KPI Dashboard
Showing posts with label salam.Jakarta. Show all posts
Showing posts with label salam.Jakarta. Show all posts

banjiri buku...

Jam 17:00, selepas 41 jam tiba di KLIA - agen penghantaran 'barang hilang' menghantar satu bargasi kami yang 'tercicir' di penerbangan yang tidak dapat berlepas kelmarin (akibat anak-anak kapalnya terperangkap dalam banjir Jakarta)... Syukur, ianya dalam keadaan yang 'hampir sempurna' (kami dapati ada cubaan membuka kuncinya, tetapi gagal)
Sebenarnya tiada 'cenderahati' yang lebih berharga yang sempat dilarikan (dalam cemas banjir kilat di Jakarta) selain 13 buah buku (di atas). Ternyata berbaloi (dengan pelaburan Rp791,000) serta ianya mengatasi segalanya dalam percutian kali ini...

Kami bersyukur ke atas rahmat dan nikmat Allah yang memudahkan perjalanan kami.

Jakarta banjir...

Program 8H7M Jakarta di akhiri semalam dengan banjir kilat. Sebenarnya hujan lebat mula turun sebaik kami turun dari Gunung Tangkuban Parahu di Bandung tempoh hari. Sejak itu banjir mula melanda beberapa bahagian Jawa Barat.

Hujan yang agak lebat turun sejak malam Jumaat di Jakarta. Seawal jam 08:30 kami ke Plaza Senayan... walau pun kedai buku Kinokuniya buka jam 10:00...kerana ingin tunaikan hajat beberapa rakan bloggers yang kepinginkan beberapa tajuk buku Indonesia.

Kami bergegas balik ke hotel. Teksi yang kami naiki mula meredahi takungan air di beberapa kawasan laluan di Bandaraya Jakarta... keadaan mula cemas! Kami pastikan teksi yang sama menunggu untuk ke lapangan terbang.

Jam 12:00, Pak Bambang (daripada Surabaya, pemandu teksi itu) memaklumkan Jakarta mulai dilanda banjir. Beliau mencadangkan melalui lebuharaya (tol) alternatif, selamat tetapi jauh... "bisa saja Pak, asalkan kami sampai airport!" Jawab saya cemas.
Memang benar jangkaan beliau (yang sudah biasa dengan keadaan). Namun, hanya beberapa km terakhir, tersangkut (jarak 1km sahaja) satu jam kerana melalui kawasan kerja-kerja pembinaan jembatan.

Waktu itu jam 14:30. Flight AK955 ke KL dijangka berlepas 15:10... mohon bantuan anak di Malaysia untuk hubungi AirAsia... Mungkin pembaca dapat bayangkan keresahan kami ketika itu!... Namun, kami besyukur tidak terperangkap dalam banjir kilat Jakarta.

Sampai di lapangan terbang jam 15:30, kami dimaklumkan landasan ditutup dari jam 13:00 hingga 17:00, kerana cuaca buruk dan merbahayakan pesawat. Tarik nafas lega... buat sementara sahaja!

Tiga kali 'tukar flight'. Akhirnya meninggalkan Jakarta (yang dilandar banjir) jam 22:30. Sampai rumah di Subang Jaya jam 02:00, awal pagi Sabtu. Alhamdulillah!

Mungkin peristiwa-peristiwa banjir secara kebetulan...ketika tinggalkan Dubai, Bandung dan Jakarta... [macam bomoh bawa hujan pula...Sering juga 'membawa hujan' apabila pergi kesesuatu tempat yang telah beberapa lama tidak turun hujan... Betapa besarnya perencanaan Allah!].

Kunjungi lapuran-lapuran salah sebuah stesen TV Indonesia DI SINI yang mungkin dapat memberi gambaran betapa 'kelam kabutnya' Jakarta semalam...lagi berita Jakarta lumpuh

minda.JUMAAT: ...ganda 120,000

minda.JUMAAT kali ini memetik satu dari 38 kisah "Di Atas Sajadah Cinta" karya Pak Habiburrahaman...

Intisari kisah ke 10: "Sedekah Berlipat 120 Ribu Kali". Ianya tentang keindahan hati yang pemurah, diriwayatkan Fudhail bin 'Iyadh.

"...Seorang pengembala kambing menjual seekor kambingnya dengan harga satu dirham, untuk membeli tepung. Dalam perjalanan ke pasar, beliau bertemu dua orang yang berkelahi. Mereka berkelahi kerana berebutkan satu dirham. Di atas keinsafan belas hatinya maka diberikannya satu dirham yang dimilikinya itu... yang akhirnya tidak dapat membeli tepung yang diminta isterinya!

Tiada kambing lagi untuk dijual. Isterinya mengumpulkan apa sahaja barang di rumah yang ada, untuk dijualkan... Tiada siapa yang ingin membelinya. Akhirnya bertemu dengan seorang penjual ikan. Ikan yang dibawanya semua telah busuk. Kedua-duanya akhirnya bersetuju dengan berdagang secara 'bater-trade'...

Ketika menyiang salah seekor ikan busuk itu, isterinya menemui sebiji mutiara dari perut ikan tersebut!...Kerana beliau tiada ilmu tentang nilai mutiara itu, dibawanya kepada mereka-mereka yang arif tentangnya.

Pakar mutiara 1: "Aku mampu beli 40,000 dirham. Jika kamu mahu lebih, berjumpalah orang ini...
Pakar mutiara 2: "Aku mampu beli 80,000 dirham. Jika kamu mahu lebih, berjumpahlah orang ini...
Pakar mutiara 3: "Aku mampu beli 120,000 dirham. Aku rasa tiada orang lain yang mampu bayar lebih dari itu!..."

Nota: Episod akhir kisah itu suspen sedikit....bacalah sendiri kisah tu!

buku.buku..buku...

Sempat menjenguk-jenguk ke Plaza Senayan /Senayan City, salah satu kompleks membeli-belah (5*) yang tidak kurang hebatnya. Matlamat utama adalah untuk mencari makan (tengahari) dan membelek-belek buku, buku, buku... (Sesuatu yang menjadi amalan apabila ke luar Negara)

Kedai buku Kinokuniya meliputi hampir separuh ruang di tingkat 5 kompleks Sogo. Fokus adalah di bahagian buku-buku Indonesia. Dari jauh nampak jelas apa yang dipamirkan... tajuk-tajuk 'best seller' (bahasa Inggeris)! Apabila membeleknya... rupa-rupanya buku terjemahan ke dalam bahasa Indonesia. Banyak sekali buku-buku bentuk itu - tetapi amat kurang (dalam Bahasa Melayu) di tempat kita...

Disebabkan kesuntukan masa, tidak dapat 'mengulat buku' lama di situ. Capai 5 buah... Rp250,000 sahaja (agak murah berbanding di Malaysia) - 2 buah darinya untuk Sifu PTS :

1. Barack Obama - Menerjang Harapan: Dari Jakarta Menuju Gedung Putih [The #1 New York Times Bestseller]
2. Habiburrahman El Shirazy - Di atas Sajadah Cinta [sudah 18 kali diulang cetak!]

30108=32

32 tahun lalu, jam 10:00 malam hari Jumaat di Kampung Krubung Melaka kami diijabkabulkan...Hari itu adalah
Tahun Baru Cina 1976
Alhamdulillah, kini daripada zuriat kami - Izzah (suami Remee), Azzam (isteri Liza), Azlin (suami Hafiz) dan Idayu; kami dikurniakan 3 orang cucu - Redza, Aisyah dan Hana.
Idayu baru sahaja memulakan kerjaya
dengan IBM sejak tahun lepas.

SEMOGA KEHIDUPAN KAMI DAN ZURIAT KAMI
DIBERKATI ALLAH
- di dunia dan di akhirat, isyaAllah

Nota
1. Kek ulangtahun di atas merupakan 'surprise' sebelum kami ke Airport Dubai untuk balik ke Malaysia tempoh hari.

2. Kenangan paling manis adalah ketika ulangtahun ke-30 - disambut bersama semua anak cucu di Jumeira Beach Hotel, Dubai.

3. Secara kebetulan, ulangtahun kali ini kami 'jejaki alami' menerusi salam.Jakarta - penerbangan percuma AirAsia...

air gunung berapi

Lari ke Bandung (2H1M) sebenarnya sebagai memenuhi impian... untuk melihat kawah gunung berapi yang masih aktif (dari dekat) dan berendam di dalam air gunung berapi!Kami ke Gunung Tangkuban Parahu (Perahu Karam dalam dialet Sunda). Menginap di Sari Ater Hot Spring Resort, Ciater Subang (10km di kaki gunung)... tak sangka pula 'balik' ke Subang... Sistem bekalan airnya dari sumber alami ...sejuk dan panas (belerang).

Tangkuban Parahu itu ada kaitannya dengan lagenda purba Sasakala Sangkuriang...(versi Indonesia)
Selepas subuh (05:00) kami berdua (sahaja ketika itu) 'berendam' sepuas-puasnya di pancuran dan air terjun... Suhu di antara 39-42 deg C.

nasi sunda...

Jam 09:00, selepas jenazah Pak Harto diterbangkan ke Solo untuk diberi kehormatan terakhir seorang Negarawan, kami pula menuju Bandung... (hendak cari air batu bandung!)

Melalui lebuhraya Jakarta-Bandung, perjalanan 200km itu selalunya mengambil masa paling cepat 2 jam. Namun (supir baru) dengan Kijangnya (...Toyota Inova) 1.5 jam sudah melewati Bandaraya Bandung!... terpaksalah cuit Mem untuk kenakan tali pinggang (kami duduk di seat belakang)... serta berzikir sepanjang perjalanan!

Pemandangan kehijauan sawah padi amat melegakan. Tanah pertanian subur menuju Bandung itu kehitam-hitaman (berbanding kemerah-merahan ke Bogor).

Kali ini 'jalan-jalan cari makan' (makan tengahari) menikmati pula hidangan Sunda 'asli' di Laksana...yang terkenal itu.

Di antara menu specialnya: Sup Buntut Sapi (...sup ekor sapi...pertama kali merasa sapi), ikan sungai (semacam ikan talapiah) bakar berempah - dihidang bersama cecahan cili api... bukan sahaja berpeluh, tetapi cucuran air mata kepedasan!

Perhatikan konsep sajiannya: duduk sahaja segala yang ada di kedai itu terhidang. Cuma pilih yang mana berkenan seleranya...

detik 13:10

Selepas makan tengahari di Podok Laguna (No 45, Jln Batu Tulis Raya, Jakarta Pusat) kami dimaklumkan Pak Harto telah meninggal dunia... jam 13:10 (waktu Indonesia Bahagian Barat). Hanya Al-Fatihah yang diiringkan.

Keenakan ikan laguna special tadi rasanya berlalu begitu sahaja...

Sejak saat itu bermulalah liputan mengenai kehebatan jasa-jasa dan kebaikan Pak Harto. Semua stesen radio (yang dapat diikuti dalam kereta) melapurkan berita yang sama. Begitu juga semua stesen TV... semalaman boleh dikatakan tiada siaran lain.

Indonesia berkabung selama seminggu, namun urusan harian seperti biasa.

Nota:
al-kisahnya lumrah dunia... kehebatan seseorang (pemimpin) itu rupa-rupa tertutup kok kesilapan yang dilakukan semasa hayatnya, tetapi tertutup kesilapan itu apabila tiada lagi?

Ikuti salah satu liputan TV DI SINI

damai minda

Semalam seharian di Bogor...mencari damai minda. Perjalanan melalui lebuhraya 3-lorongnya itu mangambil masa hampir 2 jam dari Jakarta. Bogor (nama Belandanya Buitenzorg) adalah wilayah yang subur tanah pertaniannya. Pisang, ubi kayu, keledek dan jagung manis ada di mana-mana. Segar mata memandang kehijauan tanaman tersebut di sepanjang perjalanan.

Destinasi utama adalah Kebun Raya Bogor (KRB, botanical gardens), bersebelahan Istana Bogor (1745) yang banyak sejarah silamnya. Keluasannya hampir 90 hektar. Taman itu bermula dengan tanaman pokok-pokok Canarium Vulgare. Kini berusia 190 tahun. Kami dipandu-arah oleh Pak Djenudin petugas berpengalaman di KRB. Maklumat lain baca DI SINI

Selepas 2.5 jam berjalan dan menjelajahinya, apa yang dapat digambarkan adalah kebenaran ayat "...many world class exhibits" (seperti yang dinyatakan di dalam buku panduan KRB). Kehebatan penciptaan Illahi dapat disaksikan di situ... Itu baru satu benda, iaitu pokok!

Mengapa saya suka dengan pokok? (sehingga 'bersusah payah' ke Bogor). Sebenarnya pokoklah yang menjadi sumber inspirasi (dan menjadikannya sebagai anologi) dalam memahamkan kumpulan sasar /khalayak, ketika berkongsi ilmu dan pengalaman tentang konsep Balanced Scorecard (BSC).

BSC adalah alat pengurusan digunakan untuk merealisasi dan melaksanakan strategi secara berkesan. Selalunya di akhir program, salah satu soalan yang akan ditanya adalah "Apa dia BSC?" ...dan jika jawapan mereka adalah "POKOK" - saya menarik nafas lega dan melafazkan Alhamdulillah!

Nota: Gambar di atas adalah salah satu contoh dari beberapa papan tanda motivasi minda yang dipasang di dalam kawasan KRB (yang sengaja dipaparkan di tepi tasik buatan, di belakang Istana Bogor)... fikir-fikirkanlah!

Betapa air-mata dan mata-air itu saling tangis-tangisan menghadapi dilema "pemanasan global" hasil dari kekejaman manusia...

salam.Jakarta: intro...

Perjalanan dari Lapangan Terbang Antarabangsa Soekarno-Hatta bermulanya suatu pengalaman baru... Ia mengambil masa 55 minit untuk tiba di 'Golden Triangle' Jakarta. Hotel kami hampir dengan Kedutaan Malaysia (sengaja dipilih ke situ)...

Pemandangannya hampir serupa dengan kebanyakan tempat kita - di mana ramai pekerja-pekerja Indonesia tinggal... Kota metropolitan yang sesak - dengan manusia, kenderaan di jalanraya dan pencemaran udara yang agak ketara...

Dicelah-celah kehidupan rakyat 'marhaen' itulah terasa betapa bertuahnya kita hidup di Malaysia! Alhamdulillah.

Nota:
1. Tiba-tiba impian menjadi jutawan 'termakbul'!... (hah hahhh! - apabila sampai ke Indonesia forexnya Rp1Juta=RM355). Ketika ke Medan dahulu 'tidak begitu terasa'...

2. Untuk memastikan tidak 'hilang' dari kunjungan siber, saya gunakan sahaja kemudahan IBB (internet broadband) langsung dari bilik hotelnya: Rp70,000/jam atau Rp115,000/24 jam... jauh lebih 'murah' dari tercari-cari cybercafe!