KPI Dashboard

berfikiran JAUH


Selepas 2 hari berehat, entri minda.STRATEGIK dibicarakan semula. Kali ini ingin dibawakan aspek-aspek yang ada kaitannya dengan bengkel dua hari yang dikendalikan.

Sebelum bicara diteruskan, ingin merakamkan penghargaan kepada organisasi yang baru setahun diperbadankan di bawah Akta 655 itu, di atas kepercayaan yang diberikan. Apa yang pasti, seperti juga Sedikit Ilmu Yang Berguna - Saudara OA, ilmu dan tip-tip Puan Sifu di kuliah Bisnes Latihan akhir bulan Jun lalu dipraktikkan sewajarnya. Alhamdulillah, ternyata memberi impak dan nilai tambah di dalam proses mengwujudkan perhubungan sebagai rakan-niaga jangka panjang. Tabik Puan Sifu!

Pengajarannya: Walau sedikit mana pun, ilmu yang baik itu apabila (bukan kalau) diamalkan pasti membawa baraqah. InsyaAllah.

Organisasi tersebut sedang merangka Pelan Bisnes 30 Tahun, yang perlu dikemukakan kepada pihak berkuasa kawalselia industri berkaitan dalam bulan Januari 2008... Jadi sesi 2H1M yang melibatkan 18 peserta, diketuai CEO dan Pengurusan Tertingginya itu memikirkan apa yang mereka hendak lihat bentuk bisnes, operasi dan komitmen serta kejayaannya dalam tempoh 30 tahun akan datang (2008-2038).

Senario di atas memberikan kita gambaran kepada ciri pertama berkaitan pemikiran strategik yang dikatakan sebelum ini. Befikir secara Strategik memaksa minda kita memetakan gambar besar dan berfikiran jauh. Gambar besar itu adalah gambaran senario akan datang. 30 tahun akan datang! Inilah yang dikatakan sebagai kemahiran berfikir mengikut kaedah "the fUTURE is NOW!" yang akan disentuh di entri berikutnya.

Dalam masyarakat kita orang Melayu konsep tersebut telah lama menjadi amalan. Rata-rata dirangsang oleh kekuatan minda separa sedarnya. Ambil sahaja senario kita sebagai anak cucu, yang kini menikmati keenakan buah-buah binjai, durian tembaga, rambutan dan bermacam lagi buah-buahan baka di kampung-kampung (yang sekarang ini berlambak-lambak rezekinya).

Ketika nenek moyang kita dahulu menyemai biji-biji durian tembaga, binjai (yang kini hampir pupus spesisnya) dan rambutan masam 20, 30, 40, 50 tahun lalu; pernahkan mereka memikirkan tentang dapat merasa hasil tanaman mereka? Tidak! Mereka hanya berkata "...durian tembaga, binjai dan rambutan masam di kebun kita itu, untuk cucu cicit kita!" Ketika itu anak-anak mereka masih lagi terlalu kecil untuk memahami firasatnya.

Dalam suasana kita yang mengira hari untuk tibanya 50 Tahun merdeka, Wawasan 2020 dan Misi Nasional 2057 adalah dua contoh terdekat dengan topik ini. Pemimpin yang dikenang jasanya adalah Pemimpin Yang Berwawasan (bukannya dalam keadaan was-was! Was-was itu rakan karib syaitan). Begitu jugalah dalam sesebuah organisasi dan bisnes, kemahiran berfikiran jauh itu adalah kritikal.

Apa dia berfikiran JAUH?

Sebenarnya gambaran jawapan seperti diterangkan di atas. Tetapi dari aspek-aspek pengurusan, bahasa mudahnya adalah:

a. Berwawasan (vision-driven): Apabila Zaitun menggunakan tagline "gunakan TANPA was-was", sebenarnya telah mengundang kejatuhan bisnesnya, tanpa disedari. Itu strategi harakiri! Telah tinggalkan hiSTORI. Namun kini cuba muncul kembali.

b. Tempoh yang PANJANG (long haul): Ianya bergantung kepada jenis bisnes atau organisasi atau matlamat individu itu sendiri. Secara amnya lebih dari 10 tahun. Kurang dari itu di kenali sebagai jangka pendek (1-3 tahun) dan jangka sederhana (4-10 tahun).

c. Sasaran matlamat BERPERINGKAT (stretch targets): Di bawah Wawasan 2020, penetapan sasaran pencapaian matlamat dikendalikan melalui RMK7, RMK8, RMK9 (2006-2010), RMK10... dan seterusnya. Begitulah juga nanti Misi Nasional 2057.

Mengapa sesuatu perancangan jangka panjang itu memerlukan sasaran berperingkat? Apa pula sasaran? Tunggukan jawapannya nanti.