Ketika itu saya di Tingkatan V, Sekolah Alam Shah (kini ditempatkan semula di Putrajaya). Persekitarannya adalah Kg Kongo (kawasan setinggan Melayu), Salak Selatan dan pekan Cheras (masyarakat China). Kini Kg Kongo itu namanya Bandar Tun Razak...
Kedudukan SAS yang agak strategik membuatkan kami dapat melihat Kuala Lumpur 'terang benderang' malam itu dengan kebakaran di sana sini. Penduduk-penduduk Kg Kongo diberi perlindungan di Dewan Besar sekolah... kami dan penduduk 'berkawal' di sekitar kawasan sekolah. 'Senjata' yang dibekalkan hanyalah buluh rencong dan semangat darah muda yang membara!
Disebabkan sistem komunikasi yang agak terbatas, kami hanya diberi tahu bahawa KL dalam "keadaan tegang" dan di bawah "perintah berkurung". Itulah pertama kali mendengar perkataan-perkataan tersebut.

Kini 13 Mei 1969 tinggal segar dalam lipatan sejarah hitam Negara. Sejarah yang perlu dijadikan rujukan dan sempadan dalam berpolitik, perlaksanaan kontrak sosial ketuanan Melayu dan penggubalan dasar-dasar berkaitan sosio-ekonomi Malaysia.
Semoga Allah menjauhkan malapetaka serupa itu berulang... kerana jika berlaku lagi ianya akan lebih dahsyat lagi! Amin.