KPI Dashboard

Buku dan SASARAN Pembaca

Tiga hari berturut-turut menemani jiran ke Sungai Merbau, menjalani rawatan strok secara tradisional. Dua kali beliau telah keluar masuk Pusat Perubatan dalam tempoh dua minggu sebelum ini. Alhamdulillah, untuk kembali pulih seperti sebelumnya jelas terbayang kini.

Namun, dalam kesempatan yang terbatas sempat menjengok seketika catatan di Akademi Penulis. Tertarik dengan nota ringkas Fauzul Na'im dalam mengenalpasti sasaran pembaca, apabila menulis. Aspek-aspek usia, kerjaya, taraf hidup dan taraf pendidikan serta pemikiran perlu dijadikan panduan utamanya.

sihat.MINDA: dementia


Nyanyuk BUKAN fITRAH Penuaan
Oleh: SHAFINAZ SHEIKH MAZNAN
(Mingguan Malaysia 19 Ogos 2007)

APA perasaan anda apabila ibu atau bapa tersayang tidak lagi mengenali wajah anaknya ini? Bila anda cuba menerangkan siapa anda, dia tidak percaya dan menyebut nama orang lain yang tiada kena-mengena.

Nama itu merupakan nama kawan-kawannya semasa bersekolah dulu dan ketika itu. Malah mereka menuduh anda sengaja mahu dia mati cepat supaya senang anda membolot hartanya.
Dalam hati anda mungkin terdetik: ‘‘Dah nyanyuk agaknya orang tua ni!” Sebagai seorang anak, kesabaran anda mungkin hadiah tidak ternilai buat mereka dalam situasi sebegitu.

Ibu bapa anda mungkin mengalami dementia, istilah perubatan bagi nyanyuk yang diambil daripada perkataan latin iaitu de bermaksud jauh dan mens, minda atau otak (kemerosotan daya ingatan/pemikiran).

Uniknya dengan orang nyanyuk, mereka boleh mengingati dengan jelas apa yang berlaku bertahun-tahun lampau ketika zaman penjajahan Jepun dahulu misalnya.
Sebaliknya, mereka lupa apa yang baru sahaja dilakukan dalam tempoh lima minit. Contohnya, walaupun badan mereka masih disaluti buih sabun, apabila ditanya: “Ayah dah mandi ke belum?” mereka akan bermati-matian menafikannya.

Ada juga pesakit yang menyatakan ingin meludah tetapi membuang air besar kerana kekeliruan yang dihadapi. Justeru, tidak hairanlah jika ahli keluarga mahupun penjaga berasa tertekan dengan keadaan ini.

Mendengar perkataan nyanyuk, mungkin tergambar di fikiran sesetengah orang imej- imej menakutkan seperti tingkah laku tidak siuman dan hilang kawalan.
Pakar Perunding Geriatrik, Pusat Perubatan Pantai, Kuala Lumpur, Dr. Rajbans Singh berkata, nyanyuk merupakan sejenis gangguan neurologikal yang menjejaskan dua atau lebih fungsi otak yang normal, seperti memori dan bahasa.

“Sebaik sahaja usia kita mencecah 20 tahun, proses kematian sel-sel di dalam otak mula berlaku dan menyebabkan otak mengecut. Kemusnahan sel-sel otak secara berterusan menyebabkan kualiti daya ingatan semakin berkurangan.

“Dementia merujuk kepada sekumpulan gejala yang berkaitan dengan hilang ingatan, berlaku secara perlahan-lahan tanpa disedari tetapi akhirnya boleh menjadi bertambah teruk,’’ ujar beliau.

Akibatnya, seseorang sukar mengingat sesuatu dan menjejaskan keupayaannya untuk berfikir dengan baik hingga boleh mengganggu aktiviti normal dan rutin seperti makan pakai. Lebih buruk lagi, ia boleh mendatangkan bahaya apabila pesakit lupa memadamkan gas di dapur selepas memasak atau mundar mandir di tengah-tengah jalan raya yang sibuk.

Selain kemerosotan intelektual, kata Dr. Rajbans, pesakit turut mengalami perubahan dari segi personaliti dan tingkah laku serta mood mereka.
Menurutnya, walaupun nyanyuk sinonim dengan peningkatan usia seseorang, namun ia bukanlah sebahagian daripada proses penuaan yang fitrah tetapi merupakan sejenis penyakit kronik.

‘‘Nyanyuk adalah sejenis penyakit kronik dan bersifat progresif (berterusan). Walaupun ia tidak dapat disembuhkan, tetapi ada rawatan yang dapat melambatkan proses ini daripada menjadi lebih teruk.

‘‘Sekiranya mereka mendapat rawatan pada peringkat awal, ia sekali gus mampu mengurangkan masalah penjagaan yang membebankan ahli keluarga,” katanya.
Dengan pertambahan bilangan warga emas kesan kualiti kesihatan yang semakin baik serta jangka hayat yang lebih panjang, Dr. Rajbans percaya, nyanyuk akan lebih kerap ditemui pada masa depan.

Di Malaysia, jumlah warga emas yang berusia 60 tahun ke atas dijangka meningkat daripada 1.047 juta pada tahun 1990 kepada 3.26 juta menjelang 2020.
Mengulas lanjut, walaupun nyanyuk lazimnya dialami oleh golongan yang lebih tua (60 tahun ke atas) namun, ia juga boleh terjadi di kalangan individu yang lebih muda hatta kanak-kanak (4 hingga 45 tahun).

Nyanyuk jenis ini dikenali sebagai dementia prasenil manakala kanak-kanak yang terencat mental seperti mengalami Sindrom Down juga boleh melalui episod nyanyuk ini.

Punca

Dalam pada penyakit Alzheimer merupakan penyebab nyanyuk yang paling biasa ditemui (60 peratus), lain-lain keadaan juga boleh mencetuskan gejala yang sama.
Penyakit angin ahmar atau strok yang kerap berulang boleh mendedahkan seseorang kepada nyanyuk. Beberapa siri serangan mengakibatkan sel-sel otak mati.

Keadaan ini seterusnya boleh mengakibatkan individu terbabit mengalami beberapa episod kekeliruan, kemurungan dan serangan epilepsi secara tiba-tiba.
Penyakit seperti ketumbuhan otak di lobus frontal dan jangkitan otak yang menyebabkan sawan/ensefalitis juga boleh menyebabkan pesakit menjadi nyanyuk.

Punca-punca lain adalah akibat kekurangan vitamin B12, kekurangan hormon toksin/tiroid yang menyebabkan hipotirodism dan keturunan.
Penyakit Creutzfeldt Jakob Disease (CJD) yang dialami oleh golongan tua berusia 60 tahun ke atas juga didapati boleh menyebabkan nyanyuk. Tanda-tanda penyakit ini ialah otot kejang dan pesakit tersentap, jalan tidak seimbang serta pergerakan kaku. Ia boleh berjangkit melalui otak, mata dan saraf tunjang.

Sementara itu, dianggarkan 10 peratus individu yang menghidap penyakit Parkinson turut mengalami masalah dementia.
Ditanya sama ada nyanyuk boleh menyebabkan kematian, Dr. Rajbans menjelaskan, penyakit ini tidak menyebabkan kematian, tetapi majoritinya akibat jangkitan seperti pneumonia/radang paru-paru.

Tahap dan gejala

Peringkat awal
Pesakit seolah-olah berasa keliru dan menjadi pelupa walaupun sesuatu perkara itu baru saja berlaku. Contoh, sukar mengingati apa yang mereka lakukan dalam tempoh lima minit.

Tidak ramai yang menyedari perubahan tingkah laku pesakit pada peringkat awal. Perubahan ini biasanya melibatkan perubahan tingkah laku seperti mudah lupa. Bagaimanapun, pesakit tidak menyedari keadaan yang mereka alami.

Pesakit juga sangat sensitif dan mudah merajuk, melakukan sesuatu dalam keadaan marah-marah. Apabila meletakkan barang di sesuatu tempat dan kemudian mereka tidak dapat mengingati tempat barang tersebut diletak, mereka akan menuduh orang lain
Peringkat sederhana

Perubahan mood semakin ketara. Mereka menjadi lebih agresif, merayau-rayau di dalam rumah dan gelisah pada waktu malam, sukar tidur.
Keselamatan diri turut terancam, terutama jika mereka seorang perokok atau memasak di dapur. Mereka juga sukar menyiapkan diri sendiri seperti tersilap butang baju.

Peringkat serius
Pesakit semakin waswas dengan orang lain terutama yang hampir dengan mereka (ahli keluarga). Mereka juga sukar menjaga kebersihan diri terutama rutin harian seperti mandi.

Pesakit kerap bertanya perkara yang sama berulang-ulang kali serta melakukan perbuatan yang tidak logik seperti mengatakan bahawa mereka telah selesai mandi walaupun badan penuh sabun.

Diagnosis, rawatan

‘‘Sebelum disahkan nyanyuk, seseorang itu akan disoal selidik oleh pakar psikologi bagi mengenal pasti tahap mental mereka bagi menyingkirkan lupa yang disebabkan oleh penyakit perubatan lain.

“Ada juga orang yang menjadi pelupa kerana dihimpit oleh masalah keresahan atau kemurungan. Jika perlu, doktor akan menjalankan siasatan yang lebih rapi seperti ujian darah dan CT scan kepala,’’ kata Dr. Rajbans.

Bagi pesakit yang sering terlupa kerana lalai, pakar psikologi akan membantu mereka menenangkan fikiran dan melatih diri menggunakan buku nota atau diari.
Selain sokongan moral daripada ahli keluarga yang amat penting dalam pengurusan pesakit, nyanyuk boleh dirawat dengan pelbagai jenis ubat-ubatan bagi melambatkan proses keterukannya.

‘‘Usah berlengah lagi. Yang penting adalah mendapatkan rawatan apabila didapati ingatan sudah berkurangan.

‘‘Ada banyak rawatan perubatan yang boleh diperoleh di hospital bertujuan melambatkan proses nyanyuk agar penghidap dapat menjalani kehidupan yang lebih berkualiti selagi hayatnya masih ada,’’ terang beliau.

Nyanyuk yang dirawat pada peringkat awal bukan sahaja dapat mengurangkan tekanan yang dialami oleh pesakit itu sendiri, tetapi juga penjaga mereka kerana dalam kebanyakan kes, pesakit itu sendiri tidak sedar bahawa dia mengalami masalah tersebut.

Ahli keluarga yang menjaga pesakit nyanyuk juga perlu berjumpa doktor untuk mendapatkan khidmat nasihat tentang penjagaan kesihatan diri mereka sendiri baik dari segi fizikal atau emosi.

‘‘Gaya hidup sihat mampu mencegah penyakit nyanyuk. Sentiasa cergaskan diri dengan bersenam dan melatih minda seperti membaca, menghafal, melakukan teka silang kata dan mengikuti perkembangan semasa.

‘‘Kekalkan interaksi dan pergaulan dengan masyarakat sekeliling dan terlibat dengan aktiviti yang dianjurkan. Teruskan hobi yang diminati dan bukan hanya memeluk tubuh dan duduk sahaja di rumah selepas bersara,’’ pesan Dr. Rajbans.

Komunikasi pesakit dementia

KITA semua tidak dilahirkan dengan cara-cara bercakap yang betul dengan pesakit nyanyuk tetapi kita boleh mempelajarinya.
Sekalipun tidak mempunyai pengetahuan teknikal seperti profesional perubatan, tiada siapa yang lebih tahu dan memahami insan tersayang lebih baik daripada kita sendiri.

Tiada masa yang lebih mencabar sebagai penjaga apabila melibatkan kelakuan mereka yang menyukarkan dan bertentangan dengan masa sihat. Oleh itu, perasaan kecewa yang dialami penjaga tidak sukar untuk difahami. Meningkatkan kemahiran komunikasi dapat membantu mengurangkan tekanan sekali gus memperbaiki kualiti hubungan penjaga pesakit.

Harus diakui, bercakap dengan orang tua yang menghidap nyanyuk memerlukan banyak masa dan kesabaran. Jangan silap faham. Kesukaran bercakap dengan mereka bukan disebabkan oleh kedegilan, sikap pentingkan diri atau tidak mahu bekerjasama, tetapi kerana masalah kesihatan.

Luangkan masa bercakap dan membawa pesakit bersiar-siar. Galakkan pesakit bercakap untuk mengelakkan mereka kehilangan kemahiran berkomunikasi.

Lebih dari itu, sikap tidak endah anda terhadap warga tua boleh menyebabkan anda tidak dapat mendengar suara mereka seperti dulu lagi kerana kebisuan mereka.

Sebelum itu, tiga prinsip asas yang perlu anda ambil kira sebelum bercakap dengan orang nyanyuk terutamanya yang jatuh dalam kategori teruk ialah:

1- Sentuhan.
Pegang tangan pesakit untuk mendapat perhatiannya. Jika anda menyuruh pesakit makan, letakkan makanan di tangannya dan bawakan tangan itu ke mulut pesakit.

2- Mendengar.
Bagi pesakit yang masih boleh mendengar, mereka perlu diberikan rangsangan pendengaran dengan cara bercakap dengan mereka. Lebih kerap lebih baik. Jika anda lihat dia mula tidak memberi perhatian kepada percakapan anda, panggil namanya.

3- Rasa.
Apabila membabitkan makanan, terutamanya bagi pesakit yang ada masalah menelan. Hampir 70 peratus pesakit nyanyuk serius perlu menjalani pemeriksaan kebolehan menelan makanan.

Sekarang anda boleh mulakan
* Mood positif untuk bercakap. Tindak tanduk anda memberikan kesan lebih kuat berbanding kata-kata. Berinteraksilah dalam suasana menyenangkan sambil mempamerkan rasa hormat kepada orang tua. Gunakan ekspresi muka, nada suara dan sentuhan untuk membantu menyampaikan mesej dan menunjukkan kasih sayang anda.

* Dapatkan tumpuannya. Hadkan gangguan dan bunyi bising, tutup radio, televisyen, langsir, pintu atau berpindah ke persekitaran lebih senyap. Sebelum bercakap, pastikan anda mendapat perhatiannya dengan memanggil namanya. Perkenalkan diri (nama anda) dan terangkan hubungan anda dengannya. Gunakan isyarat bukan perkataan, dan sentuhan bagi membantunya fokus. Kekalkan hubungan mata.

* Cakap dengan jelas. Gunakan perkataan dan ayat mudah. Cakap perlahan-lahan, mudah didengar dalam nada yang meyakinkan. Jangan meninggi suara, guna nada rendah. Ulang soalan atau mesej anda menggunakan perkataan sama jika dia tidak faham kali pertama. Sekiranya masih tidak faham, tunggu beberapa minit dan ulang soalan sama menggunakan perkataan lain.

* Tanya soalan ringkas dan mudah dijawab. Satu soalan pada satu-satu masa. Soalan dengan jawapan ya atau tidak adalah yang terbaik. Elakkan soalan yang mempunyai pelbagai pilihan jawapan. Contohnya: ‘‘Abah nak pakai baju hitam atau putih?” Lebih baik menunjukkan baju tersebut kepadanya.

* Dengarlah dengan telinga, mata dan hati anda. Bersabar menantikan jawapan mereka. Jika dia nampak sukar menjawab, anda boleh cadangkan perkataannya. Selalulah cuba memahami maksud dan perasaan yang tersirat. Perhatikan juga tindak balas tubuhnya dan respons sewajarnya.

* Asing-asingkan aktiviti kepada beberapa langkah. Ini memudahkan pengurusan kerja. Galakkan orang tua anda melakukan apa yang boleh, ingatkan dia secara lembut langkah-langkah yang mudah dilupainya. Bantu mereka dengan langkah-langkah yang tidak terdaya diselesaikannya sendiri. Gunakan isyarat penglihatan seperti menunjukkannya dengan tangan di mana letaknya pinggan mangkuk sangat membantu.

* Apabila mereka sedih, cuba tukar subjek atau persekitaran. Contohnya, minta bantuan mereka atau ajak mereka keluar berjalan-jalan. Adalah penting untuk berhubung dengan mereka dari segi emosi sebelum menukar sesuatu. Anda boleh kata, ‘‘Saya nampak mak macam sedih. Saya tumpang simpati. Apa kata kita keluar makan.”

* Pesakit nyanyuk selalunya keliru, resah, tidak pasti dengan diri sendiri dan kerap mengingati benda-benda yang tidak pernah berlaku. Elak daripada meyakinkan bahawa mereka salah. Tumpukan pada perasaan yang dipamerkan dan respons dengan perkataan serta ekspresi fizikal yang bersifat menyokong, meyakinkan dan memberikan keselesaan. Memegang tangan, sentuhan, pelukan dan pujian ada kalanya berjaya membuatkan pesakit memberikan maklum balas apabila usaha lain gagal.

* Ingatilah masa-masa indah yang pernah dilalui bersama. Kebanyakan pesakit tidak ingat apa yang berlaku dalam tempoh 45 minit. Jadi, elakkan bertanya perkara yang baru berlaku seperti ‘‘Ibu dah makan tengah hari ke belum?’’

* Selalulah bergurau senda bila-bila boleh dengan orang tua anda kerana pesakit nyanyuk cenderung menyimpan skil bersosial mereka. Usah terkejut jika mereka terdorong untuk ketawa bersama-sama orang lain yang membuat lucu.