KPI Dashboard

minda.JUMAAT: janji

Janji Allah adalah benar! Sesungguhnya Allah tidak memungkiri janji [Ali Imran, Ayat 9]... dan banyak lagi ayat-ayat al-Quran yang menegaskan tentang janji Allah.

Salah satu nama Allah adalah Al-Mujib. Yang Maha Memperkenankan. Dan dari sifatNya itulah tercetusnya elemen penting dalam ilmu motivasi, iaitu berfikiran positif (positive thinking).

"Berdoalah kamu kepada Allah dalam keadaan yakin doa itu diperkenankan dan ketahuilah sesungguhnya Allah tidak memperkenankan doa yang timbul dari hati yang lalai dan sibuk dengan hal-hal lain" - Hadis diriwayatkan Tirmizi dan al-Hakim.

Janganlah seseorang itu ragu
pada janji Allah
kerana permohonannya belum terkabul;
Meragukan janji Allah
menjadikan iman manusia
dan penglihatan mata hatinya
redup serta memadamkan
CAHAYA JIWANYA


Sumber: 99 Kecerdasan berasaskan Asmaulhusna, Sulaiman Alkummayi

Nisfu Syaaban

Malam ini malam Nisfu Syaaban, 15 Syaaban. Jika Rejab dengan Isra' dan Mikrajnya dan Ramadhan nanti dengan Malam Qadar, apa pula keistimewaan malam Nisfu?

Apa yang perlu dilakukan? Pengisian malamnya dengan amalan-amalan sunat yang menjurus kepada mengharapkan keampunan dan rahmat Allah. Siangnya berpuasa...

Nabi s.a.w bertanyakan Jibril tentang malam Nisfu Syaaban ketika mendatangi baginda pada malam tersebut. Jibril memaklumkan:
  • malam tersebut terbukanya 300 pintu rahmat;
  • Tuhan mengampunkan segala kesalahan orang yang tidak menyekutukan Allah dengan sesuatu;
Lalu Nabi s.a.w mengerjakan solat dan menangis ketika sujud, lalu berdoa:
  • Ya Allah, aku berlindung kepadaMu daripada seksaan dan kemurkaanMu;
  • Aku tidak berupaya menghitung pujian untukMu, sebagaiman Engkau sendiri memuji zat kebesaran dan kemulianMu;
  • Segala pujian untukMu sehingga Engkau redha.
CABARAN:
1. Hari ini dan esok adalah dua hari yang mana banyak majlis-majlis nikah kahwin...
2. Hari-hari hujung minggu dan permulaan cuti sekolah yang pengisian 'bersantai' yang sudah dirancang...
3. Di Permatang Pauh?..
4. Iman itu adalah cabaran!

minda.JUMAAT: saling menghargai

Surah Al-'Ashr (103) memberi fokus pengurusan masa dalam Islam. Salah satu aspek penting dalam pengurusan masa itu adalah konsep saling berpesan-pesan...

Saling berpesan-pesan itu natijahnya adalah saling menghargai. Menghargai diri sendiri, alam dan persekitarannya adalah elemen pentingnya. Ianya adalah suatu proses timbalbalas - cause and effect - kehidupan!

Justeru, HARGAILAH:

1. AGAMA: Asas kehidupan, dan bagaimana keluhuran iman itu membentuk keperibadian;

2. NYAWA: Tempoh kehidupan yang telah ditentukan. Peluang hanya sekali!

3. AQAL: Kelebihan dalam kehidupan, berbanding mahluk lain - guna memakmurkan alam.

4. HARTA: Bekalan kehidupan, hisapnya adalah bagaimana ianya dimiliki dan dimanfaatkan.

5. KETURUNAN: Kitaran penting kehidupan. Bukan sekadar 'menjaganya' tetapi di mana IMANYA!

Minggu cuti sekolah berkait rapat dengan majlis kenduri kahwin. Hargailah jemputan, majlis makan - jika ada menerimanya. Nabi Muhammad s.a.w tetap memenuhi undangan serupa itu, kerana ianya menimbulkan kasih sayang di kalangan umat baginda.

belimbing dan tompok

Selalunya belimbing akan berbuah lebat selepas hujan 'musim panas' turun. Boleh dikatakan ianya tidak bermusim... Pokok itu mengambil hampir sepertiga kawasan dari sudut hijau di belakang rumah.

Disamping menjadi perisa dalam sambal kacang ketupat, belimbing (buluh) itu banyak khasiat kesihatannya.

Kaya dengan vitamin A dan C. Daunnya juga menunjukkan sifat-sifat antibakteria.

Jus belimbing dapat mengubati tekanan darah tinggi, selain dari melegakan perut memulas dan panas badan. Air rebusan daun belimbing elok untuk mengecutkan tisu dan rawatan lepas bersalin. Juga untuk merawat jerawat di muka dan bengok. [sumber: Dr. Ong Heng Chooi, Siri TerapiAlami - Sayuran, Khasiat Makanan & Ubatan, UPD 2007]

Si Tompok adalah 'koleksi' terbaru kucing di belakang rumah.
Sudah lebih dua minggu menetap.
Warna dan corak bulunya mirip ibunya.
Ibunya memang pandai menjaga anak-anaknya.
Garang dan tidak mudah didekati.
Seperti biasa, apabila tiba masa anak-anaknya
akan 'diserahkan' kepada kami...

Tetapi kali ini proses serahan itu agak berbeza. Dari 3 ekor anaknya, Si Tompoklah yang paling 'keding' (selekeh, comot dan kurus). Dan Si Tompoklah yang dijadikan 'ayam tambatan' dalam mendapatkan makanan dari kami... Dua ekor lagi tunggu bersama ibunya di luar pagar - lari apabila didekati!

Lihatlah gelagat Si Tompok yang sama-sama sebok ketika kami meninjau buah belimbing... Sering terjadi, setiap kali ketibaan kucing yang baru akan membawa bersama rezeki - buah belimbing yang bergugusan!

minda sihat...

Bersantailah di hujung minggu dengan mengenali
minda dan cara merawatnya...

Berikut adalah entri berkaitan 'Struktur Medium Oksigen' dipetik dari blog ColorVibrationTherapy Dr ArifFaizal sebagai santapan minda pagi Ahad:
Klorofil merupakan "darah" kepada kehidupan tumbuh-tumbuhan. Alfafa (medigo sativa) adalah satu-satunya tumbuhan yang paling kaya dengan nutrisi.

Alfafa juga lebih dikenali sebagai "bapa kepada segala makanan". Tumbuhan berharga ini sangat baik untuk menguatkan sistem imun tubuh kerana ia mengandungi klorofil yang terbaik. Vibration Liquid Chlorophyll (VLC) merupakan cecair yang mengandungi klorofil daripada alfafa dan kaya dengan mineral seperti kalsium bagi membantu mengawal serta mengatur kalsium di dalam darah.

Bacalah seterusnya DI SINI

minda.JUMAAT: minda alami

Alam ciptaan Allah ini lebih bersifat koseptual. Ia mudah difahami, diolah dan disusun kembali. Di atas sifat itulah alam ini diserahkan kepada manusia untuk melengkapkannya dengan pelbagai kebolehan.

Dalam penciptaan manusia, keupayaan intelektual menjadi asas - asas sebagai pemimpin. Manusia diangugerahi dengan aqal. Aqal akan dapat dan berupaya menerima dan menyebarluaskan lagi ilmu yang sedikit diberikan kepadanya.

Sebagai pemimpin di muka bumi ini, Allah membekalkan manusia dua benda bersama kita bertujuan memakmurkannya. Pertama kebolehan mengurus, iatu proses membina kemahiran atau skil. Dan keduanya sumber-sumber yang diperlukan di dalam proses pencernaannya.

Jelaslah, alam ini telah tersedia untuk dimanfaatkan. Dan ianya perlu dimanfaatkan selaras dengan pembangunan manusia itu sendiri. Namun, apa yang dapat dilihat juga adalah petapa kehancuran, kepincangan dan ketidakseimbangan pembangunan alam ini akibat dari rakusnya manusia.

Apa yang berlaku itu sebahagian besarnya akibat dari manusia dipacu aqal tanpa agamanya. Lebih teruk lagi apabila manusia menggunakan nafsu aqalnya dalam pemanduan agamanya. Sepatutnya agamalah yang perlu dilandaskan dalam penerokaan aqal. Minda alami.