KPI Dashboard

Nurin: sudah jatuh DITIMPAKAN TANGGA?


Ikuti berita TERKINI "Dakwa ibu bapa Nurin" dari Kuala Kangsar... (petikan Utusan Online)
KUALA KANGSAR 23 Sept. - Kemungkinan polis mengambil tindakan mendakwa ibu bapa Nurin Jazlin yang meninggal dunia akibat deraan seksual adalah berdasarkan peruntukan undang-undang, kata Menteri Di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz.

“Undang-undang tetap undang-undang... kita kena ambil tindakan, tiada siapa boleh terlepas,” katanya ketika diminta mengulas kenyataan Ketua Polis Negara (KPN), Tan Sri Musa Hassan mengenai kemungkinan polis mendakwa ibu bapa kanak-kanak itu kerana cuai.


Bercakap kepada pemberita selepas penyerahan zakat Amanah Raya Berhad di sini malam tadi, beliau berkata, tindakan yang diambil oleh polis itu adalah berlandaskan kepada prinsip yang terkandung dalam Rukun Negara iaitu Kedaulatan Undang-undang.


Jazimin Abdul Jalil dan isterinya, Norazian Bistaman menghadapi kemungkinan didakwa kerana cuai mengikut peruntukan undang-undang Akta Perlindungan Kanak-kanak.
Musa pada Jumaat lalu berkata, polis sedang menyiapkan laporan kes dan jika mendapati terdapat elemen cuai sehingga menjurus kepada penculikan Nurin Jazlin, polis akan mencadangkan kepada Peguam Negara untuk mengambil tindakan terhadap ibu bapanya.


Musa juga berkata, peruntukan undang-undang terhadap ibu bapa yang cuai menjaga keselamatan anak mereka telah lama wujud, tetapi belum pernah dikuatkuasakan selama ini.
Kenyataan berkenaan bagaimanapun mendapat reaksi yang negatif daripada beberapa pihak.


Mohamed Nazri berkata, peristiwa yang menimpa Nurin Jazlin adalah kejadian yang amat menyedihkan dan wajar menginsafkan semua pihak terutama ibu bapa untuk bersama-sama memainkan peranan menjaga keselamatan anak-anak mereka.


“Saya rasa amat sedih kerana seperti ibu bapanya, saya juga sangat berharap Nurin Jazlin akan selamat kembali ke pangkuan keluarga selepas kehilangannya,” katanya.
Beliau berkata, sebagai menteri yang menjaga potfolio undang-undang, beliau berazam memberikan sokongan dan kerjasama penuh kepada polis dalam usaha menghadapkan mereka yang terbabit dengan kematian Nurin Jazlin ke muka pengadilan bagi hukuman yang setimpal.
Satu pasukan penyiasatan khas Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman telah ditubuhkan bagi memburu dan menangkap suspek pembunuhan kejam kanak-kanak berusia lapan tahun itu yang diculik 20 Ogos lalu.


Nurin Jazlin dikebumikan Jumaat lepas setelah mayatnya dijumpai di dalam beg sukan yang ditinggalkan di tangga sebuah kedai di Petaling Jaya pada Isnin. - Bernama