KPI Dashboard

pewaris bisnes

InsyaAllah, esok saya akan memudahcarakan Management Retreat syarikat kawan lama saya - untuk lebih kurang 25 orang pasukan pengurusan. Kawan saya orang Kelantan itu telah meninggalkan perkhidmatan 'makan gaji' lebih 10 tahun yang lalu...

Beliau bermula dengan projek-projek pembinaan sekolah. Ketika itu industri pembinaan pesat membangun. Masa itu juga bermula rancaknya kebanjiran pekerja-pekerja Indon dan Bangla di Malaysia.

Kini bank tanahnya (yang sedia untuk dibangunkan, apabila tiba masa yang sesuai) melebihi RM15 juta... Apa yang menarik, sektor pembinaan itu kini mewakili 1.0% sahaja dari portfolio bisnesnya... apakah bisnes lainnya?

Ringkasnya: 80% sektor pembuatan, 14% perdagangan (eksport), 1% pembinaan dan 5% perkhidmatan (kejuruteraan - sektor elektrik, minyak dan gas), dari aspek pendapatan tahunannya. Sasaran pendapatan tahun 2008 adalah RM60 juta... dan RM100 juta dalam tahun 2011. Asetnya kini melebihi RM30 juta. Pekerja tetap lebih 300 orang...

Apakah produk yang dikeluarkan? Komponen kereta Proton dan Perodua, komponen pembinaan bangunan (kunci pintu dan seumpama dengannya), meter elektrik dan meter air... Bayangkan'keberanian' beliau itu yang dahulunya seorang pengurus sumber manusia!

Itu aspek bisnesnya. Tetapi apa yang ingin saya tonjolkan di sini adalah proses 'bimbingan dan penyerahan' bisnes yang telah dibangunkan kepada pewaris-pewaris beliau. Kini keempat-empat anaknya yang berkelulusan dalam bidang pengurusan bisnes (universiti luar negara, tajaan sendiri) telah mula 'menguasai' sektor tertentu masing-masing.

Mengapa diadakan 'retreat' itu? Di antara lain untuk merangka dan membangunkan Peta Strategi bisnes kumpulannya bagi tempoh 10-25 tahun akan datang!

InsyaAllah, jika berkesempatan saya akan berkongsi cerita tentang 'keberanian' usahawan tulin Melayu itu di masa-masa akan datang.

Nota
1. Mungkin Puan Norlela Zubir berminat dengan 'keberanian' usahawan tersebut (yang sering 'merendah diri').