KPI Dashboard

Dr SMS ke Bumi 6.37 petang ini


Daripada: METRA SYAHRIL MOHAMED

MOSCOW 20 Okt. – Esok, seluruh perhatian rakyat Malaysia akan tertumpu di Kazakhstan dan Rusia bagi mengikuti laporan kepulangan angkasawan pertama negara, Dr. Sheikh Muszaphar Shukor ke Bumi selepas berada di Stesen Angkasa Antarabangsa (ISS) selama 10 hari.

Adalah menjadi harapan semua agar cosmonaut negara itu selamat pulang ke Bumi bersama dua angkasawan lain iaitu Fyodor Yurchikhin dan Oleg Kotov melalui kapsul Soyuz TMA-10.

Kesihatan beliau ketika ini dilaporkan stabil dan baik serta sudah pun melakukan persiapan untuk menanti detik berlepas pulang ke Bumi.

Segala penyelidikan yang diamanahkan juga telah dilaksanakan dengan sempurna namun ada dua lagi kajian iaitu pengkristalan protein, sel tulang dan sel radangan akan ditamatkan menjelang pukul 4 pagi esok waktu tempatan (8 pagi waktu Malaysia).

Penyelaras Sains Hayat program penyelidikan untuk Program Angkasawan Negara, Prof. Dr. A. Rahman A. Jamal berkata, Sheikh Muszaphar juga telah menyempurnakan penyelidikan hasil kerjasama Agensi Angkasa Lepas Eropah (ESA) dan Agensi Eksplorasi Angkasa Jepun (JAXA).

‘‘Kami, pasukan penyelidik termasuk pihak Agensi Angkasa Persekutuan Rusia (Roskosmos) dan Agensi Pentadbiran Angkasa Lepas dan Aeronautik Kebangsaan (NASA) yang memantau aktiviti Sheikh Muszaphar di ISS amat berpuas hati dengan pencapaian serta keupayaannya melakukan penyelidikan di angkasa.

‘‘Segalanya dapat dilaksanakan dengan baik sekali. Sekalung tahniah untuk beliau,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

A. Rahman berkata, sebagai angkasawan muda, kemampuan beliau melaksanakan penyelidikan di ISS dengan jayanya amat mengagumkan.

Sementara itu, di Moscow ketika ini, delegasi Malaysia termasuk pasukan penyelidik, kejuruteraan aeroangkasa dan perubatan sudah pun bersedia untuk menyambut kepulangan Sheikh Muszaphar.

Kapsul Soyuz dijangka mendarat ke Bumi pada pukul 2.37 petang waktu tempatan (6.37 petang waktu Malaysia).
----------------------------
Berita pendaratan: contoh liputan Berita Harian 22 Oktober 2007