KPI Dashboard

minda.JUMAAT: ilmu insani

Proses pembangunan insan berkait rapat dengan pendidikan dan proses pengilmuan.

Dalam kejadian manusia sebagai khalifah di muka bumi ini, Allah membekalkannya dengan akal. Akal membolehkannya berfikir. Dari berfikir menjadikan manusia tahu. Dari tahu manusia berpengetahuan. Dari pengetahuan manusia berilmu. Dari ilmu manusia memiliki hikmah...

Hikmahlah meletakkan manusia di martabat tinggi
- yang membawa sinar kehidupan!

Lakaran di atas adalah model pembangunan manusia - ilmu insani - yang berjaya dibina Nabi Muhammad s.a.w. Dan terbukti mampu membina tamadun. Jejak-jejak kegemilangan tamadun Islam, sewajarnya dikaji dan diaplikasikan sebagai pendekatannya yang terbaik.

Secara ringkas, keterbatasan akal manusia dipandu al-Quran dan Sunnah Nabi. Nikmat dan rahmat dari Allah Yang Maha Pengasih akan sekelian mahlukNya merupakan landasan luas untuk merangsang minda.

Nikmat dan Rahmat itu disediakan dalam diri manusia itu sendiri atau persekitarannya. Tanda-tanda (signs) kekuasaan Allah itulah pentunjuk - yang telah dapat memperkukuhkan keimanan melalui penemuan sains di zaman moden.

Ilmu mengurus diri manusia itu adalah yang perlu dimiliki. Ianya dikenali sebagai Ilmu Fardu 'Ain. Ilmu yang berupaya memisahkan yang haq dan yang bathil. Hati dan Nafsu yang menentukannya.

Ilmu mengurus sistem (kehidupan manusia) itu pula dikendalikan akal dan pancaindera yang dikurniakan. Dalam Islam disebut sebagai Ilmu Fardu Kifayah. Pengurusan keatas nikmat dan rahmat yang dikurniakan Allah itulah landasan ujiannya... selayaknya sebagai Khalifah di muka bumi!

Nota:
Model asas ilmu insani di ataslah yang sempat dikongsi bersama peserta di Kota Bharu. Prof Kamil selaku yang 'memiliki kuasa' telah mencetuskan kesedaran betapa Nikmat dan Rahmat Allah akan terus mencurahi persekitaran mereka apabila ketaatan difokuskan hanya untukNYA!

jangan membangau!

Hampir seminggu tidak ada entri. "...awal minggu agak terikat dengan urusan-urusan keluarga". ...Inilah dikatakan "membangau!" - mencari-cari justifikasi atas kegagalan!

Masih ingat dengan lagu 'bangau-o-bangau'?




Isnin hingga Rabu bersama Azzam berada di Kota Bharu... terlibat dalam program bersama anak-anak buah Prof Kamil [Baca DUA entri beliau nasi berlauk dan kemalangan]. Rombongan kini dalam perjalanan balik ke Segamat. Didoakan mudah di perjalanan dan mereka semua selamat sampai.

Mungkin di sepanjang perjalanan mereka tersenyum sendirian
bila teringat jeritan "JANGAN MEMBANGAU!"
kepada rakan-rakan di sebelah (dalam program)...


minda.JUMAAT: al-Haq

Al-Haq adalah salah satu dari 99 Asma ul Husna. Al-Haq, Yang Maha Benar.

Nabi Muhammad s.a.w pernah didatangani pertanyaan: "Apakah perjuangan yang paling utama?" Nabi menjawab: "Mengatakan kebenaran kepada pemerintah yang menyeleweng"...

Benarlah kata pujangga: "...banyak yang tahu apa itu kebenaran. Tetapi, hanya segelintir yang berani mengungkapkannya di hadapan orang lain"...Mengapa?

Berikut dipetik doa dan harapan*, dan mungkin ada jawapan di sebaliknya...

Ya Allah, segala puji bagimu,
Engkau adalah tuhan pemelihara
seluruh langit dan bumi serta apa yang ada
di antara kedua-duanya;

Segala puji bagimu,
Engkau yang terus menguasai
seluruh langit dan bumi serta apa yang ada
di antara kedua-duanya;

Engkau yang maha haq, firmanya haq,
janjimu haq, pertemuan denganmu haq,
syurga haq, neraka haq, kiamat haq;

Ya Allah, kepadamu aku bertawakal,
dan kepadamu aku beriman, serta berserah diri;

Kepadamu juga ku kembalikan segala sesuatu,
bersamamu aku menentang siapa pun yang salah,
dan kepadamu aku memohon keputusan;

Ya Allah, ampunkanlah kesalahan yang aku lakukan,
yang akan aku lakukan,
apa yang aku rahsiakan,
dan apa yang aku nyatakan.

Nota*:
Sulaiman Al- Kumayi, Al-Haq -
99 Kecerdasan berasaskan Asmaulhusna, PTS (2008)


angioplasti koronari

Apa dia angioplasti koronari?

Coronary angioplasty is a procedure that opens blocked arteries and allows blood to flow to your heart muscle. Angioplasty is not surgery. It opens a clogged coronary artery by inflating a tiny balloon in it.

Maklumat-maklumat yang berkaitan boleh dicari DI SINI.

Nota: Alhamdulillah, isteri saya telah selamat menjalani prosedur tersebut di atas selepas solat Jumaat lepas di SJMC. Begitulah ketentuan Illahi ke atas hambanya.

Kami memanjatkan kesyukuran kepadaNya, Allah Yang Maha Pengasih.

minda.JUMAAT: imani minda

Sesungguhnya, orang yang beriman itu adalah yang sentiasa mengabdikan dirinya hanya untuk Allah. Dan akidah atau 'sistem kepercayaan' adalah asas dalam kehidupan seorang Muslim. Ia adalah struktur keimanan. Jika lemah akidahnya maka runtuhlah keimanan beragamanya...

Perkara yang dinyatakan di atas adalah ayat-ayat lazim. Semua orang tahu!...

Tahukah kita bahawa proses memantapkan asas akidah itu tempatnya "di hati". Dari mata turun ke hati. Dan hatilah yang sentiasa mengingatkan batas-batas dalam mengukuh atau merobohkan iman yang sedia ada.

Namum hati itu pusat kawalannya di otak. Otak manusia itu ibarat "Central Processing Unit"nya yang menghasilkan kepelbagaian dan keajaipan dalam bentuk minda!

Dari pengamatan saya, pengukuhan struktur akidah itu terbina dari proses mengIMANI minda.

Banyak perkara-perkara yang berkaitan imani.MINDA dikupas baik oleh Tuan Fuad Latip di blog Jiwa Positif dan Hidup BerTUHAN.

Saya ingin petik entri Otak dan Minda yang ada kaitannya dengan apa yang dibincang di atas:

"...Dengan pengetahuan ini, kita mampu memahami konsep Redha dan Tawakal kepada Allah dengan penyerahan jiwa dan raga 100% kepadaNya.

Dengan pengetahuan ini, kita mampu memahami konsep Qada’ dan Qadar dengan baik lalu kita mengetahui jalan mana yang perlu dipilih untuk masa depan kita.

Dengan pengetahuan ini, kita mampu mewujudkan rasa CINTA dan KASIH yang tidak berbelah bahagi kepada Allah SWT ..." Baca seterusnya

bangunkan tamadun

Sering disebut 'tamadun kemanusiaan' dan tidak kepada makluk-makluk lain. Ini ada kaitannya dengan asas kejadian manusia itu sendiri. Allah jadikan manusia untuk menjadi 'khalifah' di muka bumi ini. Sebagai pembina tamadun.

Hanya manusia yang mantap akidahnya yang dapat membangunkan tamadun di muka bumi ini. Terbukti generasi sahabat yang akhirnya berjaya membangunkan tamadun Islam yang hebat dalam lipatan sejarah.

Kemajuan dan tamadun yang dapat dibina bukan sahaja kemajuan lahiriah. Ia juga kemajuan rohaniah. Zahir mereka hebat, rohani mereka juga turut hebat.

Di dalam Al-Quran Allah telah menekankan bahawa
orang yang soleh akan diwariskan dunia ini kepada mereka

Dan demi sesungguhnya, Kami telah tulis di dalam
Kitab-kitab yang Kami turunkan sesudah
ada tulisannya pada Lauhmahfuz
"Bahawasanya bumi itu akan
diwarisi hamba-hambaKU yang soleh"

- Ayat 105 Surah al-Ambiya


Soalnya di manakan di muka bumi Allah ini akan terbangunnya tamadun seperti kehebatan dan kecemerlangan Andalusia?

benci atau suka?

...Dan boleh jadi kamu benci kepada sesuatu
padahal ia baik bagi kamu,

dan boleh jadi kamu suka kepada sesuatu
padahal ia buruk bagi kamu.

Dan (ingatlah) Allah jualah Yang Mengetahui (semua itu),
sedang kamu tidak mengetahuinya...
- Ayat 216, Al-Baqarah.

Petikan ayat al-Quran di atas sewajarnya dijadikan penawar ketika sesuatu 'musibah' melanda diri sendiri, orang yang disayangi atau tempat bergangtung hidup.

Yang pasti segala ketetapan adalah yang terbaik buat mahklukNYA. Allah tidak pernah menzalimi hambaNYA. Maha Suci Allah dari melakukan perkara yang sia-sia.

Semua perkara yang berlaku sudah semestinya mempunyai hikmah dan kebaikan yang tidak kita ketahui. Dan yang penting juga disedari bahawa sesuatu ketetapan itu adalah yang mampu ditanggung manusia.

Justeru itu apabila kita berdoa,
Nabi Muhammad s.a.w mengajar kita melafazkan:

dengan penuh yakin;
hadirkan hati dan tidak lalai;
mengharap bersungguh-sungguh; dan
jangan tergesa-gesa (mengharapkan dikabulkan).

serta pastikan:
punca rezeki dari sumber yang halal dan
tiada elemen dosa dan putuskan silaturrahim dalam doa.

Inilah asas rukun iman kelima
- beriman dengan Qada' dan Qadar.

tun perak diundang...

Dalam mencari-cari apa sebenarnya telah, sedang dan akan berlaku di sebalik 'rampasan kuasa' di Perak, ada baiknya saya kongsi maklumat ini... entri dari blog Dr Siddiq Azani,
Fakulti Undang-Undang UiTM Malaysia.

Adab membacanya mudah - hilangkan parti apa yang di sokong di minda dan anggaplah semua 'pelakon-pelakon' dalam episod-episod Perak - bermula dengan lompat si katak lompat sehingga kini... itu 'benar' di pihak masing-masing.

Sekurang-kurangnya KETIKA MEMBACA entri Dr.Sid di bawah ini (...walau pun penulisnya jelas bias di pihaknya).

"...Perlembagaan Persekutuan dalam artikel 43(2)(a) jelas menyatakan bahawa Yang Dipertuan Agong berhak melantik ketua eksekutif yang telah mendapat sokongan majoriti Dewan Rakyat. Benar dakwaan Nizar mengatakan bahawa Sultan bertindak atas nasihat beliau sebagai ketua kerajaan. Ini termaktub di dalam artikel 40(1) dan 40(1A) yang terdapat didalam perlembagaan. Namun Nizar harus membaca Artikel 40(2)(a), (b), dan (c) bersama. Ini kerana ia jelas menyatakan hak esklusif Sultan yang boleh bertindak sendirian tanpa mengikuti nasihat beliau di dalam perkara membabitkan perlantikan ketua kerajaan (selagi beliau mematuhi provisio dalam 43(2)(a)), kedua baginda mempunyai kuasa untuk TIDAK MEMBUBARKAN DEWAN PERWAKILAN (Parliament atau DUN Negeri), dan terakhir memanggil semua Raja-raja untuk mesyuarat Majlis Raja-raja...

Sambung baca DI SINI jika masih lagi berminat dalam mencari 'kebenaran' di alam siber...

[edisi kemaskini 8 Feb]
Dan bandingkan versi (dari perspektif undang-undang) lain daripada Art.Harun ...dan mungkin tulisan RajaPetra ini menjadi PENGIMBANGNYA!

[edisi kemaskini 21 Feb]

Catatan pena MB
sebagai himpunan maklumat krisis perlembagaan yang melanda Perak.

minda.JUMAAT: bahasa minda

Minda adalah anugerah Illahi yang amat kompleks untuk difahami. Setiap makluk yang bernama manusia dijadikan dalam berbagai kelompok dari keturunan yang sama - Adam dan Hawa.

Setiap kelompok manusia itu berkomunikasi dalam bahasa yang diselaras dan diserasikan dengan minda mereka. Ia adalah separa sedar. Amat penting dalam berimiginasi... berangan-angan. Berfikir!

Sepintas lalu ingin ditekan di sini bahawa keberkesanan bahasa minda itu menjurus kepada bahasa yang kita kuasai. Bayangkan betapa kesan keupayaan berfikir seseorang itu apabila kestabilan imiginasinya menemui jalan 'sukar' - konflik di antara minda separa sedar (imiginasi) dan emosinya!

Dalam konteks ini, ketidakupayaan menguasai sesuatu bahasa (contohnya bahasa Inggeris dalam kaedah PPSMI) tentu sekali akan melemahkan daya berimiginasi seseorang. Daya fikir bercelaru - dan yang pasti menjejaskan proses pembelajaran.

Bagaimana mungkin melahirkan kecemerlangan di kalangan anak kampung yang serba kekurangan, dipaksa berfikir dan mempelajari sesuatu ilmu dalam bahasa yang tidak serasi dengan bahasa mindanya?

Betapa nanti akan kita lihat kelompok yang terpinggir dari arus perdana (atau yang terabai di atas perbezaan politik) dari aspek-aspek ekonomi, sosial dan infrastruktur pembelajaran menjadi mangsa 'kecicirian'...

Semoga Allah selamatkan generasi yang ibu bapa mereka sebelum ini 'buta jawi' tidak ditimpa nasib malang sepanjang zaman... Menjadi kufur kerana kefakiran zamannya!

mencari penawar herba

Singgah dan menginap sebentar di Spices & Herbs Paradise
milik Tuan Hj Nasuha dalam siri kembara
mencari penawar herba...

Kagum dengan semangat kentalnya dalam menunaikan fardu kifayah dalam aspek-aspek perubatan dan makanan kesihatan berteraskan rempah ratus dari ribuan spesis herba di ladangnya - melebihi 3000 ekar di Pagoh, Muar.

Dalam pertemuan singkat di Restoran Herbalya - sambil menikmati nasi beriani & sup herba serta teh 'serico' dan 'gora' - ternyata penerokaan beliau lebih 30 tahun dengan alam tumbuh-tumbuhan memberi manfaat kepada yang 'mencarinya'.

Kini beliau dalam proses menubuhkan fakulti perubatan herba dengan pihak-pihak IPTA tempatan dan serantau. Semoga usaha seumpama itu akan memperkayakan lagi peningalan khazanah ilmu yang mendekatkan manusia dan PenciptaNYA. Amin.