KPI Dashboard

28 Muharram 30 Januari

30 Januari dalam tahun 1976 adalah bersamaan 28 Muharram 1397H. Jika dibandingkan dengan tahun 2010, ianya bersamaan 14 Safar 1431H. Ini bermakna kalender Hijri mendahului 15 hari dalam kitaran 34 tahun tersebut...

Alhamdulillah, hari ini adalah ulangtahun ke 34 pernikahan kami...dan sebentar nanti akan berkejar balik ke Kampung Krubung, Melaka menziarah Mak Temah, ibu mertua yang masih menetap di rumah di mana kami dinikahkan. Sebelah tengaharinya pula ke majlis perkahwinan anak buah Norlela Zubir, biras /adik ipar kami. Kemudian terus balik ke Subang Jaya untuk satu lagi majlis di sebelah malam di Sungai Buluh.

Sebahagian dari keluarga besar kami (Raya Puasa 1430H)
Rumah itulah yang berjaya membesarkan sepuluh adik beradik isteri saya. Ianya telah lama bertukar wajah - untuk menampung 'pembesaran keluarga' - rumah 'tanpa tangga' seperti lazimnya apabila rumah kayu diganti batu bata!

Walau apa pun, suatu yang pasti Mak Temah tetap memegang amanah dan pesan Allahyarham Pak Mat agar 'tidak meninggalkan' rumah (untuk tinggal bersama anak-anak)... 

"Aku nak balik rumah aku (di Krubung)"... Itulah kalimah biasa yang dilafaskan Mak Temah setelah berada beberapa hari di rumah anak-anaknya di Lembah Klang.

"Nanti bila engkau dah tua, barulah engkau faham!..." telahan Mak Temah lagi untuk menguatkan hujahnya kepada kami. Itu tidak termasuk beberapa alasan lain, di antaranya:
 

"...tiada orang yang lalu lalang singgah berbual..."
"...tak elok tinggalkan rumah kosong lama-lama!..."
"...kesian kucing-kucing yang tak tentu masa makannya!..."
Bersama 4 cucu dan 3 menantu (Raya Puasa 1430H)
 
Dalam usia emas dan kini dikurniakan empat orang cucu yang telah bersekolah rendah, kami mula memahami kata-kata Mak Temah itu...

Kami memohon perlindungan, keampunan dan rahmatNYA dalam sisa-sia umur yang dikurniakan. Hidup dalam kasih sayang dan belas kasihan di antara kami, Amin...

Gerhana Matahari 15 Januari 2010

KEMASKINI: 11:11pm - Imej-imej gerhana matahari dari lensa Sdr Shahrin.  Lokasi Pekan Rabu, Pulau Langkawi. Layari falak Online untuk maklumat lanjut.



Hari ini sekali lagi Allah pertontonkan kekuasaanNYA dalam menguruskan alam ini - khususnya bulan dan matahari, seperti yang dinyatakan dalam Ayat 40 Surah Yasiin.

Lihatlah catatan perjalanan gerhana matahari hari ini,  bersumberkan NASA

Allah Subhanahu Wata’ala telah menciptakan langit dan bumi ini dengan penuh keindahan dan kehebatan. Di bumi, Allah ciptakan kita manusia disamping mahluk lain seperti binatang, tumbuh-tumbuhan, gunungganang,lautan, sungai dan sebagainya. 

Manakala di langit, Allah ciptakan matahari, bulan dan bintang yang menghiasi panorama yang indah serta bermanfaat kepada hamba-hambanya, bukan setakat menciptakan sahaja, tetapi Allah Subhanahu Wata’ala telah mentadbir alam semasta ini dengan kudrat dan iradatnya, sehinggalah tidak ada sebab boleh berlakunya perlanggaran antara satu sama lain, jika sekiranya berlaku pertembungan, maka ini akan mengakibatkan kehancuran dan kemusnahan. 

Maksud firman Allah Subhanahu Wata’ala dalam surah Yaasin ayat 40:

“Tidaklah mungkin bagi matahari mendapatkan bulan dan malam pun tidak dapat mendahului siang dan masing-masing beredar pada garisan inderanya”

Pada hari ini sekali lagi Allah Subhanahu Wata’ala telah memperlihatkan kehebatan dan kekuasaannya, dimana berlakunya gerhana matahari pada hari ini 15 Januari 2010. Menurut ahli astronomi, kejadian gerhana berlaku akibat dari kedudukan sejajar antara matahari, bulan dan bumi, ini dinamakan sebagai gerhana matahari.

Manakala jika berlaku kedudukan sejajar antara matahari, bumi dan bulan, maka dinamakan gerhana bulan. Kedudukan sebegini akan menghalang cahaya matahari sampai ke bumi dan dinamakan gerhana kerana sebagaimana yang kita maklum bahawa bulan dan bumi sifatnya adalah menerima cahaya dari matahari.

Hayati khutbah Gerhana Matahari seterusnya DI SINI



Kunjungilah ANGKASA Malaysia untuk melihat detik-detik kehebatan dan kekuasaan Allah...

 TONTONI JUGA DETIK-DETIK GERHANA HARI INI

NOTA: Rujuk tarikh-tarikh berlakunya gerhana bulan dan matahari dalam Tahun 2009 dan 2010 - sumber NASA

Yayasan Tun Suffian


Hari ini adalah hari yang paling istimewa buat kami sekeluarga...

Kami dikunjungi oleh Pemegang-Pemegang Amanah Yayasan Tun Suffian - YM Tunku Dr Sofiah Jewa dan YBhg Dato' Dr Yaacob Merican.

Apabila pihak urusetia menghubungi saya minggu lepas, kami 'tergamam' dan terharu... risau pun ada! (risau bagaimana hendak 'melayan' VIP....).


Turut serta adalah Puan Alwizah (tiga dari kanan) dan suami (En Zul, baju putih) daripada Urusetia Yayasan Tun Suffian - yang banyak membantu dan mengaturkan pertemuan ini.



Namun, semua debaran itu berakhir.... gambar-gambar di atas /bawah mungkin boleh menceritakan suasana pertemuan hampir dua jam itu. Ia penuh kemesraan yang bersifat 'kunjungan kekeluargaan' walau pun baru pertama kali bertemu! 


Alhamdulillah dan budi mereka semua tetap diabadikan. Hanya Allah akan membalasnya




Nota:
1. Yayasan Tun Suffian ditubuhkan pada 11 Jun 2002, sebagai mengenang jasa dan bakti Alllahyarham Tun Mohamed Suffian kepada Negara, dan nama besar khususnya komuniti perundangan.

2. Kami amat bersyukur kepada Allah kerana anak ketiga kami Azlin yang kini melanjutkan pelajaran di peringkat Sarjana - merupakan anak Melayu pertama dipilih menerima biasiswa /hadiah kecemerlangan pelajaran Yayasan Tun Suffian sejak diperkenalkan... untuk program LLM University of Cambridge, England.

| Winter Wonderland at University of Cambridge |



FAHAMI isu penggunaan kalimah ALLAH


Kalimah ALLAH:
Ia bukan suatu perkataan ciptaan manusia;
Ia bukan memandai-mandai disejagatkan miliknya; dan
Ia bukan untuk meraih simpati sokongan!

IA ADALAH KALIMAH TAUHID!

...justeru jauhilah kemelut kejahilan pemikiran yang nyata!
dan kupasan blog-blog TERPILIH

.

Hana Smart Reader

Hari ini hari pertama buat Hana, cucu ke-tiga ke tadika. Tadika Smart Reader, berhampiran pejabat ayahnya. Redza dan Aishah pula memulakan Tahun Dua persekolahan masing-masing.

...lihatlah gelagat Hana di awal pagi hari pertama tadikanya.

010110

Kalender Islam Tahun 1431 Hijrah (1 Muharram) mendahului tahun Masehi 2010 (01.01.10) empat belas (14) hari. Kedua-dua tahun tersebut bermula hari Jumaat - penghulu segala hari.

Semoga tahun ini membawa keberkatan dalam kehidupan kita semua di negara ini, InsyaAllah

Dan telah direncanakanNya, bermula dari awal tahun 1431H terlibat langsung dalam beberapa aspek pembangunan Teknologi Hijau Negara... Alhamdulillah.


Apa dia TEKNOLOGI HIJAU? - ia merujuk kepada pembangunan dan aplikasi produk, peralatan serta sistem untuk memulihara alam sekitar dan sumber semula jadi, dan meminimumkan atau mengurangkan kesan negatif daripada aktiviti manusia...

Rujuk Dasar Teknologi Hijau Negara dan DI SINI


bala' 31.12.2009

KEMASKINI |4 Januari 2010| 
Sejak dua hari yang lalu barulah media arus perdana terlalak-lalak... seakan-akan cuba menutup beberapa isu panas yang menjadi penutup tahun 2009. 

Dikongsi renungan mendalam Mohd Sayuti Omar yang mungkin dapat menjelaskan duduk perkara:

"...Alasan diberikan pemimpin ini perkataan Allah itu boleh digunakan kerana ianya adalah hak sejagat. Perkataan Allah itu hak semua orang jadi tidak menjadi masalah kalau pihak mana hendak menggunakannya.

Saya tidak tahu sejauh mana pemimpin itu dapat membaca kilau dalam kilat dalam kes ini. Apakah pihak Kristian akan menggunapakai maksud perkataan Allah itu seperti mana difikirkan tokoh politik berkenaan atau sebaliknya? Tidakkah tokoh parti itu mengira bahawa ada maksud tersirat yang jauh lebih dalam di sebalik kesungguhan Kristian ingin mengguna perkataan berkenaan? Sesiapa pun tidak boleh menafikan bahawa machinery Kristinity lebih halus, canggih dan sistemetik..."

................................................................................
Selain dari imbasan berita TV di Astro, nampaknya media arus perdana seakan-akan tidak sedar adanya berita 'kekalahan' di mahkamh bagi pihak umat Islam negara ini. Islam yang termaktub sebagai agama rasmi dari sudut perlembagaan negara kini menerima satu lagi fitnah!

Mahkamah memutuskan Gereja Katholik dan The Herald boleh menggunakan perkataan ALLAH di setiap penerbitan dan Sunday sermon.

Keputusan mahkamah ini adalah satu lagi bala’ dan ummat Islam menerima satu lagi tekanan dan kekecewaan. Hakim kes berkenaan menggunakan asas kebebasan agama sebagai nadi keputusan. 


Dari sudut kebebasan, sememangnya ianya seolah-olah tiada masalah. Impaknya akan dirasai oleh generasi dan anak cucu kita nanti.


Baca entri selanjutnya  HjMuda DI SINI

Semoga Allah memberi keampunan di atas kelalaian kita semua...  Tetapi itukah sahaja ratapan kita?

macam-macam...



Salah satu 'kegembiraan' adalah bila mendapat
nombor plat kereta yang ada siri '111'... 
Entah mengapa saya pun tidak tahu!

Kereta pertama saya (1979) MJ7111...dan di atas pula
adalah nombor yang terbaru (rasanya yang terakhir) 
yang didaftarkan di Kota Kinabalu...nombor idaman yang 'secara tiba-tiba muncul'. Terima kasih kepada
rakan-rakan di sana - MSMT, HjRaban dan TAR (jiran)

 

Menangani Cabaran Perubahan

Maklumat lanjut

Semua dijemput ke majlis Ceramah Bulanan Masjid Darul Ehsan Subang Jaya (MDESJ) 18 Disember 2009, hari Jumaat, selepas solat Maghrib; bersempena sambutan Maal Hijrah 1431H.


Tajuk: MENANGANI CABARAN PERUBAHAN - dari Perspektif Falsafah Ibadah Haji
Penceramah: Prof Dr Hj Muhd Kamil Ibrahim, Pengarah UiTM Johor; yang juga Ahli Jawatankuasa Dakwah Majls Agama Islam Selangor (MAIS).


Layari http://www.MDESJ.net untuk maklumat lanjut.

Kongsi Rezeki

Jalan di belakang rumah adalah tempat kunjungan gagak, pipit, tekukur, dan burung-burung kecil lain; hampir setiap pagi dan petang. Kehadiran kucing pernah saya catatkan.

Namun, sejak kebelakangan ini tupai pula mendapat perhatian kami. 'sisa-sisa' makanan (selalunya buah-buahan) kami kongsi bersama... mungkin album dan video dibawah boleh menceritakannya.



selepas sebulan di Cambridge...

Rasanya mereka telah dapat atasi perkara-perkara berkaitan penginapan, persekitaran (mendapatkan sumber makanan-makanan halal) dan budaya tradisi kampus UC (khususnya program LLMnya)...



minda.JUMAAT: sujud dan DAHI

Melaksanakan solat yang menjadi tiang agama hakikatnya, mendatangkan ketenteraman jiwa dan kebahagian hidup, sekali gus terpancar di wajah.

Bagaimana boleh dibuktikan menerusi ayat al-Quran dan sunah Rasulullah SAW?


Benar solat adalah tiang dan asas kepada agama berdasarkan hadith:

رأس الأمر الاسلام وعموده الصلاة
"Kepala urusan (kehidupan) ini adalah Islam dan tiangnya adalah solat" (Riwayat Ibn Majah dan An-Nasa'ie dalam As-Sunan Al-Kubra;
Al-Albani dan Al-Arnauot : Hadis sohih )


Ia juga jika ditunaikan dengan ilmu dan khsuyu'nya adalah menghasilkan rasa kemanisan iman dan ketenangan sebagaiamana yang ditegaskan oleh Nabi s.a.w

حبب إلي من دنياكم الطيب والنساء وجعلت قرة عيني في الصلاة
 "Aku suka terhadap beberapa item dalam dunia kamu, iaitu wangian, wanita (iaitu dalam meningkatkan martabatnya berbanding menjadi barang mainan dan dagangan di zaman Jahiliyah) dan dijadikan ketenangan dan kenikmatanku di dalam solat"( Riwayat Ahmad, al-Baihaqi dan Al-Hakim)

Dipetik dari www.Zaharuddin.net

Pemenang Anugerah AMIN ke-3 (2009) - Lamanweb Islamik Terbaik