KPI Dashboard

alahai...TM.screammmyX


Ramai yang teruja.
Ramai juga yang terus-menerus terdera!

Sejak memulakan kerjaya baru (yang 80% urusannya dari rumah) enam bulan lalu, tiada yang lebih penting melainkan kemudahan capaian hidup "di-atas-talian". Lebih setahun yang lalu capaian jalurlebar basik sungguh pantas dan laju sekali. Namun, apabila kegiatan untuk mengaup keuntungan yang lebih melalui sistem "penjualan jalurlebar" sejak akhir-akhir ini tahap perkhidmatan dan sistem penyampaian seolah-olah kembali semula ketika syarikat gajah telekomunikasi itu di era JTM...

Tidak tahan dengan kekuraan capaian jalurlebar yang kononnya 1Mbps itu, dinasihatkan untuk menaiktaraf ke sistem jalurlebar 4Mbps. Apa yang pasti yuran langganan meningkat dari RM88 ke RM198 (itu harga promosi!).

Yang amat tidak masuk akal untuk tujuan menaiktaraf, talian telefon dan internet terpaksa diputuskan selama 9 hari! Selepas aduan demi aduan dibuat (dan pastinya diberikan nombor IDnya bagi setiap aduan - 7 nombor rujukan 7 digit semuanya), tidak juga selesai massalahnya! Batang hidung pekerjanya tidak nampak lansung. Email kepada CEOnya mati tidak berkubur! Deraan yang diterima kini memasuki hari ke 40!

Yang menyakitkan lagi dihantarnya pula dua SMS dan satu email (yang dihasilkan melalui sistem, daripada jejari-jejari hantu) yang memaklumkan "permohonan dan pertanyaan telah di selesaikan!"

Namun, Pembekal Broadband itu terus berbangga dengan pencapaian pelanggannya yang ke satu juta!

[Pelanggan TM Broadband cecah sejuta KUALA LUMPUR 1 Jun – Bilangan pelanggan perkhidmatan Internet jalur lebar milik Telekom Malaysia Bhd.(TM), TM Broadband kini mencecah angka sejuta, demikian menurut pegawai kanan syarikat telekomunikasi itu. Ketua Pegawai Eksekutifnya, Zamzamzairani Mohd Isa berkata, kejayaan itu menunjukkan komitmen TM sebagai pembekal khidmat itu kepada rakyat Malaysia menerusi Pelan Perkhidmatan Jalur Lebar Nasional dan juga strategi MyICMS886. ‘‘Dengan pelancaran Streamyx 4.0Mbps berserta perluasan kawasan perayauan Streamyx 2.0Mbps, TM kini menjadi pembekal jalur lebar terpantas di Malaysia dan melalui pelanggan ke sejuta kami, kami dapat membuktikan bahawa kami memiliki jumlah pelanggan yang besar,’’ jelasnya lagi.]

Tidak kira capaian yang dinikmati itu kura-kura, arnab atau lalat... cuba-cubalah melambatkan membayar bilnya seminit selepas 0000hrs tarikh yang ditetapkan?

Moral dari pengkisahan yang dialami yang ingin dikongsi adalah tafsiran salah di sebalik hasrat pengurusan dalam pemantauan KPI. Akibat gairah untuk menunjukkan tugasan sudah disempurnakan, pemilik KPI yang berkenaan hanya merekodkan "telah selesai" walau pun kerjanya belum disentuh lagi! Inilah kelemahan disebalik kecanggihan alat-alat bantu tugasan hari ini. Anggota kerja yang tidak "perform" dapat berselindung di sebalik jari telunjuknya (cuba buat demo ini sendiri).

PETA Strategi

Seronok kerana berpeluang untuk berkongsi pengalaman dengan 27 kenalan baru daripada sebuah agensi KEMENTAH, yang secara proaktif berhasrat membina Peta Strategi organisasinya. Lebih-lebih lagi fungsinya yang amat kritikal di masa aman atau pun darurat. Tabik bosnya (yang turut sama belajar)!

Persekitaran tempat latihan agak terdedah kepada semak samun ragam manusia yang gilakan hiburan, serta dicemari budaya sosial murahan yang pelbagai dikalangan remaja. Yang Melayu pun tidak terkecuali. Namun disebabkan disiplin yang tinggi, peserta-peserta program tetap akur kepada jadual; demi mencapai matlamat utama kenapa mereka berada di tanahtinggi itu.

Kabus sejuk lagi menyamankan yang meresap masuk sehingga ke dalam bilik tidur selama tiga hari dua malam itulah sebenarnya telah membersihkan pencemaran minda semua.

Peta strategi adalah peta minda yang dipetakan dalam menterjemahkan halatuju strategik individu, organisasi bisnes (tidak kira saiz atau pun jenisnya) dan organisasi bukan kerajaan (NGO). Peta strategi berupaya membantu proses pemantauan berkesan dalam merealisasikan visi atau impian.

Justeru itu, peta strategi menjadi salah satu dari alat yang kritikal dalam proses membudayakan pemikiran strategik bangsa.

Apa dia pemikiran strategik itu? Ikutilah entri-entri seterusnya di bawah label ini.