KPI Dashboard

mak Temah

Pagi raya di Krubong (Melaka) kali ini Mak Temah (ibu mertua) dikelilingi hampir kesemua anaknya - 3 perempuan 7 lelaki ditambah dengan 42 cucu dan 4 cicit. Ternyata senang sekali dengan riuh rendah dan gelak ketawa...dan terus bercerita teladan kepada anak-cucunya.

Acap kali, mengimbas kembali persiapan Pak Mat (suaminya) sebelum Ramadhan dan Syawal. Betapa beliau membuat tabungan sadaqah Ramadhannya untuk jiran-jiran yang memerlukan - berupa beras dan bahan makanan /pakaian raya.

Kisah betapa 20-30 ekor kucing yang dibuang orang, dipelihara dalam kesempatan rezeki yang ada - walaupun sekadar nasi dan kuah semata! Beliau akan pastikan kucing-kucingnya makan terlebih dahulu sebelum berbuka puasa.

Beberapa guni mee segera reject dari Kilang Mamee di Ayer Keruh disediakan pula untuk hidangan burung-burung yang turun di halaman rumah.

...di antara yang sempat menghulurkan muka selepas solat raya

Salah satu sikap Pak Mat yang amat disegani kawan: "...hanya tersenyum dan lantas angkat kaki!" apabila ada yang mula membuka cerita dan aib orang lain...

Itulah di antara cerita-cerita lazim Mak Temah. Diulang, diulang dan diulangnya, kadang-kadang sampai 2:00 pagi bersama cucu-cucunya!

Dalam selang-seli cerita dan tawa itu, kami terdengar satu kisah yang tidak pernah diceritakan sebelum ini... Sebenarnya Mak Temah paling takut apabila ada orang meninggal dunia... dan kisah Pak Mat pernah berseloroh mengusik: "...nanti aku mati di atas riba engkau!"

Nota
1. Hari ini genaplah empat tahun empat hari bapa /mertua yang kami hormati itu kembali keRahmatullah. Beliau menghembuskan nafas terakhirnya di atas riba Mak Temah dalam keadaan yang tenang sekali... semoga rohnya dicucuri rahmat Illahi dan dilapangkan kuburnya.

2. Mulai jam 11.00 pagi satu demi satu anak-cucu Mak Temah meneruskan ziarah raya mereka: ke Kuala Ketil, Penaga, Plentong, Kota Bharu... juga Lembah Klang. Di rumah hanyalah dari keluarga yang sulong (kakak /isteri saya) dan adik yang bongsu... mungkin sehingga esok petang.


Raya ke2...8 dari 10 keluarga anak Mak Temah
yang berkesempatan ke majlis tahunan "Ina&Dabok"