KPI Dashboard

Api Dalam Kaca

Sdr Roslan telah menghantar notis 12 jam yang lalu, minta sinopsis novel profession.

Tarikh akhir menghantar manuskrip telah ditetapkan 31 September 2007, jika hendakkan novel tersebut siap sedia di pasaran dalam bulan Januari 2008. Juga untuk menyertai Pesta Buku 2008, yang dijangka dalam bulan April.

Apa yang lebih penting, adalah strategi melakukan gerakan senergi berpakej PTS ke sekolah-sekolah sebelum bajetnya mengecut disapu penerbit-penerbit lain.

Sebelum jam 11.00 pagi tadi sempat menghantar sinopsis awal "Api Dalam Kaca" novel kerjaya seorang jurutera elektrik, insyaAllah.


SINOPSIS

Irwan dan Roslina bagaikan dua kuntuman mekar di sekolahnya. Mereka amat disenangi guru-guru dan dikagumi rakan-rakan sebaya. Pertarungan sengit di antara keduanya dalam akademik sampai kemuncaknya semasa berada dalam kelas yang sama di tingkatan tiga.

Irwan anak yatim piatu bercita-cita menjadi seorang jurutera. Roslina yang terkenal dengan lemah lembutnya memendamkan hasrat untuk menjadi doktor sakit puan. Apa yang pasti, kedua-duanya telah meletakkan penanda aras yang sama - untuk ke sekolah elit negara, melalui mentor yang sama. Siapakah mentor mereka?

Kedua-duanya terpisah ketika menuntut di sekolah berasrama penuh. Keperitan dirasai Irwan apabila Roslina, anak sarjan polis yang cengel berpindah ke Sabah. Irwan yang telah lama memendam hati tanpa disedari Roslina, terjebak dengan lamunan perasaan. Api cintanya sukar dipadam dan sering hilang kawalan. Keputusan SPM Irwan memeranjatkan mentornya.

Api Dalam Kaca perlu dibaca bukan kerana kisah cinta dari bangku sekolah Irwan dan Roslina. Ianya perlu dilihat dari perspektif pengolahan, pengisahan dan inspirasi kerjaya seorang jurutera elektrik yang padat dengan pengalamanan pembelajarannya ketika menuntut di politeknik, maktab teknik dan universiti luar negara yang penuh dramatik.

Pahit getir yang dilalui Irwan yang terpaksa mendapatkan sijil dan diploma terlebih dahulu sebelum segulung ijazah Kejuruteraan Elektrik dalam bidang Kuasa, sebenarnya telah memantapkan lagi gaya kepimpinannya. Irwan sebagai Jurutera Professional berdaftar, ditauliahkan tahap Fellow oleh Lembaga Jurutera Malaysia dan England berdasarkan sumbangan dan kredibilitinya sebagai pengamal yang disegani dan berautoriti dalam industri elektrik negara dan serantau. Itulah yang pastinya menjadi pembakar semangat.

Kekentalan semangat Irwan sering tercabar. Peristiwa yang lekat dibenaknya adalah hari pertamanya melapur diri di stesen janaelektrik sebagai Pembantu Teknik. Bossnya adalah Roslina! Dia seorang Jurutera Elektrik dalam bidang Kawalan dan Instrumentasi! Peristiwa pahit itulah sebenarnya telah menjelmakan kemanisan dalam hidupnya.

Api dalam Kaca mempamirkan kisah cinta maya, yang penuh dengan kejutan yang perlu dijadikan pemangkin dalam apa jua kerjaya. Esok masih ada cahaya!