KPI Dashboard

minda.JUMAAT: Allah terlalu hampir

Alhamdulillah, hari ini hari terakhir kita berpuasa. Genap 30 hari bagi tahun 1428H. minda.JUMAAT kali ini ingin bawakan kisah benar kaifiat amalan berdoa!

Selasa lalu 27 Ramadhan 1428 (9 Oktober 2007) turut serta meraikan pelancaran buku Prof Kamil di UiTM - "Travelog Haji: Mengubah Sempadan Iman" (TH-msi)...

Suasana sepi dan sebak menyelubungi Dewan Annexe UiTM, ketika Prof Kamil 'mendeklamasikan' Bab 31 bukunya: "Jamratul 'Aqabah - Mengubah Segalanya!" ... Sungguh menusuk kalbu. Terpancar ketulusan. Penuh kesungguhan!

Ia benar-benar menjadi pemangkin kepada persempadanan semula iman - bukan sahaja pengarang, tetapi setiap yang telah /dan akan mengalami pengalaman yang sama, atau hampir-hampir sama waktu dengannya... dan yang pasti juga tetamu lain di dalam dewan ketika itu.

Ada dua elemen penting yang telah berjaya dikongsi Pengarang TH-msi:

Pertama AMALAN BERDOA kepada Pencipta - Allah Yang Maha Mendengar, yang TERLALU HAMPIR dengan semua hambaNya. Yang menjadi benteng pemisah hanyalah sama ada 'nak atau tak nak' berdoa!

Elemen kedua menjadi pemacu kepada yang pertama. Ianya adalah kalimah peringatan yang diulang-ulangi Allah 31 kali di dalam Surah Al-Rahman: "Maka nikmat Tuhan yang manakah kamu dustakan?"

Kedua-dua elemen itulah adunan kimia yang mantap dan dibawakan secara santai dalam perkongsiaan pengalaman dan pembelajaran beliau di fardhu haji musim 1427H yang lalu...

Nabi Muhammad s.a.w telah secara jelas bersabda dan mengingatkan umatnya: "Doa itu senjata bagi Mukmin". Dan itulah yang digunakan Prof Kamil dalam merobah sempadan masa dan imannya!

Buku travelog haji (pertama serupanya dalam Bahasa Melayu) perlu dimiliki semua. Jadi, beli dan bacalah buku TH-msi... untuk mengetahui kandungannya.

Baca jugalah tulisan Mufti Perlis.... tentang konsep berdoa: "Allah itu terlalu hampir..."

Allah berfirman: "Dan apabila hamba-hamba-Ku bertanya kepadamu mengenai Aku maka (beritahu kepada mereka): Sesungguhnya Aku (Allah) sentiasa hampir (kepada mereka); Aku perkenankan permohonan orang yang berdoa apabila dia berdoa kepada-Ku. Maka hendaklah mereka menyahut seruan-Ku (dengan mematuhi perintah-Ku), dan hendaklah mereka beriman kepada-Ku supaya mereka mendapat petunjuk - surah al-Baqarah: 186.