KPI Dashboard

NLP vs LoA

Terlebih dahulu saya ingin merakamkan setinggi-tinggi terima kasih dan penghargaan kepada rakan-rakan siber /bloggers yang telah mengirimkan hasrat masing-masing untuk menyertai program coaching yang ditawarkan

Kepada yang tidak terpilih, jangan berkecil hati. Mungkin tuan/puan diberi peluang di masa-masa akan datang. Saya telah bertemu lebih separuh daripada 'Coachee' yang telah didaftarkan di bawah program tersebut. Alhamdulillah, kami telah melalui proses pembelajaran yang amat menarik sekali!

Perkara-perkara yang menjadi minat mereka dan ingin mengetahuinya dengan lebih lanjut adalah yang berkaitan NLP dan LoA. Klik Neuro Linguistic Programming (NLP) dan Law of Attention (LoA)...untuk maklumat ringkas berkaitan.

"...NLP ialah teknologi terkini yang menggunakan model kefungsian manusia berasaskan kepada konsep psikologi. Model kefungsian manusia merangkumi penggunaan 'BAHASA MINDA' untuk mengawal minda dalam menguruskan perasaan, untuk mencapai sesuatu matlamat.

Model asas dalam teknik NLP yang digunakan ialah STIMULUS dan RESPON. Jadinya teknik NLP sentiasa menitikberatkan penyediaan stimulus yang positif ke arah respon yang positif."**

** Rujukan /Kredit: 2006 kajian aura intuisi NLP
-
Dr Ismail Alias & Raja Kamariah Raja Haji Mohd Khalid.

Berita Ringkas


Umat Islam akan mengatasi yang beragama Kristian di United Kingdom dalam tahun 2020, InsyaAllah. Baca DI SINI

minda.JUMAAT: akal.harta


Masjid Kristal dan Taman Tamadun Islam adalah 'tarikan pelancungan' baru di Kuala Trengganu. Sekadar ingin tahu apakah kehebatan kompleks yang menelan belanja RMratusan.Juta itu, saya singgah untuk solat Maghrib (dalam perjalanan ke lapangan terbang) petang semalam.

Dinamakan Masjid Kristal kerana terdapat bebola kristal di puncak empat menara masjid... Kompleks TTI itu sebenarnya masih dalam pembinaan (secara fizikalnya mungkin dalam lingkungan 70% siap).

MK & TTI dikatakan turut menyumbang kepada beberapa kekalutan (politik) yang sedang melanda negeri itu sekarang (mengikut cerita pemandu teksi yang membawa kami ke lapangan terbang..?). Hanya Allah Yang Maha Mengetahui.

Justeru itu, minda.JUMAAT kali ini ingin membawakan pemikiran Ibrahim Adham yang amat mudah kita fahami:

Jika berpegang kepada AKAL semata-mata,
akan SESATlah dia!

Jika berpegang kepada HARTA,
akan BERKURANGANlah jadinya!

Jika berpegang kepada KEMEGAHAN manusia,
dia menghampiri KEHINAAN!


Nota /Pengajaran
1. Menggunakan akal itu penting. Namun perlulah tunduk kepada Islam. Itu dinamakan iman.

2. Akal tanpa ilmu itu gila - kerana dipacu nafsu!

3. Berpegang pada harta, harta akan kurang? Sifat bakhil contohnya, dari aspek fizikalnya harta itu dirasakan tidak kurang. Apa yang kurang? Kurang NILAInya - disisi agama, keimanannya.

4. Harta itu dalam tangan, bukan dalam hati!

5. Sayidina Umar al-Khatab berpesan: kemegahan dunia itu kerana pangkat dan hartanya (yang disanjungi manusia), namun ilmu (dimiliki) jualah yang menghindari manusia daripada kehinaan!

TER


Pagi ini dapat mengembalikan semula rutin harian. Lima hari tidak berpeluang untuk berinternet. Masih lagi di Kuala Trengganu...

Di Kuala Trengganu saya mengendalikan program untuk Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) Wilayah Timur - Kemahiran Berfikir Strategik dan kecemerlangan bisnes untuk usahawan EKS. Hadir sama usahawan yang terlibat di dalam perkhidmatan Perunding dan juga Pensyarah universiti.

Disamping itu, saya juga bertemu 'Coachee' di bawah Program CPC di Trengganu - seorang Akauntan.

Yang menarik adalah tempat saya mengendalikan program itu. Ianya adalah suatu pengalaman baru buat saya... di Trengganu Equestrian Resort (TER). Persekitaran dan keindahan pantai dan kebiruan Laut China Selatan yang mengasyikkan. MasyaAllah! AllahuAkbar!

minda.JUMAAT: nikmat

Minda Jumaat kali ini ingin membawakan pesanan daripada Sayidina Ali. Suatu pesan yang amat mendalam firasatnya tentang kehidupan...

"Sesungguhnya di antara nikmat dunia, cukuplah Islam itu sebesar-besar nikmat;

Sesibuk-sibuk kita di dunia, sibukkanlah diri dengan perkara-perkara berkaitan Allah; dan

Sebaik-baik iktibar (peringatan) adalah mengingati kematian".


Nota Ringkas
1. Islam itu pegangan, aqidah dan kepercayaan. Menegakkan Islam itu suatu perjuangan dan perlu berterusan, bukan bermusim... Keadilan, keselamatan dan apa sahaja yang dirangka perlu dipandu Islam - bukan kita cuba-cuba memandunya mengikut citarasa nafsu kita.

2. Dalam kesibukan di dunia juga perlu dipandu ketaatan kepada Allah. Kalau kita tidak ada masa untuk Allah, pasti Allah pun 'tidak layan' kita!

3. Ingat kepada kematian itu sendi kehidupan mukmin. Ianya mampu 'menghapuskan kelazatan' dunia yang natijahnya akan menjurus kepada ingatan kita tentang kebesaran Allah.

titik permulaan baru...

Setiap kali tiba 12 Rabiul Awal, kita merayakan Maulidur Rasul - tanpa 'tertinggal' dengan cuti umumnya... Tetapi apakah ia ada signifikannya dalam hidup kita, sebagai seorang Muslim?

Nabi Muhammad S.A.W. diutuskan Allah untuk membawa rahmat ke sekelian alam... bukan kepada manusia tetapi segala isi alam ini!

Kejutan tsunami politik tanah air masih dan semakin hebat diperkatakan - terakhir komposisi kabinet baru. Jelas desakan dan suara rakyat yang inginkan suatu perubahan telah diterjemahkan dari peti undi hinggalah ke istana!

Kabinet Pak Lah juga tidak ketinggalan?

Namun, apa pun yang akan dilakukan - lebih-lebih lagi "pihak-pihak yang menang" - semua pihak perlu menghayati pengajaran dari tiga ayat Surah An Nashr (Pertolongan) 110:

Apabila telah datang PERTOLONGAN Allah dan KEMENANGAN;

dan kamu lihat manusia masuk agama Allah dengan berbondong-bondong;

maka BERTASBIHLAH dengan memuji Tuhan mu dan MOHONLAH AMPUN kepadaNYA. Sesungguhnya Dia adalah Maha Penerima taubat.

Nota
1. Kredit: Kad Maulidur Rasul di atas dipinjam dari laman web UiTM Johor... Tabik Prof Kamil!


kabinet Pak Lah...


Rakyat Malaysia terpaksa menunggu 10 hari selepas dilanda tsunami PRU12...

sebelum Pak Lah mengumumkan barisan kabinet BN jam 12:00 tadi.

Senarai dan berita awal Bernama DI SINI

pensyarah baru


Berminat menjadi Pensyarah IPTA?

Kunjungi DI SINI. untuk menyahut pelawaan Prof Kamil...

selebriti 'Travelog Haji' yang telah banyak
berkongsi pengalamannya,
khususnya dalam 'mengubah sempadan imannya'.

si cantik...

Seperti biasa rutin mingguan saya adalah ke pasar... dan membantu isteri mengemaskan ayam dan ikan yang dibeli... Pagi Ahad bagaikan dijanji. Kucing-kucing di belakang rumah akan 'berkumpul'. Burung gagak akan memanggil kawan-kawannya - apabila telah menghidu 'rezeki mingguan' mereka....

Memang benar setiap rezeki di bumi Allah yang kita terima dan miliki, yang pastinya ada hak pihak lain keatas sebahagian darinya...

Contoh mudah: Seekor ikan tenggiri sekecil mana pun, apabila kita bawa balik dari pasar ada hak kucing dan gagak keatasnya. Ketika kita membersihkan ikan itu ingsang, perut dan beberapa bahagian lain kita akan 'buang'. Bahagian yang dibuang (sebenarnya kita telah bayar!) itulah rezeki mereka. Apabila ianya dijadikan lauk masak asam pedas (Melaka) ... tulang dan beberapa bahagian lain kita buang lagi - kini menjadi milik semut pula (dan kadang-kadang rezeki siput babi di tong sampah...).

Sejak akhir-akhir ini, seekor kucing yang melata di belakang rumah menjadi tarikan baru kepada saya. Saya panggil ia Si Cantik ... amat manja dan pandai meminta. Ia seekor anak kucing remaja yang 'awet muda'. Lihatlah apa yang dimakannya!... 'bahagian ayam' itu memang dibekalkan percuma oleh rakan penjual ayam di pasar - yang ingin sama mendapatkan keredaan Allah.

Si Cantik adalah generasi ke-5 dari bapak kucing yang kami panggil Si Koreng... 15 tahun dahulu anak bongsu saya membawa balik seekor anak kucing yang kotor seluruh badannya yang terjatuh ke dalam longkang... dan kucing-kucing yang datang dan pergi, untuk mencari makan (selalunya meminta) dari belakang rumah itu adalah dari keturunannya. Iras muka, corak bulu dan manjanya sama...

Si Cantik itu lain pula corak bulunya... darah campuran kucing Parsi!...

Nota
1. Kerana asyik membelai Si Cantik, hampir terlepas menonton siaran langsung F1 di Australia.

2. Mengapa saya meminati sukan lumba kereta F1? Baca DI SINI

hari terakhir...



TAWARAN
COACHING
PERCUMA




eMail hasrat anda segera
HARI INI

Sekiranya anda terlepas pandang, KLIK DI SINI

dan di blogheader di bawah ini


mind.JUMAAT: ilusi masa

Rintihan seorang (berusia) tua:

Hai masa...!
Kiranya umur remaja,
datang menjelma,
sehari dua,
nescaya ku cerita,
perangai orang tua!

Detik-detik masa yang telah pergi...
Tidak mungkin dapat diganti.
Tidak mungkin berulang kembali.


Semua yang hidup bagai dalam bahtera pelayaran,
Setiap hari dan bulan,
kian jauh dalam perjalanan,
Berhari bermalam semuanya bagai dalam impian,
Dunia ditinggalkan,
akhirnya kubur jua yang berdekatan!


Petikan
Pengurusan Masa Menurut Islam - Dr Yusuf Al-Qaradawi

analisis PRU12

Pandangan dalam bentuk analisis politik masih belum reda. Malah, bertambah-tambah pula 'lantang dan berani' disuarakan melalui forum siaran langsung media-media elektronik yang juga turut menunjukkan arus 'perubahannya'! Kecuali 2-3 saluran TV konvensional itu....

Sejak tengah malam hari pengiraan undi PRU12, berbagai analisis kekalahan dan kemenangan calon atau parti yang bertanding dipaparkan. Analisis kali ini lebih menarik kerana keputusan PRU12 adalah keputusan 'Hari Ini Dalam Sejarah' sepanjang 50 tahun kemerdekaan Negara.

Apa yang ingin dibawakan kali ini adalah untuk kita sama-sama melihat 'struktur' berfikir setiap peserta forum ketika memberikan hujah-hujah mereka. Sebenarnya ia adalah berasaskan kepada struktur Model Sistem Berfikir di bawah ini. Model itulah refleksi kepada cara minda kita bekerja. Nota
1. Hujah atau pandangan yang baik dan dapat diterima akal adalah apabila ahli panel berjaya mengolah dengan bijak 'Persekitaran Yang Sentiasa Berubah' dan realiti isu yang dibincang. Bukannya tertakluk kepada 'teks penerbit' dan sentimen emosi peribadi!...

tsunami minda

Semalam, rakyat Malaysia telah membuat keputusan. Dan PRU12 telah menonjolkan buat pertama kalinya dalam sejarah politik Negara 'kuasa undi' sebenarnya.

Saya secara peribadi memerhatikan kempen PRU12 adalah yang paling 'senyap'... Namun, selepas 01:00 pagi tadi landskap politik Negara mula berubah. Tsunami minda rakyat telah diterjemahkan!

Selama ini perkataan silent majority itu semacam tiada signifikannya dalam kamus politik Negara. Namun, fajar 9 Mac 2008 telah meninggalkan kesan tsunami politik yang tidak diduga parti pemerintah!

Rujuk laman rasmi keputusan PRU12 DI SINI dan klik gambar di atas untuk keputusan penuh

Apa yang pasti dalam tempoh seminggu dua akan datang ini, media dan pihak yang kalah mau pun yang menang akan menghidangkan kepelbagaian dalam analisis piliharaya...

Amat tepatlah telahan bestari
"SUDAH TERGANTUK, BARU TENGADAH!"

Nota
1. Puan SifuPTS bertanya: apa dia 'ter-gantuk'?

Jawapan saya: ter'gantuk' itu sebutan 'halus' orang Melaka... dalam istilah PTS ia adalah BMR (Bahasa Melayu Rendah). BMTnya adalah 'terhantuk'. Terima kasih Puan!

080308

Hari ini 8 Mac 2008, ringkasnya 080308.

Bagi Malaysia, hari ini adalah hari mengundi PRU12. Hari yang menentukan hari-hari berikutnya corak pemerintahan Negara!

Namun, dalam kehidupan berkeluarga hari ini adalah hari ulangtahun kelahiran orang yang paling penting dalam hidup saya. Isteri saya, yang amat dikasihi dan disenangi keluarga... Saripah Ahmad. Hari ini hari pertama umur 'wajib bersara' (jika bertugas di dalam perkhidmatan awam).

Sudah 32 tahun bersama sebagai suami isteri. Ditambah lebih 10 tahun sebagai 'musuh' ketika di sekolah menengah. Kami saling bertarung di kelas bimbingan di kampung... sehingga membawanya ke Sekolah Seri Puteri (kumpulan perintis) dan saya ke Sekolah Alam Shah. Permusuhan itulah yang menyatukan kami!
Diraikan anak dan cucu - Ulangtahun Perkahwinan ke 30, Dubai 300106

(Sambung cerita Hindustan itu sedikit.... petikan dari jibunsyi
Si Bulat, yang dalam pembikinan)

Anak sulung dari keluarga besar, 10 orang adik beradik. Pernah menggalas tanggung jawab dan berkorban demi pendidikan adik-adiknya. Terpaksa mengorbankan cita-citanya yang memang terserlah semenjak dari zaman main pondok-pondoknya lagi.

Saripah amat senang sekali jika dipanggil Cikgu! Itulah watak semulajadi yang dikurniakan kepadanya!
Dari main cigku-cikgu sampailah mengambil alih tugas cikgu mengaji Al Quran - di kalangan kawan-kawan sebaya yang masih sukar membaca.

"Kak Pah sebelum ini mengajar di mana?" Gadis comel di kaunter bayaran Pejabat Tanah itu memecah kesunyian.

"Aduhhh! duhhh!" Pertanyaan itu benar-benar menusuk kalbu! Di hatinya sesekali datang juga rasa kecewanya. Kadang-kadang tidak dapat disorokkan, di sebalik senyuman percumanya kepada semua.


"Oh tidak. Kakak bertugas di tempat simpan duit adik ketika usia tua adik nanti...". Jawabnya dalam nada yang hampir-hampir tidak kedengaran. Nada bersahaja berbaur sayu.

Hampir semua yang menyapanya akan memberi persepsi beliau adalah seorang Guru. Jenama Cikgu itu terukir jelas di dahinya yang tertutup separuh dengan tudung kuning lembut yang dikenakan pagi itu. Warna itu kegemarnnya.

Memang benar, dialah guru bagi kami semua!

Semoga baki-baki hidup kami bersama dapat terus meningkatkan taqwa kepada Pencipta Yang Maha Bijaksana dalam mengaturkan perjalanan hidup hamba-hambaNYA. InsyaAllah.

Nota
1. Jam 09:50 tadi menerima hantaran bunga pesanan on-line daripada cucu-cucu di Dubai... Redza & Hana. Manakala bunga pink itu pula dibawa cucu kedua Aishah.

2. Isteri dan saya menunaikan tanggungjawab PRU12 di Sek Men Subang Utama, SS18 ...terasa kami dalam peringkat warga emas (di saluran 2) 'didera' - di awal pagi (09:00-11:00) satu-satunya bilik mengundi yang terpaksa berbaris panjang! Saluran-saluran lain ternyata 'lengang' lagi ketika itu.

minda.JUMAAT: esok untuk siapa?

Esok hari mengundi PRU12. Berbaki 24 jam lagi.

Sudahkan anda tetapkan minda pilihan?

...ke tempat mengundi, calon pilihan? ATAU
...ke tempat mengundi, bertekat untuk rosakkan undi? ATAU
...duduk sahaja di rumah diam-diam?

Walau apa pun pilihan yang bakal dibuat, amat-amatilah pengajaran dari firman Allah Surah Al-Ahzab (33): Ayat 67-68 berikut

Dan mereka berkata,`Ya Tuhan kami, sesungguhnya
kami telah
menta`ati pemimpin-pemimpin
dan pembesar-pembesar kami,

lalu mereka menyesatkan kami
dari jalan (yang benar)

Ya Tuhan kami, timpakanlah kepada mereka azab
dua kali ganda dan kutuklah mereka
dengan kutukan yang besar!

Nota
Semoga Allah melindungi agamaNYA di Negara bertuah ini, daripada kerakusan manusia dan kesyaitanannya. Amin.

promo juga percuma...

Alhamdulillah, dengan rasa terharu ingin merakamkan
penghargaan saya kepada

Puan SifuPTS
dan
Saudara Kassim Selamat

kerana turut memberi ruang promo di blog mereka

berkenaan dengan coaching percuma yang ditawarkan

BUDI BAIK DIKENANG JUGA

Kunjungilah juga DI SINI

coaching percuma

Sebagai menghargai kunjungan rakan-rakan blogger ke sini
saya ingin menawarkan perkhidmatan

BIMBINGAN (COACHING) PERCUMA!
Sebagai sebahagian dari proses untuk mendapatkan pentauliahan Professional Coach, saya memerlukan di antara 150-250 jam dalam mengendalikan bimbingan eksklusif (one-on-one) ... secara 'real'. Rujuk N3 sebelum ini dan lawatilah blog khususnya my.COACHING.space untuk maklumat berkaitan.

Bidang-bidang coaching utama yang ingin dikendalikan adalah seperti berikut:

a. Corporate Coaching - keperluan membangunkan kehebatan minda di organisasi anda;

b. Business Coaching
- kesedaran kekompetenan dalam pengendalian bisnes; dan

c. Personal Development Coaching - menyingkap kehebatan potensi diri.

Saya akan menggunakan pendekatan konsep PEMIKIRAN STRATEGIK ketika mengendalikan coaching tersebut. Tempoh minimum yang diperlukan (contact hours) adalah 10 jam bagi setip coachee. Komitmen yang diperlukan adalah di antara dua (2) hingga sepuloh (10) minggu - bergantung kepada kesesuaian masa kedua-dua belah pihak.

Di akhir program, setiap klien/ coachee akan memiliki PETA STRATEGI masing-masing. Peta strategi tersebut akan menjadi asas untuk merealisasikan impian! InsyaAllah.

Rebutlah peluang ini dengan mengemukakan hasrat masing-masing melalui email ke sab2.PTS@gmail.com sebelum 15 Mac 2008 dengan menyatakan maklumat-maklumat berikut:

i. Pengenalan diri (Nama, No. K/P, Alamat lengkap, No. telefon yang mudah dihubungi);
ii. Kerjaya sekarang (Nyatakan nama majikan, tempoh perkhidmatan /pengalaman - jika berkaitan);
iii. Nyatakan bidang coaching yang diperlukan (a /b /c di atas); dan
iv. Matlamat akhir menyertai program ini (jika perlu dinyatakan).

Nota
1. Disamping mendapatkan coaching contact hours yang diperlukan, pengalaman pengendalian tersebut akan dijadikan sebahagian dari bahan kepada buku yang kini sedang diusahakan bersama PTS (Belajar Befikiran Strategik).

2. Maklumat diri dan semua bahan yang dihasilkan adalah dirahsiakan, kecuali untuk tujuan pentauliahan Professional Coach sahaja.

3. Sesi akan dikendalikan dalam bahasa yang yang disenangi klien /coachee.

coach

Mulai hari ini memulakan satu komitmen baru. Untuk tempoh 4-6 bulan akan datang terlibat dengan proses pentauliahan sebagai 'Pebimbing' Profesional (professional coach). Teras kepada proses tersebut adalah mengendalikan aktiviti coaching untuk tempoh sekurang-kurangnya 250 jam.

Contoh-contoh program Certified Professional Coach 'yang popular' adalah kendalian Cambridge Association of Managers (CAM-UK) dan International Coaching Federation (USA). Wakil CAM di Malaysia adalah Coaching & Training Asia. ICF (Asia Pasifik) pula melalui ICF Malaysia Chapter. Kedua-dua agensi tersebut berpejabat di Kuala Lumpur. Namun, beberapa IPTA juga ada mengendalikan program yang sama (dengan pendekatan yang mungkin sedikit berbeza), di antaranya UMCCed (Universiti Malaya).

Secara ringkas, perspektif coaching berbanding dengan proses-proses pembangunan modal insan yang lain dapat digambarkan seperti berikut:
Nota
1. ICF mendefinisikan Professional Coach sebagai : "...an ongoing partnership that helps clients produce fulfilling results in their personal and professional lives".

2. Berdasarkan kepada keperluan pasaran, memiliki pentauliahan seperti di atas memberikan nilai tambah yang kompetitif jika terlibat dalam sektor training & consultancy - untuk pasaran dalam dan luar negeri, insyaAllah.