Sepertimana yang dijanjikan, kita akan membongkar rahsia dan formula kejayaan penulis-penulis bestseller dunia dan tanahair. Kesemua ini berdasarkan penyelidikan yang dibuat oleh penulis kepada karya dan karakter pengarang-pengarang bestseller.
Para pengarang bestseller selalunya merancang apa yang dia tulis bukan hanya sebagai kebetulan. Perancangan ini dibuat secara mantap dan efisien. Apabila ia dibuat karya ataupun artikel yang dibuat tidak melalut dan banyak berleter. Ia akan penuh tersusun dan menarik dibaca.
Apabila menyebut perancangan, ia bukan sahaja melibatkan isi pada karya, tetapi juga penjadualan penghasilan karya tersebut. Ada beberapa perkara yang perlu diperincikan dalam perancangan iaitu :
a) Tajuk dan konsep karya
Sesebuah karya harus dimulakan dengan konsep isinya agar ia berpijak pada bumi yang nyata bukan di awang-awangan. Kepadasiapa karya itu ditujukan? Apakah matlamat karya tersebut? Apakah kesimpulan dan perlakuan yang dikehendaki apabila seseorang pembaca membaca karya itu? Kesemua ini harus jelas. Apabila kesemuanya dibuat dengan baik, barulah sesebuah karya lebih terfokus. Tajuk juga boleh diletakkan apabila konsepnya jelas. Namun begitu harus diingatkan di sini tajuk akhir masih lagi hak penerbit.
b) Siapa Pembaca Karya Ini?
Para penulis seharusnya mengetahui sasaran pembaca buku yang ditulis. Siapa? Berapa umurnya? Apa jantinanya? Apa kerjayanya? Apabila kita mengetahui kesemua in, barulah kita dapat menentukan pakej persembahan yang ingin digunakan. Sebagai contoh remaja perempuan sukakan dirinya, remaja lelaki sukakan perkara yang visual, wanita dewasa suka kepada ketrampilan dan lelaki dewasa suka kepada pengembangan karier. Kesemua ini memudahkan kita menentukan kaedah penulisan yang perlu digunakan
c) Berapa Halaman Buku ini?
Bilangan halaman ini selalunya ditekankan oleh pengarang yang cukup mendisiplinkan enulisannya. Dia akan menentukan bilangan halaman, bilangan hari penghasilan dan tarikh akhir penghasilan karya tersebut. Sebagai contoh, apabila kita menentukan sebuah karya yang ingin dihasilkan mempunyai 100 halaman. Tempoh masa yang ditentukan bagi ia disiapkan adalah 3 bulan iaitu bersamaan dengan 90 hari ataupun 12 minggu.
Pengarang yang berdisiplin menentukan bilangan halaman yangperlu disiapkan dalam masa satu hari. Apabila kita mengambil kes di atas, si pengarang tentu meletakkan dia perlu menyiapkan 1-3 halaman satu hari. Apabila dia terlepas hari pertama dia akan membawa kerjanya ke hari kedua. Maka hari kedua dia akan menyediakan 1-3 halaman ditambah dengan 1-3 halaman yang dia tidak siapkan semalam.
Apabila dibuat begini seseorang pengarang itu boleh membuat perkiraan bilangan karya yang akan disiapkan setahun, dua tahun ataupun 10 tahun akan datang. Tak percaya? Sudah ada pengarang yang menggunakan kaedah ini dan berjaya menghasilkan 15 buah buku dalam masa satu tahun.
d) Tarikh Akhir Karya Siap
Pengarang yang baik akan menentukan tarikh akhir karyanya siap. Ia bagi memudahkan penerbit yang ingin menerbitkan karya tersebut merancang tarikh penerbitannya. Sebaik sahaja karya tersebut sampai ke tangan penerbit sudah boleh terus diproses dan memasuki ruanga editorial. Tentu karya tersebut dapat cepat diterbitkan ke dalam pasaran.
Petikan dari sumbangan:
MQ Human Development
188 Jalan Tengku Sulaiman
28700 Bentong Pahang Darul Makmur Malaysia