KPI Dashboard

persekitaran YSB (4): MEMBENTUK PERSEKITARAN


Berjumpa kembali, selepas berehat seketika. Terima kasih kepada yang masih setia mengunjung... walau pun terasa hampa. Terima kasih juga, kerana masih ada yang setia menunggu...

26-27 dan 31 Julai, terlibat dalam sesi perkongsian ilmu bersama sekumpulan 20 orang kumpulan Pengurusan sebuah organisasi yang komited untuk merencanakan kerangka pelan strategik 30 tahunnya. Kali ini CEOnya "direhatkan". Komposisi kumpulan seimbang - lingkungan umur 20an, 30an, 40an dan 50an.

Mungkin ada yang bertanya, "Mengapa CEOnya direhatkan?". Jawapannya mudah, "Supaya kumpulan tersebut boleh 'merapu' dalam tempoh tiga hari berbincang...!" Perlu diingat, kumpulan tersebut akan membuat persembahan kepada CEOnya dalam tempoh dua minggu akan datang...

Dalam menjana idea yang baik, ianya bermula dengan 'seting' yang bersahaja. Minda tidak boleh terikat. Minda perlu melampaui sempadan protokol persekitarannya. Minda perlu dibiarkan mencetuskan benda-benda yang 'gila'. Gila-gila!...

Membaca entri Wasiat Bak di BISNES KELUARGA.Norlela Zubir, mulanya terasa sebak...
Tetapi selepas tiga kali mengulangi, watikah wasiat 7 Ogos 1984 itu ternyata satu dokumen kerangka pelan strategik bisnes keluarga almarhum Tuan Hj Zubir bin Hj Yusof; usahawan tulin bersemangat waja! Menarik watikah wasiat tersebut, yang ditulisnya lima tahun sebelum meninggal dunia (Semoga rohnya dicucuri Rahmat, Amin).

Kelmarin, satu lagi kerangka pelan strategik Negara dilancarkan - Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER), selepas Wilayah Pembangunan Iskandar (WPI). Cerita NCER menjadi bahan utama semua akhbar sehari dua ini... sekurang-kurang meredakan buat sementara cerita watina Mongolia dari mahkamah Shah Alam!

Apa bezanya Watikah Wasiat Bak (WWB) dan NCER?

Dari perspektif pemikiran strategik, kedua-duanya ada persamaan. Khususnya dalam aspek-aspek berikut:
a. pemikiran jauh (WWB: tiada had, NCER: 2025) pencapaian sasarannya,
b. penjanaan ekonomi (WWB: ekonomi keluarga, NCER: wilayah utara Malaysia),
c. pengintegrasian (WWB: keluarga dan bisnes, NCER: sektor pertanian, pengangkutan dan industri tinggi lain)
...dan banyak lagi kalau hendak dicari persamaannya.

Masih ingat lagi dengan PEST? (...kalau kurang pasti, toleh ke belakang sebentar).

Apa yang pasti, WWB dan NCER itu adalah kerangka dalam MEMBENTUK PERSEKITARAN (shaping the environment) dalam membuka minda pemikiran strategik. Lihatlah betapa komponen-komponen Politik, Ekonomi, Sosial dan Teknologi dibentuk dalam kedua-dua dokumen WWB dan NECR tersebut. Mengapa?

Jawapannya esok, InsyaAllah.