28 Muharram 30 Januari

30 Januari dalam tahun 1976 adalah bersamaan 28 Muharram 1397H. Jika dibandingkan dengan tahun 2010, ianya bersamaan 14 Safar 1431H. Ini bermakna kalender Hijri mendahului 15 hari dalam kitaran 34 tahun tersebut...

Alhamdulillah, hari ini adalah ulangtahun ke 34 pernikahan kami...dan sebentar nanti akan berkejar balik ke Kampung Krubung, Melaka menziarah Mak Temah, ibu mertua yang masih menetap di rumah di mana kami dinikahkan. Sebelah tengaharinya pula ke majlis perkahwinan anak buah Norlela Zubir, biras /adik ipar kami. Kemudian terus balik ke Subang Jaya untuk satu lagi majlis di sebelah malam di Sungai Buluh.

Sebahagian dari keluarga besar kami (Raya Puasa 1430H)
Rumah itulah yang berjaya membesarkan sepuluh adik beradik isteri saya. Ianya telah lama bertukar wajah - untuk menampung 'pembesaran keluarga' - rumah 'tanpa tangga' seperti lazimnya apabila rumah kayu diganti batu bata!

Walau apa pun, suatu yang pasti Mak Temah tetap memegang amanah dan pesan Allahyarham Pak Mat agar 'tidak meninggalkan' rumah (untuk tinggal bersama anak-anak)... 

"Aku nak balik rumah aku (di Krubung)"... Itulah kalimah biasa yang dilafaskan Mak Temah setelah berada beberapa hari di rumah anak-anaknya di Lembah Klang.

"Nanti bila engkau dah tua, barulah engkau faham!..." telahan Mak Temah lagi untuk menguatkan hujahnya kepada kami. Itu tidak termasuk beberapa alasan lain, di antaranya:
 

"...tiada orang yang lalu lalang singgah berbual..."
"...tak elok tinggalkan rumah kosong lama-lama!..."
"...kesian kucing-kucing yang tak tentu masa makannya!..."
Bersama 4 cucu dan 3 menantu (Raya Puasa 1430H)
 
Dalam usia emas dan kini dikurniakan empat orang cucu yang telah bersekolah rendah, kami mula memahami kata-kata Mak Temah itu...

Kami memohon perlindungan, keampunan dan rahmatNYA dalam sisa-sia umur yang dikurniakan. Hidup dalam kasih sayang dan belas kasihan di antara kami, Amin...