KPI Dashboard

persekitaran YSB (1) - PEST

Bicara siri di minda.STRATEGIK seterusnya adalah merujuk kepada model sistem berfikir (MSB) yang di nyatakan sebelum ini. MSB adalah asas dan kekuatan kepada proses pemikiran strategik yang sedang kita bicarakan.

Kalau diamat-amati model itu semula, apakah faktor atau elemen yang terpisah dari sistem berkenaan? Ya, betul.... faktor persekitaran yang sentiasa berubah! (the ever changing environment). Kita rujuk sebagai persekitaran YSB, untuk memudahkan bicara. Juga, fokus yang akan diberikan hanya kepada persekitaran bisnes dan organisasi.

Entri-entri khusus selepas ini akan membuktikan betapa kehebatan menangani persekitaran YSB itulah sebenarnya kekuatan pemikiran strategik.

Mengapa dikatakan begitu?

Persekitaran bisnes merupai satu set ketumbukan tekanan-tekanan yang merangkumi aspek-aspek politik, ekonomi, sosial dan teknologi (PEST). Ya, kuasa "PEST" ...kuasa anai-anai! Bayangkan kehebatan anai-anai dalam meruntuhkan kekuatuan sesuatu struktur, sebagai analogi awalan untuk tujuan penyamanan minda...

Apa yang pasti, kuasa-kuasa PEST tersebut secara umumnya di luar kawalan dan pengaruh bisnes dan organisasi itu sendiri. Tidak kira apa jenis bisnes. Besar atau kecil. Semuanya tidak terkecuali! [Nota: Sengaja penulis menggunakan ungkapan "ketumbukan tekanan-tekanan" untuk memberi gambaran betapa PEST itu boleh dibaratkan sebagai suatu kuasa besar!...semacam negara Ugutan Syaitan Alam itu - USA?].

Perlu difahami, PEST memberi potensi impak yang positif dan juga negatif keatas bisnes atau organisasi. PESTlah juga yang memacu dan pemangkinnya.

Secara mudah, kekuatan pemikiran strategik itu berpaksikan kepada faktor luaran. Yang sentiasa berubah. Faktor yang selalunya di luar kawalan entiti bisnes itu sendiri. Itu sebabnya sering orang cerdik pandai mengatakan bisnes itu penuh dengan risiko. Memang ada kebenaran dalam ungkapan tersebut. Kerana PESTlah faktor penyumbang risikonya.

Ketepatan formulasi strategi bisnes digambarkan dengan keberkesanan pengemudian persekitaran POLITIK, EKONOMI, SOSIAL dan TEKNOLOGI; demi survival organisasi berkenaan.

Sebelum kita tinggalkan anai-anai di sini, satu lagi ungkapan bistari ingin dikongsi... Persekitaranlah yang sentiasa berubah. Yang tidak pernah berubah hanyalah perkataan 'berubah' itu sahaja?