KPI Dashboard

pelan modal insan LID



LANGKAWI 7 Ogos – Dialog Antarabangsa Langkawi (LID 2007) yang berakhir hari ini menggariskan tujuh tindakan bagi melaksanakan langkah strategik ke arah membangunkan modal insan dan meningkatkan keupayaan negara-negara peserta.

Pelan tindakan bertema ‘Jalan ke Depan’ itu menyentuh mengenai pendekatan holistik yang dipersetujui negara peserta bagi menangani isu kemiskinan dengan penekanan kepada pembangunan pengetahuan, kepakaran dan dana intelek.

Tindakan tersebut ialah:

1. Menubuhkan badan penyelaras pada tahap nasional bagi menyelaras pelbagai kementerian dan agensi yang terlibat dalam bidang pembasmian kemiskinan;

2. Menubuhkan sistem pangkalan data berpusat untuk mengambil kira dan memantau perkembangan program pembasmian kemiskinan;

3. Mengutamakan objektif pembasmian kemiskinan bagi program pendidikan, kesihatan, pekerjaan dan lain-lain;

4. Menggalakkan penyertaan syarikat multinasional (MNC) dalam program-program pembasmian kemiskinan, pembangunan modal insan dan pembinaan keupayaan;

5. Menggalakkan media untuk memainkan peranan yang berterusan dalam meningkatkan kesedaran dan pengetahuan awam dan bagi memastikan laporan berita adalah adil dan saksama, khususnya berhubung isu-isu pembangunan serta kemiskinan;

6. Menubuhkan program khusus bagi pembasmian kemiskinan berasaskan kepada model yang terbukti berjaya bagi menghasilkan kesan dan manfaat ekonomi serta sosial; dan

7. Menubuhkan penunjuk prestasi sasaran asas bagi memantau perkembangan pelaksanaan setiap isu dan program utama.

Pelan tersebut juga menyebut, peserta LID boleh melapor pada dialog seterusnya berhubung perkembangan yang dibuat pada projek yang telah atau sedang dilakukan, dalam konteks menangani isu pembasmian kemiskinan melalui pembangunan modal insan dan pembinaan keupayaan.

Berdasarkan pelan itu, para peserta LID telah bersetuju untuk menangani isu pembasmian kemiskinan dengan melaksanakan polisi dan langkah-langkah bagi mewujudkan peluang pekerjaan termasuk pekerjaan sendiri dengan memberi akses kepada tanah, dana serta sumber produktif lain.

Mereka turut sepakat untuk mewujudkan persekitaran yang kondusif bagi pergantungan ekonomi secara sendiri; pembangunan dan peruntukan perkhidmatan sosial dan prasarana asas dan memperkasakan golongan wanita bagi menggalakkan kesaksamaan gender dan mengembangkan potensi mereka bagi pembangunan ekonomi serta sosial.

“Selain itu, LID juga mahu melindungi hak kanak-kanak dan belia bagi pendidikan dan perkhidmatan kesihatan dan tadbir urus baik dan pentadbiran berkesan bagi melindungi perpaduan sosial dan menggalakkan kestabilan sosial serta politik,” demikian menurut kandungan pelan tindakan itu.

Bagi mencapai objektif tersebut, para peserta LID telah bersetuju melaksanakan langkah-langkah strategik bagi pembangunan modal insan dengan memastikan akses kepada pendidikan bagi setiap peringkat masyarakat, tidak kira gender, dan menggalakkan latihan kemahiran teknikal serta vokasional bagi golongan belia.

Mereka juga bersetuju menggalakkan penglibatan sektor swasta dalam menyalurkan latihan, kepakaran dan peluang pekerjaan; menggalakkan keseimbangan gender dengan menggalakkan penyertaan kanak-kanak perempuan di sekolah dan mewujudkan persekitaran yang kondusif bagi pembelajaran.

“Negara-negara peserta LID turut sepakat untuk mempertingkatkan perkongsian antara masyarakat antarabangsa dengan tempatan dalam penyaluran pendidikan dan latihan serta menggalakkan pertukaran kepakaran dalam program-program pendidikan,” kata pelan tindakan itu.

Bagi membina keupayaan negara-negara peserta, LID telah bersetuju mempertingkatkan kesedaran dan akses bagi penyaluran kesihatan dan pendidikan bagi semua serta menggalakkan pendekatan bersepadu bagi pembangunan luar bandar merangkumi aspek ekonomi, sosial, infrastruktur serta institusi.

Peserta LID juga bersetuju menubuhkan institusi berstruktur bagi menyalurkan pengurusan, dana, latihan dan perkhidmatan sokongan kepada kumpulan sasar dan memperbaiki keupayaan kumpulan sasar bagi melaksanakan program perolehan pendapatan berterusan, termasuk dalam penggunaan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT).

Ia termasuk membentuk program kewangan mikrokredit yang sesuai dengan suasana negara masing-masing, menubuhkan penasihat kewangan melibatkan pasukan sektor awam-swasta bagi menyalurkan perkhidmatan tersebut dan menubuhkan Friends for Finance, rangkaian perikatan antara institusi kewangan, agensi kerajaan dan masyarakat untuk menyokong kecelikan kewangan.

Selain itu, negara-negara peserta turut bersetuju mempertingkatkan keupayaan perancang dan pembuat dasar melalui perkongsian latihan dan pintar serta memperkasakan kepimpinan dan masyarakat tempatan untuk menyumbang secara berkesan kepada usaha pembasmian kemiskinan.

Petikan lapuran @Utusan Malaysia
- oleh RAJA LUVENA SHARIFUDDIN

dCL 2007

Hari selasa baru satu setengah jam berlalu... Tiada entri di minda.STRATEGIK.

Ruang agak terhad, untuk 2-3 minggu mendatang. Terlibat dalam pengajuran "the Challenge Luncheon 2007 (dCL 2007)" , anjuran Kelab AIM Malaysia /AIM Manila.

dCL 2007 (ehh ehh, macam deTour Langkawi...) merupakan perdebatan aspek-aspek strategi berkaitan pengurusan strategik pertahanan, keselamatan dan impaknya kepada pembangunan negara. Melibatkan Filipina, Indonesia dan Malaysia sebagai tuan rumah.

Maklumat ringkasnya dipamirkan di rumah sebelah... atau klik dCL 2007.