KPI Dashboard

080308

Hari ini 8 Mac 2008, ringkasnya 080308.

Bagi Malaysia, hari ini adalah hari mengundi PRU12. Hari yang menentukan hari-hari berikutnya corak pemerintahan Negara!

Namun, dalam kehidupan berkeluarga hari ini adalah hari ulangtahun kelahiran orang yang paling penting dalam hidup saya. Isteri saya, yang amat dikasihi dan disenangi keluarga... Saripah Ahmad. Hari ini hari pertama umur 'wajib bersara' (jika bertugas di dalam perkhidmatan awam).

Sudah 32 tahun bersama sebagai suami isteri. Ditambah lebih 10 tahun sebagai 'musuh' ketika di sekolah menengah. Kami saling bertarung di kelas bimbingan di kampung... sehingga membawanya ke Sekolah Seri Puteri (kumpulan perintis) dan saya ke Sekolah Alam Shah. Permusuhan itulah yang menyatukan kami!
Diraikan anak dan cucu - Ulangtahun Perkahwinan ke 30, Dubai 300106

(Sambung cerita Hindustan itu sedikit.... petikan dari jibunsyi
Si Bulat, yang dalam pembikinan)

Anak sulung dari keluarga besar, 10 orang adik beradik. Pernah menggalas tanggung jawab dan berkorban demi pendidikan adik-adiknya. Terpaksa mengorbankan cita-citanya yang memang terserlah semenjak dari zaman main pondok-pondoknya lagi.

Saripah amat senang sekali jika dipanggil Cikgu! Itulah watak semulajadi yang dikurniakan kepadanya!
Dari main cigku-cikgu sampailah mengambil alih tugas cikgu mengaji Al Quran - di kalangan kawan-kawan sebaya yang masih sukar membaca.

"Kak Pah sebelum ini mengajar di mana?" Gadis comel di kaunter bayaran Pejabat Tanah itu memecah kesunyian.

"Aduhhh! duhhh!" Pertanyaan itu benar-benar menusuk kalbu! Di hatinya sesekali datang juga rasa kecewanya. Kadang-kadang tidak dapat disorokkan, di sebalik senyuman percumanya kepada semua.


"Oh tidak. Kakak bertugas di tempat simpan duit adik ketika usia tua adik nanti...". Jawabnya dalam nada yang hampir-hampir tidak kedengaran. Nada bersahaja berbaur sayu.

Hampir semua yang menyapanya akan memberi persepsi beliau adalah seorang Guru. Jenama Cikgu itu terukir jelas di dahinya yang tertutup separuh dengan tudung kuning lembut yang dikenakan pagi itu. Warna itu kegemarnnya.

Memang benar, dialah guru bagi kami semua!

Semoga baki-baki hidup kami bersama dapat terus meningkatkan taqwa kepada Pencipta Yang Maha Bijaksana dalam mengaturkan perjalanan hidup hamba-hambaNYA. InsyaAllah.

Nota
1. Jam 09:50 tadi menerima hantaran bunga pesanan on-line daripada cucu-cucu di Dubai... Redza & Hana. Manakala bunga pink itu pula dibawa cucu kedua Aishah.

2. Isteri dan saya menunaikan tanggungjawab PRU12 di Sek Men Subang Utama, SS18 ...terasa kami dalam peringkat warga emas (di saluran 2) 'didera' - di awal pagi (09:00-11:00) satu-satunya bilik mengundi yang terpaksa berbaris panjang! Saluran-saluran lain ternyata 'lengang' lagi ketika itu.