkungan umur 20an, 30an, 40an dan 50an.

Mungkin ada yang bertanya, "Mengapa CEOnya direhatkan?". Jawapannya mudah, "Supaya kumpulan tersebut boleh 'merapu' dalam tempoh tiga hari berbincang...!" Perlu diingat, kumpulan tersebut akan membuat persembahan kepada CEOnya dalam tempoh dua minggu akan datang...

Dalam menjana idea yang baik, ianya bermula dengan 'seting' yang bersahaja. Minda tidak boleh terikat. Minda perlu melampaui sempadan protokol persekitarannya. Minda perlu dibiarkan mencetuskan benda-benda yang 'gila'. Gila-gila!...

Membaca entri Wasiat Bak di BISNES KELUARGA.Norlela Zubir, mulanya terasa sebak...
Tetapi selepas tiga kali mengulangi, watikah wasiat 7 Ogos 1984 itu ternyata satu dokumen kerangka pelan strategik bisnes keluarga almarhum Tuan Hj Zubir bin Hj Yusof; usahawan tulin bersemangat waja! Menarik watikah wasiat tersebut, yang ditulisnya lima tahun sebelum meninggal dunia (Semoga rohnya dicucuri Rahmat, Amin).

Kelmarin, satu lagi kerangka pelan strategik Negara dilancarkan - Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER), selepas Wilayah Pembangunan Iskandar (WPI). Cerita NCER menjadi bahan utama semua akhbar sehari dua ini... sekurang-kurang meredakan buat sementara cerita watina Mongolia dari mahkamah Shah Alam!

Apa bezanya Watikah Wasiat Bak (WWB) dan NCER?

Dari perspektif pemikiran strategik, kedua-duanya ada persamaan. Khususnya dalam aspek-aspek berikut:
a. pemikiran jauh (WWB: tiada had, NCER: 2025) pencapaian sasarannya,
b. penjanaan ekonomi (WWB: ekonomi keluarga, NCER: wilayah utara Malaysia),
c. pengintegrasian (WWB: keluarga dan bisnes, NCER: sektor pertanian, pengangkutan dan industri tinggi lain)
...dan banyak lagi kalau hendak dicari persamaannya.

Masih ingat lagi dengan PEST? (...kalau kurang pasti, toleh ke belakang sebentar).

Apa yang pasti, WWB dan NCER itu adalah kerangka dalam MEMBENTUK PERSEKITARAN (shaping the environment) dalam membuka minda pemikiran strategik. Lihatlah betapa komponen-komponen Politik, Ekonomi, Sosial dan Teknologi dibentuk dalam kedua-dua dokumen WWB dan NECR tersebut. Mengapa?

Jawapannya esok, InsyaAllah.

persekitaran YSB (3) - 5 SOALAN


Kita teruskan bicara tentang persekitaran bisnes. Persekitaran yang mempengaruhi persepsi pemikiran kita. Telah juga disentuh betapa persekitaran yang selalu berubah itu membina kuasa persepsi minda kita.

Dalam merangsang pemikiran strategik, persekitaran YSB itu pemangkinnya. Bagaimana tindakan kimia itu berlaku di dalam minda kita?

Bandingkan kedua-dua imej berkaitan buku Harry Potter siri ke 7 di entri minda.MINDA kelmarin. Apa yang membedzakan keduanya?

Ya. Awang Selamat meratap lagi dalam senyum kambingnya. Sedangkan reaksi peminat fanatik siri HP itu sebaliknya! Dari kedua-dua imej itu terpanjarlah 1001 tafsiran minda yang menghubung kaitkan ruang lingkup persekitarannya. Tetapi, bukan itu yang kita hendak bicarakannya di sini.

Dalam memahami persekitaran bisnes yang kompetitif, dipetik lima soalan yang pernah diajukan oleh Jack Welch, bekas peneraju korporat gergasi dunia GE dalam bukunya ‘Winning’:
1. apakah ruang lingkup persekitaran yang dibayangkan?
2. di mana letaknya kehebatan pesaing kita dalam tempoh tiga tahun lepas?
3. dalam tempoh yang sama, apa yang telah kita lakukan?
4. apakah kebarangkalian serangan pesaing ke atas kita?
5. apakah pelan survival yang drastik dalam menangani persaingan?

Dibangkitkan persolan-persoalan di atas adalah untuk kita memahami ‘serangan selepas subuh pagi Sabtu 21 Julai 2007’ pasaraya TESCO dan Carrefour keatas pasaran buku import yang sebelum ini dikuasi MPH, Popular dan serakan dengannya!

Tanpa diduga, telah wujudnya suatu persekitaran yang baru pasaran buku import yang sebelum ini tidak terfikir oleh pemain-pemain tradisinya.

Mengapa Borders tidak turut sama menarik balik pengedaran buku itu seperti yang dilakukan MPH, Popular, Times dan Harris?

Apakah kenakalan TESCO dan Carrefour itu memberi satu isyarat baru senario buku-buku import?

Apakah jeritan Presiden MBA (Malaysia Bookseller Association) kepada TESCO dan Carrefour didengari atau hendak dilayan?

senyum kambing dan HPandTDH


Dua imej dipaparkan untuk santapan minda di hunjung minggu... sebagai input awalan kepada entri-entri minda.STRATEGIK yang disambung esok.

persekitaran YSB (2) - Maklumbalas

Hari ini, Jumaat 20.07.07...

Ramai di antara kita, mungkin tarikh itu adalah hari-hari biasa yang berlalu, selang 24 jam. Tetapi, tidak kurang pula ramai lagi yang berminat dengan firasat nombor mengeluarkan fatwa-fatwa nombor masing-masing ke atasnya!... 2007.07, 20072007 dan sebagainya. Seperti jugalah dengan tarikh 07.07.07 yang lalu. Apa sebenarnya ada pada nombor?

Sengaja dibawakan topik mudah berkaitan nombor tujoh (7) dan kosong (0) ini, sekadar untuk proses regangan minda. Begitulah juga dengan amalan biasa dilakukan sebelum memulakan senaman. Akhirnya, senaman yang mengeluarkan peluh itu sahaja yang diambil kira!

Minda kita dikawal terus oleh persekitarannya. Persekitaran jugalah yang merobah persepsi dan tindak-tanduk kita (klik entri Akademi Penulis, berkaitan persepsi). Bagaimana pula apabila kita berada di dalam keadaan persekitaran yang sentiasa berubah (YSB)? Cuba bayangkan apa yang akan terjadi sekiranya matlamat akhir kepada strategi yang ditetapkan, terus menerus mengikut rentak perubahan persekitaran itu.

Tentu sekali kita teringat kepada kata-kata 'seperti lalang ditiup angin' untuk membayangkannya! Mengapa?

Sepuloh hari lepas Puan Sifu menulis Apabila Jerung Terjun Masuk ke Kolam Keli. Analogi itu merupakan suatu keadaan yang lazimnya tidak berlaku. Tetapi, tidak juga dapat dihalang dari berlaku. Dalam persekitaran bisnes semua kemungkinan boleh berlaku. Hanya masa sahaja yang menunggu!

Apa yang akan berlaku apabila jerung (besar) masuk ke kolam keli (kecil)? Lazimnya minda kita akan memberi respon "mana mungkin boleh masuk!". Tetapi jika minda kita di asak bertubi-tubi (untuk membolehkan jerung berjaya berenang selesa di dalam kolam keli), apa pula respon minda kita? Tentu mencari kaedah untuk membolehkannya. Tetapi, impaknya belum pasti!

Mengapa minda kita boleh juga berubah responnya? Kerana sifat-sifat jerung, kolam dan keli telah diperolehinya. Dari mana?

Jawapanya MAKLUMBALAS persekitarannya.!

persekitaran YSB (1) - PEST

Bicara siri di minda.STRATEGIK seterusnya adalah merujuk kepada model sistem berfikir (MSB) yang di nyatakan sebelum ini. MSB adalah asas dan kekuatan kepada proses pemikiran strategik yang sedang kita bicarakan.

Kalau diamat-amati model itu semula, apakah faktor atau elemen yang terpisah dari sistem berkenaan? Ya, betul.... faktor persekitaran yang sentiasa berubah! (the ever changing environment). Kita rujuk sebagai persekitaran YSB, untuk memudahkan bicara. Juga, fokus yang akan diberikan hanya kepada persekitaran bisnes dan organisasi.

Entri-entri khusus selepas ini akan membuktikan betapa kehebatan menangani persekitaran YSB itulah sebenarnya kekuatan pemikiran strategik.

Mengapa dikatakan begitu?

Persekitaran bisnes merupai satu set ketumbukan tekanan-tekanan yang merangkumi aspek-aspek politik, ekonomi, sosial dan teknologi (PEST). Ya, kuasa "PEST" ...kuasa anai-anai! Bayangkan kehebatan anai-anai dalam meruntuhkan kekuatuan sesuatu struktur, sebagai analogi awalan untuk tujuan penyamanan minda...

Apa yang pasti, kuasa-kuasa PEST tersebut secara umumnya di luar kawalan dan pengaruh bisnes dan organisasi itu sendiri. Tidak kira apa jenis bisnes. Besar atau kecil. Semuanya tidak terkecuali! [Nota: Sengaja penulis menggunakan ungkapan "ketumbukan tekanan-tekanan" untuk memberi gambaran betapa PEST itu boleh dibaratkan sebagai suatu kuasa besar!...semacam negara Ugutan Syaitan Alam itu - USA?].

Perlu difahami, PEST memberi potensi impak yang positif dan juga negatif keatas bisnes atau organisasi. PESTlah juga yang memacu dan pemangkinnya.

Secara mudah, kekuatan pemikiran strategik itu berpaksikan kepada faktor luaran. Yang sentiasa berubah. Faktor yang selalunya di luar kawalan entiti bisnes itu sendiri. Itu sebabnya sering orang cerdik pandai mengatakan bisnes itu penuh dengan risiko. Memang ada kebenaran dalam ungkapan tersebut. Kerana PESTlah faktor penyumbang risikonya.

Ketepatan formulasi strategi bisnes digambarkan dengan keberkesanan pengemudian persekitaran POLITIK, EKONOMI, SOSIAL dan TEKNOLOGI; demi survival organisasi berkenaan.

Sebelum kita tinggalkan anai-anai di sini, satu lagi ungkapan bistari ingin dikongsi... Persekitaranlah yang sentiasa berubah. Yang tidak pernah berubah hanyalah perkataan 'berubah' itu sahaja?

model SISTEM BERfIKIR

Seperti yang dijanjikan, kali ini bicara pemikiran strategik akan menyentuh aspek teknikalnya. Sistem berfikir.

Berbedza dengan sistem-sistem yang biasa atau pernah kita gunakan, sistem ini tercipta dengan sendiri di dalam otak kita. Ia adalah sistem minda yang terbentuk apabila seseorang itu menggunakan otaknya. Untuk berfikir! Dalam hal ini, kedua-dua belah otaknya - kiri dan kanan digunakan. [Sebenarnya kita pun tidak sedar ketika mana kita gunakan yang kanan atau yang kiri... Begitulah hebatnya cipataan Tuhan].

Apa yang dibicarakan seterusnya bukanlah sesuatu yang asing bagi kita semua. Setiap kita telah mengalaminya sendiri, yang mungkin tanpa disedari sahaja.

Apa dia Sistem Berfikir?

Ada bermacam-macam sistem atau model atau bentuk-bentuk penjelasan mengenainya. Untuk tujuan bicara ini, kita ambil model yang digambarkan di atas. Model ini adalah yang paling asas.
Menjadi asas dalam perancangan strategik. [Nota: Penulis menemui model asas (terlupa pula milik siapa) di awal tahun 80an, diguna dan disesuaikan untuk tujuan kefahaman aspek-aspek pengurusan perubahan ketika berkhidmat di sektor awam dan swasta dahulu].

Untuk kemudahan bicara, ianya dirujuk sebagai Model Sistem Berfikir (MSB). Asas utama pemikiran strategik adalah MSB. Mengapa? Masih ingat lagi "Soal-Jawapan?". Jika kurang pasti rujuk semula untuk tujuan penyaman minda.

Kalau di lihat kepada MSB, kaedah asasnya adalah memikirkan "masa akan datang, hari ini" (the fUTURE is NOW). Wawasan 2020 direncanakan dalam tahun 1995 (RMK7) dan tentu sekali telah difikirkan dua atau tiga tahun sebelum itu! Dalam lain perkataan, telah dibayangkan pencapaian hasrat strategik Negara di tahun 2020, ketika berada dalam tahun 1995...

Tentu sekali Encik-Encik dan Tuan-Tuan (sebutan yang amat sinonim dengan Puan Sifu...) masih ingat betapa model minda ini digunakan ketika memikat isteri (atau suami) masing-masing 10, 20, 30 tahun yang lalu? Fikir-fikirkanlah semula peristiwa-peristiwa manis itu berpandukan MSB... Memikirkan yang indah-indah itu akan menjadikan yang sulit (perkara sukar difahami) itu mudah. Semudah 1-2-3-4.

Justeru itu, penghasilan novel-novel jibunsyi pastinya telah Encik-Encik dan Tuan-Tuan menggunakan model sistem berfikir dalam pembinaan episod-episodnya, tanpa disedari!

kekuatan NILAI TERAS


Kita teruskan lagi bicara pemikiran strategik.

Sebelum ini, telah disentuh di antara lainnya perkara-perkara berkaitan Peta Minda, Soal-Jawapan, Berfikiran Jauh dan Target... Jika ini pertama kali membacanya, rujuk dahulu entri-entri berkenaan - sekadar untuk pelarasan dan penyaman minda.

Entri Puan Sifu berkenaan Konflik Nilai menarik perhatian minda pagi ini.

Pemikiran strategik menuntut suasana dan persetikaran yang dapat merangsang ke arahnya. Salah satu alat pengurusan yang sering digunakan sesebuah organisasi itu adalah dengan menggunakan kerangka dan landasan yang dikenali sebagai NILAI TERAS. Ada yang menyebut hanya sebagai NILAI sahaja, ada pula sebagai NILAI-NILAI BERSAMA. Kita ambil sahajalah yang tengah...

Apa dia NILAI TERAS?

Nilai dalam konteks di sini adalah yang sukar dinilai, atau tidak boleh dinilai. Tidak ternilai!
Nilai itu adalah sesuatu yang abstrak. Dikatakan abstrak kerana ianya terdedah kepada penafsiran berbedza-bedza, bergantung dari perspektif mana penilai menilainya.

Tafsiran yang ingin di bawa disini hanya dari perspektif pengurusan organisasi dan bisnes sahaja. Di atas sifatnya yang abstrak, ianya perlu dipasak ke minda semua, dengan mengait-lekatkan aspek-aspek strategi, struktur, sistem, stail, staf dan skil yang di tentukan di dalam organisasi dan bisnes kita. Kekuatan Konsep 7S (McKinsey). Kita akan bicara Konsep 7S ini di lain masa.

Nilai teras itu ibarat rukun organisasi atau bisnes. Makamnya wajib! Wajib diAMALKAN oleh semua anggota dalam organisasi. Apabila (bukan kalau...) telah diamalkan ianya menjadi budaya. Apabila nilai teras telah dibudayakan, segala yang direncanakan selepas itu adalah menjadi suatu kebiasaan.

wooohhh.!!! agak panjang juga untuk menjawab siri Apa dia? kali ini. Tetapi jangan risau, untuk memudahkan lagi kefahaman, ikuti contoh ini.

Intellectual Innovation Resources Sdn Bhd (iiR) adalah sebuah syarikat pembekal latihan dan konsultan dalam pembangunan modal insan, khususnya dalam aspek-aspek pembangunan strategik dan pengukuran prestasi. Nilai teras yang diterapkan adalah "Innovation, Wisdom, Responsibility".

Sekali imbas ketiga-tiga nilai teras itu memberi gambaran bisnes yang dikendalikan oleh iiR. Apabila iiR berinteraksi dengan pelanggannya tiga rukun iiR itulah yang dipegang. Itulah rukun persempadanan komitmen kepada pelanggan. Dalam pasaran latihan kepakaran, kita tidak boleh mengistiharkan syarikat kita boleh lakukan semua jenis benda di muka bumi ini! Bungkus cepat!

Jumpa lagi di bicara akan datang yang akan menyentuh sistem berfikir. Salah satunya model minda "the fUTURE is NOW", insyaAllah.

matlamat, sasaran, TARGET

Sejauh mana sekali pun keupayaan kita berfikir ianya hanya menjadi impian maya, jika tidak diletakkan matlamat atau sasaran atau target!

Mengapa perlu ada target?

Tentu sekali untuk memacu minda kita ke arah yang dituju. Apabila jelas targetnya, akan jelaslah peta minda kita. Target berupaya merangsang, memotivasi dan menjana tindak-tanduk untuk terus fokus kepada strategi yang ditetapkan.

Target tanpa pengukuran pasti akan menjejaskan perayauannya! Pengukuran itu diibaratkan sebagai aliran minda. Aliran dinamik. Ianya selalunya disebut sebagai pengukuran prestasi. Tujuannya satu - memantau kemajuan, tentang apa yang sedang berlaku dan dilakukan. Secara berkala atau pun sepanjang masa.

Baru-baru ini kita dengar MB sebuah negeri mencanangkan bahawa anggota kerja di sektor awam negeri tersebut telah diberikan Kad Prestasi masing-masing. Macam report kad, semasa sekolah dahulu. Ingat lagi tentang perkara itu? Mungkin ramai yang tersenyum mengingatkan kisah-kisah report kad sekolah dahulu...

Dalam perkhidmatan awam, kini telah mula melaksanakan KPI (Key Performance Indicator). Perkara tersebut sebenarnya perkara biasa di sektor swasta atau pun yang menjalankan bisnes. Mengapa KPI ini baru sekarang mendapat perhatian? Tunggu, akan dibicarakan kemudian.

berfikiran JAUH


Selepas 2 hari berehat, entri minda.STRATEGIK dibicarakan semula. Kali ini ingin dibawakan aspek-aspek yang ada kaitannya dengan bengkel dua hari yang dikendalikan.

Sebelum bicara diteruskan, ingin merakamkan penghargaan kepada organisasi yang baru setahun diperbadankan di bawah Akta 655 itu, di atas kepercayaan yang diberikan. Apa yang pasti, seperti juga Sedikit Ilmu Yang Berguna - Saudara OA, ilmu dan tip-tip Puan Sifu di kuliah Bisnes Latihan akhir bulan Jun lalu dipraktikkan sewajarnya. Alhamdulillah, ternyata memberi impak dan nilai tambah di dalam proses mengwujudkan perhubungan sebagai rakan-niaga jangka panjang. Tabik Puan Sifu!

Pengajarannya: Walau sedikit mana pun, ilmu yang baik itu apabila (bukan kalau) diamalkan pasti membawa baraqah. InsyaAllah.

Organisasi tersebut sedang merangka Pelan Bisnes 30 Tahun, yang perlu dikemukakan kepada pihak berkuasa kawalselia industri berkaitan dalam bulan Januari 2008... Jadi sesi 2H1M yang melibatkan 18 peserta, diketuai CEO dan Pengurusan Tertingginya itu memikirkan apa yang mereka hendak lihat bentuk bisnes, operasi dan komitmen serta kejayaannya dalam tempoh 30 tahun akan datang (2008-2038).

Senario di atas memberikan kita gambaran kepada ciri pertama berkaitan pemikiran strategik yang dikatakan sebelum ini. Befikir secara Strategik memaksa minda kita memetakan gambar besar dan berfikiran jauh. Gambar besar itu adalah gambaran senario akan datang. 30 tahun akan datang! Inilah yang dikatakan sebagai kemahiran berfikir mengikut kaedah "the fUTURE is NOW!" yang akan disentuh di entri berikutnya.

Dalam masyarakat kita orang Melayu konsep tersebut telah lama menjadi amalan. Rata-rata dirangsang oleh kekuatan minda separa sedarnya. Ambil sahaja senario kita sebagai anak cucu, yang kini menikmati keenakan buah-buah binjai, durian tembaga, rambutan dan bermacam lagi buah-buahan baka di kampung-kampung (yang sekarang ini berlambak-lambak rezekinya).

Ketika nenek moyang kita dahulu menyemai biji-biji durian tembaga, binjai (yang kini hampir pupus spesisnya) dan rambutan masam 20, 30, 40, 50 tahun lalu; pernahkan mereka memikirkan tentang dapat merasa hasil tanaman mereka? Tidak! Mereka hanya berkata "...durian tembaga, binjai dan rambutan masam di kebun kita itu, untuk cucu cicit kita!" Ketika itu anak-anak mereka masih lagi terlalu kecil untuk memahami firasatnya.

Dalam suasana kita yang mengira hari untuk tibanya 50 Tahun merdeka, Wawasan 2020 dan Misi Nasional 2057 adalah dua contoh terdekat dengan topik ini. Pemimpin yang dikenang jasanya adalah Pemimpin Yang Berwawasan (bukannya dalam keadaan was-was! Was-was itu rakan karib syaitan). Begitu jugalah dalam sesebuah organisasi dan bisnes, kemahiran berfikiran jauh itu adalah kritikal.

Apa dia berfikiran JAUH?

Sebenarnya gambaran jawapan seperti diterangkan di atas. Tetapi dari aspek-aspek pengurusan, bahasa mudahnya adalah:

a. Berwawasan (vision-driven): Apabila Zaitun menggunakan tagline "gunakan TANPA was-was", sebenarnya telah mengundang kejatuhan bisnesnya, tanpa disedari. Itu strategi harakiri! Telah tinggalkan hiSTORI. Namun kini cuba muncul kembali.

b. Tempoh yang PANJANG (long haul): Ianya bergantung kepada jenis bisnes atau organisasi atau matlamat individu itu sendiri. Secara amnya lebih dari 10 tahun. Kurang dari itu di kenali sebagai jangka pendek (1-3 tahun) dan jangka sederhana (4-10 tahun).

c. Sasaran matlamat BERPERINGKAT (stretch targets): Di bawah Wawasan 2020, penetapan sasaran pencapaian matlamat dikendalikan melalui RMK7, RMK8, RMK9 (2006-2010), RMK10... dan seterusnya. Begitulah juga nanti Misi Nasional 2057.

Mengapa sesuatu perancangan jangka panjang itu memerlukan sasaran berperingkat? Apa pula sasaran? Tunggukan jawapannya nanti.

aplikasi STRATEGI

Strategi flanking vs berlawan dikupas hebat Puan Sifu. Bertali arus entri-entri berkenaan beberapa hari lepas. Ianya masih lagi belum reda nampaknya.

Mengapa Sifu begitu teruja untuk topik-topik itu dikongsi di dewan kuliah PTS? Jawapannya mudah. Itulah naluri dan hatinya yang ingin memandaikan bangsa!

Mari kita sambung pula bicara pemikiran strategik.
Baik strategi berlawan maupun strategi flanking, kedua-duanya memerlukan kemahiran soal-jawapan yang dinyatakan sebelum ini.

Kemahiran soal-jawapan itulah yang membuka luas minda kita. Seluas-luasnya. Keadaan sedemikian kita kenali sebagai MINDSET. Pemikiran strategik itu adalah mindset atau cara berfikiran tentang bisnes atau organisasi.

Apa yang membedzakan befikir secara strategik berbanding dengan yang tidak secara demikian? Ciri-ciri berikut dapat membantu:

a. memberi fokus jangka panjang, bukan jangka pendek,
b. melibatkan "sistem" berfikir,
c. memberi fokus keatas gambaran yang besar, bukan yang sempit,
d. fokus dalam mengenalpasti peluang tersedia ada, dalam memaksimumkan kesempatan,
e. melibatkan proses analitikal dan kreatif,
f. menyemak semula andaian-andaian yang dibuat,
g. antisipasi ke atas maklumat-maklumat yang kurang tepat (yang mungkin digunakan sebelum itu).

Entri-entri akan datang akan membicarakan ciri-ciri tersebut.

Hujung minggu ini pula akan berkongsi sedikit pengalaman yang ada, bersama sebuah agensi Kerajaan Negeri Melaka yang baru diperbadankan. Matlamatnya adalah sebagai pemangkin dalam mencetuskan pemikiran strategik, khususnya dikalangan pasukan pengurusan organisasi berkenaan - khususnya ketika proses pembentukan halatuju strategik bisnes 20 tahun akan datang. InsyaAllah.

strategi JERUNG dan KELI

Tertarik analogi Apabila Jerung Terjun Masuk Kolam Keli Puan Sifu, dalam membicarakan strategi bisnes - khususnya bisnes buku dan penerbitannya.

Dalam membicarakan proses pemikiran strategik, atau berfikir secara strategis seperti yang dinyatakan Puan Sifu; perkara yang paling basik adalah soal-jawapannya.

Apa dia SOAL-JAWAPAN?

Dalam proses menggarap pemikiran strategik, ada dua alat atau instrumen penting yang digunakan. Pertama soalan. Keduanya jawapan... Semua orang tentu sudah arif tentang kedua-duanya, bukan? Sebenarnya, soal-jawapanlah yang membina kekuatan dalam proses tersebut.

Pengintegrasian di antara soalan kritikal dan keupayaan pengoperasian cadangan-cadangan jawapan kepada soalan tersebut dalam merealisasikan visi itulah dikatakan proses pemikiran strategik.

Berbedza dengan cara berfikir orang biasa (atau yang selalunya tidak mahu berfikir), berfikir secara strategik pada asasnya memaksa diri, mendesak naluri dan kadang kala sampai ke peringkat "memerah otak" sampai kering! (...kalaulah boleh kita ibaratkan otak manusia itu seupama kain basahan mandi di perigi) . Itu sebabnya tidak ramai orang "suka berfikir" cara sedemikian.

Kemahiran berfikir secara strategik menghasikan sekurang-kurang tiga cadangan jawapan kepada satu soalan kritikal, kearah pencapaian sesuatu matlamat atau pun impian (visi). Pertanyaan orang biasa selalunya perlukan jawapan. Orang luar biasa akan menyoal dirinya atau orang lain, tetapi sudah ada lebih tiga jawapan yang tersedia cara mengeoperasikannya sekali.

Entri-entri selepas ini akan menyentuh tentang kerangka minda proses pemikiran strategik.

Apa yang pasti semuanya itu telah kita alami sendiri. Mungkin tidak menyedarinya. Maklumlah, hidup seharian kita dikuasai minda separa sedar!

berfikir sebagai Pakar Strategi

Puan Sifu menaburkan mutiara ilmu paginya di dalam Tip Survival Penerbit: Berfikir Sebagai Pakar Strategi, dipautkan ke sini sebagai rujukan.

Apa dia STRATEGI?

Ketika bersama dengan sekumpulan staf daripada KEMENTAH hujung minggu dahulu, strategi didefinasikan sebagai "ILMU dalam MERANCANG dan MELAKSANAKAN selok-belok peperangan" - iaitu ilmu atau muslihat perang.

Dari perspektif pengurusan pula ia bermaksud RANCANGAN yang TERATUR (dengan mengambil kira pelbagai aspek yang berkaitan) untuk MENCAPAI MATLAMAT atau KEJAYAAN.

Dalam bahasa mudah, strategi itu meliputi cara befikir, merancang dan bertindak untuk mencapai matlamat. Buat apa yang sepatutnya dibuat! Ia lebih kepada PERBUATAN bukannya khayalan.

Pemikiran Strategik - intro















Befikir secara Strategik (BcS) ...begitulah tajuk penulisan adaptasi yang sedang diusahakan. Tajuknya disarankan Puan Sifu.

Catatan-catatan BcS dan pemikiran strategik dimulakan dengan ilustrasi dua imej yang dipaparkan bersebelahan ini.

Di sebelah kanan ikon.jOnOs yang melambangkan "i have a dream" sepanjang masa. Di sebelah kiri pula gambaran uniknya sepohon pokok, mahkluk ciptaan Allah yang penuh dengan kehebatannya!

Apakah hubung-kait kedua-dua imej tersebut? Mengapa mimpi? Mengapa pokok? Apa pula kaitannya dengan pemikiran strategik yang bakal memenuhi entrinya?
Bersabarlah menunggu. Kita bicara mengenainya di entri seterusnya.

PETA Strategi

Seronok kerana berpeluang untuk berkongsi pengalaman dengan 27 kenalan baru daripada sebuah agensi KEMENTAH, yang secara proaktif berhasrat membina Peta Strategi organisasinya. Lebih-lebih lagi fungsinya yang amat kritikal di masa aman atau pun darurat. Tabik bosnya (yang turut sama belajar)!

Persekitaran tempat latihan agak terdedah kepada semak samun ragam manusia yang gilakan hiburan, serta dicemari budaya sosial murahan yang pelbagai dikalangan remaja. Yang Melayu pun tidak terkecuali. Namun disebabkan disiplin yang tinggi, peserta-peserta program tetap akur kepada jadual; demi mencapai matlamat utama kenapa mereka berada di tanahtinggi itu.

Kabus sejuk lagi menyamankan yang meresap masuk sehingga ke dalam bilik tidur selama tiga hari dua malam itulah sebenarnya telah membersihkan pencemaran minda semua.

Peta strategi adalah peta minda yang dipetakan dalam menterjemahkan halatuju strategik individu, organisasi bisnes (tidak kira saiz atau pun jenisnya) dan organisasi bukan kerajaan (NGO). Peta strategi berupaya membantu proses pemantauan berkesan dalam merealisasikan visi atau impian.

Justeru itu, peta strategi menjadi salah satu dari alat yang kritikal dalam proses membudayakan pemikiran strategik bangsa.

Apa dia pemikiran strategik itu? Ikutilah entri-entri seterusnya di bawah label ini.