Marahnya Merapi

Ketiga-tiga gambar ini berupaya menceritakan segala...

Enam bulan lepas kami ke Jogja, dan Gunung Merapilah yang menjadi destinasi pertama selepas singgah makan tengahari kampungan di pejalanan.

Diceritakan letusan Merapi 2006 adalah yang terburuk... namun rupa-rupanya letusan yang bermula sejak 26 Oktober lalu (bersama gandingan tsunami) masih belum selesai sehingga kini!

Begitulah siri-siri qiamat kecil untuk diambil pengajaran. Betapa debu yang beterbangan - sebelum ini dianggap sebagai 'hiasan langit letupan gunung berapi' kini menjadi pemusnah mahluk yang ada di tanah yang subur itu, Subhanallah!


Bukit Beruang

Mereka yang masih belajar


Pagi tadi kami di Bukit Beruang, Melaka.

Rumah yang di wakafkan untuk mengendalikan kuliah belajar al-Quran dan pelbagai majlis ilmu yang lain penuh sesak. Sebahagian mendengar secara berhadapan, manakala sebahagian lagi terpaksa mendengar melalui lintas langsung di ruang sebelah.

Macam-macam usaha ke arah mendekatkan manusia kepada Allah SWT. Saya bahagia menjadi sebahagian daripada usaha-usaha tersebut.

PETIKAN n3: Kehidupan Ringkas tapi Signifikan

Nota:
Terasa amat terkilan kerana tidak dapat 'meraikan' Prof sekeluarga selepas tamat majlis ilmu tersebut - kehadiran yang tidak dirancang (...namun, begitulah hebat perancanganNYA).

20:10 20.10.2010

Nombor lagi! Kali ini yang ternyata di atas... 
yang dibaca sebagai "jam 8.10 malam, pada 20 hb Oktober tahun 2010". Apa siknifikannya kali ini?

Itulah 'impian' 10 tahun lalu dengan menggunakan nama kod "Melaka Maju 2010". Pada detik yang dinyatakan, Negeri Melaka 'diiktiraf' sebagai Negeri Maju; sekaligus mensasarkan 10 tahun akan datang sebagai Melaka 'Badaraya Teknologi Hijau'.

Untuk tujuan tersebut, 32 indikator telah dirujuk sebagai memenuhi kriteria pengiktirafan - meliputi lima sektor iaitu ekonomi, infrastruktur, sosial, alamsekitar dan pentadbiran. Rujuk Taarif 'maju' DI SINI

Seperti yang disahkan pihak OECD (Organization for Economic Coorperation & Development), indikator utama (ekonomi) "KDNK per kapita" Melaka mengatasi Negara Turkey (juga Malaysia).

Habib Umar

Malam tadi berkesempatan menyertai majlis ilmu - Haul Imam Al-Hadad, di Masjid Al-Falah, USJ Subang Jaya. Kemuncak dari program (5:30 ptg - 10:00 malam) tersebut adalah tazkirah Al-Habib Umar bin Hafidz, Rektor Dar Mustafa, Hadramawt, Yaman.

Peringatan ringkas yang disampaikan adalah berkisar dari perkara yang 'mudah dan asas' - HIDUP vs MATI - dan diringkaskan lagi seperti berikut:

1. Perumpamaan orang yang hidup vs mati - mereka yang mulut dan hatinya sentiasa mengingati Allah (berzikir);

2. Rumah yang tersergam indah dikatakan juga mati, sekiranya tidak dihiasi dengan bacaan ayat-ayat Al-Quran dan amalan sunnah Rasulullah (SAW) - dan bertambah teruk lagi jika digantikan dengan segala bentuk kefasikan yang nyata di dalamnya; 

dan TUNGGULAH...
3. Negeri yang hebat pembangunan aspek materialistiknya juga turut mati (musnah), apabila perintah Allah (Al-Quran) dan Rasulullah (SAW) dipinggirkan!
 

Semoga dapat dimanfaatkan, InsyaAllah. 

101010

Hari ini adalah tarikh binari... 101010. Subhanallah!

Tibalah tarikh yang ramai menantikannya!...Ada yang terpaksa mengumpul ramai 'rakan setaraf dengannya' untuk majlis perkahwinan, sebagai contoh. Mengapa?

Apa sebenarnya yang ada pada tarikh 20 Oktober 2010 itu?... hari yang ke 283 tahun 2010... bermakna, tinggal 82 hari lagi (dicampurkan jadi "10" lagi...).

Ada yang meringkaskan sebagai 10.10.10. Dari aspek prestasi, "10" dikatakan sebagai "perfect"... Refleksi keatas sesuatu kejayaan (yang pastinya selepas melalui ujian-ujian tertentu)!


Dalam Islam, tarikh 10 Muharram... 10 Zulhijjah... Umum mengetahui tarikh-tarikh itu mempunyai sejarah dan keberkatan tersendiri, yang tidak perlu lagi disenaraikan di sini.

Namun, untuk 'menganalisis' nombor, sewajarnya dicatatkan sebagai 20.10.2010.  Jika dicampurkan, ia menjadi "5"... Angka lima mempunyai signifikan dalam Islam...pertengahan dan selamat. Lihatlah kedudukan nombor 5 dalam susunan 1,2,3,4,5,6,7,8 dan 9. Ya di TENGAH!... MasyaAllah. 


...dan "pakar nombor" akan terus menerus bermain dengannya, sehinggakan kadang kala tersasar aqidah Islamnya, tanpa disedari!

Istiqbal Musytari 20/21 Sept 2010

Kemaskini: baca DI SINI

Istiqbal merupakan satu istilah yang merujuk kepada satu kombinasi kedudukan matahari, bumi dan planet-planet di 'belakang' orbit Bumi (seperti Marikh, Musytari, Zuhal, Uranus dan Neptune).


Apabila istiqbal berlaku, ketiga-tiga objek tersebut akan berada di dalam kedudukan garis lurus, dengan Bumi berada di tengah-tengah.

Di dalam kes kali ini, Musytari, Bumi dan Matahari akan berada di dalam satu garis lurus. Apabila Matahari terbenam ketika maghrib, Musytari akan terbit di ufuk timur.

Selain dari itu, jarak di antara Bumi dan Musytari ketika itu juga adalah yang paling hampir, maka planet tersebut akan dilihat lebih besar daripada biasa (tetapi tak lah sampai sebesar bulan!!!!). Oleh itu, waktu istiqbal kali ini ialah waktu yang paling sesuai untuk mencerap planet Musytari.

TERUSKAN bacaan petikan dari FALAK ONLINE  
Baca juga maklumat berkaitan dari Persatuan Falak Syarie Malaysia dan  NASA Science News

Andai Rasulullah Bersama Kita...


Andai Rasulullah Bersama Kita ( zaharuddin.net) from dakwahislami on Vimeo.

Wahai Rasulullah,
Tika ini, jika engkau hadir bertamu,
Mungkin mengalir deras airmatamu,
Dek kesayuan mengenang umatmu,
Terlalu jauh dari Allah dan risalahmu,
 
Wahai Rasulullah,
Nafsu kini menjadi tuhan,
Harta dan pangkat menjadi sembahan,
Melalaikan segala arahan & janji ketuhanan,
Ibadah dirasa berat tidak tertahan,
 Al Quran bukan lagi panduan kehidupan.

Mutiara ilmu (1)

Saidina Umar al-Khatab r.a. melontarkan mutiara kata untuk kita kutip bersama:

"Telah banyak jenis (fesyen) PAKAIAN yang telah aku lihat, tetapi tidak sehebat PAKAIAN WARA'...

"Telah banyak aku bertemu mereka yang mengumpul HARTA, namun tidak setulus yang RASA CUKUP apa yang Allah kurniai;

"Telah banyak KEBAIKAN yang orang lakukan dalam hidup, tetapi tidakalah sehebat orang yang sanggup MEMBERI dan MENERIMA NASIHAT;

"Telah banyak MAKANAN yang lazat dihidangkan, tetapi tidak selazat tika BERSABAR DENGAN ALLAH; dan


"Telah banyak KAWAN mengeliling ku, namun sebaik-sebaik kawan adalah LIDAH!"


Nota:
Intipati kuliah subuh oleh Ustaz Roslan Mohamed, 5 Ramadhan 1431H

Serban

Serban sememangnya banyak rahsia.

Pernah semasa kejatuhan Turki Uthmaniyyah Mustafa Kamal Attarturk mengharamkan serban. Said Nursi pernah ditangkap atas alasan memakai serban, tetapi beliau berkata sesungguhnya serban ini datang dengan kepala ku sekali, kalau mahu dicabut perlulah ditebas sekali dengan kepala ini.

Serban berbeza cara ikatannya, malah ada puluhan cara lilitannya. Kadang-kadang setiap guru dan masyaikh mengijazahkan muridnya ikatan serban sebab ia sangat signifikan.

Baca selanjutnya DI SINI

Lepas Rindu (2)...

Tiba Makkah selepas waktu Isya', hari Rabu... Jam 3:00 pagi (Khamis) kami selesai mengerjakan umrah bermiqad di Bir Ali itu.


Warga di negara-negara Arab kini cuti 3 bulan. Cuti musim panas! Malam Jumaat tentu sekali sesak di Masjidil Haram... saya buat pilihan untuk bersolat Maghrib di bumbung... Namun, suasananya LEGA kerana hujan renyai-renyai sejak lepas Asar. Alhamdulillah...

|gambar di atas diambil dari fB Hj Arshad|

Nota: 
Lihatlah 'skyline' sekitar Masjidil Haram....Adakah ianya satu dari tanda2 hampirnya qiamat?
| N3 dibuat pada 23 Julai 2010 |

Lepas Rindu (1)...

11 Julai kami meninggalkan Cambridge dua jam sebelum bermulanya perlawanan akhir WC10 di antara Spain dan Holand... Destinasi akhir adalah Masjid Nabawi dan Baitullahi Haram yang di rindui...

Penerbangan dari Heathrow London ke Dubai mengambil masa 6.5 jam  Kami tiba Dubai 8:00 pagi keesokan karinya. Menunggu satu-satunya flight ke Jeddah 4:30 ptg. Namun, persekitaran Terminal 3 Dubai membuatkan 8 jam itu dirasakan tidak lama!

Sampai Jeddah 6:30 ptg. Urusan imigresyen dipermudahkan. Jam 8:00 malam kami menaiki teksi ke Madinah (Teksi sapu 'ada kelas'... bukan pilihan kami sebenarnya, tetapi diaturkan pihak yang menyambut kami)... Ia suatu pengalaman baru! Rupa2nya pemandu teksi itu adalah "pemandu F1" ...agaknya sebab saya minat sangat dengan sukan F1 he he he... )

Perjalanan yang selalunya mengambil masa di antara 6-7 jam itu hanya jadi 4 jam! (termasuk berhenti makan setengah jam...) Alhamdulillah, Allah permudahkan perjalanan kami itu.

Selepas membersihkan diri terus menunaikan solat Isya' dan Maghrib serta  ZIARAH makam Rasulullah... dan tunggu hingga solat Subuh.

Subhanallah! Hebatnya tenaga yang diberikan Allah ketika itu! Alhamdulillah, kami sempat berada di Madinah 3H2M sahaja.
|Nota: n3 ini dibuat pada 23Jul|

Masjid Birmingham

Kami merancang untuk singgah solat Jumaat di Masjid Birmingham, dalam perjalanan ke Lancester...
namun, ia tidak kesampaian kerana kesesakan di lebuhraya yang tidak diduga!

Sebelum meneruskan perjalanan, membeli makanan untuk tenghari /malam berhampiran masjid... Bandaraya (ke dua besar selepas London) yang didominasi masyarakat kulit hitam itu menawarkan makanan /harga barangan yang hampir separuh dari harga di Cambridge /London.

Birmingham pernah menjadi sumber makanan halal ketika menuntut di Portsmouth dahulu...

65 Victoria Rd North

Dalam tahun 1977-1979 kami pernah tinggal di alamat di atas, rumah milik Mr Hall. Beliau amat gemar menyewakan rumah-rumahnya kepada penuntut Melayu yang menuntut di Universiti Portsmouth...

Masa berlalu amat cepat. Alhamdulillah, sesuatu yang amat menggembirakan adalah wujudnya sebuah masjid di hujung jalan tersebut (selang 10 rumah dari kediaman kami dahulu) - Masjid Jami' Portsmouth. Rata-rata ia diusahakan masyarakat Bangladesh di situ

Bangunan asalnya adalah sebuah dewan, bersebelahan dengan gereja (yang saya rasa dibina kemudian di atas tapak rumah).

Sesungguhnya, rumah itulah meninggalkan banyak kenangan pahit manis serta pengorbanan di perantauan... Lihat laluan kenangan 33 tahun lalu dihidupkan kembali DI SINI

Alhambra


Alhambra dan sejarah Islam di Granada adalah satu gandingan dalam lipatan sejarah yang masih segar sehingga kini... Istana dan kota dalam taman yang penuh kegemilangan dari aspek senibina cendiakawan Islam di kurun ke 13/14 yang masih segar sehingga kini.

Alhambra menjadi bahan sejarah yang HIDUP di Spain.. Rakaman terpilih di Facebook saya.

| sebelum check-out dari Hotel Guadalupe... Granada, Sabtu 1:52pm |

Masjid Granada - dulu dan sekarang


Alhamdulillah, sempat menunaikan solat Jumaat di Masjid Granada - hasrat yang tersemat di hati apabila kembara Andalusia direncanakan. Sederhana besarnya, tetapi kemas dengan cir-ciri senibina Islam Andalusia. Namun, masjid sedia ada bukanlah masjid asalnya... Dewan solat Masjid Granada kini bolih menampung sekitar 500 jemaah.

Terletak di kemuncak di mana masyarat Arab (kebanyakannya dari Moroco) yang bukit bertentangan dengan Alhambra. Saksikan gambar-gambar masjid dan persekitarannya yang sempat dirakamkan...di Facebook saya.

Masjid asal yang bolih menampung ribuan jemaah (ketika kegemilangan Islam Andalusia) terletak bersebelahan!... Kini adalah GEREJA TERBIAR.

Begitulah sejarah... perilaku pihak musuh apabila berkuasa!

Kembara Cambridge - Konvo


Kami melalui suatu pengalaman baru menghadiri majlis konvo yang agak unik (pelik?).... Universiti Cambridge mengekalkan tardisi 800 tahunnya di Senate House - pernyataan /pentauliahan ijazah oleh Presiden kepada setiap graduan dalam bahasa Latin!

Namun, majlis yang semi-formaliti itu ringkas dan teratur.

Gambar-gambar di faceBook saya.
|Cambridge Ahad 0745|

Gerhana bulan 26 Jun

Pada hari ini akan berlaku fenomena Gerhana Bulan Separa. Kali ini, kita di Malaysia tidak dapat melihat kejadian ini secara keseluruhan dari awal hingga akhir. Ini adalah kerana ketika Bulan terbit sekitar waktu Maghrib pada tarikh tersebut, ia sudah pun menghampiri fasa gerhana maksimum.

Gerhana kali ini bukanlah gerhana penuh, hanya lebih kurang separuh sahaja daripada muka bulan akan digelapkan oleh bayang-bayang bumi.
Namun, ia tetap menarik untuk dilihat kerana pemandangannya melihat bulan gerhana sedang terbit rendah di ufuk langit cukup unik.

Di bawah merupakan kiraan waktu fasa-fasa gerhana yang berlaku. Ia boleh digunapakai di mana-mana lokasi di Malaysia.

Butir-butir gerhana bulan hari ini oleh NASA

Kembara Cambridge - Minoriti



Bersolat Jumaat di Pusat Islam Cambridge - 5 minit berjalan dari rumah. Ruang solat yang bolih memuatkan sekitar 300 jemaah. Ternyata kekuatan dan perpaduan ummah ketika di perantauan dan minoriti dalam kumpulannya!

Masjid di Pusat Islam itu adalah bangunan sementara (yang bertahun-tahun digunakan) - merupakan bangunan 2 unit rumah dua tingkat yang berangkai belakang. Masyarakat  Islam di Cambridgeshire sekitar 6000 orang.

InsyaAllah, bangunan masjid baru yang lengkap dengan kemudahan ilmu dan ibadat sedang dalam pembinaan di atas tapak lebih satu ekar. Kosnya 13 juta paun, hasil derma individu-individu, termasuk dari Malaysia.

Kembara Cambridge - Tiba

Alhamdulillah, kami sampai di Cambridge awal pagi tadi (Khamis 7:00 am)... seleps >20 jam perjalanan.

Akan berada di sini sehingga 11 Julai, sebelum mengerjakan ibadat Umrah, InsyaAllah.
indahnya penciptaanNYA...

Skesta: bakar hati...

Awak rasa bakar bendera Israel tak perlu? Mana kemarahan awak?”

“Bakar bendera Israel boleh saja. Ayuh, bakarlah. Tetapi jangan membakar rokok Amerika dan sekutu Yahudi yang lain lebih perlu. Cukup kalau sebulan sahaja umat Islam berhenti merokok, mungkin jumlahnya sudah berjuta-juta ringgit. Dan wang yang terkumpul itu hantarkan ke misi bantuan kemanusiaan ke Gaza!”

“Awak sindir saya?”
“Pak Cik saya tidak menyindir. Kebanyakan umat Islam, termasuk saya, hanya bencikan Yahudi pada mulut sahaja tetapi pada tindakan tidak.”

“Saya dah bertindak. Saya dah demonstrasi!”
Lagi-lagi ke situ fikirnya.

“Pak Cik dalam Al Quran, Allah tegaskan orang Yahudi itu tidak akan redha selagi kita umat Islam tidak mengikut cara hidup mereka.”
“Siapa kata kita ikut cara hidup mereka?”

Baca sindiran penuh tarbiyah Pahrol M Juoi

Menempah Musibah

Minda Jumaat kali ini membawakan intipati dari kuliah maghrib yang disampaikan Ustaz Abdullah Iraqi pada 26 Mei 2010, di Masjid Darul Ehsan Subang Jaya. dengan merujuk kepada Ayat 90, Surah Al-Maaidah.

 

Dua pengajaran utama dalam konteks semasa (khususnya dalam kekalutan judi bolasepak) adalah ancaman Allah terhadap 'orang-orang yang beriman' ke atas pengharaman arak, judi, penyembahan berhala dan 'tengok nasib' adalah:

1. Empat amalan tersebut jelas kejinya, pastinya rangsangan syaitan!

2. Apabila manusia 'istihar perang' terhadap hukum Allah, tunggulah musibah yang didatangkanNYA!

Renungkanlah akan musibah-musibah yang menimpa umat Melayu sekarang, di antaranya: kekalutan berpolitik, murtad, zina dan buang bayi terang-terangan, dadah serta beranika gejala sosial lain... Siapa yang menjuarainya semua itu?

Apakah itu semua belum lagi atau masih tidak menyedarkan mereka (kita juga)?

Mereka hanya berseronok MENEMPAH MUSIBAH... yang akhirnya dikongsi semua!

Bersama kita memohon keampunan dan perlindunganNYA.

Rayyan Iman

Rayyan Iman adalah cucu kami yang ke-5 (lelaki ke-2).
Hari-hari dalam proses pembesarannya
terasa amat pantas berlalu.
Alhamdulillah, ibadat aqiqahnya telah disempurnakan di hari ke-7 umurnya.

minda.JUMAAT: siapa kita?

Siapakah orang yang sibuk?
Orang yang sibuk adalah orang yang tidak mengambil berat akan waktu solatnya seolah-olah ia mempunyai kerajaan seperti kerajaan Nabi Sulaiman a.s

Siapakah orang yang manis senyumanya?
Orang yang mempunyai senyuman yang manis adalah orang yang ditimpa musibah lalu dia kata "Inna lillahi wainna illaihi rajiuun." Lalu sambil berkata,"Ya Rabbi Aku redha dengan ketentuanMu ini", sambil mengukir senyuman.

Siapakah orang yang kaya?
Orang yang kaya adalah orang yang bersyukur dengan apa yang ada dan tidak lupa akan kenikmatan dunia yang sementara ini.

Siapakah orang yang miskin?
Orang yang miskin adalah orang tidak puas dengan nikmat yang ada sentiasa menumpuk-numpukkan harta.

Siapakah orang yang rugi?
Orang yang rugi adalah orang yang sudah sampai usia pertengahan namun masih berat untuk melakukan ibadat dan amal-amal kebaikan.

Siapakah orang yang paling cantik?
Orang yang paling cantik adalah orang yang mempunyai akhlak yang baik.

Siapakah orang yang mempunyai rumah yang paling luas?
Orang yang mempunyai rumah yang paling luas adalah orang yang mati membawa amal-amal kebaikan di mana kuburnya akan di perluaskan saujana mata memandang.

Siapakah orang yang mempunyai rumah yang sempit lagi dihimpit?
Orang yang mempunyai rumah yang sempit adalah orang yang mati tidak membawa amal-amal kebaikkan lalu kuburnya menghimpitnya.

Siapakah orang yang mempunyai akal?
Orang yang mempunyai akal adalah orang-orang yang menghuni syurga kelak kerana telah mengunakan akal sewaktu di dunia untuk menghindari siksa neraka.

Siapakah org yg KEDEKUT ?
Orang yg kedekut ialah org yg membiar atau tidak membaca atikel ini begitu sahaja, malah dia tidak menyampaikan pula kepada org lain.
Wallahu'alam..

Dipetik dari blog Kehidupan Makkah

cintaMU

Ya Allah,
kurniakanlah daku perasaan cinta kepadaMu,
dan cinta kepada orang yang mengasihiMu,
dan apa sahaja yang membawa daku menghampiri cintaMu!

Ya Allah,
jadikanlah cintaMu itu lebih aku hargai daripada air sejuk bagi orang yang kehausan,



Ya Allah, sesungguhnya aku memohon cintaMu,
dan cinta orang yang mencintaaiMu,
serta cinta yang dapat mendekatkan aku kepada cintaMu!

Ya Allah,
apa sahaja yang Engkau anugerahkan kepadaku daripada apa yang aku cintai,
maka jadikanlah ia kekuatan untukku mencintai apa yang Engkau cintai.

Dan apa sahaja yang Engkau singkirkan daripada apa yang aku cintai,
maka jadikanlah ia keredhaan untukku dalam mencintai apa yang Engkau cintai!


34 harimau


Bising mercun masih kedengaran lagi di petang Tahun Baru Cina - Tahun Naga, walau pun malamnya bak berlaku serangan hendap! Jiran-jiran Cina di kampung boleh di kira sebelah tangan sahaja. Mereka adalah keluarga 3 buah kedai runcit...

Selepas Isyak rombongan pengantin lelaki termasuk kumpulan kompang remaja kampung menaiki Bas Tuah menuju ke Kampung Krubung. Bas panjang yang disewa itu mesti dipenuhkan tempat duduknya!. Itulah saja kenderaan rombongan pengantin malam itu.

"Karung bunga api buloh tu jangan tinggal!" Jerit Mat Dehra kepada anak-anak buah kompangnya.

Majlis aqad nikah dijadual lepas sepuloh malam. Pengantin lelaki dikenakan pakaian 'broket' keemasan. Paklang Mat Li dan Mat Dehra tukang-tukang andam yang mengiringi.

Panas! Rimas! Dalam benaknya hanya melancarkan lafaz untuk 'menyambut' lapaz nikah Pak Imam... Sepanjang perjalanan 10 batu itu pengantin lelaki hanya diam terpaksa!

Bas berhenti di tepi jalan dekat sekolah. Rombongan berjalan menuju ke rumah pengantin perempuan dalam kegelapan malam... yang disambut dengan lampu 'gasoline' yang dikandar dua pemuda memandu jalan.

"Nanti engkau orang jangan pulak main kasau bila mereka ajak berlawan kompang!" Mat Dehra mengingatkan anak-anak buahnya, sambil menggenyeh tembakau sentilnya di mulut... sekadar ingin memecahkan kesunyian malam - walau pun sekali sekala terdengar sayup-sayup bunyi mercun...
.

Catatan di atas adalah muqadimah malam majlis pernikahan kami 34 tahun lalu, mengikut kalender Cina...yang disempurnakan sekitar 11:00 malam!
Tarikh itu adalah 30 hari mendahuluinya mengikut kiraan kalender Islam hari ini (29 Safar 1431H - 28 Muharram 1397H). Baca entri 30 Januari... seterusnya.

Nota: 
i. Semoga roh-roh Paklang Mat Li dan Mat Dehra di cucuri rahmatNya. 
ii Di kampung dan sekitarnya ramai yang bernama Muhamad atau Ahmad. Jadi gelaran-gelaran seperti Mat Longkang, Mat Lopong, Mat Kerbau, Mat Kuda dan seumpamanya menjadi pengenalan, berdasarkan pekerjaan masing-masing - alkisahnya!...

hari Valentine...

Soalan
Assalamualaikum ustaz,
Benarkah hukum menyambut hari Valentine adalah haram, bagaimana pula hukum menjual hadiah dan bunga kepada pasangan-pasangan bukan Islam dan sebahagian umat Islam yang meraikannya?
 
JAWAPAN
Saya telah menyertakan jawapan di ruangan artikel bahasa Inggeris, bagi membantu rakan-rakan yang kurang selesa memahami bahasa Inggeris, disertakan jawapan ringkas saya berkenaan sambutan hari valentine.

Asal-usul Valentine
Tindakan mengaitkan pertengahan bulan Februari dengan cinta dan kesuburan sudah ada sejak dahulukala. Menurut tarikh kalender Athena kuno, periode antara pertengahan Januari dengan pertengahan Februari adalah bulan Gamelion, yang dipersembahkan kepada pernikahan suci Dewa Zeus dan Hera.
 
Di Roma kuno, 15 Februari adalah hari raya Lupercalia, sebuah perayaan Lupercus, dewa kesuburan, yang dilambangkan setengah telanjang dan berpakaian kulit kambing. Sebagai bagian dari ritual penyucian, para pendeta Lupercus meyembahkan korban kambing kepada sang dewa dan kemudian setelah minum anggur, mereka akan lari-lari di jejalanan kota Roma sembari membawa potongan-potongan kulit domba dan menyentuh siapa pun yang mereka jumpai. Terutama wanita-wanita muda akan maju secara sukarela karena percaya bahwa dengan itu mereka akan dikarunia kesuburan dan bisa melahirkan dengan mudah. (http://id.wikipedia.org/wiki/Hari_Valentine)

 Baca Lanjut kupasan Ustaz Zaharuddin DI SINI

Kurma Malaysia


KURMA spesis KL1

Bila kita berbicara tentang tanaman pokok kurma atau tamar, kita akan terbayang pokoknya yang banyak ditanam di Padang pasir, bercuara panas dan kering.



Tetapi kurma juga boleh hidup dan berbuah di California dan beberapa tempat sejuk yang lain. Tetapi telah sinonim dengan kita bahawa pokok kurma tumbuh di padang pasir yang panas dan kering.


Berdasarkan keterangan diatas, negara kita yang kedudukannya di Asia Tenggara dan ditengah tengah antara panas dan sejuk, kenapa tidak ada yang terfikir mencari jalan dan kaedah untuk membolehkan pokok kurma tumbuh dan berbuah di sini. Sedangkan kita tahu bahawa pokok kurma adalah sama spesis dengan pokok kelapa sawit. kelapa dan juga salak. Boleh hidup dengan suburnya tetapi agak sukar berbuah.

Dengan pengalaman kami selama lebih 9 tahun yang lalu, satu penyelidikan dan percubaan telah dilakukan di suatu daerah di Thailand. Kami telah mencuba menanam berbagai jenis spesis pokok kurma atau tamar tetapi hampir kesemuanya tidak boleh berbunga dan berbuah. Tetapi kami mendapati ada satu jenis yang mampu mengeluarkan bunga...|teruskan|

Baca lanjut di AgroConsultant

Emas hijau

Permulaan abad ini (2010-2020) telah bermulanya era 'emas hijau' secara berstruktur dan giat. Apa yang dimaksudkan adalah pemacu ekonomi global akan berteraskan teknologi hijau. Saya telah sentuh sedikit mukadimah teknologi hijau sebelum ini - khususnya apa yang sedang diusahakan di negara kita.
Di negara-negara maju, khususnya Eropah dan Amerika Syarikat telah membuktikan bahawa teknologi hijau merupakan salah satu komponen penting dalam memancu pertumbuhan ekonomi lestari - dan faktor yang mempengaruhi ekonomi berpendapatan tinggi (high income economy) negara masing-masing.

Justru itu, dalam memperkatakan apakah bentuk model ekonomi baru, sesebuah organisasi /agensi (awam) yang bertanggung jawab dalam menggubal dasar ekonomi dan juga entiti bisnes (swasta) perlu peka kepada 'gelombang hijau' yang sedang melanda.

Nota: 
Buku 'Green to Gold', Esty & Winston (2009 Wiley) mungkin boleh dijadikan sumber inspirasi kearah pelarasan model bisnes sedia ada.

28 Muharram 30 Januari

30 Januari dalam tahun 1976 adalah bersamaan 28 Muharram 1397H. Jika dibandingkan dengan tahun 2010, ianya bersamaan 14 Safar 1431H. Ini bermakna kalender Hijri mendahului 15 hari dalam kitaran 34 tahun tersebut...

Alhamdulillah, hari ini adalah ulangtahun ke 34 pernikahan kami...dan sebentar nanti akan berkejar balik ke Kampung Krubung, Melaka menziarah Mak Temah, ibu mertua yang masih menetap di rumah di mana kami dinikahkan. Sebelah tengaharinya pula ke majlis perkahwinan anak buah Norlela Zubir, biras /adik ipar kami. Kemudian terus balik ke Subang Jaya untuk satu lagi majlis di sebelah malam di Sungai Buluh.

Sebahagian dari keluarga besar kami (Raya Puasa 1430H)
Rumah itulah yang berjaya membesarkan sepuluh adik beradik isteri saya. Ianya telah lama bertukar wajah - untuk menampung 'pembesaran keluarga' - rumah 'tanpa tangga' seperti lazimnya apabila rumah kayu diganti batu bata!

Walau apa pun, suatu yang pasti Mak Temah tetap memegang amanah dan pesan Allahyarham Pak Mat agar 'tidak meninggalkan' rumah (untuk tinggal bersama anak-anak)... 

"Aku nak balik rumah aku (di Krubung)"... Itulah kalimah biasa yang dilafaskan Mak Temah setelah berada beberapa hari di rumah anak-anaknya di Lembah Klang.

"Nanti bila engkau dah tua, barulah engkau faham!..." telahan Mak Temah lagi untuk menguatkan hujahnya kepada kami. Itu tidak termasuk beberapa alasan lain, di antaranya:
 

"...tiada orang yang lalu lalang singgah berbual..."
"...tak elok tinggalkan rumah kosong lama-lama!..."
"...kesian kucing-kucing yang tak tentu masa makannya!..."
Bersama 4 cucu dan 3 menantu (Raya Puasa 1430H)
 
Dalam usia emas dan kini dikurniakan empat orang cucu yang telah bersekolah rendah, kami mula memahami kata-kata Mak Temah itu...

Kami memohon perlindungan, keampunan dan rahmatNYA dalam sisa-sia umur yang dikurniakan. Hidup dalam kasih sayang dan belas kasihan di antara kami, Amin...

Gerhana Matahari 15 Januari 2010

KEMASKINI: 11:11pm - Imej-imej gerhana matahari dari lensa Sdr Shahrin.  Lokasi Pekan Rabu, Pulau Langkawi. Layari falak Online untuk maklumat lanjut.



Hari ini sekali lagi Allah pertontonkan kekuasaanNYA dalam menguruskan alam ini - khususnya bulan dan matahari, seperti yang dinyatakan dalam Ayat 40 Surah Yasiin.

Lihatlah catatan perjalanan gerhana matahari hari ini,  bersumberkan NASA

Allah Subhanahu Wata’ala telah menciptakan langit dan bumi ini dengan penuh keindahan dan kehebatan. Di bumi, Allah ciptakan kita manusia disamping mahluk lain seperti binatang, tumbuh-tumbuhan, gunungganang,lautan, sungai dan sebagainya. 

Manakala di langit, Allah ciptakan matahari, bulan dan bintang yang menghiasi panorama yang indah serta bermanfaat kepada hamba-hambanya, bukan setakat menciptakan sahaja, tetapi Allah Subhanahu Wata’ala telah mentadbir alam semasta ini dengan kudrat dan iradatnya, sehinggalah tidak ada sebab boleh berlakunya perlanggaran antara satu sama lain, jika sekiranya berlaku pertembungan, maka ini akan mengakibatkan kehancuran dan kemusnahan. 

Maksud firman Allah Subhanahu Wata’ala dalam surah Yaasin ayat 40:

“Tidaklah mungkin bagi matahari mendapatkan bulan dan malam pun tidak dapat mendahului siang dan masing-masing beredar pada garisan inderanya”

Pada hari ini sekali lagi Allah Subhanahu Wata’ala telah memperlihatkan kehebatan dan kekuasaannya, dimana berlakunya gerhana matahari pada hari ini 15 Januari 2010. Menurut ahli astronomi, kejadian gerhana berlaku akibat dari kedudukan sejajar antara matahari, bulan dan bumi, ini dinamakan sebagai gerhana matahari.

Manakala jika berlaku kedudukan sejajar antara matahari, bumi dan bulan, maka dinamakan gerhana bulan. Kedudukan sebegini akan menghalang cahaya matahari sampai ke bumi dan dinamakan gerhana kerana sebagaimana yang kita maklum bahawa bulan dan bumi sifatnya adalah menerima cahaya dari matahari.

Hayati khutbah Gerhana Matahari seterusnya DI SINI



Kunjungilah ANGKASA Malaysia untuk melihat detik-detik kehebatan dan kekuasaan Allah...

 TONTONI JUGA DETIK-DETIK GERHANA HARI INI

NOTA: Rujuk tarikh-tarikh berlakunya gerhana bulan dan matahari dalam Tahun 2009 dan 2010 - sumber NASA

Yayasan Tun Suffian


Hari ini adalah hari yang paling istimewa buat kami sekeluarga...

Kami dikunjungi oleh Pemegang-Pemegang Amanah Yayasan Tun Suffian - YM Tunku Dr Sofiah Jewa dan YBhg Dato' Dr Yaacob Merican.

Apabila pihak urusetia menghubungi saya minggu lepas, kami 'tergamam' dan terharu... risau pun ada! (risau bagaimana hendak 'melayan' VIP....).


Turut serta adalah Puan Alwizah (tiga dari kanan) dan suami (En Zul, baju putih) daripada Urusetia Yayasan Tun Suffian - yang banyak membantu dan mengaturkan pertemuan ini.



Namun, semua debaran itu berakhir.... gambar-gambar di atas /bawah mungkin boleh menceritakan suasana pertemuan hampir dua jam itu. Ia penuh kemesraan yang bersifat 'kunjungan kekeluargaan' walau pun baru pertama kali bertemu! 


Alhamdulillah dan budi mereka semua tetap diabadikan. Hanya Allah akan membalasnya




Nota:
1. Yayasan Tun Suffian ditubuhkan pada 11 Jun 2002, sebagai mengenang jasa dan bakti Alllahyarham Tun Mohamed Suffian kepada Negara, dan nama besar khususnya komuniti perundangan.

2. Kami amat bersyukur kepada Allah kerana anak ketiga kami Azlin yang kini melanjutkan pelajaran di peringkat Sarjana - merupakan anak Melayu pertama dipilih menerima biasiswa /hadiah kecemerlangan pelajaran Yayasan Tun Suffian sejak diperkenalkan... untuk program LLM University of Cambridge, England.

| Winter Wonderland at University of Cambridge |