KPI Dashboard

salam.DUBAI 1: permata hati...


Hari ini genap seminggu kami sampai di Dubai... ketibaan yang tidak dirancang! Perancangan Allah mengatasi segala. Dan selepas beberapa entri tentang Tok Sheikh dan mindanya, rasanya teringin pula bercerita tentang dua orang cucu dan persekitarannya.

Kali ini kisah Redza, 5 tahun. Cucu pertama. Dia baru masuk darjah 1 (Grade I) Jun lalu, di Emirates International School ...2 tahun lebih awal (kerana dia lulus peperiksaan untuk Grade tersebut). Dialah yang paling muda dalam kelasnya.

Rabu dan Khamis lalu, dalam sesi perjumpaan ibu bapa dan guru-gurunya, mendapat maklum balas yang amat menggalakkan. Cuma guru kelasnya, Ms Kotak (disebut 'kota' - dalam gambar bawah) beri tahu dialah yang paling 'bising' dalam kelas!... Mula-mula semeja dengan kawan-kawan lelakinya. Kemudian diletakkan dengan budak-budak perempuan. Serupa juga!... (nampaknya filem lebih 48 tahun lalu diulang-tayang... kisah datuknya!) Apatah lagi rupanya juga zerox datuknya...

Apa yang terlalu ketara, Redza itu lurus bendul budaknya! Jadi makanan adiknya sahaja... Sejak berumur dalam 2-3 tahun minat dengan lukisan /colouring... di tadika memang dapat 'bintang memanjang'. Tekun, kemas dan teliti.

Bila berumur 4 tahun minatnya pergi ke 'lego' pula... cepat sangat dia menyiapkan sesuatu objeknya. Kelmarin kami test dia dengan 4 jenis permainan/ lego ...termasuk untuk peringkat umur 14 tahun... disiapkan tidak sampai satu jam, sebelum tidur! (satu perangainya: tidak akan tidur selagi 'kerjanya' tidak siap) ...Lihat pada objek itu, rasa-rasanya kalau beri atuknya, belum tentu jadi!

Sejak lahir lagi kami sudah war-warkan dia sebagai Dr Redza... (datuknya kepunan dulu!). Di kesempatan akan datang akan bercerita tentang Hana (3 tahun). Kami panggil dia 'mem Arab'... hendak tahu? Ikuti entri salam.Dubai 3 nanti, insyaAllah.

Nota: Gambar atas sekali dirakamkan selepas Subuh, hari Sabtu - dari bumbung rumah... Burj Dubai (kiri) dan Burj Al-Arab (kanan).