KPI Dashboard

puncak cinta...

Apakah puncak cinta? Bagaimana kita mengetahui bahawa diri kita telah berada di puncak cinta?

Semasa kita bercinta dengan pasangan kita, kita bermula dengan kenal mengenali. Kemudian suka menyukai. Kemudian barulah timbul perasaan cinta secara perlahan-lahan. Hari demi hari. Puncak cinta berada ketika diri bukan sahaja tidak boleh melupakan pasangan walau sesaat pun, tetapi sehingga tahap sanggup berkorban apa sahaja. Rela menyerahkan jiwa dan raga.

Disebabkan kita hidup berTuhan, maka untuk membenarkan penyerahan secara total kepada pasangan iaitu penyerahan jiwa dan raga, maka sudah pasti kita gembira dan bersetuju untuk hidup bersama sebagai pasangan suami isteri yang sah.

Ketika ini kita berada di puncak cinta dan berterusan berada di puncak cinta. Kita sanggup menyerahkan segala-galanya kepada pasangan kita......BACA SELANJUTNYA catatan FuadLatip.

minda.JUMMAT: LoA

Akhir-akhir ini banyak ditemui betapa di kalangan orang Melayu (Islam) yang 'menggilai' amalan dari buku-buku yang menonjolkan apa yang disebut sebagai 'Law of Attraction' (LoA)... Ada yang begitu fanatik dengannya (berdasarkan luahan kepercayaannya di blog dan facebook masing-masing).

Mungkin mereka mempunyai sebab dan alasan tersendiri. Lumrahnya, manusia suka mengikut manusia lain melakukan apa yang dia sendiri tidak tahu. Tidak tahu kerana tidak berjumpa. Tidak bejumpa maklumat yang betul, kerana tidak mencari. Mengapa tidak mencari? Jawapannya sampai balik 'tidak tahu'!... Tidak mahu tahu? Tidak ambil tahu?

Sebagai seorang Muslim, sewajarnya kita tidak 'hilang sumber'. Kita ada al-Quran. Ada sumber rujukan sunnah Rasulullah s.a.w. Dan yang pasti banyak lagi bahan-bahan bacaan dan rujukan yang berteraskan kedua-duanya - jika mahu mencarinya!

Di pasaran kini ada 'Quranic Law of Attraction' terbitan PTS (2009). Buku karya Rusdin S. Rauf itu menjawab beberapa persolan yang ditonjolkan oleh Rhonda Byrne dalam The Secret.

Asas kepada 'law of attraction' telah digariskan dalam al-Quran sejak lebih 1400 tahun yang lalu. Ayat 7-8 Surah az-Zalzalah (Kegoncangan) contohnya membincangkan tentangnya. Juga yang sewajarnya menjadi amalan hidup manusia.

"Barangsiapa yang melakukan kebaikan
seberat zarrah pun,
niscaya dia akan melihat balasanya.

Dan barangsiapa yang mengerjakan kejahatan
seberat zarrah pun,
niscaya dia akan melihat balasannya."


al-Quran membincangkan cara-cara mengurus diri, khususnya dalam mengurus fikiran dan perasaan. Pengharapan perlu diiringi dengan doa. Sentiasa memanjatkan kesyukuran kepadaNYA. Dan pentingnya bersabar dalam mengharap.

Beberapa entri lalu telah disentuh mengenai perkara tersebut. Rujuklah pada label imaniMINDA yang berkaitan dengannya.

Hanya Allah Yang Maha Mengetahui dan memiliki ilmu yang terlalu luas tentang alam dan mahluk ciptaanNYA.

iman menuntut

Kelmarin, Ahad ketiga setiap bulan giliran Ustaz Roslan Muhammad. Tazkirah ringkasnya selepas solat Suboh di MDE Subang Jaya kali ini menyentuh tentang TUNTUTAN-TUNTUTAN KEIMANAN.

Berikut adalah intisari kuliah - tuntutan-tuntutan yang wajib - yang sempat dicatat. Ada lapan tuntutan yang dikupas - (berserta dengan dalil-dalil Al-Quran dan Hadisnya).

Tuntutan #1
Membenarkan apa yang datang dari Allah. Tanpa syak wasangka!.. Apa-apa yang diwahyukan dalam Al-Quran dan Hadis Nabi s.a.w. Menerima dengan yakin kebijaksanaanNYA.

Tuntutan #2
Taati Allah dan Nabi. Yakini janji-janji Allah serta bersedia melaku /meninggalkan segala perintah dan adanya dosa dan pahala, sebagai balasannya.

Tuntutan #3
Laksanakan ibadat yang wajib dalam agama. Bersungguh-sungguh dan beristiqamah - itulah tanda hatinya telah disuntik dengan cahaya iman...

Tuntutan #4
Dalam melaksanakan ibadat yang wajib, jauhi juga yang haram.

Tuntutan #5
Sentiasa bertaubat dan beristiqamah dalam memohon keampunan di atas kesilapan dan kecuaian, akibat tuntutan nafsu dan syaitan!

Tuntutan #6
Laksanakan yang maaruf dan cegah yang mungkar. Inilah tuntutan 'berangkai' yang paling utama. Dengan kuasa / Tangan /Hati... sesungguhnya dengan hatilah yang paling lemah. Justeru, kalau dengan hati pun tidak upaya, itulah tanda pupusnya iman!

Tuntutan #7
Sentiasa membimbing ke jalan Allah. Berjihad menentang usaha-usaha yang cuba menyesatkan!

Tuntutan #8
Menerima kepimpinan orang yang beriman dan menolak yang derhaka kepada Allah. Hukumnya wajib. Dan paling asas dalam soal kepimpinan - guna memakmurkan bumi Allah.

Tuntutan-tuntutan iman itu
HIDUP! Dan terus menuntut;

Jika mati iman maka matilah seseorang itu sebelum ia dimatikan!

bebas terbabas?

A Kadir Jasin menulis...

" PERTUDUHAN
terhadap enam orang pembahas blog semalam atas tuduhan menghina Sultan Perak menjadi satu lagi mercu tanda bagi dunia blog Malaysia. Mereka dituduh di tempat berasingan di bawah Akta Multimedia dan Komunikasi 1998.

Peristiwa ini sekali gus menamatkan andaian bahawa blog, pemblog (blogger) dan pengomen adalah bebas dan di luar kawalan undang-undang"... BACA LANJUT


Berita lanjut dipetik dari BERNAMA...
Lima Didakwa Hina Sultan Perak

KUALA LUMPUR, 13 Mac (Bernama) -- Sistem perundangan negara Jumaat mencatat sejarah apabila lima lelaki didakwa di mahkamah kerana menghina Sultan Perak Sultan Azlan Shah mengikut Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588). Berita lanjut DI SINI

minda.JUMAAT: kemulian ilmu

Gambar diambil dari header www.ghazali.org

Keutamaan ilmu adalah jelas seperti di akhir
Ayat 9 Surah az-Zumar:

"...Adakah sama orang-orang yang MENGETAHUI dengan orang-orang yang TIDAK MENGETAHUI? Sesungguhnya orang yang BERAKALlah yang dapat menerima pelajaran."

Dalam konteks yang sama,
Rasulullah s.a.w. menegaskan bahawa
"...Menuntut ilmu itu adalah FARDU keatas setiap orang Islam!"


Imam al-Ghazali dalam menghuraikan Ilmu Laduni memulakan hujjahnya bahawa

"Ilmu" (pengetahuan) ialah konsep (tassawwur) jiwa berakal yang tenang terhadap hakikat-hakikat sesuatu dan rupanya (suwaruha) yang bersih dari benda-benda dengan 'ainnya, kualitinya, kuantitinya, jauharnya dan zatnya; kalau ia tunggal.

"Alim" (orang yang mengetahui) ialah orang yang meliputi, mencapai serta mempunyai konsep, manakala "maklum" (apa yang diketahui) iaitu zat sesuatu yang terukir ilmunya pada jiwa.



[...bunyinya macam susah kan? Itu adalah ungkapan kitab tua
yang kaya dengan maklumat...]


Secara mudahnya, kemulian ilmu itu terletak pada "apa yang diketahuinya". Kalau ia mulia maka mulialah ilmu yang disampaikan.

Hanya Allah Yang Maha Mengetahui. Segala ilmu itu milikNYA.

ingati kekasih

Alhamdulillah, berkesempatan dalam pengisian Maulidur Rasul 1430H di Masjid Darul Ehsan Subang Jaya - sejak Maghrib semalam hinggalah selepas Isya' malam ini... Pengisian yang banyak manfaatnya.

Apa pentingnya kita umat di akhir zaman ini MENGINGATI tarikh keramat 12 Rabiul Awal setiap tahun?

Tentu sekali jawapannya adalah
"...menzahirkan rasa kecitaan kita kepada
Nabi Muhammad s.a.w."


Nabi Muhammad s.a.w. itu diutus untuk membawa rahmat sekelian alam. Mencintai Nabi bermakna mempertahankan syiar Islam yang dibawanya. Kecintaan kepada Rasulullah itu perlu dihidupkan dalam kehidupan kita. Sepanjang masa - bukan satu hari itu sahaja!

Dari satu sudut, Allah telah menurunkan siri ujian-ujian keatas umat Islam dalam "bentuk peperangan" sepanjang zaman. Rata-rata tidak memihak kepada umat Islam. Bermula dengan kekalahan dalam peperangan Uhud... sehinggalah ke hari ini - penderitaan Gaza!.

Pengajaran yang kekal sepanjang zaman dari gugur syahidnya 70 sahabat di Uhud itu adalah berpunca dari KETIDAK TAATNYA tentera Islam kepada Rasulullah. Namun, kekalahan Islam dalam perang Uhud itulah sebenarnya bertapaknya kemenangan syiar Islam.

Sejarah 'penyembelihan' umat Islam yang dilakukan seadanya dalam peperangan-peperangan selepas zaman kegemilangannya sehingga ke hari ini tidak sedikit pun menghapuskan cahaya Islam...ianya hanyalah sebagai 'hukuman dunia' kerana tidak mentaati Rasulullah - disamping hukuman di akhirat, yang hanya terlepas melalui syafaatnya!

Sebenarnya itulah anugerah dan janji Allah
mengutuskan Nabi Muhammad s.a.w;
kemenangan akan berpihak kepada Islam akhirnya.

Mencintai Nabi Muhammad s.a.w. sepanjang masa
hakikatnya adalah menghidupkan syiar Islam!


Hanya Allah Yang Maha Mengetahui dan Maha Pengampun.

8 Mac

"...membawa RAHMAT sekelian alam".

8 Mac adalah ulangtahun kelahiran isteri tercinta,
semoga sentiasa dikurniakan dengan nikmat iman,
nikmat kesihatan dan nikmat kelapangan masa
untuk meneruskan pengabdian kepadaNya. Amin

...diraikan anak cucu selepas Isya' malam Maulid Kekasih Allah.


minda.JUMAAT: ilmu laduni

Mungkin ada yang bertanya mengapa siri 'ilmu insani' menjadi tajuk entri (sejak Jumaat lalu)?

Ilmu Insani itu adalah ilmu yang 'dipelajari'. Sama ada ia bersifat fardu 'ain atau pun fardu kifayah.

Asasnya adalah akal anugerah Illahi, berpandukan sumber Al-Quran dan Hadis.

Sebenarnya saya cuba membezakannya dengan satu lagi cabang ilmu - iaitu ilmu laduni. Satu cabang ilmu yang agak 'rumit' untuk dibincangkan.

Secara ringkas, ilmu laduni itu adalah:

"...ilmu yang diperoleh seseorang yang soleh
dari Allah SWT melalui ilham dan
tanpa dipelajari
melalui proses pendidikan tertentu.

Ilmu tersebut
bukan hasil dari proses pemikiran,
tetapi ianya adalah kurniaan Allah..."

Kalau para Nabi dan Rasul diturunkan wahyu Allah yang kebenarannya 100%, maka orang-orang soleh (wali-wali Allah) diberi jalan singkat oleh Allah untuk memahami ilmu-ilmuNya secara ilham atau laduni - ilmu yang terus dijatuhkan ke hati, tanpa melalui akal.

Allah berfirman : “...Dan bertaqwalah (kepada Allah), niscaya Allah akan mengajar kamu, dan Allah Maha Mengetahui segala sesuatu." - Al Baqarah, (akhir ayat 282).

Mengikut ahli tafsir, secara spesifik ilmu laduni disebut Al-Quran dalam kisah Nabi Musa a.s. dan Nabi Khidir a.s.

"...Kami berikan kepadanya rahmat dari sisi Kami dan
yang telah kami ajarkan kepadanya
ILMU dari sisi kami."
Al-Kahfi, ayat 65.


Rasulullah s.a.w. mengingatkan kita semua

“...Barang siapa yang mengamalkan apa yang dia tahu,
Allah akan mengajarnya apa yang ia tidak ketahui...”



KEMASKINI
12 Rabiul Awal 1430 10:00 pagi

Alhamdulillah, setelah puas 'selongkar' rak-rak buku akhirnya berjumpa semula (selepas solat Asar kelmarin) buku di atas - Ilmu Laduni, karya asal 'Al-Risalah al-Laduniyyah' Iman al-Ghazali. Mengikut catatannya, dibeli pada 23.10.93...

ILMU LADUNI diterjemahkan Abdullah bin Mohammad (Nakula)
ISBN 983-62-2802-0 Terbitan DBP (1993)


ilmu insani (4)

Akal yang dikurniakan kepada kita adalah dengan keterbatasannya. Malah jelas tahap perbezaannya di antara kita. Akal jugalah yang menentukan darjah kemuliaan di sisi manusia - kerana ilmunya.

Paduan akal berilmu itu bahan rujukannya dalam Al-Quran dan Sunnah Rasulullah s.a.w. Dalam masyarakat Melayu, sering kita dengar ungkapan "...tidak berakal!". Apakah yang mendorong terhasilnya ungkapan serupa itu?

Allah telah menyingkap rahsia Nikmat dan RahmatNya dalam Ayat 1-11 dari Surah Luqman. Dan dengan jelas dinyatakan:

"...ayat-ayat Al-Quran yang mengandungi HIKMAT,
menjadi PERTUNJUK dan RAHMAT
bagi orang-orang yang berbuat kebajikan..."

Tertarik dengan model matematik yang dikemukakan Tuan Fuad Latip tentang Redha Allah yang ada kaitannya dengan ayat di atas. InsyaAllah, ia memudahkan kita memahami betapa Rahmat Allah itu tiada keterbatasannya (infiniti).

Pastinya, untuk 'berbuat kebajikan' juga memerlukan ilmu. Seperti yang pernah dinyatakan sebelum ini, ilmu itu dikenali sebagai Ilmu Mengurus Sistem (IMS). Dari perspektif Islam dikenali sebagai Ilmu Fardu Kifayah.

IMS adalah alat untuk manusia memakmurkan alam ini. InsyaAllah, beberapa entri akan datang akan disentuh lanjut tentangnya.


ilmu insani (3)

Dalam dua entri yang lepas ada disentuh tentang hikmah dan amanah.

Tahap hikmah dalam pemilikan ilmu itu akan dikecapi setelah nikmat dan rahmat yang dikurniakan Allah diuruskan dengan penuh amanah. Sifat amanah dalam diri seorang Muslim lahir dari iman dan ihsan.

Iman dari perspektif pengurusan adalah KUALITI.
Ihsan pula perspektif KUANTITI kualitinya!

Seseorang yang dianugerahi hikmah akan membawa sinar dalam kehidupan persekitarannya. Di sisi insan kamil itu jelas menzahirkan ihsannya yang beristiqamah. Dan yang paling ketara keupayaannya mengurus diri itulah menjadikannya sebagai pemimpin perubahan yang berkesan.

Sifat mesra alam (rahmah alamiah) yang dibawa Rasulullah s.a.w. memberi perspektif yang amat luas dalam proses pembinaan ilmu yang integratif - ilmu mengurus diri (fardu 'ain) dan ilmu mengurus sistem (fardu kifayah). Natijahnya, menghasilkan pembinaan personaliti (sahsiah) seimbang.

ilmu insani (2)

Entri lepas menyentuh serba ringkas berkaitan ilmu mengurus diri dan ilmu mengurus sistem kehidupan. Nikmat dan Rahmat Allah menjadi sumber hamparan pembentukan manusia - dalam menentukan jenis dan kualitinya.

Sekiranya sesuatu sistem itu asalnya tidak baik atau tidak hebat jika diawasi, diurus dan dikendalikan manusia yang berilmu, bertrampilan dan berakhlak; lambat laun sistem itu akan menjadi baik dan hebat.

Sebaliknya sehebat mana sistem yang telah dibangunkan, jika jatuh ke tangan-tangan manusia yang tidak memiliki ilmu dan ketrampilan yang baik serta tahap akhlak yang tidak berkualiti; lambat laun sistem itu akan rosak binasa.

Kerosakan-kerosakan yang berlaku dalam tamadun kemanusian adalah berpunca daripada peribadi-peribadi yang cuba lari dari kepentingan nilai dan akhlak dalam pengurusan diri. Kebendaan menjadi matlamat. Amanah dijadikan kesempatan - untuk mengukuhkan kedudukan dan kuasa serta kepentingan diri.

Justeru itu, dalam membangunkan modal insan yang mermiliki kualiti seimbang perlu digabungjalinkan ilmu pengurusan diri dengan ilmu penguran sistem. Pengintegrasian itu perlu dalam pembangunan keluarga, masyarakat, organisasi dan negara.

Ilmu mengurus diri secara mudahnya mempamirkan kesan gerak hati dan tindak tanduk nafsu berbanding kehebatan kawalan akal dan pancaindera yang dikurniakan.

Kesempurnaan kejadian manusia (dikurniakan) dengan mata, telinga, hidung, tangan, kaki, akal, nafsu dan hati membolehkan kita melihat, mendengar, menghidu, bekerja, berjalan, berfikir dan merasa apa yang ada dalam dan di luar diri kita. Rahmat diri itu semua datangnya dari Allah.

Dari perspektif akidah ianya menilai bagaimana nikmat dan rahmat tersebut sewajarnya dimanfaatkan:
  • Mata - melihat yang baik atau mungkar?
  • Telinga - mendengar yang elok atau lagha?
  • Hidung - menghidu untuk kesihatan atau kebinasaan?
  • Tangan - melakukan kebajikan atau kemaksiatan?
  • Kaki - kemana langkah dalam membantu gerak kerja tangannya?
  • Akal - adakah berfikir kearah fahsya' hingga kufur nikmat?
  • Adakah nafsu dan hati dirangsang secara terkawal berpandukan dosa dan pahala atau ala kebinatangan?
Persoalan-persoalan di atas adalah asas dalam menguruskan sumber amanah Allah yang terkandung dalam nikmat dan rahmatNya.

insyaAllah, dengan amanah yang tinggi
pengurusan diri akan membawa manfaat...