KPI Dashboard

minda.JUMAAT: bangunan tinggi akhiri zaman...

Jemaah Haji Malaysia kini telah mula berangkat ke tanah suci. Maka mulalah kesibukan dirasai penduduk di sekitar Kompleks Haji, Kelana Jaya...

Melihat bangunan-bangunan tinggi yang pelbagai rekaciptanya di sekitar Dubai teringat akan hadis yang berkaitan dengannya dan senario di sekitar Masjidil Haram, Mekah kini. Ikuti petikan entri berikut, yang mungkin ada manfaatnya kepada bakal-bakal haji dan hajjah (bukan setakat yang pergi tahun ini, tetapi yang telah menanamkan hasrat untuknya...).

Salah satu diantara tanda-tanda akhir zaman adalah perjalanan ibadah haji dilakukan untuk bertemasya (melancung), bisnes, riya' atau mengemis...

"...Akan tiba suatu masa di mana orang-orang kaya akan pergi haji untuk bertemasya (melancung), orang yang berpunya untuk kepentingan bisnes, orang bijak untuk bermegah-megah (riya' dan menunjuk-nunjuk) dan orang miskin untuk mengemis..." [ Diriwayatkan oleh Anas r.a. ]

Justeru itu, berdoalah agar kita dihindarkan dari tergolong dalam tiga golongan itu. Bacalah buku nukilan santai Prof Kamil, Travelog Haji: Mengubah Sempadan Iman sebagai panduan tambahan yang amat berguna sekali.

Dan kepada yang pertama kali /dan yang belum lagi ke tanah suci; jangan pula terperanjat dengan persekitaran Masjidil Haram sekarang...

Tidak ada (hari) pengadilan hingga gedung-gedung yang sangat tinggi dibangunkan. [ Diriwayatkan oleh Abu Hurairoh r.a. ] . As-sa'ah (Hari Kiamat) tidak akan tiba – hingga manusia berlomba-lomba membuat bangunan yang tinggi [H.R. Bukhari]

Lihatlah bangunan-bangunan tinggi sekitar Majidil Haram yang telah siap dan yang sedang giat dibangunkan.

minda.DUBAI 5: banyak kegilaan...

Melawat Dubai ibarat pengembaraan cerita-cerita 1001 malam yang pernah digambarkan... Sektor pelancungan merupakan 30% ekonominya dan elemen ekonomi yang utama. Unjuran pertumbuhan ekonominya
11% tahun ini. Sasaran GDPnya pula (2015) adalah USD112 bilion.... Jadi tidak hairanlah kewujudan The Palm Jumeirah (yang ingin dikasifikasikan sebagai 'keajaiban ke-8 dunia')... yang di ikuti 4-5 projek tambak laut raksaksa yang lain semata-mata menyediakan prasarana sektor hartanah yang gila-gila!!!

Dubai kini menyediakan lebih 40,862 bilik dari 302 hotel dan 111 serviced apartment (maklumat setakat Dec 2006). Dan menjangkakan akan menarik 15 juta pelancung menjelang 2015... Apakah faktor tarikannya? ...Dubai, macam-macam adaaa!

Jika berkelapangan, lihat-lihatlah pasaran hartanah yang penuh dengan kegilaan itu di sini... bayangkan akhbar harian Gulf News itu diiringi 3 naskah tabloit hartatanah setiap hari (3x lebih tebal dari berita!)

Lihatlah salah tarikan pelancung yang unik, dalam pembinaan: Hydropolis

Renungan Firasat: Apakah penyakit yang utama datang menyerang tamadun manusia apabila PERLANCUNGAN menjadi keutamaan?

minda.DUBAI 4: jangkauan impian

Apabila dikatakan Tok Sheikh itu main ilmu 'kun-faya-kun' dalam membangunkan infrastruktur Dubai, ia bukanlah tanpa strategi yang kukuh... Sebagai contoh untuk adunan konsep persyarikatan berkesan, reformasi sektor awam telah dimulakan seawal 2000an. Bermula dengan bantuan kepakaran UNDP...

Satu perkara yang mungkin ramai di antara kita tidak sedari... Diplomat UNDP yang dipertanggungjawabkan itu adalah seorang rakyat Malaysia! Beliau adalah Dr Mohammad Emir dari Ampang.

Secara kebetulan berkenalan dengan Dr Emir di ruang siber 3 tahun lalu, ketika berkongsi pengalaman berkenaan BPR (business process reengineering). Dan semasa berada di Dubai tahun 2005 dijemput ke pejabatnya di Kementerian Kewangan dan Industri (MoFI) UAE. Selepas itu beberapa kali 'bertemu' di KLIA... insyaAllah, jika berkesempatan dalam minggu ini akan berjumpa beliau di pejabat.

Kini beliau berkhidmat sepenuh masa sebagai Penasihat kepada kerajaan UAE dalam aspek-aspek reformasi sektor awam.

Mungkin Burj Dubai merupakan jangkauan impian Tok Sheikh... Masih segar di ingatan apabila Dr M (ketika itu baru bersara) diberi penghormatan untuk 'meninjau' model Burj Dubai... liputan muka hadapan semua akhbar tempatan UAE. Setiap kali menaiki teksi di Dubai dan apabila tahu kita orang Malaysia, pemandunya akan tanya: "... do you know Dr Mahathir?..."

Mungkin pengunjung /pembaca boleh buat kesimpulan sendiri apa yang tersirat di entri kali ini, khususnya perenggan akhir di atas?

salam.DUBAI 2: kuatnya kuasa undang-undang...

Kita sering mendengar betapa 'tidak berdisiplinnya' orang-orang Arab dalam banyak hal? Tetapi lain pula di UAE, khususnya Dubai. Jangan main-main...

Cuba renung-renungkan sekilas catatan berikut:

Ambil contoh hukum jual rokok yang bakal di kuatkuasakan. Menjual rokok kepada mereka di bawah 18 tahun adalah suatu kesalahan. Jika sabit, denda Dh5,000 hingga Dh10,000! Kalau di tempat kita, itu mungkin hanya hiasan akta semata?...

Pernah dengar kisah seorang Akauntan dari Malaysia merengkok dalam tahanan polis /lockup, sejak sebelum puasa lalu hingga selepas raya lepas? Kesalahannya cuma tandatangan 'cek tendang' syarikat tempat dia bertugas sahaja! Baca disini untuk sebahagian kisahnya...

Kesalahan terafik di sini pun hukumnya penjara!... Dia orang ni tak main dengan Ops Sikap 1 ...10. Buat habis bohgeh je! (membuka ruang-ruang rasuah lebih luas lagi, mungkin).

Cuba buat begini: Didapai bersalah? Jail aje... Itu ubatnya!....

salam.DUBAI 1: permata hati...


Hari ini genap seminggu kami sampai di Dubai... ketibaan yang tidak dirancang! Perancangan Allah mengatasi segala. Dan selepas beberapa entri tentang Tok Sheikh dan mindanya, rasanya teringin pula bercerita tentang dua orang cucu dan persekitarannya.

Kali ini kisah Redza, 5 tahun. Cucu pertama. Dia baru masuk darjah 1 (Grade I) Jun lalu, di Emirates International School ...2 tahun lebih awal (kerana dia lulus peperiksaan untuk Grade tersebut). Dialah yang paling muda dalam kelasnya.

Rabu dan Khamis lalu, dalam sesi perjumpaan ibu bapa dan guru-gurunya, mendapat maklum balas yang amat menggalakkan. Cuma guru kelasnya, Ms Kotak (disebut 'kota' - dalam gambar bawah) beri tahu dialah yang paling 'bising' dalam kelas!... Mula-mula semeja dengan kawan-kawan lelakinya. Kemudian diletakkan dengan budak-budak perempuan. Serupa juga!... (nampaknya filem lebih 48 tahun lalu diulang-tayang... kisah datuknya!) Apatah lagi rupanya juga zerox datuknya...

Apa yang terlalu ketara, Redza itu lurus bendul budaknya! Jadi makanan adiknya sahaja... Sejak berumur dalam 2-3 tahun minat dengan lukisan /colouring... di tadika memang dapat 'bintang memanjang'. Tekun, kemas dan teliti.

Bila berumur 4 tahun minatnya pergi ke 'lego' pula... cepat sangat dia menyiapkan sesuatu objeknya. Kelmarin kami test dia dengan 4 jenis permainan/ lego ...termasuk untuk peringkat umur 14 tahun... disiapkan tidak sampai satu jam, sebelum tidur! (satu perangainya: tidak akan tidur selagi 'kerjanya' tidak siap) ...Lihat pada objek itu, rasa-rasanya kalau beri atuknya, belum tentu jadi!

Sejak lahir lagi kami sudah war-warkan dia sebagai Dr Redza... (datuknya kepunan dulu!). Di kesempatan akan datang akan bercerita tentang Hana (3 tahun). Kami panggil dia 'mem Arab'... hendak tahu? Ikuti entri salam.Dubai 3 nanti, insyaAllah.

Nota: Gambar atas sekali dirakamkan selepas Subuh, hari Sabtu - dari bumbung rumah... Burj Dubai (kiri) dan Burj Al-Arab (kanan).

minda.DUBAI 3: internetCity

Dubai Internet City (DIC) samalah konsepnya dengan Cyberjaya kita di Malaysia... yang lebih kurang sebaya. Dilancarkan dalam tahun 2000, kini DIC telah berjaya menghimpunkan lebih 1000 komuniti ICT tersohor di dunia... sebut aje, adalah mereka tu di Dubai: Microsoft, Cisco Systems, IBM, HP, Dell, Seimens, Sun Microsystems.... Sony Ericsson.Turut sama membangun adalah SME dari kalangan usahawan luar dan tempatan. Syarikat-syarikat tersebut diklusterkan mengikut sektor: Pembangunan Sofwer, Perkhidmatan Bisnes, Web, e-Dagang, Perundingan, Jualan & Pemasaran dan Perkhidmatan Sokongan (back offices).

Apa yang menarik dengan Dubai Internet City adalah persekitaran terancangnya - sama ada telah wujud atau sedang dibangunkan... Knowledge Village, Dubai Media City, Burj Al-Arab, The Palm-Jumeirah, Jebel Ali Port dan Dubai World Central International Airport (bukan sekadar menempatkan airport terbesar di dunia, tetapi dilengkapi dengan keperluan bisnes dan penginapan yang strategik...membangunkan 'Airport City' secara bersepadu). DWC akan dihubungkan dengan DIA melalui LRT /keretapi laju dari Jepun yang dijangka beroperasi September 2008.

Saya petik kata-kata Tok Sheikh, untuk gambaran mudahnya....


The mission of Dubai Internet City is to create an infrastructure, environment and

attitude that will enable Information and Communications Technology (ICT)

enterprises to operate locally, regionally and globally, from Dubai,

with significant competitive advantage.

"The 'attitude' dimension in our mission is vitally important.

It means approaching our customers and business partners with

a view to solving their problems."

HH General Sheikh Mohammed bin Rashid Al Maktoum,

minda.JUMAAT: doa harian ku..

Al-Quran, puasa dan solat adalah di antara amalan-amalan utama yang menghiasi (dan mengawal) persekitaran kita di alam kubur nanti...

semasa menunaikan fardu haji 16 tahun lalu, di hadapan kaabah terpacul ungkapan doa ini...

".... Ya Allah, jadikanlah Al-Quran temanku di alam barzah, penolongku di padang Mahshar dan pemimpinku di titian Syirat (yang menuju ke SyugaMu);

Kurniakan daku dengannya penawar dari segala penyakit rohani dan jasmani;

Kurniakan daku dengannya ilmu yang bermanfaat untuk dunia dan akhirat; dan

Kurniakan juga daku dengannya hikmah dan wasillah dalam menjalani hidup ini....

Ya Allah, kurniakanlah kami dan zuriat kami darjat yang tinggi di sisi Mu dunia dan akhirat! (ulang 3x)..."

minda.DUBAI 2: kendalian enterprise

Resipi di sebalik kepesatan pembangunan infrastruktur di Dubai adalah konsep pengendaliannya. Emirate kecil itu dikendalikan sebagai sebuah enterprise atau unit bisnes - walaupun rata-rata kuasa eksekutifnya berkisar di kalangan kerabat Tok Sheikh.

Carta di atas menceritakan betapa polisi 'padang pasir terbuka' yang dibawakannya. Baca berita Emirates Today selanjutnya.

minda.DUBAI 1: survival Dunia Arab

Ramai di antara kita yang tahu tentang kepesatan pembangunan infrastruktur Dubai.

Dubai di awal 70an hanyalah sebuah lapangan terbang di tengah-tengah padang pasir yang popular, kerana untuk mengisi minyak... [masih teringat, ketika dalam perjalanan ke London Sept 1976 - muka dan badan berlumuran debu pasir ketika menuju ke bangunan terminalnya... ribut padang pasir!]

Mungkin tidak ramai di antara kita yang tahu tentang pembangunan pesat Dubai pula tidak tahu tentang siapakah arkitek megaCity itu!

Beliau adalah Sheikh Mohammed bin Rashid Al-Maktoum - Naib Presiden dan Perdana Menteri, Emirates Arab Bersatu (UAE). Beliau juga adalah Raja (Pemerintah) Dubai...untuk tujuan n3, selepas ini dipanggil 'Tok Sheikh'.

Justeru itu, dalam kesempatan berada di Dubai untuk 3-4 minggu akan datang, minda.Dubai cuba membawakan aspek-aspek kekuatan pemikiran dan strategi Tok Sheikh.

Sebagai pembuka tirai, ikuti minda Tok Sheikh seperti paparan di atas. Baca lanjut di EmiratesToday

emergency: terpaksa ke Dubai...


Lebih 40 minit, berbaring ...tak boleh lelap. Macam ada yang tak kena...biasanya 5 minit dah belayar!...

Jam 12.10 pagi terima panggilan daripada anak sulung, Izzah di Dubai... keguguran kandungan anak ke tiganya... kini dalam perjalanan ke hospital....

Begitulah takdir Allah. Kami belum tiba masanya lagi untuk menerima cucu ke 4 (dijangka Mei 2008)

Segera ke komputer...cari tiket MAS, Emirates, Qatar... habis semuanya (sampai 2 Nov)!.. lari ke SIA: ada, tetapi 'terpaksa' ambil apa yang ada! Alhamdulillah.

Jadi, KLIA-Spore: 21:45 dan Spore-Dubai: dep 23:35 arr 02:55 (Ahad).

Nota: Sampai di DIA 2.23 pagi, Ahad. Jam 8.30 pagi ke Hospital... Izzah masih lagi boleh 'tersenyum' sebelum ditolak ke OT jam 11.00pagi.

minda.JUMAAT: jangan kalau berkalau...

Dalam satu hadis sahih yang diiwayatkan Muslim, Nabi s.a.w. mengajar kita dengan sabdanya yang bermaksud:

"Allah sudah mentakdirkan sesuatu, dan Dia berbuat mengikut apa yang dikehendakiNya".

Ketentuan Allah dalam sunnah kejadian adalah hebat. Terdapat berbagai-bagai rahsia dan hikmah di sebalik ketentuanNya. Apakah pengajaran dari hadis tersebut?

Kita diajar supaya tidak berpenyakit 'kalau berkalau'...

"Kalau aku buat macam ini, tentu tidak jadi macam itu..." Perlu dingat bahawa andaian-andaian selepas kejadian itu boleh mengundang dan membuka ruang untuk kita bersekongkol dengan syaitan di atas ketidakselesaan diri, yang ditimpa sesuatu perkara yang 'tidak diingini'. Astaghfirullah! Allahu Akbar!

Buku panduan ringkas 101 Doa dari Hadis-Hadis Sahih dan Al-Quran susunan Ust Zahazan Mohammed ini patut dimiliki sebagai panduan amalan harian kita.

Tafsir Al-Quran beliau setiap 6.30 pagi /diulang siar jam 7.30 malam (Isnin-Jumaat) di Radio IKIM.fM amat mudah dan membantu kita dalam memahami kandungan kitab suci itu.

Semoga maklumat yang dikongsi telah mendapat sedikit panduan, InsyaAllah.

tiru macam Prof Kamil...

Tabik! Prof Kamil.

Kalau sudah hebat, apa buat pun beliau kekalkan kehebatannya. Dan kalau anda sudah membaca Travelog Hajinya, tentu sekali petikan berikut ini tiada asing lagi... tentu miliknya!

...."Pada penghujung Ramadan, saya bangun di sekitar pukul 2.20 pagi dan berada di Masjid pada pukul 2.40 pagi. Sudah ada yang awal tiba meskipun ia tidak sampai sebelah jari. Saya melalui pengalaman tersebut dengan seribu pengajaran. Pada satu masa yang lain akan saya tulis pengalaman dan pengajaran ini yang mungkin tidak pernah diceritakan di dalam mana-mana buku agama. Khusus untuk mereka yang jahil, fakir dan tercari-cari jalan pulang".

"Saya bertanya kepada diri sendiri - apakah amalan yang menyeronokkan ini hanya khusus pada bulan ramadan semata-mata? Atau secara lebih spesifik: adakah hanya untuk 10 malam terakhir ramadan?"...

Bacalah Kemenangan beliau seterusnya.

Sebagai 'akujanji' ketika menerima TH-MSI di hari pelancarannya, awal pagi kelmarin sempat meninggalkan sedikit catatan dalam inboxnya... yang kemudiannya menjadi sebahagian dari entri-entri Travelog Haji beliau... dan di sini.

Itulah Prof Kamil!

Puan Ainon PTS telah 'mewartakan' beliau sebagai 'Profesor yang lain daripada yang lain'... Jadi, tirulah macam Prof Kamil - dalam penulisan santai...

Dr SMS ke Bumi 6.37 petang ini


Daripada: METRA SYAHRIL MOHAMED

MOSCOW 20 Okt. – Esok, seluruh perhatian rakyat Malaysia akan tertumpu di Kazakhstan dan Rusia bagi mengikuti laporan kepulangan angkasawan pertama negara, Dr. Sheikh Muszaphar Shukor ke Bumi selepas berada di Stesen Angkasa Antarabangsa (ISS) selama 10 hari.

Adalah menjadi harapan semua agar cosmonaut negara itu selamat pulang ke Bumi bersama dua angkasawan lain iaitu Fyodor Yurchikhin dan Oleg Kotov melalui kapsul Soyuz TMA-10.

Kesihatan beliau ketika ini dilaporkan stabil dan baik serta sudah pun melakukan persiapan untuk menanti detik berlepas pulang ke Bumi.

Segala penyelidikan yang diamanahkan juga telah dilaksanakan dengan sempurna namun ada dua lagi kajian iaitu pengkristalan protein, sel tulang dan sel radangan akan ditamatkan menjelang pukul 4 pagi esok waktu tempatan (8 pagi waktu Malaysia).

Penyelaras Sains Hayat program penyelidikan untuk Program Angkasawan Negara, Prof. Dr. A. Rahman A. Jamal berkata, Sheikh Muszaphar juga telah menyempurnakan penyelidikan hasil kerjasama Agensi Angkasa Lepas Eropah (ESA) dan Agensi Eksplorasi Angkasa Jepun (JAXA).

‘‘Kami, pasukan penyelidik termasuk pihak Agensi Angkasa Persekutuan Rusia (Roskosmos) dan Agensi Pentadbiran Angkasa Lepas dan Aeronautik Kebangsaan (NASA) yang memantau aktiviti Sheikh Muszaphar di ISS amat berpuas hati dengan pencapaian serta keupayaannya melakukan penyelidikan di angkasa.

‘‘Segalanya dapat dilaksanakan dengan baik sekali. Sekalung tahniah untuk beliau,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

A. Rahman berkata, sebagai angkasawan muda, kemampuan beliau melaksanakan penyelidikan di ISS dengan jayanya amat mengagumkan.

Sementara itu, di Moscow ketika ini, delegasi Malaysia termasuk pasukan penyelidik, kejuruteraan aeroangkasa dan perubatan sudah pun bersedia untuk menyambut kepulangan Sheikh Muszaphar.

Kapsul Soyuz dijangka mendarat ke Bumi pada pukul 2.37 petang waktu tempatan (6.37 petang waktu Malaysia).
----------------------------
Berita pendaratan: contoh liputan Berita Harian 22 Oktober 2007

minda.JUMAAT: kelompok soleh


Untuk memulakan entri setelah seminggu 'berehat', minda.JUMAAT membawakan kepentingan dalam mendapatkan ilmu. Ilmu itu makanan rohani dan amalannya menjadi makanan jasmani. Apabila memiliki ilmu, amalan yang benar dapat dilakukan.

Ayat 83-85 dari Surah al-Syu'ara' Allah telah mengajar kita berdoa untuk tergolong dalam kelompok atau golongan yang soleh:

" Wahai Tuhanku, berilah daku ilmu pengetahuan agama, dan hubungkanlah daku dengan orang-orang yang soleh.

Dan jadikanlah bagiku sebutan yang baik (nama yang harum) di kalangan orang-orang yang datang kemudian.

Dan jadikanlah daku daripada orang-orang yang mewarisi syurga Janatun-Naim."

Justeru itu, mendapatkan ilmu agama (ilmu yang baik) adalah permulaan kepada proses asas untuk mewarisi syurga Allah - setelah melaksanakan amalan terpuji di sisiNya; insyaAllah.

minda.JUMAAT: Allah terlalu hampir

Alhamdulillah, hari ini hari terakhir kita berpuasa. Genap 30 hari bagi tahun 1428H. minda.JUMAAT kali ini ingin bawakan kisah benar kaifiat amalan berdoa!

Selasa lalu 27 Ramadhan 1428 (9 Oktober 2007) turut serta meraikan pelancaran buku Prof Kamil di UiTM - "Travelog Haji: Mengubah Sempadan Iman" (TH-msi)...

Suasana sepi dan sebak menyelubungi Dewan Annexe UiTM, ketika Prof Kamil 'mendeklamasikan' Bab 31 bukunya: "Jamratul 'Aqabah - Mengubah Segalanya!" ... Sungguh menusuk kalbu. Terpancar ketulusan. Penuh kesungguhan!

Ia benar-benar menjadi pemangkin kepada persempadanan semula iman - bukan sahaja pengarang, tetapi setiap yang telah /dan akan mengalami pengalaman yang sama, atau hampir-hampir sama waktu dengannya... dan yang pasti juga tetamu lain di dalam dewan ketika itu.

Ada dua elemen penting yang telah berjaya dikongsi Pengarang TH-msi:

Pertama AMALAN BERDOA kepada Pencipta - Allah Yang Maha Mendengar, yang TERLALU HAMPIR dengan semua hambaNya. Yang menjadi benteng pemisah hanyalah sama ada 'nak atau tak nak' berdoa!

Elemen kedua menjadi pemacu kepada yang pertama. Ianya adalah kalimah peringatan yang diulang-ulangi Allah 31 kali di dalam Surah Al-Rahman: "Maka nikmat Tuhan yang manakah kamu dustakan?"

Kedua-dua elemen itulah adunan kimia yang mantap dan dibawakan secara santai dalam perkongsiaan pengalaman dan pembelajaran beliau di fardhu haji musim 1427H yang lalu...

Nabi Muhammad s.a.w telah secara jelas bersabda dan mengingatkan umatnya: "Doa itu senjata bagi Mukmin". Dan itulah yang digunakan Prof Kamil dalam merobah sempadan masa dan imannya!

Buku travelog haji (pertama serupanya dalam Bahasa Melayu) perlu dimiliki semua. Jadi, beli dan bacalah buku TH-msi... untuk mengetahui kandungannya.

Baca jugalah tulisan Mufti Perlis.... tentang konsep berdoa: "Allah itu terlalu hampir..."

Allah berfirman: "Dan apabila hamba-hamba-Ku bertanya kepadamu mengenai Aku maka (beritahu kepada mereka): Sesungguhnya Aku (Allah) sentiasa hampir (kepada mereka); Aku perkenankan permohonan orang yang berdoa apabila dia berdoa kepada-Ku. Maka hendaklah mereka menyahut seruan-Ku (dengan mematuhi perintah-Ku), dan hendaklah mereka beriman kepada-Ku supaya mereka mendapat petunjuk - surah al-Baqarah: 186.