KPI Dashboard

mak Temah

Pagi raya di Krubong (Melaka) kali ini Mak Temah (ibu mertua) dikelilingi hampir kesemua anaknya - 3 perempuan 7 lelaki ditambah dengan 42 cucu dan 4 cicit. Ternyata senang sekali dengan riuh rendah dan gelak ketawa...dan terus bercerita teladan kepada anak-cucunya.

Acap kali, mengimbas kembali persiapan Pak Mat (suaminya) sebelum Ramadhan dan Syawal. Betapa beliau membuat tabungan sadaqah Ramadhannya untuk jiran-jiran yang memerlukan - berupa beras dan bahan makanan /pakaian raya.

Kisah betapa 20-30 ekor kucing yang dibuang orang, dipelihara dalam kesempatan rezeki yang ada - walaupun sekadar nasi dan kuah semata! Beliau akan pastikan kucing-kucingnya makan terlebih dahulu sebelum berbuka puasa.

Beberapa guni mee segera reject dari Kilang Mamee di Ayer Keruh disediakan pula untuk hidangan burung-burung yang turun di halaman rumah.

...di antara yang sempat menghulurkan muka selepas solat raya

Salah satu sikap Pak Mat yang amat disegani kawan: "...hanya tersenyum dan lantas angkat kaki!" apabila ada yang mula membuka cerita dan aib orang lain...

Itulah di antara cerita-cerita lazim Mak Temah. Diulang, diulang dan diulangnya, kadang-kadang sampai 2:00 pagi bersama cucu-cucunya!

Dalam selang-seli cerita dan tawa itu, kami terdengar satu kisah yang tidak pernah diceritakan sebelum ini... Sebenarnya Mak Temah paling takut apabila ada orang meninggal dunia... dan kisah Pak Mat pernah berseloroh mengusik: "...nanti aku mati di atas riba engkau!"

Nota
1. Hari ini genaplah empat tahun empat hari bapa /mertua yang kami hormati itu kembali keRahmatullah. Beliau menghembuskan nafas terakhirnya di atas riba Mak Temah dalam keadaan yang tenang sekali... semoga rohnya dicucuri rahmat Illahi dan dilapangkan kuburnya.

2. Mulai jam 11.00 pagi satu demi satu anak-cucu Mak Temah meneruskan ziarah raya mereka: ke Kuala Ketil, Penaga, Plentong, Kota Bharu... juga Lembah Klang. Di rumah hanyalah dari keluarga yang sulong (kakak /isteri saya) dan adik yang bongsu... mungkin sehingga esok petang.


Raya ke2...8 dari 10 keluarga anak Mak Temah
yang berkesempatan ke majlis tahunan "Ina&Dabok"

salam idilfitri

kepada semua pengunjung blog ini...
salam idilfitri di ruang siber

daripada
hjSab2 & keluarga


Nota
Imej kadraya dipinjam dari blog Kassim.Selamat

majlis TAMRIN

Majlis berbuka puasa TAMRIN di adakan petang semalam, di dePalma Ampang, satu-satunya hotel yang menyediakan kemudahan lengkap Ramadhan... bertemu dan ramah mesra dengan mentor-mentor, juga kawan-kawan lama dan baru - khususnya yang terlibat langsung dalam perkhidmatan perunding latihan.

Tahniah kepada yang terlibat dalam mengatur majlis berkenaan - dari orang kuatnya Dr Tengku Asmadi (bakal Dato'...masin lafaz doa Datuk Hj Dr Mohd Fadzilah Kamsah ketika menyampai amanat ringkasnya) dan tenaga-tenaga muda dari RK Training.

Ikuti catatan daripada Setiausaha TAMRIN DISINI dan sedikit tambahan rakaman penceritaannya...

...bersabar menunggu azan Maghrib -
LR: Isma (Pegawai Khas Exco SDE), Hj Pahrol (Fitrah Perkasa /Pengacara TV), Hj Ahmad Salim (MD Fitrah Perkasa, lebih 20 tahun tidak bersua), Sab2 dan Amirullah (CEO, Centre for Islamic Business Research /PPIM)

...tokoh-tokoh hebat dan barisan Penasihat TAMRIN
- yang tidak perlu diperkenalkan

...luahan rasa bersama Mentor DFK, dalam kesempatan terhad!

nuzul Quran

Musafir 4H3M di Kuantan kali ini agak lain berbanding sebelumnya... Mengendalikan program di bulan puasa dan pertama kali menginap di Shahzan Inn Kuantan.

Jarak Masjid Negeri Sultan Ahmad I dari hotel hanya dalam linkungan 5 minit berjalan kaki... Suatu rahmat Allah di bulan Ramadhan!

Perjalanan untuk solat Subuh sungguh damai sekali. Jemaahnya di antara 100-120 setiap pagi. Subhanallah! Alhamdulillah! Allahuakbar!

Namun, suasana ketika solat tarawih agak panas. Bermandi peluh - walaupun angin di luar yang bertiup meredah kawasan luas padang MPK sungguh menyamankan!

Terdekit di hati...
Agaknya salah akitek yang merekabentuknya dahulu? atau;
Mungkinkah berpunca dari ketiadaan majlis-majlis taskirah, talaqi dan tadarus al-Quran* di bulan yang mulia ini?... di masjid yang besar, indah dan tersergam binaannya.

Malam nuzul Quran dilimpahi dengan hujan lebat dan angin kencang (selepas tamat solat tarawih, witir dan tahlil). Kesan lopak-lopak takungan air di padang MPK jelas.

Dalam hati berkata-kata: "mungkinkah pesta dan perkelahan berbuka puasa petang ini terjejas?..."
Hanya Allah Yang Menentukannya.

berkelah

14-17 Ramadhan berada di Kuantan, memenuhi jemputan sebuah agensi Kerajaan Negeri yang di dalam proses pengkopratan hujung tahun ini... Gambar di atas dirakamkan dari bilik hotel petang kelmarin - berhadapan dengan Masjid Negeri Sultan Ahmad I, Kuantan; 10 minit sebelum masuk waktu Maghrib.

Satu 'pengalaman baru' budaya berpuasa di Malaysia... berkelah (sakan) dan berbuka di padang MPK! Kawasan strategik untuk berdakwah /dan beribadat... namun sehingga akhir solat tarawih, pekerja MPK masih tekun membersihkan sampah yang melaut!

...yang mendukacitakan, dalam masa yang sama masih ada kelompok-kelompok yang bagaikan 'sedang bersantai di bawah cahaya bulan penuh'. [Juga... yang menjolok mata!]. Aktiviti-aktiviti yang sedang berlangsung di masjid bagaikan mendengar radio sahaja bagi mereka!

Aduhai, anak bangsaku... yang terus mencipta budaya Malaysia Boleh!

Nota
Keadaan mungkin berbedza sekiranya pihak yang berkuasa 'menganjurkan' perkelahan tersebut menyediakan skrin besar (di padang MPK tersebut) dan menghidangkan rakaman taskirah 30 minit sebelum berbuka puasa.

Hanya Allah Yang Maha Mengetahui.

berkursus

Selalunya kebanyakan trainer berehat di bulan Ramadhan... Namun, trainer juga perlu juga menghadiri kelas /kursus dalam memantapkan kemahiran juga mempelajari perkara-perkara yang kadang kala dirasakan macam 'telah tahu'!

Lima hari minggu ini (8-12 September 2008) bersama rakan-rakan trainer PTS yang lain, kami memilih untuk hadir program TrainTheTrainer PSMB, ...dua entri dari blog Tuan Osman Affan menceritakan sedikit kisahnya.

kelas taqwa

Hari ini hari ke dua kita berada di kelas taqwa. Amalan puasa wajib Ramadhan merupakan proses pendidikan untuk mencapai matlamat akhirnya - tahap ketaqwaan di sisi Allah. Perkara yang kita semua sudah amat arif dengannya.

Yang mungkin kita terlepas pandang adalah soal bagaimana menjejakinya. Berikut adalah intipati perkongsian sedikit ilmu, dari kuliah Manghrib malam pertama sebelum solat tarawih kelmarin:

1. Ramadhan adalah bulan turunnya Al-Quran. Al-Quran membawa kebenaran. Menghapuskan kebathilan. Itulah modul asas pembangunan modal insan. Justeru, memperbanyakkan amalan membaca al-Quran dan aktiviti-aktiviti berkaitan dengannya adalah langkah perbersihan jiwa.

2. Ramadhan telah dikurniakan RahmatNYA yang melimpah ruah. Membuka ruang untuk kita mudah untuk mengimpakkan sebahagian dari rezeki yang dikurniakan. Bulan untuk penambahbaikan dalam membentuk suasana 'baitul-muslim' - membudayakan Islam dalam kehidupan.

3. Ramadhan itu bulan Qiam. Bulan di mana mudah untuk menunaikan amalan-amalan solat sunat. Kita akan dapati setiap malam akan ramailah yang berpusu-pusu ke masjid bersolat tarawih. Lebih-lebih lagi 10 malam pertama. Tahap pencapaian taqwa bukan mudah sebenarnya. Taqwa itu dari segi bahasa pengurusannya adalah kualiti. Kualiti itu bukan milik semua. Itu sebabnya di malam 10 terakhir, yang dijanjikan terlepas dari siksa api neraka; ruang-ruang solat di kebayakan masjid dan surau menjadi lengang... Nabi telah dipertontonkan bahawa penghuni neraka lebih ramai dari syurga!

4. Komponen keempat dalam proses pendidikan Ramadhan adalah hati. Didiklah hati dari segala bentuk sifat-sifat terlarang. Hati kita tidak siapa berupaya mengawalnya. Hanya kita sendiri! Itulah halangan rapuh yang memisahkan kita dan pencapaian taqwa.

5. Jagalah lidah, mata dan telinga! Ketiga-tiga deria itu terdedah. Dan sewajarnya lebih mudah dipuasakan, sekiranya hati telah terdidik sempurna.

Dan...
Gambar dipetik dari theStar on-line

6. JAGALAH PERUT! Jelas, Ramadhan dalam masyarakat kita adalah bulan PESTA MAKAN... Inilah suatu budaya yang merosakkan roh Ramadhan itu sendiri. Proses merehatkannya dalam bulan Ramadhan tentu sekali menimbulkan kejutan dengan budaya Malaysia Boleh itu! Sedangkan amalan berpuasa itu telah terbukti amat baik dari aspek terafi kesihatan. Semua tahu penyakit bermula dari perut...

Hanya Allah YANG MAHA MENGETAHUI akan amalan setiap mahkluknya.

minda.JUMAAT: janji

Janji Allah adalah benar! Sesungguhnya Allah tidak memungkiri janji [Ali Imran, Ayat 9]... dan banyak lagi ayat-ayat al-Quran yang menegaskan tentang janji Allah.

Salah satu nama Allah adalah Al-Mujib. Yang Maha Memperkenankan. Dan dari sifatNya itulah tercetusnya elemen penting dalam ilmu motivasi, iaitu berfikiran positif (positive thinking).

"Berdoalah kamu kepada Allah dalam keadaan yakin doa itu diperkenankan dan ketahuilah sesungguhnya Allah tidak memperkenankan doa yang timbul dari hati yang lalai dan sibuk dengan hal-hal lain" - Hadis diriwayatkan Tirmizi dan al-Hakim.

Janganlah seseorang itu ragu
pada janji Allah
kerana permohonannya belum terkabul;
Meragukan janji Allah
menjadikan iman manusia
dan penglihatan mata hatinya
redup serta memadamkan
CAHAYA JIWANYA


Sumber: 99 Kecerdasan berasaskan Asmaulhusna, Sulaiman Alkummayi

Nisfu Syaaban

Malam ini malam Nisfu Syaaban, 15 Syaaban. Jika Rejab dengan Isra' dan Mikrajnya dan Ramadhan nanti dengan Malam Qadar, apa pula keistimewaan malam Nisfu?

Apa yang perlu dilakukan? Pengisian malamnya dengan amalan-amalan sunat yang menjurus kepada mengharapkan keampunan dan rahmat Allah. Siangnya berpuasa...

Nabi s.a.w bertanyakan Jibril tentang malam Nisfu Syaaban ketika mendatangi baginda pada malam tersebut. Jibril memaklumkan:
  • malam tersebut terbukanya 300 pintu rahmat;
  • Tuhan mengampunkan segala kesalahan orang yang tidak menyekutukan Allah dengan sesuatu;
Lalu Nabi s.a.w mengerjakan solat dan menangis ketika sujud, lalu berdoa:
  • Ya Allah, aku berlindung kepadaMu daripada seksaan dan kemurkaanMu;
  • Aku tidak berupaya menghitung pujian untukMu, sebagaiman Engkau sendiri memuji zat kebesaran dan kemulianMu;
  • Segala pujian untukMu sehingga Engkau redha.
CABARAN:
1. Hari ini dan esok adalah dua hari yang mana banyak majlis-majlis nikah kahwin...
2. Hari-hari hujung minggu dan permulaan cuti sekolah yang pengisian 'bersantai' yang sudah dirancang...
3. Di Permatang Pauh?..
4. Iman itu adalah cabaran!

minda.JUMAAT: saling menghargai

Surah Al-'Ashr (103) memberi fokus pengurusan masa dalam Islam. Salah satu aspek penting dalam pengurusan masa itu adalah konsep saling berpesan-pesan...

Saling berpesan-pesan itu natijahnya adalah saling menghargai. Menghargai diri sendiri, alam dan persekitarannya adalah elemen pentingnya. Ianya adalah suatu proses timbalbalas - cause and effect - kehidupan!

Justeru, HARGAILAH:

1. AGAMA: Asas kehidupan, dan bagaimana keluhuran iman itu membentuk keperibadian;

2. NYAWA: Tempoh kehidupan yang telah ditentukan. Peluang hanya sekali!

3. AQAL: Kelebihan dalam kehidupan, berbanding mahluk lain - guna memakmurkan alam.

4. HARTA: Bekalan kehidupan, hisapnya adalah bagaimana ianya dimiliki dan dimanfaatkan.

5. KETURUNAN: Kitaran penting kehidupan. Bukan sekadar 'menjaganya' tetapi di mana IMANYA!

Minggu cuti sekolah berkait rapat dengan majlis kenduri kahwin. Hargailah jemputan, majlis makan - jika ada menerimanya. Nabi Muhammad s.a.w tetap memenuhi undangan serupa itu, kerana ianya menimbulkan kasih sayang di kalangan umat baginda.

belimbing dan tompok

Selalunya belimbing akan berbuah lebat selepas hujan 'musim panas' turun. Boleh dikatakan ianya tidak bermusim... Pokok itu mengambil hampir sepertiga kawasan dari sudut hijau di belakang rumah.

Disamping menjadi perisa dalam sambal kacang ketupat, belimbing (buluh) itu banyak khasiat kesihatannya.

Kaya dengan vitamin A dan C. Daunnya juga menunjukkan sifat-sifat antibakteria.

Jus belimbing dapat mengubati tekanan darah tinggi, selain dari melegakan perut memulas dan panas badan. Air rebusan daun belimbing elok untuk mengecutkan tisu dan rawatan lepas bersalin. Juga untuk merawat jerawat di muka dan bengok. [sumber: Dr. Ong Heng Chooi, Siri TerapiAlami - Sayuran, Khasiat Makanan & Ubatan, UPD 2007]

Si Tompok adalah 'koleksi' terbaru kucing di belakang rumah.
Sudah lebih dua minggu menetap.
Warna dan corak bulunya mirip ibunya.
Ibunya memang pandai menjaga anak-anaknya.
Garang dan tidak mudah didekati.
Seperti biasa, apabila tiba masa anak-anaknya
akan 'diserahkan' kepada kami...

Tetapi kali ini proses serahan itu agak berbeza. Dari 3 ekor anaknya, Si Tompoklah yang paling 'keding' (selekeh, comot dan kurus). Dan Si Tompoklah yang dijadikan 'ayam tambatan' dalam mendapatkan makanan dari kami... Dua ekor lagi tunggu bersama ibunya di luar pagar - lari apabila didekati!

Lihatlah gelagat Si Tompok yang sama-sama sebok ketika kami meninjau buah belimbing... Sering terjadi, setiap kali ketibaan kucing yang baru akan membawa bersama rezeki - buah belimbing yang bergugusan!

minda sihat...

Bersantailah di hujung minggu dengan mengenali
minda dan cara merawatnya...

Berikut adalah entri berkaitan 'Struktur Medium Oksigen' dipetik dari blog ColorVibrationTherapy Dr ArifFaizal sebagai santapan minda pagi Ahad:
Klorofil merupakan "darah" kepada kehidupan tumbuh-tumbuhan. Alfafa (medigo sativa) adalah satu-satunya tumbuhan yang paling kaya dengan nutrisi.

Alfafa juga lebih dikenali sebagai "bapa kepada segala makanan". Tumbuhan berharga ini sangat baik untuk menguatkan sistem imun tubuh kerana ia mengandungi klorofil yang terbaik. Vibration Liquid Chlorophyll (VLC) merupakan cecair yang mengandungi klorofil daripada alfafa dan kaya dengan mineral seperti kalsium bagi membantu mengawal serta mengatur kalsium di dalam darah.

Bacalah seterusnya DI SINI

minda.JUMAAT: minda alami

Alam ciptaan Allah ini lebih bersifat koseptual. Ia mudah difahami, diolah dan disusun kembali. Di atas sifat itulah alam ini diserahkan kepada manusia untuk melengkapkannya dengan pelbagai kebolehan.

Dalam penciptaan manusia, keupayaan intelektual menjadi asas - asas sebagai pemimpin. Manusia diangugerahi dengan aqal. Aqal akan dapat dan berupaya menerima dan menyebarluaskan lagi ilmu yang sedikit diberikan kepadanya.

Sebagai pemimpin di muka bumi ini, Allah membekalkan manusia dua benda bersama kita bertujuan memakmurkannya. Pertama kebolehan mengurus, iatu proses membina kemahiran atau skil. Dan keduanya sumber-sumber yang diperlukan di dalam proses pencernaannya.

Jelaslah, alam ini telah tersedia untuk dimanfaatkan. Dan ianya perlu dimanfaatkan selaras dengan pembangunan manusia itu sendiri. Namun, apa yang dapat dilihat juga adalah petapa kehancuran, kepincangan dan ketidakseimbangan pembangunan alam ini akibat dari rakusnya manusia.

Apa yang berlaku itu sebahagian besarnya akibat dari manusia dipacu aqal tanpa agamanya. Lebih teruk lagi apabila manusia menggunakan nafsu aqalnya dalam pemanduan agamanya. Sepatutnya agamalah yang perlu dilandaskan dalam penerokaan aqal. Minda alami.

laluan pinggiran

Tertarik dengan surat terbuka Dato' Baha Zain kepada Ketua Pengarah Pelajaran mengenai Bahasa Melayu dan bahasa subjek Sains dan Matematik...

Saya adalah di antara kumpulan terawal yang 'dipaksa' belajar semua mata pelajaran sains tulen dan matematik tambahan dalam Bahasa Melayu (sekitar hujung 1960an) di SBP ketika itu. Sekolah Alam Shah, Sekolah Seri Puteri dan Sekolah Aminuddin Baki adalah di antara beberapa 'makmal-makmal ujiannya'.

Masih ingat lagi betapa permulaan sukar yang kami lalui. Dan betapa semangat dibakar oleh guru-guru kami ketika itu!... juga kebanjiran guru-guru sains dari beberapa universitas Indonesia, turun membantu. Peranan Dato' Dr Hj Ariffin Suhaimi (yang kami panggil Pak Pin) dan Puan Adibah Amin di antaranya, perlu diingatkan semula.

Betapa juga pencapaian yang cemerlang menggunakan Bahasa Melayu dalam subjek-subjek sains dan matematik dibuktikan. Tidak kurang juga yang 'memenangi' biasiswa Colombo Plan dan yang serupa dengannya, di samping Biasiswa Persekutuan untuk melanjutkan pelajaran ke luar negara...

Baca seterusnya DISI dipetik dari blog SifuPTS. Semoga ada manfaatnya, khususnya generasi muda yang mungkin telah dimangsa politikkan!

27 Rejab

Esok 27 Rejab, 1429... Jadinya malam ini adalah malam Isra' dan Mikraj.

Perkara ini pernah disebut sambil lalu ketika entri 1 Rejab / minda.JUMAAT 4 Julai 2008 DI SINI.

Seperti yang ditunjukkan dalam rajah, Isra' dan Mikraj adalah gabungan kisah-kisah realiti dan ghaib. Kisah dunia dan kisah akhirat, yang dipertontonkan kepada Nabi Muhammad s.a.w. dalam perjalanan menemui Allah... yang membawa balik perintah solat fardu, 5 kali sehari.

Kali ini ingin disentuh pengajaran dari kisah-kisah "gangguan" perjalanan Nabi bersama Jibril dari Masjidil Haram dan Masjidil Al-Aqsa. Dari Makkah ke Baitulmuqaddis.

Kesemua gangguan di perjalanan itu tidak diendahkan Nabi. Baginda hanya bertanyakan apakah maksud yang tersirat dari gangguan-gangguan tersebut kepada Jibril.

SUARA-SUARA gangguan (panggilan kepada Nabi) yang sering diceritakan apabila kisah-kisah Isra' dan Mikraj dibacakan adalah, pertama YAHUDI, kedua NASRANI, ketiga SYAITAN dan keempat (kesenangan) DUNIA. Apakah kaitannya dengan realiti kehidupan umat Islam?

Itulah realiti agenda yang tidak pernah selesai, kecuali tibanya kiamat. Umat Islam akan terus-terusan digoda dan diasak dalam berbagai bentuk ciptaan Yahudi, Nasrani dan Syaitan dan agen-agennya. Tewasnya umat Islam kepada ketiga-tiga regu itu kerana kebanyakan "diganggu" dengan sindrom "ambil separuh, tinggalkan separuh" seperti mana perangai Yahudi dan Nasrani.

Umat akhir zaman diajar cintakan dunia melebihi dari akhirat. Atau dunia semata-mata!...

sembang petang...

Dalam bisnes lebih-lebih lagi dalam suasana sukar dan sempit pertumbuhan ekonominya, perlu diperbanyakkan permuafakatan. Muafakat dalam berkongsi rezeki yang ada. Muafakat dengan senergi kepakaran yang sesuai dan berupaya digabungjalinkan, untuk terus memacu dan menjana pendapatan.

Sebagai contoh, membangunkan modul program latihan. Langkah bijak Presiden TAMRIN Dr Tengku Asmadi, kini projek perintis SPIES telah bermula dengan baik. Apa yang lebih penting dari projek itu adalah proses memanfaatkan kepakaran dan pengalaman Puan Ainon, SifuPTS dalam bidang Peruding Latihan sebagai tunggaknya.

Ianya lebih bersifat pemindahan teknologi... sejajar dengan matlamat MEMANDAIKAN BANGSA yang beliau kian lama perjuangkan.

...sembang bisnes. Maaf Tuan Zamri tidak kelihatan sepenuhnya!

Nota

Projek SPIES (Spritual, Physical, Intellectual, Emotional, Social) adalah usaha membangunkan modul bersepadu dalam pembangunan modal insan, yang bakal difrancaiskan melalui TAMRIN. InsyaAllah.