KPI Dashboard

mindset

Mindset. Perkataan bahasa Inggeris yang sudah semacam diMelayukan.

Semua orang tahu apa maksud perkataan itu. Ramai yang bicarakannya. Namun, ramai juga yang kurang memahaminya... Disenaraikan tiga respon yang 'popular' pernah diterima daripada audien sesi program-program pemikiran strategik yang dikendalikan:

...mindset itu, mindsetlah!
...mindset itu, sikaplah!
...mindset itu, cara berfikirlah!

Apakah definisi mindset?
Mindset adalah gabungan dua perkataan MIND dan SET.

Mind
atau minda adalah akal budi, akal fikiran, daya berfikir...seperti yang diberikan Tersaurus DBP dan SET itu pula (dari kamus Inggeris yang berkaitan) membawa maksud keutamaan dalam peningkatan kemampuan dalam sesuatu kegiatan, atau keutuhan.
(Nota: Tersaurus DBP belum upaya lagi mencari mindset, set...).

Justeru, MINDSET itu boleh didefinisikan sebagai:

"...Kepercayaan-kepercayaan yang mempengaruhi sikap seseorang;

...Suatu cara berfikir yang membentuk perangai, pandangan, sikap dan masa hadapan seseorang;

...Watak separa sedar seseorang memberi respon dan ekspresi diri terhadap situasi yang dihadapinya"

Nota
1. Mindset itu adalah kepercayaan atau cara berfikir yang mempengaruhi perangai atau sikap seseorang; yang akhirnya membentuk pola hidup dan kehidupannya.

2. Dalam kata lain, untuk membentuk mindset perlukan suatu sistem kepercayaan (belief system). Mantap kepercayaan seseorang itu mantaplah personalitinya! Apa dia sistem kepercayaan itu? Kita bicarakan di ruang lain.

3. Sumber tambahan boleh dicari DI SINI

berfikir songsang...

Bukan berhasrat untuk mengajar ilmu songsang. Atau ajaran sesat! Iannya sekadar merangsang minda di pagi Ahad... hingga ke malam Isnin nanti.

Salah satu buku yang dibawa balik dari Jakarta tempoh hari adalah "Whatever You Think, tHINK tHE oPPOSITE". Sebuah buku terjemahan Indonesia oleh esensi, Erlangga Group Jakarta. Karya asal Paul Arden, dikatakan sebagai salah seorang penulis buku bestseller dunia... [Nota: Bukan untuk mempromo buku ini...]

Catatan di muka dalam berwarna merah (m.s. 2):
"...Buku ini tentang cara berpikir yang salah
tetapi merupakan cara yang benar untuk menang
".

Dan dipetik juga salah satu ungkapan asalnya:
Ask for a slap in the face -
Truth hurts, but in the long run it's better than
a pat on the back!


Nota
1. Jika inginkan pandangan daripada seseorang tentang karya kita, jangan tanyakan apa yang ingin didengari (yang benar) - tanyakan yang salah!

2. 20 tahun yang lalu ketika bertugas di sebuah Kementerian, pernah beberapa kali memperakukan cadangan yang 'salah' (dan memberi kesan yang negatif jika cadangan diterima) kepada boss untuk kelulusan. Namun dalam masa yang sama (seperti kebiasaannya), menyediakan cadangan 'pilihan' yang ditonjolkan sebagai 'tidak relevan'... [Sempat bersama beliau selama 12 bulan, sebelum bersara wajib 1986]

Mengapa? Dalam banyak kes, boss saya itu (dari spesis yang sering) tidak akan menerima cadangan anak-anak buahnya!... Spesis yang sering terasa tergugat, jika anak-anak buahnya memiliki idea yang baik dan dapat menyelesaikan masaalah berbanding dirinya...dan tidak mahu menampakkan sesuatu keputusan yang dibuat itu datangnya daripada orang lain!

...Pernah melalui seperti itu?
Cuba gunakan pendekatan 'berfikir songsang'!

minda.JUMAAT: naluri doa

Lumrahnya, sebagai insan yang kerdil mahu pun yang perkasa; pastinya akan kembali kepada Penciptanya ketika di dalam kesulitan. Melarat! Terdesak! Kritikal!... dan seumpama dengannya.

Dalam suasana sedemikian hati kecil atau nalurinya tanpa segan silu memohon belas ihsan Tuhan. Naluri doa tersemat dalam jiwa manusia. Baik yang beriman atau pun yang sentiasa menderhaka kepadaNya. Beberapa herdikan Allah kepada manusia disebut di dalam Al-Quran, di antaranya:

"...Apabila manusia ditimpa kemelaratan, manusia berdoa kepada Tuhannya dalam keadaan bersungguh-sungguh kembali kepadaNya. Kemudian apabila diberi ruang mengecapi rahmat daripadaNya, tiba-tiba satu golongan di kalangan mereka mempersekutukan Tuhan"
Ayat 33: Surah al-Rum.

Rujuk juga Ayat 8: Surah al-Zumar.

di celah-celah kehidupan...

Dipaparkan sebahagian dari bahan bergambar Travelog: catatan Jakarta segmen Di Celah-Celah Kehidupan.

Mesej yang ingin dibawa dicoretkan pada slide terakhir..."syukur tinggal di Istana Bogor"

Nota:
Travelog: catatan Jakarta sedang dikemaskini...
Kunjungilah melalui capaiannya di galeri.MINDA

jangan pandang ringan...

Penyakit bisul merupakan kumpulan nanah terkumpul di dalam rongga yang terbentuk oleh tisu akibat proses jangkitan (biasanya disebabkan oleh bakteria atau parasit) atau sebarang bahan asing (contohnya, luka tikaman/tembakan).

Ia merupakan sistem ketahanan diri tisu untuk menghalang penyebaran bahan berjangkit kepada bahagian badan yang lain... [Baca maklumat ini seterusnya]

ڤڽاكيت بيسول مروڤاكن كومڤولن نانه تركومڤول د دالم روڠڬ يڠ تربنتوق اوليه تيسو عقيبة ڤروسيس جڠكيتن ﴿بياساڽ دسببكن اوليه بكتيريا اتاو ڤاراسيت﴾ اتاو سبارڠ باهن اسيڠ ﴿چونتوهڽ، لوك تيكامن/تيمبكن﴾.

اي مروڤاكن سيستم كتاهانن ديري تيسو اونتوق مڠهالڠ ڤڽيبارن باهن برجڠكيت كڤد بهاڬين بادن يڠ لاين...باچ معلومت اين ستروسڽ


Tip yang diberikan doktor
'keluarga' semalam: "Walau sekecil mana sekali pun bisul itu, langkah pertama yang perlu diambil adalah mendapatkan antibiotic - untuk menyekatnya dari merebak... Jangan usik-usik atau nakal-nakalkannya!"...

Ada beberapa kes 'radang bisul' telah mengakibatkan kanser tulang... Hati-hati dan jangan pandang ringan terhadap mahluk Allah yang bernama bisul itu.

Nota: Berkongsi pengalaman...
1. Sebelum ke Jakarta tempoh hari, dapat dikesani bisul (sebesar ibu jari dan keras, di peha kiri berhampiran kelenjar). Tidak pula hiraukan sangat (kerana tidak sakit...dan agaknya kerana keseronokan hendak bercuti mengatasinya). Sapukan colgate sahaja...kerana itulah 'amalan' biasa sebelum ini.

2. Hari-hari terakhir di Jakarta, mula terasa ketidakselesaannya! (Agaknya kerana 'program percutian' hampir tamat). Kaki kiri terasa kebas apabila banyak berjalan... Akibatnya lebih selesa 'duduk menunggu' ketika isteri lakukan window shopping...

3. Sabtu malam, kerana 'geram' bisul tu tidak pecah-pecah maka dipicitnya sendiri!... Esok malamnya tidak boleh tidur kesakitan! Bisul itu menjadi sebesar telur ayam...

4. Pagi Isnin ke klinik...kena marah dengan doktor! (sebagai seorang kawan, yang menyimpan rekod kesihatan keluarga lebih 20 tahun). Terus dirujuknya ke SJMC... Jam 16:00 menjalani pembedahan kecil. Hampir setengah cawan nanah (bercampur darah) dikeluarkan!

eJAWI converter DI SINI

Al-Fatihah untuk Zafran...

Al-Fatihah untuk Allahyarham Ahmad Zafran Abdul Mutalib, seorang penulis PTS. Ikuti catatan Puan Ainon mengenai Allahyarham


...nama blognya Panaharjuna

dan amat-amatilah entri terakhirnya (2 Jan 2008) 'Senyum Pagi' - yang cuba menggambarkan keakraban beliau bersama jOnOs dan ICe...dalam karyanya.

Baca juga Ahmad Zafran Dalam Kenangan...

Pernah bersua muka dan bersapa ketika mengahadiri kelas mingguan Sifu PTS tahun lalu...

Semoga rohnya dicucuri rahmatNya, Amin.

banjiri buku...

Jam 17:00, selepas 41 jam tiba di KLIA - agen penghantaran 'barang hilang' menghantar satu bargasi kami yang 'tercicir' di penerbangan yang tidak dapat berlepas kelmarin (akibat anak-anak kapalnya terperangkap dalam banjir Jakarta)... Syukur, ianya dalam keadaan yang 'hampir sempurna' (kami dapati ada cubaan membuka kuncinya, tetapi gagal)
Sebenarnya tiada 'cenderahati' yang lebih berharga yang sempat dilarikan (dalam cemas banjir kilat di Jakarta) selain 13 buah buku (di atas). Ternyata berbaloi (dengan pelaburan Rp791,000) serta ianya mengatasi segalanya dalam percutian kali ini...

Kami bersyukur ke atas rahmat dan nikmat Allah yang memudahkan perjalanan kami.

Jakarta banjir...

Program 8H7M Jakarta di akhiri semalam dengan banjir kilat. Sebenarnya hujan lebat mula turun sebaik kami turun dari Gunung Tangkuban Parahu di Bandung tempoh hari. Sejak itu banjir mula melanda beberapa bahagian Jawa Barat.

Hujan yang agak lebat turun sejak malam Jumaat di Jakarta. Seawal jam 08:30 kami ke Plaza Senayan... walau pun kedai buku Kinokuniya buka jam 10:00...kerana ingin tunaikan hajat beberapa rakan bloggers yang kepinginkan beberapa tajuk buku Indonesia.

Kami bergegas balik ke hotel. Teksi yang kami naiki mula meredahi takungan air di beberapa kawasan laluan di Bandaraya Jakarta... keadaan mula cemas! Kami pastikan teksi yang sama menunggu untuk ke lapangan terbang.

Jam 12:00, Pak Bambang (daripada Surabaya, pemandu teksi itu) memaklumkan Jakarta mulai dilanda banjir. Beliau mencadangkan melalui lebuharaya (tol) alternatif, selamat tetapi jauh... "bisa saja Pak, asalkan kami sampai airport!" Jawab saya cemas.
Memang benar jangkaan beliau (yang sudah biasa dengan keadaan). Namun, hanya beberapa km terakhir, tersangkut (jarak 1km sahaja) satu jam kerana melalui kawasan kerja-kerja pembinaan jembatan.

Waktu itu jam 14:30. Flight AK955 ke KL dijangka berlepas 15:10... mohon bantuan anak di Malaysia untuk hubungi AirAsia... Mungkin pembaca dapat bayangkan keresahan kami ketika itu!... Namun, kami besyukur tidak terperangkap dalam banjir kilat Jakarta.

Sampai di lapangan terbang jam 15:30, kami dimaklumkan landasan ditutup dari jam 13:00 hingga 17:00, kerana cuaca buruk dan merbahayakan pesawat. Tarik nafas lega... buat sementara sahaja!

Tiga kali 'tukar flight'. Akhirnya meninggalkan Jakarta (yang dilandar banjir) jam 22:30. Sampai rumah di Subang Jaya jam 02:00, awal pagi Sabtu. Alhamdulillah!

Mungkin peristiwa-peristiwa banjir secara kebetulan...ketika tinggalkan Dubai, Bandung dan Jakarta... [macam bomoh bawa hujan pula...Sering juga 'membawa hujan' apabila pergi kesesuatu tempat yang telah beberapa lama tidak turun hujan... Betapa besarnya perencanaan Allah!].

Kunjungi lapuran-lapuran salah sebuah stesen TV Indonesia DI SINI yang mungkin dapat memberi gambaran betapa 'kelam kabutnya' Jakarta semalam...lagi berita Jakarta lumpuh

minda.JUMAAT: ...ganda 120,000

minda.JUMAAT kali ini memetik satu dari 38 kisah "Di Atas Sajadah Cinta" karya Pak Habiburrahaman...

Intisari kisah ke 10: "Sedekah Berlipat 120 Ribu Kali". Ianya tentang keindahan hati yang pemurah, diriwayatkan Fudhail bin 'Iyadh.

"...Seorang pengembala kambing menjual seekor kambingnya dengan harga satu dirham, untuk membeli tepung. Dalam perjalanan ke pasar, beliau bertemu dua orang yang berkelahi. Mereka berkelahi kerana berebutkan satu dirham. Di atas keinsafan belas hatinya maka diberikannya satu dirham yang dimilikinya itu... yang akhirnya tidak dapat membeli tepung yang diminta isterinya!

Tiada kambing lagi untuk dijual. Isterinya mengumpulkan apa sahaja barang di rumah yang ada, untuk dijualkan... Tiada siapa yang ingin membelinya. Akhirnya bertemu dengan seorang penjual ikan. Ikan yang dibawanya semua telah busuk. Kedua-duanya akhirnya bersetuju dengan berdagang secara 'bater-trade'...

Ketika menyiang salah seekor ikan busuk itu, isterinya menemui sebiji mutiara dari perut ikan tersebut!...Kerana beliau tiada ilmu tentang nilai mutiara itu, dibawanya kepada mereka-mereka yang arif tentangnya.

Pakar mutiara 1: "Aku mampu beli 40,000 dirham. Jika kamu mahu lebih, berjumpalah orang ini...
Pakar mutiara 2: "Aku mampu beli 80,000 dirham. Jika kamu mahu lebih, berjumpahlah orang ini...
Pakar mutiara 3: "Aku mampu beli 120,000 dirham. Aku rasa tiada orang lain yang mampu bayar lebih dari itu!..."

Nota: Episod akhir kisah itu suspen sedikit....bacalah sendiri kisah tu!

buku.buku..buku...

Sempat menjenguk-jenguk ke Plaza Senayan /Senayan City, salah satu kompleks membeli-belah (5*) yang tidak kurang hebatnya. Matlamat utama adalah untuk mencari makan (tengahari) dan membelek-belek buku, buku, buku... (Sesuatu yang menjadi amalan apabila ke luar Negara)

Kedai buku Kinokuniya meliputi hampir separuh ruang di tingkat 5 kompleks Sogo. Fokus adalah di bahagian buku-buku Indonesia. Dari jauh nampak jelas apa yang dipamirkan... tajuk-tajuk 'best seller' (bahasa Inggeris)! Apabila membeleknya... rupa-rupanya buku terjemahan ke dalam bahasa Indonesia. Banyak sekali buku-buku bentuk itu - tetapi amat kurang (dalam Bahasa Melayu) di tempat kita...

Disebabkan kesuntukan masa, tidak dapat 'mengulat buku' lama di situ. Capai 5 buah... Rp250,000 sahaja (agak murah berbanding di Malaysia) - 2 buah darinya untuk Sifu PTS :

1. Barack Obama - Menerjang Harapan: Dari Jakarta Menuju Gedung Putih [The #1 New York Times Bestseller]
2. Habiburrahman El Shirazy - Di atas Sajadah Cinta [sudah 18 kali diulang cetak!]

...Al-Fatihah

Hilangnya sebutir permata yang
memperjuangkan kebenaran Illahi...

SHAH ALAM 30 Jan. - Bekas Mufti Selangor, Datuk Ishak Baharom, 80, meninggal dunia di Hospital Sungai Buloh tengah hari ini selepas hampir 21 jam dirawat di unit rawatan rapi (ICU) hospital berkenaan.
Timbalan Pengarah Perubatan Hospital Sungai Buloh, Dr. Khalid Ibrahim berkata, Allahyarham meninggal dunia pada pukul 2.50 petang akibat pendarahan dalam kepala. Beliau telah dimasukkan ke hospital tersebut pada pukul 6 petang semalam. Jenazah Allahyarham akan dikebumikan esok.

Sumber: Maklumat didapati Di Sini dan DI SINI

30108=32

32 tahun lalu, jam 10:00 malam hari Jumaat di Kampung Krubung Melaka kami diijabkabulkan...Hari itu adalah
Tahun Baru Cina 1976
Alhamdulillah, kini daripada zuriat kami - Izzah (suami Remee), Azzam (isteri Liza), Azlin (suami Hafiz) dan Idayu; kami dikurniakan 3 orang cucu - Redza, Aisyah dan Hana.
Idayu baru sahaja memulakan kerjaya
dengan IBM sejak tahun lepas.

SEMOGA KEHIDUPAN KAMI DAN ZURIAT KAMI
DIBERKATI ALLAH
- di dunia dan di akhirat, isyaAllah

Nota
1. Kek ulangtahun di atas merupakan 'surprise' sebelum kami ke Airport Dubai untuk balik ke Malaysia tempoh hari.

2. Kenangan paling manis adalah ketika ulangtahun ke-30 - disambut bersama semua anak cucu di Jumeira Beach Hotel, Dubai.

3. Secara kebetulan, ulangtahun kali ini kami 'jejaki alami' menerusi salam.Jakarta - penerbangan percuma AirAsia...

air gunung berapi

Lari ke Bandung (2H1M) sebenarnya sebagai memenuhi impian... untuk melihat kawah gunung berapi yang masih aktif (dari dekat) dan berendam di dalam air gunung berapi!Kami ke Gunung Tangkuban Parahu (Perahu Karam dalam dialet Sunda). Menginap di Sari Ater Hot Spring Resort, Ciater Subang (10km di kaki gunung)... tak sangka pula 'balik' ke Subang... Sistem bekalan airnya dari sumber alami ...sejuk dan panas (belerang).

Tangkuban Parahu itu ada kaitannya dengan lagenda purba Sasakala Sangkuriang...(versi Indonesia)
Selepas subuh (05:00) kami berdua (sahaja ketika itu) 'berendam' sepuas-puasnya di pancuran dan air terjun... Suhu di antara 39-42 deg C.

nasi sunda...

Jam 09:00, selepas jenazah Pak Harto diterbangkan ke Solo untuk diberi kehormatan terakhir seorang Negarawan, kami pula menuju Bandung... (hendak cari air batu bandung!)

Melalui lebuhraya Jakarta-Bandung, perjalanan 200km itu selalunya mengambil masa paling cepat 2 jam. Namun (supir baru) dengan Kijangnya (...Toyota Inova) 1.5 jam sudah melewati Bandaraya Bandung!... terpaksalah cuit Mem untuk kenakan tali pinggang (kami duduk di seat belakang)... serta berzikir sepanjang perjalanan!

Pemandangan kehijauan sawah padi amat melegakan. Tanah pertanian subur menuju Bandung itu kehitam-hitaman (berbanding kemerah-merahan ke Bogor).

Kali ini 'jalan-jalan cari makan' (makan tengahari) menikmati pula hidangan Sunda 'asli' di Laksana...yang terkenal itu.

Di antara menu specialnya: Sup Buntut Sapi (...sup ekor sapi...pertama kali merasa sapi), ikan sungai (semacam ikan talapiah) bakar berempah - dihidang bersama cecahan cili api... bukan sahaja berpeluh, tetapi cucuran air mata kepedasan!

Perhatikan konsep sajiannya: duduk sahaja segala yang ada di kedai itu terhidang. Cuma pilih yang mana berkenan seleranya...

detik 13:10

Selepas makan tengahari di Podok Laguna (No 45, Jln Batu Tulis Raya, Jakarta Pusat) kami dimaklumkan Pak Harto telah meninggal dunia... jam 13:10 (waktu Indonesia Bahagian Barat). Hanya Al-Fatihah yang diiringkan.

Keenakan ikan laguna special tadi rasanya berlalu begitu sahaja...

Sejak saat itu bermulalah liputan mengenai kehebatan jasa-jasa dan kebaikan Pak Harto. Semua stesen radio (yang dapat diikuti dalam kereta) melapurkan berita yang sama. Begitu juga semua stesen TV... semalaman boleh dikatakan tiada siaran lain.

Indonesia berkabung selama seminggu, namun urusan harian seperti biasa.

Nota:
al-kisahnya lumrah dunia... kehebatan seseorang (pemimpin) itu rupa-rupa tertutup kok kesilapan yang dilakukan semasa hayatnya, tetapi tertutup kesilapan itu apabila tiada lagi?

Ikuti salah satu liputan TV DI SINI

damai minda

Semalam seharian di Bogor...mencari damai minda. Perjalanan melalui lebuhraya 3-lorongnya itu mangambil masa hampir 2 jam dari Jakarta. Bogor (nama Belandanya Buitenzorg) adalah wilayah yang subur tanah pertaniannya. Pisang, ubi kayu, keledek dan jagung manis ada di mana-mana. Segar mata memandang kehijauan tanaman tersebut di sepanjang perjalanan.

Destinasi utama adalah Kebun Raya Bogor (KRB, botanical gardens), bersebelahan Istana Bogor (1745) yang banyak sejarah silamnya. Keluasannya hampir 90 hektar. Taman itu bermula dengan tanaman pokok-pokok Canarium Vulgare. Kini berusia 190 tahun. Kami dipandu-arah oleh Pak Djenudin petugas berpengalaman di KRB. Maklumat lain baca DI SINI

Selepas 2.5 jam berjalan dan menjelajahinya, apa yang dapat digambarkan adalah kebenaran ayat "...many world class exhibits" (seperti yang dinyatakan di dalam buku panduan KRB). Kehebatan penciptaan Illahi dapat disaksikan di situ... Itu baru satu benda, iaitu pokok!

Mengapa saya suka dengan pokok? (sehingga 'bersusah payah' ke Bogor). Sebenarnya pokoklah yang menjadi sumber inspirasi (dan menjadikannya sebagai anologi) dalam memahamkan kumpulan sasar /khalayak, ketika berkongsi ilmu dan pengalaman tentang konsep Balanced Scorecard (BSC).

BSC adalah alat pengurusan digunakan untuk merealisasi dan melaksanakan strategi secara berkesan. Selalunya di akhir program, salah satu soalan yang akan ditanya adalah "Apa dia BSC?" ...dan jika jawapan mereka adalah "POKOK" - saya menarik nafas lega dan melafazkan Alhamdulillah!

Nota: Gambar di atas adalah salah satu contoh dari beberapa papan tanda motivasi minda yang dipasang di dalam kawasan KRB (yang sengaja dipaparkan di tepi tasik buatan, di belakang Istana Bogor)... fikir-fikirkanlah!

Betapa air-mata dan mata-air itu saling tangis-tangisan menghadapi dilema "pemanasan global" hasil dari kekejaman manusia...