KPI Dashboard

Bisnes Latihan

Esok hingga Ahad berada di tanahtinggi negara Mat Kilau, insyaAllah. Terkilan rasanya tidak dapat hadiri kuliah mingguan SifuPTS.

Alhamdulillah, tip-tip bisnes latihan yang diberi SifuPTS dua minggu lalu mula dipraktikkan seadanya, bermula dengan agensi di bawah kementerian yang kuat (demi pertahanan negara). Modal latihan adalah berkaitan proses membudayakan pemikiran strategik, khususnya dalam proses penambahbaikan sistem penyampaian sektor perkhidmatan awam.

KPI dan Balanced Scorecard kini mendekati sektor awam. Yang pasti, pasarannya besar tetapi masih agak lembab.

BERFIKIR secara STRATEGIK

Catatan SifuPTS Ancaman Serius Mentaliti BAU menarik perhatian yang lebih berbanding sebelumnya, sejak mula memasuki kuliah-kuliah beliau.

Bukan kerana ianya berkait rapat dengan penulisan buku adaptasi yang dicatat sebelum ini, tetapi ianya seolah-olah tidak "menarik minat" untuk berdiskusi - walau pun yang dibangkitkan adalah isu survival. Mentaliti survival adalah komponen yang amat penting dalam proses memandaikan bangsa.

Pertanda atau indikator yang ditinggalkan itulah memberi suntikan motivasi baru betapa penulisan dalam siri budaya pemikiran strategik perlu dipercepatkan, insyaAllah.

Bersama-sama ini ditinggalkan rangsangan daripada SifuPTS:

sab2 Says:
June 25th, 2007 at 9:07 pm
Puan Sifu,assalamu’alaikum.

Memang benar mentaliti ‘business-as-usual’ (BAU) merupakan acaman serius kepada bisnes, tidak kira apa jua saiz dan jenisnya. BAU boleh diandaikan menanti ‘yang datang bergolek’ di dalam persekitaran bisnes yang telah matang atau dalam proses kearah itu. Namun persekitaran serupa itu amat rapuh, yang sememangnya tidak pernah bertahan lama.

Daya tahan berterusan di dalam persekitaran kompetitif dibina berpasakkan halatuju strategik. Halatuju strategik pula dipagari ’strategic initiatives’, musuh BAU. Disinilah lahirnya inovasi bisnes, atau lebih tepat lagi budaya pemikiran strategik - mentaliti survival yang perlu wujud dan diamalkan.

kearah (SALAH) = ke arah (BETUL)
disinilah (SALAH) = di sinilah (BETUL)

Tuan Sab2,
Bolehkah Tuan terangkan konsep ‘pemikiran strategik’ dalam sebuah buku yang nanti PTS terbitkan. PS ini sungguh penting tetapi kemahiran berfikir secara PS inilah yang kita belum pandai. Judul buku itu “Berfikir Secara Strategik”. Insya Allah meletup. Saya sudah lama mahu menulis buku seperti ini, tetapi saat ini pun sedang menulis 6 buku serentak, jadi belum sempat juga.

Buku Adaptasi

Bergegas pulang dari Pulau Pinang selepas menghadiri majlis perkahwinan anak sepupu, untuk hadir kuliah mingguan Sifu kelmarin.

Penulisan buku adaptasi berkaitan pengurusan, khususnya berkaitan pengurusan prestasi dan produktiviti sememangnya telah dirangkakan. Disebabkan konsep penulisan popular lebih menjurus kepada pembangunan individu, buku adaptasi yang bakal dihasilkan sewajarnyalah tidak memasuki ruang lingkup organisasi secara total. Itulah saranan daripada Sifu.

Justeru, tajuk-tajuk (awalan) berikut dalam siri berkenaan mungkin dijadikan asas pengumpulan data dan maklumat penulisan:

1. PETA STRATEGI - Asas Pembangunan Bisnes

2. STRATEGI melaksanakan STRATEGI

3. KPI mengemudi PRESTASI BISNES CEMERLANG

4. Modal Insan BERFIKIRAN STRATEGIK

5. STRATEGI dalam proses PENAMBAHBAIKAN

Semoga hasrat untuk membukukan sedikit pengalaman yang ada akan turut menyumbang dalam proses MEMANDAIKAN BANGSA.

Buku dan SASARAN Pembaca

Tiga hari berturut-turut menemani jiran ke Sungai Merbau, menjalani rawatan strok secara tradisional. Dua kali beliau telah keluar masuk Pusat Perubatan dalam tempoh dua minggu sebelum ini. Alhamdulillah, untuk kembali pulih seperti sebelumnya jelas terbayang kini.

Namun, dalam kesempatan yang terbatas sempat menjengok seketika catatan di Akademi Penulis. Tertarik dengan nota ringkas Fauzul Na'im dalam mengenalpasti sasaran pembaca, apabila menulis. Aspek-aspek usia, kerjaya, taraf hidup dan taraf pendidikan serta pemikiran perlu dijadikan panduan utamanya.

sihat.MINDA: dementia


Nyanyuk BUKAN fITRAH Penuaan
Oleh: SHAFINAZ SHEIKH MAZNAN
(Mingguan Malaysia 19 Ogos 2007)

APA perasaan anda apabila ibu atau bapa tersayang tidak lagi mengenali wajah anaknya ini? Bila anda cuba menerangkan siapa anda, dia tidak percaya dan menyebut nama orang lain yang tiada kena-mengena.

Nama itu merupakan nama kawan-kawannya semasa bersekolah dulu dan ketika itu. Malah mereka menuduh anda sengaja mahu dia mati cepat supaya senang anda membolot hartanya.
Dalam hati anda mungkin terdetik: ‘‘Dah nyanyuk agaknya orang tua ni!” Sebagai seorang anak, kesabaran anda mungkin hadiah tidak ternilai buat mereka dalam situasi sebegitu.

Ibu bapa anda mungkin mengalami dementia, istilah perubatan bagi nyanyuk yang diambil daripada perkataan latin iaitu de bermaksud jauh dan mens, minda atau otak (kemerosotan daya ingatan/pemikiran).

Uniknya dengan orang nyanyuk, mereka boleh mengingati dengan jelas apa yang berlaku bertahun-tahun lampau ketika zaman penjajahan Jepun dahulu misalnya.
Sebaliknya, mereka lupa apa yang baru sahaja dilakukan dalam tempoh lima minit. Contohnya, walaupun badan mereka masih disaluti buih sabun, apabila ditanya: “Ayah dah mandi ke belum?” mereka akan bermati-matian menafikannya.

Ada juga pesakit yang menyatakan ingin meludah tetapi membuang air besar kerana kekeliruan yang dihadapi. Justeru, tidak hairanlah jika ahli keluarga mahupun penjaga berasa tertekan dengan keadaan ini.

Mendengar perkataan nyanyuk, mungkin tergambar di fikiran sesetengah orang imej- imej menakutkan seperti tingkah laku tidak siuman dan hilang kawalan.
Pakar Perunding Geriatrik, Pusat Perubatan Pantai, Kuala Lumpur, Dr. Rajbans Singh berkata, nyanyuk merupakan sejenis gangguan neurologikal yang menjejaskan dua atau lebih fungsi otak yang normal, seperti memori dan bahasa.

“Sebaik sahaja usia kita mencecah 20 tahun, proses kematian sel-sel di dalam otak mula berlaku dan menyebabkan otak mengecut. Kemusnahan sel-sel otak secara berterusan menyebabkan kualiti daya ingatan semakin berkurangan.

“Dementia merujuk kepada sekumpulan gejala yang berkaitan dengan hilang ingatan, berlaku secara perlahan-lahan tanpa disedari tetapi akhirnya boleh menjadi bertambah teruk,’’ ujar beliau.

Akibatnya, seseorang sukar mengingat sesuatu dan menjejaskan keupayaannya untuk berfikir dengan baik hingga boleh mengganggu aktiviti normal dan rutin seperti makan pakai. Lebih buruk lagi, ia boleh mendatangkan bahaya apabila pesakit lupa memadamkan gas di dapur selepas memasak atau mundar mandir di tengah-tengah jalan raya yang sibuk.

Selain kemerosotan intelektual, kata Dr. Rajbans, pesakit turut mengalami perubahan dari segi personaliti dan tingkah laku serta mood mereka.
Menurutnya, walaupun nyanyuk sinonim dengan peningkatan usia seseorang, namun ia bukanlah sebahagian daripada proses penuaan yang fitrah tetapi merupakan sejenis penyakit kronik.

‘‘Nyanyuk adalah sejenis penyakit kronik dan bersifat progresif (berterusan). Walaupun ia tidak dapat disembuhkan, tetapi ada rawatan yang dapat melambatkan proses ini daripada menjadi lebih teruk.

‘‘Sekiranya mereka mendapat rawatan pada peringkat awal, ia sekali gus mampu mengurangkan masalah penjagaan yang membebankan ahli keluarga,” katanya.
Dengan pertambahan bilangan warga emas kesan kualiti kesihatan yang semakin baik serta jangka hayat yang lebih panjang, Dr. Rajbans percaya, nyanyuk akan lebih kerap ditemui pada masa depan.

Di Malaysia, jumlah warga emas yang berusia 60 tahun ke atas dijangka meningkat daripada 1.047 juta pada tahun 1990 kepada 3.26 juta menjelang 2020.
Mengulas lanjut, walaupun nyanyuk lazimnya dialami oleh golongan yang lebih tua (60 tahun ke atas) namun, ia juga boleh terjadi di kalangan individu yang lebih muda hatta kanak-kanak (4 hingga 45 tahun).

Nyanyuk jenis ini dikenali sebagai dementia prasenil manakala kanak-kanak yang terencat mental seperti mengalami Sindrom Down juga boleh melalui episod nyanyuk ini.

Punca

Dalam pada penyakit Alzheimer merupakan penyebab nyanyuk yang paling biasa ditemui (60 peratus), lain-lain keadaan juga boleh mencetuskan gejala yang sama.
Penyakit angin ahmar atau strok yang kerap berulang boleh mendedahkan seseorang kepada nyanyuk. Beberapa siri serangan mengakibatkan sel-sel otak mati.

Keadaan ini seterusnya boleh mengakibatkan individu terbabit mengalami beberapa episod kekeliruan, kemurungan dan serangan epilepsi secara tiba-tiba.
Penyakit seperti ketumbuhan otak di lobus frontal dan jangkitan otak yang menyebabkan sawan/ensefalitis juga boleh menyebabkan pesakit menjadi nyanyuk.

Punca-punca lain adalah akibat kekurangan vitamin B12, kekurangan hormon toksin/tiroid yang menyebabkan hipotirodism dan keturunan.
Penyakit Creutzfeldt Jakob Disease (CJD) yang dialami oleh golongan tua berusia 60 tahun ke atas juga didapati boleh menyebabkan nyanyuk. Tanda-tanda penyakit ini ialah otot kejang dan pesakit tersentap, jalan tidak seimbang serta pergerakan kaku. Ia boleh berjangkit melalui otak, mata dan saraf tunjang.

Sementara itu, dianggarkan 10 peratus individu yang menghidap penyakit Parkinson turut mengalami masalah dementia.
Ditanya sama ada nyanyuk boleh menyebabkan kematian, Dr. Rajbans menjelaskan, penyakit ini tidak menyebabkan kematian, tetapi majoritinya akibat jangkitan seperti pneumonia/radang paru-paru.

Tahap dan gejala

Peringkat awal
Pesakit seolah-olah berasa keliru dan menjadi pelupa walaupun sesuatu perkara itu baru saja berlaku. Contoh, sukar mengingati apa yang mereka lakukan dalam tempoh lima minit.

Tidak ramai yang menyedari perubahan tingkah laku pesakit pada peringkat awal. Perubahan ini biasanya melibatkan perubahan tingkah laku seperti mudah lupa. Bagaimanapun, pesakit tidak menyedari keadaan yang mereka alami.

Pesakit juga sangat sensitif dan mudah merajuk, melakukan sesuatu dalam keadaan marah-marah. Apabila meletakkan barang di sesuatu tempat dan kemudian mereka tidak dapat mengingati tempat barang tersebut diletak, mereka akan menuduh orang lain
Peringkat sederhana

Perubahan mood semakin ketara. Mereka menjadi lebih agresif, merayau-rayau di dalam rumah dan gelisah pada waktu malam, sukar tidur.
Keselamatan diri turut terancam, terutama jika mereka seorang perokok atau memasak di dapur. Mereka juga sukar menyiapkan diri sendiri seperti tersilap butang baju.

Peringkat serius
Pesakit semakin waswas dengan orang lain terutama yang hampir dengan mereka (ahli keluarga). Mereka juga sukar menjaga kebersihan diri terutama rutin harian seperti mandi.

Pesakit kerap bertanya perkara yang sama berulang-ulang kali serta melakukan perbuatan yang tidak logik seperti mengatakan bahawa mereka telah selesai mandi walaupun badan penuh sabun.

Diagnosis, rawatan

‘‘Sebelum disahkan nyanyuk, seseorang itu akan disoal selidik oleh pakar psikologi bagi mengenal pasti tahap mental mereka bagi menyingkirkan lupa yang disebabkan oleh penyakit perubatan lain.

“Ada juga orang yang menjadi pelupa kerana dihimpit oleh masalah keresahan atau kemurungan. Jika perlu, doktor akan menjalankan siasatan yang lebih rapi seperti ujian darah dan CT scan kepala,’’ kata Dr. Rajbans.

Bagi pesakit yang sering terlupa kerana lalai, pakar psikologi akan membantu mereka menenangkan fikiran dan melatih diri menggunakan buku nota atau diari.
Selain sokongan moral daripada ahli keluarga yang amat penting dalam pengurusan pesakit, nyanyuk boleh dirawat dengan pelbagai jenis ubat-ubatan bagi melambatkan proses keterukannya.

‘‘Usah berlengah lagi. Yang penting adalah mendapatkan rawatan apabila didapati ingatan sudah berkurangan.

‘‘Ada banyak rawatan perubatan yang boleh diperoleh di hospital bertujuan melambatkan proses nyanyuk agar penghidap dapat menjalani kehidupan yang lebih berkualiti selagi hayatnya masih ada,’’ terang beliau.

Nyanyuk yang dirawat pada peringkat awal bukan sahaja dapat mengurangkan tekanan yang dialami oleh pesakit itu sendiri, tetapi juga penjaga mereka kerana dalam kebanyakan kes, pesakit itu sendiri tidak sedar bahawa dia mengalami masalah tersebut.

Ahli keluarga yang menjaga pesakit nyanyuk juga perlu berjumpa doktor untuk mendapatkan khidmat nasihat tentang penjagaan kesihatan diri mereka sendiri baik dari segi fizikal atau emosi.

‘‘Gaya hidup sihat mampu mencegah penyakit nyanyuk. Sentiasa cergaskan diri dengan bersenam dan melatih minda seperti membaca, menghafal, melakukan teka silang kata dan mengikuti perkembangan semasa.

‘‘Kekalkan interaksi dan pergaulan dengan masyarakat sekeliling dan terlibat dengan aktiviti yang dianjurkan. Teruskan hobi yang diminati dan bukan hanya memeluk tubuh dan duduk sahaja di rumah selepas bersara,’’ pesan Dr. Rajbans.

Komunikasi pesakit dementia

KITA semua tidak dilahirkan dengan cara-cara bercakap yang betul dengan pesakit nyanyuk tetapi kita boleh mempelajarinya.
Sekalipun tidak mempunyai pengetahuan teknikal seperti profesional perubatan, tiada siapa yang lebih tahu dan memahami insan tersayang lebih baik daripada kita sendiri.

Tiada masa yang lebih mencabar sebagai penjaga apabila melibatkan kelakuan mereka yang menyukarkan dan bertentangan dengan masa sihat. Oleh itu, perasaan kecewa yang dialami penjaga tidak sukar untuk difahami. Meningkatkan kemahiran komunikasi dapat membantu mengurangkan tekanan sekali gus memperbaiki kualiti hubungan penjaga pesakit.

Harus diakui, bercakap dengan orang tua yang menghidap nyanyuk memerlukan banyak masa dan kesabaran. Jangan silap faham. Kesukaran bercakap dengan mereka bukan disebabkan oleh kedegilan, sikap pentingkan diri atau tidak mahu bekerjasama, tetapi kerana masalah kesihatan.

Luangkan masa bercakap dan membawa pesakit bersiar-siar. Galakkan pesakit bercakap untuk mengelakkan mereka kehilangan kemahiran berkomunikasi.

Lebih dari itu, sikap tidak endah anda terhadap warga tua boleh menyebabkan anda tidak dapat mendengar suara mereka seperti dulu lagi kerana kebisuan mereka.

Sebelum itu, tiga prinsip asas yang perlu anda ambil kira sebelum bercakap dengan orang nyanyuk terutamanya yang jatuh dalam kategori teruk ialah:

1- Sentuhan.
Pegang tangan pesakit untuk mendapat perhatiannya. Jika anda menyuruh pesakit makan, letakkan makanan di tangannya dan bawakan tangan itu ke mulut pesakit.

2- Mendengar.
Bagi pesakit yang masih boleh mendengar, mereka perlu diberikan rangsangan pendengaran dengan cara bercakap dengan mereka. Lebih kerap lebih baik. Jika anda lihat dia mula tidak memberi perhatian kepada percakapan anda, panggil namanya.

3- Rasa.
Apabila membabitkan makanan, terutamanya bagi pesakit yang ada masalah menelan. Hampir 70 peratus pesakit nyanyuk serius perlu menjalani pemeriksaan kebolehan menelan makanan.

Sekarang anda boleh mulakan
* Mood positif untuk bercakap. Tindak tanduk anda memberikan kesan lebih kuat berbanding kata-kata. Berinteraksilah dalam suasana menyenangkan sambil mempamerkan rasa hormat kepada orang tua. Gunakan ekspresi muka, nada suara dan sentuhan untuk membantu menyampaikan mesej dan menunjukkan kasih sayang anda.

* Dapatkan tumpuannya. Hadkan gangguan dan bunyi bising, tutup radio, televisyen, langsir, pintu atau berpindah ke persekitaran lebih senyap. Sebelum bercakap, pastikan anda mendapat perhatiannya dengan memanggil namanya. Perkenalkan diri (nama anda) dan terangkan hubungan anda dengannya. Gunakan isyarat bukan perkataan, dan sentuhan bagi membantunya fokus. Kekalkan hubungan mata.

* Cakap dengan jelas. Gunakan perkataan dan ayat mudah. Cakap perlahan-lahan, mudah didengar dalam nada yang meyakinkan. Jangan meninggi suara, guna nada rendah. Ulang soalan atau mesej anda menggunakan perkataan sama jika dia tidak faham kali pertama. Sekiranya masih tidak faham, tunggu beberapa minit dan ulang soalan sama menggunakan perkataan lain.

* Tanya soalan ringkas dan mudah dijawab. Satu soalan pada satu-satu masa. Soalan dengan jawapan ya atau tidak adalah yang terbaik. Elakkan soalan yang mempunyai pelbagai pilihan jawapan. Contohnya: ‘‘Abah nak pakai baju hitam atau putih?” Lebih baik menunjukkan baju tersebut kepadanya.

* Dengarlah dengan telinga, mata dan hati anda. Bersabar menantikan jawapan mereka. Jika dia nampak sukar menjawab, anda boleh cadangkan perkataannya. Selalulah cuba memahami maksud dan perasaan yang tersirat. Perhatikan juga tindak balas tubuhnya dan respons sewajarnya.

* Asing-asingkan aktiviti kepada beberapa langkah. Ini memudahkan pengurusan kerja. Galakkan orang tua anda melakukan apa yang boleh, ingatkan dia secara lembut langkah-langkah yang mudah dilupainya. Bantu mereka dengan langkah-langkah yang tidak terdaya diselesaikannya sendiri. Gunakan isyarat penglihatan seperti menunjukkannya dengan tangan di mana letaknya pinggan mangkuk sangat membantu.

* Apabila mereka sedih, cuba tukar subjek atau persekitaran. Contohnya, minta bantuan mereka atau ajak mereka keluar berjalan-jalan. Adalah penting untuk berhubung dengan mereka dari segi emosi sebelum menukar sesuatu. Anda boleh kata, ‘‘Saya nampak mak macam sedih. Saya tumpang simpati. Apa kata kita keluar makan.”

* Pesakit nyanyuk selalunya keliru, resah, tidak pasti dengan diri sendiri dan kerap mengingati benda-benda yang tidak pernah berlaku. Elak daripada meyakinkan bahawa mereka salah. Tumpukan pada perasaan yang dipamerkan dan respons dengan perkataan serta ekspresi fizikal yang bersifat menyokong, meyakinkan dan memberikan keselesaan. Memegang tangan, sentuhan, pelukan dan pujian ada kalanya berjaya membuatkan pesakit memberikan maklum balas apabila usaha lain gagal.

* Ingatilah masa-masa indah yang pernah dilalui bersama. Kebanyakan pesakit tidak ingat apa yang berlaku dalam tempoh 45 minit. Jadi, elakkan bertanya perkara yang baru berlaku seperti ‘‘Ibu dah makan tengah hari ke belum?’’

* Selalulah bergurau senda bila-bila boleh dengan orang tua anda kerana pesakit nyanyuk cenderung menyimpan skil bersosial mereka. Usah terkejut jika mereka terdorong untuk ketawa bersama-sama orang lain yang membuat lucu.

JANGKAUAN Bisnes KELUARGA

TAHNIAH!

BISNES KELUARGA akan berada di pasaran Indonesia pula tidak lama lagi.

Karya Norlela Zubir tersebut telah dilesenkan penerbitannya di sana, di atas usaha gigih PTS Profesional. Bacalah keceriaan SifuPTS

fORMULA 5P: PERCAYA

Assalamualaikum dan selamat sejahtera,
Sabtu M A,

Wah! Rasa sekejap sahaja 4 hari, ini sudah hari kelima kita berbincang dan berdiskusi mengenai FORMULA 5P. Hari ini kita akan berbincang FORMULA 5P yang terakhir iaitu PERCAYA.

Penulis karya bestseller menulis apa yang mereka percaya dan bukannya sekadar omongan. Apa yang mereka tulis itu adalah apa yang mereka amalkan, buat dan berpegang. Prinsip PERCAYA ini menjadikan penulisan penulis lebih dekat dengan pembaca.

Mengapa?

Apabila dia percaya dan yakin dengan apa ditulis, ia menunjukkan bahawa pengarang itu menulis dengan hati. Penulisan dengan hati ini dipandu dengan emosi, perasaan dan pegangan teguh. Makin dalam percayanya pengarang kepada penulisannya, makin mendalam para pembaca mengikutinya. Prinsip inilah yang menyebabkan si pembaca boleh ketawa, boleh tersenyum, boleh menangis, boleh gembira, boleh termotivasi dan teruja disebabkan kesannya amat mendalam.

Kita lihat karya seperti Ihya Ulumuddin karangan Al-Ghazali. Benar-benar meresap masuk ke hati nurani. Penyucian jiwa dan kalbu disulami peringatan daripada Tuhan menggambarkan keperibadian tinggi Al-Ghazali. Ada sesetengah karya tulisan pakar motivasi, apabila dibaca ia tidak membawa apa-apa kesan. Ini disebabkan ia hanya menulis berdasarkan fakta bukan hati.

Pada pandangan saya FORMULA 5P yang kelima inilah yang paling susah untuk dibuat dan diperoleh. Sesiapa yang sudah sampai tahap ini, dia sudah boleh ditauliahkan sebagai penulis bestseller sepanjang zaman.

Sekarang kita sudah berdiskusi mengenai FORMULA 5P yang memberikan kejayaan kepada pengarang bestseller. Saya yakin dan percaya, apabila kita mula mengamal dan mengaplikasikan prinsip-prinsip ini, Sabtu M A sudah memulakan langkah menuju kearah penghasilan karya bestseller Sabtu M A.

Apa tunggu lagi? Bila anda ingin memulakan penulisan?

Walaubagaimanapun ada satu perkara yang ingin saya beritahu. Saya dalam proses mengemaskini satu ebook "TEKNIK MENULIS EFEKTIF". ebook ini akan menyentuh satu teknik menulis yang menjadi pegangan beberapa pengarang hebat di PTS Millennia Sdn Bhd seperti Ainon Mohd, Ahmad Fadzli Yusof dan Ahmad Naim Jaafar. Mereka membuktikan bahawa teknik ini menjadikan mereka pengarang yang prolifik.

Anda mahukan rahsia mereka? Nantikan kehadirannya tak berapa lama lagi. Saya akan mengemaskini maklumat mengenai ebook ini khusus kepada Sabtu M A.

Terus menulis dan terus berkarya.

PETIKAN DARI SUMBANGAN:
MQ Development
188 Jalan Tengku Sulaiman
28700 Bentong Pahang Darul Makmur Malaysia

Ketuanan MELAYU

Dua rangkap pantun berikut sewajarnya dihayati:

Langkah sumbang sindirkan lantai,
Binasa badan bicara tak kawal,
Pinggirkan ketuanan negara tergadai,
Hilang maruah bangsa tergadai.

Tanah ini Tanah Melayu,
Pedagang datang ingin berniaga,
Serahkan budi bukan tanahmu,
Pertahankan negara, pertahankan hak bangsa.


Bacalah selanjutnya tulisan Suzainahriah

fORMULA 5P: PENYELIDIKAN

Assalamualaikum dan selamat sejahtera,

Sabtu,

Kita kembali kepada FORMULA P yang ke 4 iaitu penyelidikan. Bagi sesebuah karya menjadi bestseller ia perlu dibuat dengan kajian yang mendalam. Bukan sekadar bercerita yang tidak mempunyai fakta. Seorang pengarang yang ingin jadi pengarang bestseller perlu peka dengan situasi dan kehendak pembaca semasa. Cara yang paling mudah bagi mengesan trend pembaca adalah berdasarkan beberapa indikator. Indikator tersebut adalah:

a) Isu semasa terhangat sekarang dan akan datang:

Para penulis harus melihat apakah isu yang sedang diperkatakan sekarang. Sebagai contoh di dalam kegawatan ekonomi sekarang ini orang sedang sibuk bercerita mengenai cara mudah buat duit. Jadi buku-buku yang seumpama itu memang laris dalam pasaran. Buku mengenai bekerja dari rumah, buat duit melalui internet, MLM dan subjek kewangan lain adalah subjek terhangat pada waktu ekonomi gawat.

Kemudian para penulis cuba buat penilaian isu yang akan jadi hangat di masa hadapan. Sebagai contoh sekarang sedang sibuk diperkatakan bahawa pilihanraya akan diadakan pada hujung tahun ini. Antara buku yang dijangka hangat adalah buku mengenai kepimpinan, politik Islam, cara bercakap dan memilih pemimpin.

Kesemua ini perlu bagi memastikan karya yang dibuat diterima pasaran pada masa betul.


b) Melihat carta bestseller tempatan dan antarabangsa:

Penulis perlu peka dengan carta bestseller. Di Malaysia carta bestseller yang popular adalah di MPH Bookstores dan Popular Bookstores. Kedua-dua syarikat ini mempunyai rangkaian kedai di seluruh daerah besar Malaysia. Carta mereka ini boleh dijadikat indikator terbaik pembaca tempatan. Namun begitu berdasarkan senarai tersebut (saya ada senarai penuh buku terbaik setiap outlet MPH seluruh Malaysia daripada tahun 2000 hingga sekarang, ini P&C) kita boleh lihat beberapa trend berbeza di antara satu kawasan dengan kawasan lain. Ini menarik untuk dikaji oleh penulis.

Carta antarabangsa yang bagus dilihat adalah Amazon.Com ataupun PublishersWeekly.com. Kedua-duanya memberikan gambaran trend antarabangsa. Ada kebarangkalian trendnya tidak banyak berbeza di Malaysia. Cuma kita ada perbezaan budaya. Itu yang perlu diambilkira. Carta yang menjadi rujukan utama di barat adalah New York Times Bestseller List. Ini juga bagus untuk dikaji.

Berdasarkan maklumat di atas, kita boleh membuat kesimpulan mengenai trend pembaca. Kemudian berpandukan maklumat ini kita boleh melihat bagaimana untuk menulis karya kita.

Satu lagi, karya yang baik perlu dibanyakkan dengan cerita-cerita. Ia boleh berdasarkan cerita-cerita lama seperti kisah dari Quran, hadis, cerita rakyat juga cerita semasa. Cerita-cerita ini sebagai resipi penarik kepada karya. Adunan cerita dan fakta menjadikan karya tersebut mempunyai magnet tarikan hebat.

Sabtu sudah mulakan penyelidikan?

PETIKAN DARI SUMBANGAN:

MQ Human Development
188 Jalan Tengku Sulaiman, 28700 Bentong
Pahang Darul Makmur, Malaysia

Kuliah Mingguan

Sabtu dan Ahad lepas tidak berupaya menabur maklumat.

Capaian jalurlebar yang cuba dinaiktaraf ke 4Mb masih gagal dilaksanakan sejak 25 Mei 2007. Penerokaan ke alam siber sering terjejas semenjak itu. Sistem penyampaian dan mesra pelanggan Pembekal Perkhidmatan itu tidak seindah iklan-iklan dan kaunternya yang kini berwajah baru. Kini perkhidmatan yang dibekalkan semula masih lagi di atas dasar sementara (pada tahap lama yang amat mengecewakan)!

Namun, dua kuliah mingguan Sifu PTS sempat juga melupakan kesulitan yang dialami. Dua benda baru dipelajari, iaitu modal budaya dalam penulisan jinbunsyi dan pantang larang orang berkuasa dalam aspek-aspek bisnes latihan.

Betapa modal budaya yang diselitkan dalam nobel jibunsyi dapat memberi nilai tambah yang ketara, disamping memberikan impak kesegaran sepanjang zaman (evergreen) untuk dijadikan kajian.

Yang pasti, tatalaku pembekal latihan (penerima) terhadap mereka-mereka yang berkuasa mengeluarkan tawaran latihan (pemberi) itu mungkin juga boleh dijadikan bahan-bahan modal budaya jibunsyi pembekal latihan.

fORMULA 5P: PERHUBUNGAN

Assalamualaikum & selamat sejahtera,
Sabtu,

Kita sambung perbincangan kita. Perhubungan Awam dan Public Speaking (Pengucapan Awam) yang baik adalah FORMULA 5P yang ke3. Seorang pengarang perlu mempunyai keupayaan berkomunikasi dan hubngan awam yang baik. Komunikasi di sini dimaksudkan boleh bercakap dan meluahkan idea yang ada pada karya yang ditulis.

Kebanyakan pengarang melihat biarlah karyanya bercakap bagi dia. Ini kesilapan yang besar, hanya sekadar karya tidak membina kredibiliti karya tersebut. Pengarang perlu menambahkan keyakinan kepada karya dengan bercakap mengenai ideanya.

Saya ada pengalaman dengan beberapa orang pengarang, pihak syarikat saya sudah mengaturkan satu program di sebuah kedai rangkaian yang terkenal dan besar di ibu kota. Program tersebut adalah bagi memperkenalkan buku karya beliau kepada umum. Inilah antara kaedah promosi yang sering digunakan bagi menonjolkan buku karya pengarang kepada orang ramai. Si pengarang tidak bersetuju sebab alasannya dia tidak boleh bercakap.

Bagaimana karya tersebut hendak jadi bestseller apabila pengarangnya takut untuk kehadapan dan menambah kredibiliti kepada buku tersebut? Bagaimana hendak menghasilkan peminat kepada karya kita apabila kita tidak memperkenalkannya kepada orang luar? Ini yang perlu ditengok dan difikir oleh seorang pengarang. Apabila kita melihat karya-karya bestseller luar yang mencecah nilai jualan berjuta dolar.

Kebanyakannya adalah daripada pengarang yang boleh keluar dan bercakap idea karyanya. Ia dikenali dan diminati oleh peminat buku. Stephen R. Covey, Norman Vincent Peale, Anthony Robbins dan ramai lagi. Semuanya bercakap dan berkomunikasi kepada orang ramai mengenai buku mereka. Di Malaysia pun apa kurangnya, di PTS karya-karya bestseller seperti karya Dato' Dr. Fadzilah, Ahmad Naim Jaafar, Ahmad Fadzli Yusof, Dr. Robiah K. Hamzah dan Ann Wan Seng adalah mereka yang bersedia bercakap tentang idea mereka.

Perhubungan penulis dengan penerbit terutamanya editor perlu dijaga dengan baik. Perhubungan inilah yang memberikan timbal balas baik kepada buku. Ada sesetengah penulis tidak mahu bertolak ansur dan bertoleransi dengan teguran penerbit ataupun editor. Mereka merasakan bahawa karya mereka sudah cukup sempurna.

Penerbit dan editor bercakap bagi pihak industri. Mereka sudah lama berada dalam industri dan memahami keadaan pasaran buku. Apa yang mereka cakapkan menggambarkan apa kehendak pasaran. Pengarang yang baik selalunya bertolak ansur dan memberikan kerjasama baik kepada penerbit. Ia memudahkan buku tersebut dinaiktaraf bersesuaian dengan kehendak pasaran. Dalam keadaan begini, penerbit pun merasakan bahawa pelaburan yang dibuat berbaloi dan tentu mereka akan menambahkan lagi pelaburan kepada pengarang yang menjaga hubungan dengan mereka.

Sabtu pengarang yang bagaimana? Bersambung esok hari....

PETIKAN DARI SUMBANGAN:
MQ Human Development
188 Jalan Tengku Sulaiman, 28700 Bentong, Pahang Darul Makmur, Malaysia

Impian 50 Tahun

Kelmarin, Azrul pemuda lulusan ijazah IT dari UTM menghantar dan melengkapkan pemasangan perisian komputer meja yang baru dibeli secara hardware terpilih-pilih. Sudah 5 tahun berkerja dengan kedai taukeh Cina dotcom di Subang Parade; menimba pengalaman.

Selepas membuat regangan-regangan otot-otot dan sarapan awal pagi, memasuki kuliah mingguan Sifu PTS:

Khutbah Jumaat PTS: Bahasa Komitmen
Dalam salah satu hadith Nabi Muhammad, beliau tidak membenarkan kita menggunakan perkataan yang bermakna ‘kalau’ atas alasan perkataan itu adalah perkataan yang ‘lemah’.

Rupa-rupanya, lebih seribu tahun kemudian, pakar-pakar konumikasi persuasif Barat juga menyenaraikan perkataan ‘if’ sebagai perkataan yang tidak boleh digunakan apabila kita bermaksud hendak mendapatkan keyakinan orang.

Alasan yang dikemukakan oleh pakar-pakar Barat itu adalah perkataan ‘if’ (kalau) adalah perkataan yang menunjukkan orang yang menggunakannnya itu tidak mempunyai komitmen mahu melakukan apa yang dikatakannya. Patutlah… perkataan ‘if’ dan ‘kalau’ menjadi perbendaharaan kata orang-orang politik.

Baca buku ‘Straight Thinking, Crooked Thinking’ yang amat terkenal itu, di mana kita diberitahu apabila kita hendak melepaskan diri daripada janji yang kita buat, gunakan ‘if’ dan ‘kalau’ sebanyak-banyaknya semasa membuat janji itu. Jadi, apabila orang menagih janji tersebut, kita dapat katakan, “Saya kata, ‘kalau’….”

Rupa-rupanya, perkataan ‘if’ dan ‘kalau’ adalah salah satu ciri bahasa mereka yang hipokrit, yang munafik, yang berjanji palsu.

Patutlah Nabi Muhammad menggunakan perkataan ‘apabila’ atau ‘when’. Perkataan ini adalah perkataan yang mengandungi komitmen.

Nota Kuliah:Puan Ainon Mohd

Presiden,Universiti Terbuka PTSainon@pts.com.my
Hakcipta Terpelihara Universiti Terbuka PTS 2006

sab2 Says:
June 15th, 2007 at 9:30 am
Puan Sifu, assalamu’alaikum.

Apabila menjurus kearah suatu komitmen, yang pastinya ada keyakinan;

Apabila dalam keyakinan ada kebenaran, yang pastinya mengajar kita mencipta fakta yang tepat;

Apabila kebenaran tidak perlu mencari tempat bersembunyi, yang pastinya mati dalam kebenaran itu adalah kehidupan; dan

Apabila ayat-ayat di atas ditulis, yang pastinya pembelajaran telah bermula.


Warta pagi ini memaparkan tiga tajuk pilihan:

1. "Impian 2057 PM" - mahu Malaysia di puncak dunia dalam semua bidang, dan menjadi tajuk utama semua akhbar arus perdana hari ini. Satu halatuju strategik yang sememangnya cantik.

2. "Setiap keluarga Melayu seorang profesional" - kata TPM melalui kempen SKSP... satu keluarga, satu profesional. Tajuk itu agaknya tersilap cetak. Sepatutnya "setiap keluarga Malaysia seorang profesional?"

3. "Istilah Bahasa Malaysia berkuatkuasa serta-merta" - kandungan buku sedia ada tak perlu ditukar: Hishamuddin. Kabinet meluluskan perkara tersebut dua minggu lalu. "Bagi saya ia tidak menimbulkan masaalah kerana perubahan hanya penggunaan istilah," katanya.

Rangkuman ketiga-tiga tajuk itu mengingatkan kembali kepada kita betapa dasar yang dibuat empat dekat lalu keatas "penggunaan tulisan jawi" di sekolah-sekolah Kebangsaan; memhasilkan rantaian impak yang amat mendalam. Lihatlah betapa kebanyakan ibu bapa dan anak-anak kita yang masih terpasaksa membaca Al-Quran dalam versi rumi tanpa tajwidnya!

fORMULA 5P: PRINSIP

Assalamualaikum dan selamat sejahtera,

Sabtu M A,

Kita bertemu kembali bagi membincangkan formula seterusnya. Tentu anda tidak sabar untuk mengkaji formula 5P ni bukan? Apabila melihat kepada karya penulis-penulis bestseller tempatan mahupun antarabangsa, kita dapat melihat apakah hala tuju perjuangan mereka. Ke manakah mereka hendak di bawa pembaca. Apakah kepercayaan yang mereka ingin kita pegang. Kesemua ini menunjukkan bahawa penulis-penulis bestseller ini menulis dengan berpegang kepada satu prinsip tertentu.

Sabtu M A, inilah FORMULA P KE 2 iaitu setiap pengarang perlu ada prinsip dalam penulisan mereka. Prinsip itu mungkin dalam bentuk ideologi, falsafah atau pun nilai murni yang ingin dipupuk. Pengarang mempunyai prinsip diumpamakan seperti kapten yang mempunyai kemudi. Beliau akan belayar dengan kemudi yang dipegangnya erat dan tidak mungkin terlepas.

Pengarang tanpa prinsip umpama kapal layar yang ada kapten tetapi tiada angin. Jadi ia berlayar betul-betul ikut nasib dan arus laut. Apabila ditolak ke tepi, ke tepilah ia, apabila ditolak ke tengah, ketengahlah ia. Apabila kita ingin menjadi seorang pengarang karya bestseller, kita perlu ada prinsip yang kita pegang dalam penulisan kita. Jika kita seorang Islam, kita perlu berpegang bahawa karya yang ditulis perlu islamik. Segala hala tuju penulisan kita adalah bagi menunjukkan bahawa Islam itu cantik, hebat dan untuk semua orang.

Apabila ia mula lari daripada ajaran Islam, BERHENTI! Lihat balik dan ubah balik. Itu yang kita kata sebagai prinsipdalam penulisan. Tahu bila hendak berjalan, tahu bila hendakberhenti dan tahu berpata balik.

Apakah prinsip yang Sabtu M A pegang dalam penulisan Sabtu M A?

Petikan dari sumbangan:
MQ Human Development
188 Jalan Tengku Sulaiman 28700 Bentong, Pahang, Malaysia

Otak Segar, Idea Segar, PEMBACA SEGAR

10 June 2007 | Kategori Artikel: Coretan Jurulatih Penulis Karya Bestseller

Sebelum ini saya ada berbincang mengenai kehebatan otak. Otak adalah aset yang perlu digembleng potensinya agar ia menjadi suatu alat menghasilkan sesuatu yang hebat. Bagi penulis sesuatu yang hebat itu tentulah karya hebat. Semasa di Jakarta saya ada membaca beberapa karya yang hebat.

Change sebuah karya fenomena yang terjual ratusan ribu naskhah adalah suatu karya hasil otak dan minda hebat. Isinya berkisar kepada diri manusia dan persekitaran. Persekitaran itu meliputi pejabat, rumahtangga dan rakan-rakan. Bagaimana keseluruhan ini menjadi agen perubahan diri. Karya ini ditulis oleh seorang pensyarah, Dr. Rhenald Kasalli. Kajian selama berbelas tahun penuh tekun menghasilkan karya terhebar Indonesia ini. Re-Code, juga karya Dr. Rhenald Kasalli, mengungkap kajian mengkod semula DNA diri, pemikiran dan organisasi. Juga karya hebat dan menjadi bestseller tahun ini.

Financial Revolution, sebuah karya yang memang merevolusikan cara kita mengurus kewangan. Dengan cara dan teknik segar mengurus kewangan diri. Ala-ala karya Robert T. Kiyosaki dan Adam Khoo, tetapi mempunyai perspektif tersendiri. Mereka ini pasti puas dengan karya tulisan mereka.

Saya yakin dan percaya, kesemua karya terhasil di atas adalah karya hasil olahan minda hebat. Otak dipraktiskan menyelidik, melihat dan menganalisa fakta. Penghasil idea segar, agen kepada karya hebat. Pastinya karya segar dari idea segar menjadikan pembaca juga segar.

Petikan dari AkademiPenulis.com

Aset Berharga: Otak dan Minda

















OTAK MANUSIA (OTAK ANDA, SAYA DAN KITA SEMUA)


June 3, 2007 | Author: Fauzul Naim | Filed under: Coretan Jurulatih Penulis Karya Bestseller

Aset Yang Paling Berharga Adalah….?

Tentu ramai yang membuat spekulasi mengenai aset tersebut. Aset tersebut adalah...

Ya! Otak adalah aset yang paling berharga di dalam dunia. Ia memang tersedia tetapi malangnya kita tidak memanfaatkannya. Otak yang kita gunakan dikatakan hanya 10 peratus sahaja sepanjang hayat kita. Benarkah? Itu masih didebatkan oleh ramai pakar.

Namun begitu, sebagai seorang penulis, otak adalah mekanisme penting dalam menjadikan sesebuah karya itu sebuah karya yang baik ataupun tidak. Pada pandangan saya, ia bermula daripada niat. Apakah niat sebenarnya kita menulis, kemudian daripada niat tersebut diproses oleh otak bagi menterjemahkannya kepada usaha dan terhasilnya karya.

Niat yang suci murni menjadikan karya tertulis juga meresap mudah. Sebaliknya jika niatnya hanya sekadar inginkan wang dan harta. Maka isi karyanya juga hanya biasa-biasa.

Otak perlu dieksplorasikan bagi menghasilkan sesuatu yang terbaik. Otak yang menjelajah dan selalu menyelidik, diselami dengan kreativiti menjadikan apa sahaja dilakukan menarik lagi tertarik

fatih_akiyel menulis di dalam 4 June 2007 - 11:33 am | Lawat pautan

Apakah benar aset yang berharga hanya itu saja? Setelah membaca dari tulisan diatas saya sempat berpikir bahwa otak bukanlah satu-satunya aset yang berharga, ada aset lain yang juga berharga sama dengan otak yakni hati. Tulisan saudara bilang bahwa “niat yang suci murni menjadikan karya tertulis juga meresap mudah. Namun sebaliknya jika niatannya hanya inginkan wang dan harta, maka isi karyanya juga biasa-biasa saja.” jadi, benarkah otak semata-mata aset berharga tanpa adanya hati yang memotivasi otak untuk berpikir membuat karya tulis yang berharga bukan hanya untuk mencari keuntungan semata?


Terima kasih Fatih di atas persoalan tersebut. Saya pun hendak bertanya balik di manakah sebenarnya hati itu? Adakah jantung yang memproses edaran darah ataupun hati kita yang menjadi penapis segala bahan toksik itu?


Petikan dari AkademiPenulis.com

Mencari Baraqah: Beli sebelum Jual

Sebelum zuhur bersantai di MPH Subang Parade,
sekadar hendak menjengok-jengok serangan rak-rak buku oleh PTS...

Bersemangat melihatnya. Yang di rak-rak hanya tinggal 2-5 buah buku tajuk-tajuk dalam setiap judul carta 10 terbaik. Terjumpa troli penuh dengan buku-buku baru, yang hendak disusun ke rak-rak masing berada disisi kaunter khidmat pelanggannya. Menariknya hampir 90% dari PTS...

Hasrat isteri pada mulanya untuk mencari Cerita Satu Impian (CSI) dan Alunan Hidup (AH) berakhir dengan "belanja sakan!" 11 judul dari PTS dan 1 Pelanduk di bawa balik.

PTS Islamika: Biografi Muhammad & Ibu benarkah Tuhan itu ada?

PTS fORTUNA: Salahudin Penakluk Jurusalem, Cerita Satu Impian & Alunan Hidup.

PTS Pro: R.B.O Cina, Akademi Jutawan & 7000 Mutiara Kata.

PTS Millennia: Quran Saintifik, PDA untuk Mengurus Masa...dan Sifu punya Anda Berfikir? Bagaimana?

Pelanduk: buku 1984, ulangcetak 2007 "Malaysia - The Road to Independence" karya Almarhum Tunku (kerana nak buat rujukan novel jibunsyi Inspirasi Si Bulat)

Ketika membelek-belek beberapa judul buku pertama kali ditangan, sempat juga berangan-angan: ....heeh hehh, "tersusun hebat novel-novel Api dalam Kaca, Sijil ke Penjara, Inspirasi Si Bulat... dan teringat kata-kata Sifu: "...belilah buku, untuk menulis buku!"

Semoga membawa baraqah, insyaAllah.

Api Dalam Kaca

Sdr Roslan telah menghantar notis 12 jam yang lalu, minta sinopsis novel profession.

Tarikh akhir menghantar manuskrip telah ditetapkan 31 September 2007, jika hendakkan novel tersebut siap sedia di pasaran dalam bulan Januari 2008. Juga untuk menyertai Pesta Buku 2008, yang dijangka dalam bulan April.

Apa yang lebih penting, adalah strategi melakukan gerakan senergi berpakej PTS ke sekolah-sekolah sebelum bajetnya mengecut disapu penerbit-penerbit lain.

Sebelum jam 11.00 pagi tadi sempat menghantar sinopsis awal "Api Dalam Kaca" novel kerjaya seorang jurutera elektrik, insyaAllah.


SINOPSIS

Irwan dan Roslina bagaikan dua kuntuman mekar di sekolahnya. Mereka amat disenangi guru-guru dan dikagumi rakan-rakan sebaya. Pertarungan sengit di antara keduanya dalam akademik sampai kemuncaknya semasa berada dalam kelas yang sama di tingkatan tiga.

Irwan anak yatim piatu bercita-cita menjadi seorang jurutera. Roslina yang terkenal dengan lemah lembutnya memendamkan hasrat untuk menjadi doktor sakit puan. Apa yang pasti, kedua-duanya telah meletakkan penanda aras yang sama - untuk ke sekolah elit negara, melalui mentor yang sama. Siapakah mentor mereka?

Kedua-duanya terpisah ketika menuntut di sekolah berasrama penuh. Keperitan dirasai Irwan apabila Roslina, anak sarjan polis yang cengel berpindah ke Sabah. Irwan yang telah lama memendam hati tanpa disedari Roslina, terjebak dengan lamunan perasaan. Api cintanya sukar dipadam dan sering hilang kawalan. Keputusan SPM Irwan memeranjatkan mentornya.

Api Dalam Kaca perlu dibaca bukan kerana kisah cinta dari bangku sekolah Irwan dan Roslina. Ianya perlu dilihat dari perspektif pengolahan, pengisahan dan inspirasi kerjaya seorang jurutera elektrik yang padat dengan pengalamanan pembelajarannya ketika menuntut di politeknik, maktab teknik dan universiti luar negara yang penuh dramatik.

Pahit getir yang dilalui Irwan yang terpaksa mendapatkan sijil dan diploma terlebih dahulu sebelum segulung ijazah Kejuruteraan Elektrik dalam bidang Kuasa, sebenarnya telah memantapkan lagi gaya kepimpinannya. Irwan sebagai Jurutera Professional berdaftar, ditauliahkan tahap Fellow oleh Lembaga Jurutera Malaysia dan England berdasarkan sumbangan dan kredibilitinya sebagai pengamal yang disegani dan berautoriti dalam industri elektrik negara dan serantau. Itulah yang pastinya menjadi pembakar semangat.

Kekentalan semangat Irwan sering tercabar. Peristiwa yang lekat dibenaknya adalah hari pertamanya melapur diri di stesen janaelektrik sebagai Pembantu Teknik. Bossnya adalah Roslina! Dia seorang Jurutera Elektrik dalam bidang Kawalan dan Instrumentasi! Peristiwa pahit itulah sebenarnya telah menjelmakan kemanisan dalam hidupnya.

Api dalam Kaca mempamirkan kisah cinta maya, yang penuh dengan kejutan yang perlu dijadikan pemangkin dalam apa jua kerjaya. Esok masih ada cahaya!

Novel Profession

Menghadiri sesi pengenalan penulisan siri maklumat kerjaya novel profession, inisiatif strategik terkini cetusan Sifu PTS. Sambutan amat menggalakkan.

Seperti lazimnya, Sifu tetap mengulangi "MEMANDAIKAN BANGSA itu suatu perjuangan yang payah, tetapi ianya mesti menjadi pilihan semua".

Penulisan novel-novel 'jadilah kamu budak pandai' amat diperlukan untuk budak-budak kampong khasnya, dan di kawasan bandar amnya. Justeru, ragaman dalam penulisan terpimpin pastinya menghasilkan senergi dan pakej yang kompetitif.

Waktu makan tengah hari sempat mendengar aktiviti-aktiviti penulisan Alang Bidara. Perjalanan balik pula ditemani Safmi. Banyak ceritalara bangsa yang dikupas satu demi satu, mengisi masa satu jam setengah terperangkap di dalam kesesakan MRR2.

Warta pagi TV mempamirkan kejadian banjir kilat malam tadi di bandaraya KL untuk kali ke dua dalam tempoh kurang dua minggu, diikuti pula dengan berita pengumuman harga pungutan tol terowong SMART dalam tempoh terdekat.

fORMULA 5P: PERANCANGAN

Sepertimana yang dijanjikan, kita akan membongkar rahsia dan formula kejayaan penulis-penulis bestseller dunia dan tanahair. Kesemua ini berdasarkan penyelidikan yang dibuat oleh penulis kepada karya dan karakter pengarang-pengarang bestseller.

Para pengarang bestseller selalunya merancang apa yang dia tulis bukan hanya sebagai kebetulan. Perancangan ini dibuat secara mantap dan efisien. Apabila ia dibuat karya ataupun artikel yang dibuat tidak melalut dan banyak berleter. Ia akan penuh tersusun dan menarik dibaca.


Apabila menyebut perancangan, ia bukan sahaja melibatkan isi pada karya, tetapi juga penjadualan penghasilan karya tersebut. Ada beberapa perkara yang perlu diperincikan dalam perancangan iaitu :

a) Tajuk dan konsep karya

Sesebuah karya harus dimulakan dengan konsep isinya agar ia berpijak pada bumi yang nyata bukan di awang-awangan. Kepadasiapa karya itu ditujukan? Apakah matlamat karya tersebut? Apakah kesimpulan dan perlakuan yang dikehendaki apabila seseorang pembaca membaca karya itu? Kesemua ini harus jelas. Apabila kesemuanya dibuat dengan baik, barulah sesebuah karya lebih terfokus. Tajuk juga boleh diletakkan apabila konsepnya jelas. Namun begitu harus diingatkan di sini tajuk akhir masih lagi hak penerbit.

b) Siapa Pembaca Karya Ini?
Para penulis seharusnya mengetahui sasaran pembaca buku yang ditulis. Siapa? Berapa umurnya? Apa jantinanya? Apa kerjayanya? Apabila kita mengetahui kesemua in, barulah kita dapat menentukan pakej persembahan yang ingin digunakan. Sebagai contoh remaja perempuan sukakan dirinya, remaja lelaki sukakan perkara yang visual, wanita dewasa suka kepada ketrampilan dan lelaki dewasa suka kepada pengembangan karier. Kesemua ini memudahkan kita menentukan kaedah penulisan yang perlu digunakan

c) Berapa Halaman Buku ini?
Bilangan halaman ini selalunya ditekankan oleh pengarang yang cukup mendisiplinkan enulisannya. Dia akan menentukan bilangan halaman, bilangan hari penghasilan dan tarikh akhir penghasilan karya tersebut. Sebagai contoh, apabila kita menentukan sebuah karya yang ingin dihasilkan mempunyai 100 halaman. Tempoh masa yang ditentukan bagi ia disiapkan adalah 3 bulan iaitu bersamaan dengan 90 hari ataupun 12 minggu.

Pengarang yang berdisiplin menentukan bilangan halaman yangperlu disiapkan dalam masa satu hari. Apabila kita mengambil kes di atas, si pengarang tentu meletakkan dia perlu menyiapkan 1-3 halaman satu hari. Apabila dia terlepas hari pertama dia akan membawa kerjanya ke hari kedua. Maka hari kedua dia akan menyediakan 1-3 halaman ditambah dengan 1-3 halaman yang dia tidak siapkan semalam.

Apabila dibuat begini seseorang pengarang itu boleh membuat perkiraan bilangan karya yang akan disiapkan setahun, dua tahun ataupun 10 tahun akan datang. Tak percaya? Sudah ada pengarang yang menggunakan kaedah ini dan berjaya menghasilkan 15 buah buku dalam masa satu tahun.

d) Tarikh Akhir Karya Siap
Pengarang yang baik akan menentukan tarikh akhir karyanya siap. Ia bagi memudahkan penerbit yang ingin menerbitkan karya tersebut merancang tarikh penerbitannya. Sebaik sahaja karya tersebut sampai ke tangan penerbit sudah boleh terus diproses dan memasuki ruanga editorial. Tentu karya tersebut dapat cepat diterbitkan ke dalam pasaran.

Petikan dari sumbangan:

MQ Human Development
188 Jalan Tengku Sulaiman
28700 Bentong Pahang Darul Makmur Malaysia

CABARAN BERMULA - Ayat Pertama...

Penerbitan sulong karya Norlela Zubir "Bagaimana BISNES KELUARGA BERJAYA" di bawah naungan PTS Professional itu sebenarnya telah memberi suntikan semangat (yang tidak pernah dirasai sebelum ini) untuk terlibat sama dalam dunia penulisan kreatif khususnya.

27 Mei 2007 merupakan tarikh yang menandakan bermulanya suatu perjalanan yang jauh dan amat mencabar, dalam percubaan melibatkan diri semula di dalam bidang yang lebih 30 tahun telah ditinggalkan.

Penulisan menggunakan kaedah Surah Yusof yang diperkenalkan itu telah merubah persepsi tentang betapa sulitnya menulis, apatah lagi untuk MENERBITKAN BUKU.

Justeru itu, akujanji dengan Puan Ainon Mohd, Sifu PTS pastinya suatu tindakan yang sengaja "mencari penyakit".... Namun, melihat apa yang telah, sedang dan akan rencanakan serta bukti-bukti kejayaan yang jelas; tindakan itu pastinya bukan suatu kesilapan - mungkin itulah jalan yang telah ditunjukkan Allah, selaras dengan niat untuk MENGIMPAQKAN sedikit ilmu dan pengalaman yang ada kepada anak bangsa - sebelum dipanggil kembali kepadaNya.

Berikut sedutan email Sifu PTS bertarikh 4 Jun 2007, pembakar semangat....!

On 6/4/07, ainon mohd <ainonm@pts.com.my> wrote:
Asalamualaikum!

Membaca catatan tuan ini, saya jadi amat teruja!

Supaya tuan jadi tambah berkobar-kobar mahu menulis jibunsyi itu, ini saya kirimkan contoh format bagaimana jibunsyi ditulis menggunakan KJ METHOD.

On 6/4/07, SABTU M Ali <mailto:sab2.pts@gmail.com> wrote:
Pn Ainon, terima kasih.
InsyaAllah, akan saya mulakan penulisan ini...

"jibunsyi dukalara 50 tahun Sabdan, seorang anak yatim dan budak kampong yang menjadikan Si Bulat (kerbau pembajak sawah padi datuknya) kawan inspirasi setianya. Sering diperlekehkan orang kerana idea gila cerdiknya. Pernah membisikkan cita-citanya hanya hendak naik kapal terbang, ke telinga Si Bulat... Jika dahulu memimpin (tali) kerbau, kini terlibat dalam memperkasakan pembangunan strategik bisnes dan organisasi korporat /dan SME Negara..."

salam. hjSab2


On 6/4/07, ainon mohd <
ainonm@pts.com.my
> wrote:
Alaikumussalam warahmatullah hiwabaraktuh!
Saya mendoakan tuan sentiasa berada dekat dengan pertolongan Allah.


Terima kasih kerana sudi bersama-sama dalam saf PTS memandaikan bangsa kita. Inilah cara kita berjuang menyampaikan pesan-pesan Nabi Muhammad, yakni melalui penulisan dan aktiviti penerbitan.

Orang Melayu memerlukan banyak trainer dan konsultan Melayu. Barang siapa yang masuk sektor ini amat saya sokong. Pengalaman selama 14 tahun saya berkecimpung sebagai usahawan trainer swasta menunjukkan banyak rezeki dalam bidang training. Itulah sebabnya saya hendak turunkan apa-apa pengalaman yang saya ada kepada mentee2 saya dalam bengkel yang saya akan kendalikan.

Bersama-sama ini dikepilkan contoh format sinopsis jibunsyi.

CABARAN PERTAMA:
Memulakan langkah untuk menulis "AYAT PERTAMA"...

Penulisan novel jibunsyi "Inspirasi Si Bulat" (tajuk awal /sementara) akan dijadikan kayu pengukur, s
ebagai proses penyemakan semula keupayaan menulis.

Pastinya, yang menjadi idaman adalah penulisan kreatif berkaitan dengan pembangunan strategik dan pengurusan prestasi (KPI) dalam pembangunan modal insan Negara. InsyaAllah.

Salam.

SAAT KELAHIRAN sumber.INOVASI.intelektual

Dengan lafaz yang mulia, Bismillah-hirrahman-nirrahim.

Blog sumber.INOVASI.intelektual ini dilahirkan jam 1:30 tengahari, 9 Jun 2007 bersamaan 29 Jamadilawal 1428; hari Sabtu.


"MEMANDAIKAN BANGSA: Menulislah walaupun satu ayat..." dijadikan prasa keramat untuk penggiat-penggiat sastera Bahasa Melayu Tinggi (BMT) berdiskusi dan melontar idea serta inspirasi diforum maya ini.

Alhamdulillah, kelahirannya didorong kuat inspirasi yang dicetuskan Puan Ainon Mohd, Sifu PTS ketika pertama kali menghadiri kuliah mingguan Universiti Terbuka PTS pada 27 Mei 2007 lalu.

Proses membudayakan penulisan kreatif melalui Kaedah Surah Yusof sewajarnya disebarluaskan lagi, khususnya golongan professional bangsa Melayu. Golongan tersebut yang dahulunya 'dipisahkan' akibat dua jurusan persekolahan, aliran sains dan sastera perlu di kembalikan ke dalam saf untuk menghasilkan senergi strategik dalam penulisan BMT.

Salam.