KPI Dashboard

laluan pinggiran

Tertarik dengan surat terbuka Dato' Baha Zain kepada Ketua Pengarah Pelajaran mengenai Bahasa Melayu dan bahasa subjek Sains dan Matematik...

Saya adalah di antara kumpulan terawal yang 'dipaksa' belajar semua mata pelajaran sains tulen dan matematik tambahan dalam Bahasa Melayu (sekitar hujung 1960an) di SBP ketika itu. Sekolah Alam Shah, Sekolah Seri Puteri dan Sekolah Aminuddin Baki adalah di antara beberapa 'makmal-makmal ujiannya'.

Masih ingat lagi betapa permulaan sukar yang kami lalui. Dan betapa semangat dibakar oleh guru-guru kami ketika itu!... juga kebanjiran guru-guru sains dari beberapa universitas Indonesia, turun membantu. Peranan Dato' Dr Hj Ariffin Suhaimi (yang kami panggil Pak Pin) dan Puan Adibah Amin di antaranya, perlu diingatkan semula.

Betapa juga pencapaian yang cemerlang menggunakan Bahasa Melayu dalam subjek-subjek sains dan matematik dibuktikan. Tidak kurang juga yang 'memenangi' biasiswa Colombo Plan dan yang serupa dengannya, di samping Biasiswa Persekutuan untuk melanjutkan pelajaran ke luar negara...

Baca seterusnya DISI dipetik dari blog SifuPTS. Semoga ada manfaatnya, khususnya generasi muda yang mungkin telah dimangsa politikkan!

27 Rejab

Esok 27 Rejab, 1429... Jadinya malam ini adalah malam Isra' dan Mikraj.

Perkara ini pernah disebut sambil lalu ketika entri 1 Rejab / minda.JUMAAT 4 Julai 2008 DI SINI.

Seperti yang ditunjukkan dalam rajah, Isra' dan Mikraj adalah gabungan kisah-kisah realiti dan ghaib. Kisah dunia dan kisah akhirat, yang dipertontonkan kepada Nabi Muhammad s.a.w. dalam perjalanan menemui Allah... yang membawa balik perintah solat fardu, 5 kali sehari.

Kali ini ingin disentuh pengajaran dari kisah-kisah "gangguan" perjalanan Nabi bersama Jibril dari Masjidil Haram dan Masjidil Al-Aqsa. Dari Makkah ke Baitulmuqaddis.

Kesemua gangguan di perjalanan itu tidak diendahkan Nabi. Baginda hanya bertanyakan apakah maksud yang tersirat dari gangguan-gangguan tersebut kepada Jibril.

SUARA-SUARA gangguan (panggilan kepada Nabi) yang sering diceritakan apabila kisah-kisah Isra' dan Mikraj dibacakan adalah, pertama YAHUDI, kedua NASRANI, ketiga SYAITAN dan keempat (kesenangan) DUNIA. Apakah kaitannya dengan realiti kehidupan umat Islam?

Itulah realiti agenda yang tidak pernah selesai, kecuali tibanya kiamat. Umat Islam akan terus-terusan digoda dan diasak dalam berbagai bentuk ciptaan Yahudi, Nasrani dan Syaitan dan agen-agennya. Tewasnya umat Islam kepada ketiga-tiga regu itu kerana kebanyakan "diganggu" dengan sindrom "ambil separuh, tinggalkan separuh" seperti mana perangai Yahudi dan Nasrani.

Umat akhir zaman diajar cintakan dunia melebihi dari akhirat. Atau dunia semata-mata!...

sembang petang...

Dalam bisnes lebih-lebih lagi dalam suasana sukar dan sempit pertumbuhan ekonominya, perlu diperbanyakkan permuafakatan. Muafakat dalam berkongsi rezeki yang ada. Muafakat dengan senergi kepakaran yang sesuai dan berupaya digabungjalinkan, untuk terus memacu dan menjana pendapatan.

Sebagai contoh, membangunkan modul program latihan. Langkah bijak Presiden TAMRIN Dr Tengku Asmadi, kini projek perintis SPIES telah bermula dengan baik. Apa yang lebih penting dari projek itu adalah proses memanfaatkan kepakaran dan pengalaman Puan Ainon, SifuPTS dalam bidang Peruding Latihan sebagai tunggaknya.

Ianya lebih bersifat pemindahan teknologi... sejajar dengan matlamat MEMANDAIKAN BANGSA yang beliau kian lama perjuangkan.

...sembang bisnes. Maaf Tuan Zamri tidak kelihatan sepenuhnya!

Nota

Projek SPIES (Spritual, Physical, Intellectual, Emotional, Social) adalah usaha membangunkan modul bersepadu dalam pembangunan modal insan, yang bakal difrancaiskan melalui TAMRIN. InsyaAllah.

minda.JUMAAT: rehat

Minda adalah sesuatu yang amat hebat dalam penciptaan manusia. Untuk memastikan ianya sihat, ia perlu rehat sewajarnya - tetapi bukan direhatkan!

Minda akan menikmati kerehatan dengan aktiviti dan amalan. Justeru, pastikan ruang-ruang minda dimasukkan dengan pengalaman-pengalaman yang mendamaikan. Hindarkan agenda-agenda buruk menyeludup masuk. Mengelamun di dalam persekitaran (udara) yang menyegarkan dan membaca adalah aktiviti sokongan yang amat berkesan.

Mungkin aktiviti-aktiviti berikut boleh diamalkan, untuk mencapai matlamat kesejahteraan minda:

a. Wujudkan kelainan tempat dan suasananya dalam mengendalikan tugasan rutin harian;

b. Sering berinteraksi dengan orang-orang yang berbedza dari aspek perspektif pemikran dan personalitinya; dan

c. Strukturkan tugasan dalam bentuk 'agenda mesyuarat'.

Namun, Islam telah mengajar kita dengan berbagai amalan untuk matlamat yang serupa - mungkin telah kita lakukan tanpa disedari... Di antara lainnya: Membaca Al-Quran; Berdoa dan berzikir sebelum tidur dan Qiamulail. Yang pasti, hanya yang mengamalkannya sahaja akan dapat menceritakan betapa kerehatan minda itu dapat dikecapi.

Nota:
Gambar di atas adalah sudut 'Taman Herba' mini halaman rumah, dirakamkan awal pagi semalam, yang berfungi 'tiga-dalam-satu'... suasana hijau, hiasan laman dan perubatan tradisional (yang sedikit sebanyak telah membantu jiran-jiran yang memerlukan).

memandu aqal

Dua entri yang lalu ada disentuh tentang aqal dan ego. Aqal dalam bahasa sainsnya disebut sebagai intelektual.

Persedian awal yang telah direncanakan Allah sebelum Nabi Adam dinobatkan sebagai khalifah di muka bumi ini adalah melalui proses mengenali nama-nama benda di persekitarannya. [Rujuk Ayat 33, Surah Al-Baqarah]

Sebenarnya dari situlah bermulanya kehebatan pembangunan keintelektualan manusia. Proses itu kini telah dibuktikan melalui fasa-fasa kejadian manusia, bermula dari dalam 'rahim' ibu yang pada kemuncaknya melibatkan pemberian rohnya. Subhanallah! Maha Suci Allah, dengan KehebatanNYA. [Banyak ayat berkaitan, di antaranya rujuklah Ayat 5, Surah Al-Hajj]

Apa yang ingin dibawakan disini adalah proses membangun dan menguruskan intelektual itu asasnya adalah BERGURU!

Kehebatan (kecerdikan) intelektual, atau IQ yang lazimnya disebut itu semata-mata tidak akan dapat memandu manusia itu dalam memenuhi persoalan mengapa ianya dijadikan.

Ringkasnya, manusia dijadikan Allah untuk mengabdi diri kepadaNYA. Unsur-unsur pengabdian diri dalam mentadbir alam ini.

Justeru, agamalah asasnya yang dapat memberikan panduan. Lihatlah betapa rosaknya dunia kini apabila manusia menggunakan aqalnya untuk memandu agamanya!

Baca SETERUSNYA tentang aspek-aspek luaran lain perlu di dalam pencernaan intelektual. Semoga ada manfaatnya, insyaAllah.

lagi ego...

Ada baiknya entri berkaitan ego SEBELUM INI dilanjutkan...

Dan kali ini dipanjangkan ilmu berkaitan dari sumber kuliah subuh pagi tadi. Peringatan yang disampaikan itu bersumberkan daripada seorang sahabat. Peringatannya mudah (dan mungkin selalu kita dengar) dan 'biasa sahaja' bunyinya:

Aqal jika tidak dipandu agama, akan sesat lagi menyesatkan;

Harta yang dimiliki akan susut nilainya, kecuali dibelanjakan ke jalan Allah; dan

Harga diri tiada nilainya, jika tidak disandarkan iman dengannya!



Kali ini sekadar ingin mengambil peringatan yang ketiga itu dahulu...

Ego itu dalam bahasa Melayu Arabnya adalah sombong atau bangga diri atau takkabur atau ujub. Cuba banyangkan apabila kita menghiasdiri untuk bertemu seseorang yang amat penting dari segi kedudukan dan kuasanya... Berapa agaknya nilai pakaian dan kelengkapan yang dimiliki ketika itu? RM200, RM2,000 atau mungkin RM20,000 atau lebih dari itu?

Dan bayangkan juga jika niat, matlamat dan juga perancangan yang terlibat dengan pertemuan tersebut tidak membatasi halal haramnya dan kemungkaran yang tiada tepinya... Berapakah agaknya nilai diri kita di sisi Allah ketika itu? Mungkin sepuloh sen pun tak laku!

Para alim ulama' terdahulu telah memberikan panduan, jika ingin mengikis rasa ujub:

1. Mengingati bahawa taufik dan hidayat untuk beramal itu datangnya daripada Allah;
2. Mengingati bahawa semua nikmat yang terima itu datangnya daripada Allah;
3. Khuatir amalannya tidak diterima Allah; dan
4. Khuatir kalau-kalau dosa-dosanya melebihi kebaikan-kebaikan yang berupaya diimpakkan.

Nota
Dato' Dr Fadilah Kamsah pernah mengungkapkan nasihat berikut: "Kalau ingin menurunkan ego kita, cuba-cubalah membersihkan tandas awam berbayar setiap kali kita gunakan!"... Amacam? Cubalah, baru tahu...

minda.JUMAAT: mengurus ego

Dan ketika Kami berkata kepada malaikat-malaikat: Tunduklah kamu kepada Adam!
Lalu mereka tunduk, selain dari iblis; dia menolak...
Ayat 116, Surah Tahaa

Itulah episod bermulanya EGO, salah satu mahluk ciptaan Allah. Kewujudannya terserlah berikutan dengan perintah Allah untuk Adam (bapa kepada mahluk yang bernama manusia) dinobatkan sebagai khalifah di muka bumi ini... Rujuk Ayat 30, Surah Al-Baqarah sebagai permulaan kisahnya - seperti yang diwahyukan kepada Nabi Muhammad s.a.w.


Setiap mahluk kejadian Allah dijadikan berpasangan. Begitulah juga dengan ego. Dari perspektif diri, ada ego yang positif - membawa kebaikan. Dan juga yang negatif - mengakibatkan keburukan - kepada diri sendiri dan mungkin juga persekitarannya.

Dalam lain perkataan, ianya perlukan kemahiran untuk menguruskannya!

Ego adalah sesuatu yang perlu ada dalam diri kita. Ego yang positif adalah pemangkin atau akan memotivasikan sesuatu tindakan dalam pencapaian matlamat. Sebaliknya ego yang negatif adalah pemusnah.

Dalam kehidupan seharian, Islam telah menetapkan tindakan-tindakan yang kategorikan sebagai wajib, haram, sunat dan harus. Di dalamnya letaknya asas-asas menguruskan ego. Renung-renungkanlah...

Nota:
Kata cerdik pandai, menguruskan ego itu seumpama memelihara ikan emas di dalam akurium.

hidup pelajar...

Hidup ini umpama seorang pelajar. Setiap hari ada perkara yang boleh dipelajari, jika mahu! Kejayaan dalam hidup amat bergantung kepada apa yang dipelajari dari kehidupan sehariannya.

Sejak saya menawarkan khidmat coaching - khususnya kepada pengunjung-pengunjung blog saya (secara percuma) - sebenarnya banyak saya pelajari daripada mereka.

Sesi-sesi coaching yang dikendalikan banyak mempaparkan warna-warna kehidupan. Realiti kehidupan, yang kadang-kala tidak terfikir dek akal!...jika kita berada di luar ruang lingkup kehidupan tersebut.

Walau apa pun warnanya, setiap coachee saya itu berhasrat untuk membuat perubahan. Berubah dari keadaan yang TIDAK DISENANGI kepada yang DIIDAM-IDAMKAN. Semua mereka telah MENGORAK LANGKAH untuk melakukan perubahan-perubahan yang dijangkakan.

Namun, untuk memastikan sesuatu perubahan itu mantap dan berkesan ditangani, apa yang pasti segala bentuk RINTANGAN perlu diurus sebaik mungkin. Rintangan itu datangnya dari dalam diri sendiri dan juga persekitarannya.

Dan perlu diingat bahawa dalam setiap rintangan itulah terkandung ILMU KEHIDUPAN yang sentiasa mengajar kita untuk meneruskan hidup! InsyaAllah. Baca lanjut DI SINI

hutang...

Tiada entri seminggu... bermakna saya terhutang dengan pengunjung!

Banyak sokongan moral yang diterima... bermakna saya terhutang budi dengan penyokong!

Tawaran untuk berkongsi ilmu dan pengalaman... bermakna saya terhutang belas kasihan mereka!

Entah mengapa, ketika berada di persekitaran kehijauan pohon-pohan di kampung; saya tertarik dengan topik ini. HUTANG!

Berhutang itu harus, membayarnya wajib!... agar jasat kaku yang dipindahkan ke Taman Pasti nanti mengecap kesejahteraannya, InsyaAllah.

TERhutang bukan bermakna tidak sengaja... kerana ianya selalunya diminta-minta! Yang pasti cuma perlu diINGATI. Itulah tahap paling lemah insani.

Dalam memberi perkhidmatan contohnya, kedua-dua belah pihak sebenarnya berhutang. Yang memberi wajib menyerahkan perkhidmatan (terbaik) seperti yang dijanjikan. Yang menerima manfaat pula wajib membayar kos perkhidmatan yang telah diterima, sekiranya memenuhi terma yang yang dipersetujui bersama...

Dalam bisnes, tidak kira sekecil mana sekali pun; kita TERDEDAH KEPADA pihak yang liat untuk melunaskan hutang! Sebenarnya tiada siapa yang terlepas daripada kemurkaan Allah, kecuali hutang tersebut telah minta dihalalkan!

Baca entri dari NorlelaZubir Biz Inc DI SINI yang menyentuh perkara yang sama.

pemikir strategik

Modul utama latihan yang sering dikendalikan adalah 'Membina Keupayaan Berfikir Secara Strategik'. Dalam pembelajaran dewasa, pendekatan yang diamalkan adalah berasaskan kepada Ayat 164, Surah Al-Baqarah:
Sesungguhnya tentang ciptaan langit dan bumi, pertukaran malam dan siang, kapal yang berlayar di lautan yang memberi manfaat kepada manusia, air (hujan) yang diturunkan Allah dari langit, lalu dihidupkanNya (kerana hujan itu) bumi yang sudah mati (kering) dan berkeliaranlah berbagai bangsa binatang, dan perkisaran angin dan awan yang disuruh bekerja di antara langit dan bumi, sesungguhnya semua itu menjadi bukti kebenaran untuk orang-orang yang berfikir.
Dalam sesuatu organisasi, siapakah yang perlu berfikir secara strategik? Jawapannya semua aggota kerja dalam organisasi tersebut!

Mengapa? Hanya dengan cara sedemikian sahajalah sesebuah organisasi itu dapat mengoptimumkan daya kreativiti dan juga ilmu yang dimiliki setiap anggota kerja.

Dan pemikir strategik itu perlu memiliki ciri-ciri tertentu. Di antara lainnya, mereka mempamirkan perkara-perkara berikut:

a. Minat ingin tahu tentang persekitarannya;
b. Fleksibel dalam mengadaptasi pendekatan dan maklumat persekitarannya;
c. Berpandangan jauh dalam aspek-aspek operasi bisnes dan proses penambahbaikan sistem penyampaian;
d. Penampilan positif dengan melihat cabaran sebagai peluang dan kejayaan itu sesuatu yang pasti;
e. Sikap keterbukaan dalam penerimaan idea-idea baru dari pihak-pihak stakeholder dalaman mahu pun dari luar;
f. Sentiasa meningkatkan tahap ilmu dan pengalamannya, menerima kritikan dan juga melihat aspek-aspek pertalian ilmu yang lain dalam bidang kepakarannya;

dan yang paling pentingnya

g. Keupayaan membuat JANGKAAN keatas IMPAK yang melibatkan pihak-pihak lain;

h. BERSIFAT KRITIKAL dalam semua aspek tugasannya; serta

i. KEHEBATAN MINDAnya dalam menganalisis dan membuat keputusan!

Baca lanjut DI SINI

Minda.JUMAAT: Rejab...

Hari ini 1 Rejab 1429 Hijrah. Rejab bulan latihan... bersiap sedia untuk ketibaan penghulu segala bulan, Bulan Ramadhan - yang pasti tiba dua bulan lagi.

Banyak telah diperkatakan tentang kelebihan Rejab, justeru saya tidak berhasrat untuk mengulanginya. Yang paling penting adalah apakah pengajarannya untuk kita laksanakan, bukan sekadar senaraikan...

Rejab tersimpan didalamnya 1001 hikmah. Paling besar adalah peristiwa Isra' dan Mikraj... Perjalanan Rasulullah dari Masjid Haram ke Masjid Al-Aqsa di Baitulmuqaddis dan meneroka alam ghaib di tujuh lapisan langit dengan kebesaran kuasaNYA.

Paparan Isra' dan Mikraj adalah kepentingan perhubungan sesama insan (perspektif mendatar) dan perhubungan makluk dan Pencitanya - Allah (perspektif menegak).

Dari aspek matematik atau hukum fizik, ianya merupakan suatu rajah vektor di mana tindakbalas alam REALITI (Isra') dan GHAIB (Mikraj) itu menghasilkan ILTIZAM (Solat)... Hanya Allah Yang Maha Bijaksana.

Peristiwa Isra' dan Mikraj telah membawa turun perintah Solat... mudah tetapi amat berat sekali dilakukan! Itu sebabnya Rasulullah bersusah payah memohon Rahmat Allah untuk dikurangkan dari 50 kali kepada 5 kali sehari.

Renung-renungkan betapakah agaknya senario akhir zaman sekiranya umat Islam diwajibkan bersolat 50 kali sehari?

sedikit ilmu...

Bengkel 3 hari dalam membangunkan Petunjuk Prestasi Utama (Key Performance Indicator) untuk 30 Jabatan /Agensi dan Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Pahang berakhir 5:00 petang tadi.

Bengkel dianjur bersama Pejabat SUK Pahang dan MPC Wilayah Pantai Timur, melibatkan 120 peserta terdiri daripada Ketua-Ketua Jabatan dan wakil masing-masing. Perasmian Bengkel disempurnakan YH Dato' Mohammad Rizdwan Mohd Tahar, Timbalan Setiausaha Kerajaan Pahang, Bahagian Operasi.

Semoga sedikit ilmu dan pengalaman yang dikongsi itu dapat dimanfaatkan bersama... dalam merealisasikan hasrat Kerajaan Negeri Pahang untuk mengwujudkan sistem penyampaian perkhidmatan yang cemerlang.