KPI Dashboard

reliabiliti

Saya berada di Melaka sekarang. 17-19 April 2008 berkongsi ilmu dan pengalamanan bersama sekumpulan anggota kerja sebuah syarikat agensi Kerajaan Negeri. Program tersebut merupakan tindakan susulan kepada bengkel sehari yang dihadiri kumpulan yang sama tiga minggu lalu.

Aspek utama yang dibincangkan adalah berkaitan membina reliabiliti sistem penyampaian perkhidmatan Syarikat.

Apa yang menarik perhatian adalah kepekaan peserta dalam menangani hakikat sebenar atau 'realiti hidup' isu berkaitan. Reliabiliti (atau berdaya harap) amat bergantung kepada sistem pengurusan data operasi dan bisnes.

Data yang tidak bolih diharap
akan memusnahkan harapan pelanggan!



Justeru itu, kerangka transformasi data ke dalam bentuk maklumat yang berfaedah amat perlu dititiberatkan - apabila berbicara tentang sistem reliabiliti.

projek buku...

Seorang rakan blogger drBubbles yang bergiat dalam kerja-kerja kemasyarakatan, kini mengusahakan Projek Buku untuk perpustakaan rumah anak yatim.

Mari kita memberikan sokongan kepada usaha tersebut. Tabik! Saudara Iskandar, drBubbles

sahabat

A Rahman Tompang adalah sahabat sepermainan zaman kanak-kanak di kampung. Kami ke sekolah rendah dan menengah yang sama. Semasa di Tingkatan II kami berkayuh basikal ke Bandar Melaka, 25 km dari kampung.

Apabila memasuki tingkatan IV kami berpisah (kerana saya menyambung persekolahan di Kuala Lumpur).

Lebih 35 tahun kami tidak berjumpa mesra... sehinggalah bertemu semula di majlis kenduri kahwin anak bongsunya tengahari tadi!... di Taman Tuanku Jaafar, Seremban.

Beliau baru sebulan bersara dari perkhidmatan Polis. Walau pun sedikit uzur, beliau kelihatan begitu ceria menerima tetamu dan menantu keduanya... seorang pegawai Polis.

Di majlis itulah kali pertama saya menyaksikan 'perarakan pengantin Polis'...

Entah mengapa hati ini agak sayu dan terasa sangat dakapan seorang sahabat, ketika memohon meninggalkan majlisnya. Sepanjang perjalanan balik ke Subang Jaya, bisikan "engkaulah saudaraku..." beliau itu bermain-main di fikiran...

Ya Allah! Kurniakan nikmat kesihatan yang berterusan kepada sahabat ku itu, Amin.

minda kreatif




minda kreatif diterjemahkan melalui kerja tangan...

mindaJUMAAT: bahaya sekularisme

minda.JUMAAT kali ini ingin berkongsi intisari kuliah Maghrib Ahad lalu. Ianya adalah kuliah bulanan bersiri yang menarik - "Ancaman Bahaya Sekularisme" yang dihujahkan Ustaz Zulkifli Hj Ismail.

Sekularisme adalah fahaman politik dan kehidupan yang menolak dan menentang penghayatan Islam sebagai satu peraturan hidup yang lengkap...

Dalam mengupas sikap dan konsep pendakwah yang 'berdolak-dalik' dalam mentaati perintah Allah, perkara-perkara berikut perlu difahami:

a. Sikap buruk pendakwah yang mempertahankan peribadi seseorang demi sanjungan manusia, sehingga mereka terlena dengannya;

b. Pendakwah yang sebenar dapat dilihat pada amalannya dan menyerlahkan kebenaran Allah. Pendakwah palsu hidup dengan kata-kata dan sumpah sebagai perisainya. Rujuk tempelakan Allah keatas golongan tersebut dalam Ayat 53, Surah an-Nuur.

c. Kemenangan Islam itu apabila ianya tidak dipinggirkan lagi. Sesungguhnya tiada jalan pintas dalam membentuk penghayatan Islam. Cabaran utama adalah 'penjara minda sekular' yang dibina sendiri.

Nota
1. Contoh-contoh 'penjara minda sekular': "...masyarakat majmuk dan apa jua alasan strategik atau kepentingan politik digunakan untuk menghalalkan penangguhan perlaksanaan hukum atau syariat Allah..."

2. Tidak yakin (dalam melaksanakan hukum Allah) adalah minda strategik sekular!

3. Kuliah Ustaz Zulkifli itu berpandukan buku terbitan dan edaran beliau sendiri bertajuk "Ancaman Bahaya Sekularisme" (Baitul Quraa', 2002)

makan beradab...

Hari ini dan esok berkampung seharian di Maktab PDRM Kuala Lumpur...

Terlibat mengendalikan program 'Kemahiran Berfikir Strategik" dan berkongsi pengalaman bersama sekumpulan 30 orang Pegawai Kanan PDRM. Program tersebut diurusetiakan oleh Pusat Pengajian Sains Perisikan & Strategik.

Dan hari ini juga menjadi 'tetamu' di majlis makan tengahari bersama Komandan Maktab. Suatu pengalaman baru di majlis "Makan Beradab" Maktab PDRM... Tabik (springgg) Tuan Komandan!

Nota
1. Dalam perjalanan ke dewan, sempat juga berbisik dengan Pegawai yang 'mengiringi' ..."makan beradab itu bukan macam 'pengantin main suap-suap'. Pegawai tersebut cuba 'menenangkan' saya.

11 judul


Setelah dua kali rancangan ke Pesta Buku 'tergendala', akhirnya kami dapat juga ke sana petang tadi...

Tujuan utama adalah ke ruang pamiran PTS - kerana ada beberapa judul buku baru yang ingin dimiliki. Dan kebetulan sesi bersama Penulis (Dr Umi Kalthum Ngah) "Puteri Salsabila" telah mula mengambil tempatnya.

Setelah mencapai tiga judul, saya serah kepada isteri untuk dibayar sama dengan lima judul pilihannya... ditambah sebuah judul percuma! (selepas berjaya menjawab 'soalan mudah').

Sempat juga ke WiraBukit untuk mendapatkan tandatangan Pak Samad di muka depan "68 Soneta Pohon Ginkgo" yang baru dilancarkan. Tertarik juga dengan edisi komemoratif (terbitan 2004) "Dirgahayu Dr Mahathir dan kepada Pemimpin Yang Itu" - dua puisi penting peralihan kuasa... berdasarkan kepada kemelut politik semasa.

Nota: Puisi berbentuk soneta
- Lazimya mengandungi empat larik bagi setiap rangkap yang disudahi dengan dua larik bagi rangkap akhirnya. Kesemuanya 14 baris. Selain itu, setiap larik mengandungi 10 suku kata dengan rima pada setiap selang pengakhir larik.

Pesta Buku 2008

Nota kemaskini
KLIBf 2008 mencatatkan sejarah tersendiri, khususnya dalam penerbitan buku-buku Melayu apabila m-Book diperkenalkan kepada umum secara rasmi semalam.

Dan PTS pantas menerajuinya, bersama pembekal teknologi Metamobile. Tahniah kepada mereka-mereka yang menjuarai inisiatif yang strategik itu - dalam memertabatkan Bahasa Melayu. Bahasa itu Bangsa!

Kini dengan RM5.00 buku idaman dimuat-turun terus ke telefon bimbit anda!
Promo KLIBf2008 di TV.PTS...
4-13 April 2008. Jom ke sana!

intelektual seimbang...

Membaca kisah-kisah Sufiah Yusuf, kanak-kanak pintar (ibunya Melayu dari Muar) yang diterima masuk Universiti Oxford ketika berusia 13 tahun (sepuluh tahun lalu) agak memilukan...

Lantas terbayang di benak kita beberapa kes kanak-kanak genius di Malaysia, khususnya daripada keluarga Melayu dalam tempoh 30 tahun yang lalu. Seingat saya hampir semuanya (berdasarkan maklumat media yang ada) di akhiri dengan episod-episod malang!

Amat tertarik dengan tulisan hebat AbuSaif yang menyorot kembali beberapa kisah hidup kanak-kanak genius di N3nya "Sukarnya Menjadi Genius" - yang di antara lain menyentuh kisah Hadafi, Sufiah dan terkini Adi Putra.

Saya petik juga 2N3 uncleJ DI SANA dan DI SINI, untuk memudahkan pengunjung mengumpulkan maklumat berkaitan Sufiah Yusuf.

Justeru, saya tidak bercadang untuk melanjutkan ulasan berkaitan paparan-paparan tersebut.

Cuma sekadar mengulangi semula pesanan Ibrahim Adham di N3 lepas "minda.JUMAAT : minda.Akal" sebagai sempadan; dalam membantu anak /cucu membangunkan intelektual seimbang masing-masing:


"...Jika berpegang kepada AKAL semata-mata,
akan SESATlah dia!

Jika berpegang kepada HARTA,
akan BERKURANGANlah jadinya!

Jika berpegang kepada KEMEGAHAN manusia,
dia menghampiri KEHINAAN!"...

Nota kemaskini (7 April 2008): Bacalah kenyataan Sufiah (jika benar itulah luahan orangnya yang sebenar) yang berbangga dengan tugasannya DI SINI...


Nota
1. Kisah Hadafi, Sufiah dan kini Adi Putra perlu dijadikan pengajaran - jika ada di antara kita yang dianugerah Illahi anak-anak atau cucu-cucu yang mirip kepada mereka bertiga.

2. Semoga tiga cucu (3-5 tahun) saya yang kini sedang membina kehebatan IQ masing-masing dilindungi Allah dan dikurniakan dengan 'intelektual seimbang', InsyaAllah.

minda.JUMAAT: nikmat kelapangan...

Nikmat kelapangan masa, merupakan suatu nikmat yang ramai di antara kita lalai atau tidak tahu menghargai dan bersyukur di atas nikmat tersebut.

Rasulullah telah bersabda:

Dua nikmat di antara nikmat-nikmat Allah
yang kebanyakan manusia kaburi mata melihatnya;
iaitu MASA SIHAT dan MASA LAPANG.

Kelapangan masa bermaksud tidak sibuk dengan urusan atau aktiviti di dunia, sehinggakan menghalang seseorang itu melakukan amalan akhirat - walaupun mencari rezeki itu adalah suatu keperluan hidup yang juga dituntut.

Seseorang yang beraqal baligh diumpamakan seperti seorang peniaga. Kesihatan dan kelapangan adalah modal perniagaannya. Yang membezakan kejayaan dan keuntungan perniagaanya itu adalah pilihannya sahaja - mentaati perintah Allah atau syaitan!

Justeru itu, berdoalah setiap kali selepas solat:

Ya Allah, kurniakanlah kami
nikmat IMAN, nikmat KESIHATAN
dan nikmat KELAPANGAN MASA;
dalam kami mencari keredaanMu Ya Allah. Amin.

semantik

NLP bukan sahaja menjelaskan kepentingan dan kesinambungan neuro, linguistik dan programming bahkan memberi penekanan terhadap pentingnya pengaruh semantik dalam menguruskan manusia.

Semantik ialah caragaya bahasa yang membolehkan seseorang mengungkapkan perasaan, perlakuan, pemikiran dan keperibadian. Perbendaharaan kata yang digunakan oleh seseorang itu boleh dianalisis untuk menjalinkan komunikasi. (Lihat contoh DI SINI)

Pengaruh semantik merupakan kaedah di mana seseorang mampu menguraikan idea dan emosi - semakin banyak kata /perbendaharaan yang dikuasai, semakin mudahlah seseorang itu meluahkan apa yang tersirat.

Kredit /Sumber
Dr Ismail Alias & Raja Kamariah Raja Haji Mohd Khalid
- Aura Intusi NLP /2006 ITS

fitnah dunia...

Filem 'Fitna' yang didalangi Geert Wilders (angsa liar gamaknya!) kini merupakan fitnah dunia terkini... Siapa sebenarnya GW itu? Beliau adalah keturunan Yahudi Belanda!

Amatilah kenyataan manusia laknatullah itu:
"...Take a walk down the street and see where this is going. You no longer feel like you are living in your own country. There is a battle going on and we have to defend ourselves. Before you know it there will be more mosques than churches!"

Lebih sedekat lalu, Salman Rushdie (yang masih ditahan kematiannya) pernah menimbulkan fitnah yang sama - menghina Islam!

Filem Fitna kini ditonton jutaan manusia melalui youTube. Itulah yang memulakan fitnahnya!

Mungkin dengan membaca entri Abu.Saif dan ENTRI INI akan membina kewarasan minda kita.

Nota
1. Paparan negatif ini bukan untuk mempromosikan filem tersebut, tetapi untuk sama-sama kita mengingati Allah (Yang Maha Mengetahui akan apa yang berlaku) dan menginsafi akan fitnah-finah di akhir zaman yang digambarkan Rasulullah S.A.W.

2. Provokasi yang menyerupai filem fitna itu telah dan akan terus berlaku... Dan yang pasti Islamlah yang akhirnya dimenangkan Allah (sebelum kiamat melanda)! Tanda-tanda Eropah akan diIslamkan adalah jelas kini. Itulah ketakutan Yahudi, kerana mereka amat arif tentangnya.

NLP vs LoA

Terlebih dahulu saya ingin merakamkan setinggi-tinggi terima kasih dan penghargaan kepada rakan-rakan siber /bloggers yang telah mengirimkan hasrat masing-masing untuk menyertai program coaching yang ditawarkan

Kepada yang tidak terpilih, jangan berkecil hati. Mungkin tuan/puan diberi peluang di masa-masa akan datang. Saya telah bertemu lebih separuh daripada 'Coachee' yang telah didaftarkan di bawah program tersebut. Alhamdulillah, kami telah melalui proses pembelajaran yang amat menarik sekali!

Perkara-perkara yang menjadi minat mereka dan ingin mengetahuinya dengan lebih lanjut adalah yang berkaitan NLP dan LoA. Klik Neuro Linguistic Programming (NLP) dan Law of Attention (LoA)...untuk maklumat ringkas berkaitan.

"...NLP ialah teknologi terkini yang menggunakan model kefungsian manusia berasaskan kepada konsep psikologi. Model kefungsian manusia merangkumi penggunaan 'BAHASA MINDA' untuk mengawal minda dalam menguruskan perasaan, untuk mencapai sesuatu matlamat.

Model asas dalam teknik NLP yang digunakan ialah STIMULUS dan RESPON. Jadinya teknik NLP sentiasa menitikberatkan penyediaan stimulus yang positif ke arah respon yang positif."**

** Rujukan /Kredit: 2006 kajian aura intuisi NLP
-
Dr Ismail Alias & Raja Kamariah Raja Haji Mohd Khalid.

Berita Ringkas


Umat Islam akan mengatasi yang beragama Kristian di United Kingdom dalam tahun 2020, InsyaAllah. Baca DI SINI

minda.JUMAAT: akal.harta


Masjid Kristal dan Taman Tamadun Islam adalah 'tarikan pelancungan' baru di Kuala Trengganu. Sekadar ingin tahu apakah kehebatan kompleks yang menelan belanja RMratusan.Juta itu, saya singgah untuk solat Maghrib (dalam perjalanan ke lapangan terbang) petang semalam.

Dinamakan Masjid Kristal kerana terdapat bebola kristal di puncak empat menara masjid... Kompleks TTI itu sebenarnya masih dalam pembinaan (secara fizikalnya mungkin dalam lingkungan 70% siap).

MK & TTI dikatakan turut menyumbang kepada beberapa kekalutan (politik) yang sedang melanda negeri itu sekarang (mengikut cerita pemandu teksi yang membawa kami ke lapangan terbang..?). Hanya Allah Yang Maha Mengetahui.

Justeru itu, minda.JUMAAT kali ini ingin membawakan pemikiran Ibrahim Adham yang amat mudah kita fahami:

Jika berpegang kepada AKAL semata-mata,
akan SESATlah dia!

Jika berpegang kepada HARTA,
akan BERKURANGANlah jadinya!

Jika berpegang kepada KEMEGAHAN manusia,
dia menghampiri KEHINAAN!


Nota /Pengajaran
1. Menggunakan akal itu penting. Namun perlulah tunduk kepada Islam. Itu dinamakan iman.

2. Akal tanpa ilmu itu gila - kerana dipacu nafsu!

3. Berpegang pada harta, harta akan kurang? Sifat bakhil contohnya, dari aspek fizikalnya harta itu dirasakan tidak kurang. Apa yang kurang? Kurang NILAInya - disisi agama, keimanannya.

4. Harta itu dalam tangan, bukan dalam hati!

5. Sayidina Umar al-Khatab berpesan: kemegahan dunia itu kerana pangkat dan hartanya (yang disanjungi manusia), namun ilmu (dimiliki) jualah yang menghindari manusia daripada kehinaan!

TER


Pagi ini dapat mengembalikan semula rutin harian. Lima hari tidak berpeluang untuk berinternet. Masih lagi di Kuala Trengganu...

Di Kuala Trengganu saya mengendalikan program untuk Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) Wilayah Timur - Kemahiran Berfikir Strategik dan kecemerlangan bisnes untuk usahawan EKS. Hadir sama usahawan yang terlibat di dalam perkhidmatan Perunding dan juga Pensyarah universiti.

Disamping itu, saya juga bertemu 'Coachee' di bawah Program CPC di Trengganu - seorang Akauntan.

Yang menarik adalah tempat saya mengendalikan program itu. Ianya adalah suatu pengalaman baru buat saya... di Trengganu Equestrian Resort (TER). Persekitaran dan keindahan pantai dan kebiruan Laut China Selatan yang mengasyikkan. MasyaAllah! AllahuAkbar!