KPI Dashboard

11 judul


Setelah dua kali rancangan ke Pesta Buku 'tergendala', akhirnya kami dapat juga ke sana petang tadi...

Tujuan utama adalah ke ruang pamiran PTS - kerana ada beberapa judul buku baru yang ingin dimiliki. Dan kebetulan sesi bersama Penulis (Dr Umi Kalthum Ngah) "Puteri Salsabila" telah mula mengambil tempatnya.

Setelah mencapai tiga judul, saya serah kepada isteri untuk dibayar sama dengan lima judul pilihannya... ditambah sebuah judul percuma! (selepas berjaya menjawab 'soalan mudah').

Sempat juga ke WiraBukit untuk mendapatkan tandatangan Pak Samad di muka depan "68 Soneta Pohon Ginkgo" yang baru dilancarkan. Tertarik juga dengan edisi komemoratif (terbitan 2004) "Dirgahayu Dr Mahathir dan kepada Pemimpin Yang Itu" - dua puisi penting peralihan kuasa... berdasarkan kepada kemelut politik semasa.

Nota: Puisi berbentuk soneta
- Lazimya mengandungi empat larik bagi setiap rangkap yang disudahi dengan dua larik bagi rangkap akhirnya. Kesemuanya 14 baris. Selain itu, setiap larik mengandungi 10 suku kata dengan rima pada setiap selang pengakhir larik.

Pesta Buku 2008

Nota kemaskini
KLIBf 2008 mencatatkan sejarah tersendiri, khususnya dalam penerbitan buku-buku Melayu apabila m-Book diperkenalkan kepada umum secara rasmi semalam.

Dan PTS pantas menerajuinya, bersama pembekal teknologi Metamobile. Tahniah kepada mereka-mereka yang menjuarai inisiatif yang strategik itu - dalam memertabatkan Bahasa Melayu. Bahasa itu Bangsa!

Kini dengan RM5.00 buku idaman dimuat-turun terus ke telefon bimbit anda!
Promo KLIBf2008 di TV.PTS...
4-13 April 2008. Jom ke sana!

intelektual seimbang...

Membaca kisah-kisah Sufiah Yusuf, kanak-kanak pintar (ibunya Melayu dari Muar) yang diterima masuk Universiti Oxford ketika berusia 13 tahun (sepuluh tahun lalu) agak memilukan...

Lantas terbayang di benak kita beberapa kes kanak-kanak genius di Malaysia, khususnya daripada keluarga Melayu dalam tempoh 30 tahun yang lalu. Seingat saya hampir semuanya (berdasarkan maklumat media yang ada) di akhiri dengan episod-episod malang!

Amat tertarik dengan tulisan hebat AbuSaif yang menyorot kembali beberapa kisah hidup kanak-kanak genius di N3nya "Sukarnya Menjadi Genius" - yang di antara lain menyentuh kisah Hadafi, Sufiah dan terkini Adi Putra.

Saya petik juga 2N3 uncleJ DI SANA dan DI SINI, untuk memudahkan pengunjung mengumpulkan maklumat berkaitan Sufiah Yusuf.

Justeru, saya tidak bercadang untuk melanjutkan ulasan berkaitan paparan-paparan tersebut.

Cuma sekadar mengulangi semula pesanan Ibrahim Adham di N3 lepas "minda.JUMAAT : minda.Akal" sebagai sempadan; dalam membantu anak /cucu membangunkan intelektual seimbang masing-masing:


"...Jika berpegang kepada AKAL semata-mata,
akan SESATlah dia!

Jika berpegang kepada HARTA,
akan BERKURANGANlah jadinya!

Jika berpegang kepada KEMEGAHAN manusia,
dia menghampiri KEHINAAN!"...

Nota kemaskini (7 April 2008): Bacalah kenyataan Sufiah (jika benar itulah luahan orangnya yang sebenar) yang berbangga dengan tugasannya DI SINI...


Nota
1. Kisah Hadafi, Sufiah dan kini Adi Putra perlu dijadikan pengajaran - jika ada di antara kita yang dianugerah Illahi anak-anak atau cucu-cucu yang mirip kepada mereka bertiga.

2. Semoga tiga cucu (3-5 tahun) saya yang kini sedang membina kehebatan IQ masing-masing dilindungi Allah dan dikurniakan dengan 'intelektual seimbang', InsyaAllah.

minda.JUMAAT: nikmat kelapangan...

Nikmat kelapangan masa, merupakan suatu nikmat yang ramai di antara kita lalai atau tidak tahu menghargai dan bersyukur di atas nikmat tersebut.

Rasulullah telah bersabda:

Dua nikmat di antara nikmat-nikmat Allah
yang kebanyakan manusia kaburi mata melihatnya;
iaitu MASA SIHAT dan MASA LAPANG.

Kelapangan masa bermaksud tidak sibuk dengan urusan atau aktiviti di dunia, sehinggakan menghalang seseorang itu melakukan amalan akhirat - walaupun mencari rezeki itu adalah suatu keperluan hidup yang juga dituntut.

Seseorang yang beraqal baligh diumpamakan seperti seorang peniaga. Kesihatan dan kelapangan adalah modal perniagaannya. Yang membezakan kejayaan dan keuntungan perniagaanya itu adalah pilihannya sahaja - mentaati perintah Allah atau syaitan!

Justeru itu, berdoalah setiap kali selepas solat:

Ya Allah, kurniakanlah kami
nikmat IMAN, nikmat KESIHATAN
dan nikmat KELAPANGAN MASA;
dalam kami mencari keredaanMu Ya Allah. Amin.

semantik

NLP bukan sahaja menjelaskan kepentingan dan kesinambungan neuro, linguistik dan programming bahkan memberi penekanan terhadap pentingnya pengaruh semantik dalam menguruskan manusia.

Semantik ialah caragaya bahasa yang membolehkan seseorang mengungkapkan perasaan, perlakuan, pemikiran dan keperibadian. Perbendaharaan kata yang digunakan oleh seseorang itu boleh dianalisis untuk menjalinkan komunikasi. (Lihat contoh DI SINI)

Pengaruh semantik merupakan kaedah di mana seseorang mampu menguraikan idea dan emosi - semakin banyak kata /perbendaharaan yang dikuasai, semakin mudahlah seseorang itu meluahkan apa yang tersirat.

Kredit /Sumber
Dr Ismail Alias & Raja Kamariah Raja Haji Mohd Khalid
- Aura Intusi NLP /2006 ITS

fitnah dunia...

Filem 'Fitna' yang didalangi Geert Wilders (angsa liar gamaknya!) kini merupakan fitnah dunia terkini... Siapa sebenarnya GW itu? Beliau adalah keturunan Yahudi Belanda!

Amatilah kenyataan manusia laknatullah itu:
"...Take a walk down the street and see where this is going. You no longer feel like you are living in your own country. There is a battle going on and we have to defend ourselves. Before you know it there will be more mosques than churches!"

Lebih sedekat lalu, Salman Rushdie (yang masih ditahan kematiannya) pernah menimbulkan fitnah yang sama - menghina Islam!

Filem Fitna kini ditonton jutaan manusia melalui youTube. Itulah yang memulakan fitnahnya!

Mungkin dengan membaca entri Abu.Saif dan ENTRI INI akan membina kewarasan minda kita.

Nota
1. Paparan negatif ini bukan untuk mempromosikan filem tersebut, tetapi untuk sama-sama kita mengingati Allah (Yang Maha Mengetahui akan apa yang berlaku) dan menginsafi akan fitnah-finah di akhir zaman yang digambarkan Rasulullah S.A.W.

2. Provokasi yang menyerupai filem fitna itu telah dan akan terus berlaku... Dan yang pasti Islamlah yang akhirnya dimenangkan Allah (sebelum kiamat melanda)! Tanda-tanda Eropah akan diIslamkan adalah jelas kini. Itulah ketakutan Yahudi, kerana mereka amat arif tentangnya.

NLP vs LoA

Terlebih dahulu saya ingin merakamkan setinggi-tinggi terima kasih dan penghargaan kepada rakan-rakan siber /bloggers yang telah mengirimkan hasrat masing-masing untuk menyertai program coaching yang ditawarkan

Kepada yang tidak terpilih, jangan berkecil hati. Mungkin tuan/puan diberi peluang di masa-masa akan datang. Saya telah bertemu lebih separuh daripada 'Coachee' yang telah didaftarkan di bawah program tersebut. Alhamdulillah, kami telah melalui proses pembelajaran yang amat menarik sekali!

Perkara-perkara yang menjadi minat mereka dan ingin mengetahuinya dengan lebih lanjut adalah yang berkaitan NLP dan LoA. Klik Neuro Linguistic Programming (NLP) dan Law of Attention (LoA)...untuk maklumat ringkas berkaitan.

"...NLP ialah teknologi terkini yang menggunakan model kefungsian manusia berasaskan kepada konsep psikologi. Model kefungsian manusia merangkumi penggunaan 'BAHASA MINDA' untuk mengawal minda dalam menguruskan perasaan, untuk mencapai sesuatu matlamat.

Model asas dalam teknik NLP yang digunakan ialah STIMULUS dan RESPON. Jadinya teknik NLP sentiasa menitikberatkan penyediaan stimulus yang positif ke arah respon yang positif."**

** Rujukan /Kredit: 2006 kajian aura intuisi NLP
-
Dr Ismail Alias & Raja Kamariah Raja Haji Mohd Khalid.

Berita Ringkas


Umat Islam akan mengatasi yang beragama Kristian di United Kingdom dalam tahun 2020, InsyaAllah. Baca DI SINI

minda.JUMAAT: akal.harta


Masjid Kristal dan Taman Tamadun Islam adalah 'tarikan pelancungan' baru di Kuala Trengganu. Sekadar ingin tahu apakah kehebatan kompleks yang menelan belanja RMratusan.Juta itu, saya singgah untuk solat Maghrib (dalam perjalanan ke lapangan terbang) petang semalam.

Dinamakan Masjid Kristal kerana terdapat bebola kristal di puncak empat menara masjid... Kompleks TTI itu sebenarnya masih dalam pembinaan (secara fizikalnya mungkin dalam lingkungan 70% siap).

MK & TTI dikatakan turut menyumbang kepada beberapa kekalutan (politik) yang sedang melanda negeri itu sekarang (mengikut cerita pemandu teksi yang membawa kami ke lapangan terbang..?). Hanya Allah Yang Maha Mengetahui.

Justeru itu, minda.JUMAAT kali ini ingin membawakan pemikiran Ibrahim Adham yang amat mudah kita fahami:

Jika berpegang kepada AKAL semata-mata,
akan SESATlah dia!

Jika berpegang kepada HARTA,
akan BERKURANGANlah jadinya!

Jika berpegang kepada KEMEGAHAN manusia,
dia menghampiri KEHINAAN!


Nota /Pengajaran
1. Menggunakan akal itu penting. Namun perlulah tunduk kepada Islam. Itu dinamakan iman.

2. Akal tanpa ilmu itu gila - kerana dipacu nafsu!

3. Berpegang pada harta, harta akan kurang? Sifat bakhil contohnya, dari aspek fizikalnya harta itu dirasakan tidak kurang. Apa yang kurang? Kurang NILAInya - disisi agama, keimanannya.

4. Harta itu dalam tangan, bukan dalam hati!

5. Sayidina Umar al-Khatab berpesan: kemegahan dunia itu kerana pangkat dan hartanya (yang disanjungi manusia), namun ilmu (dimiliki) jualah yang menghindari manusia daripada kehinaan!

TER


Pagi ini dapat mengembalikan semula rutin harian. Lima hari tidak berpeluang untuk berinternet. Masih lagi di Kuala Trengganu...

Di Kuala Trengganu saya mengendalikan program untuk Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) Wilayah Timur - Kemahiran Berfikir Strategik dan kecemerlangan bisnes untuk usahawan EKS. Hadir sama usahawan yang terlibat di dalam perkhidmatan Perunding dan juga Pensyarah universiti.

Disamping itu, saya juga bertemu 'Coachee' di bawah Program CPC di Trengganu - seorang Akauntan.

Yang menarik adalah tempat saya mengendalikan program itu. Ianya adalah suatu pengalaman baru buat saya... di Trengganu Equestrian Resort (TER). Persekitaran dan keindahan pantai dan kebiruan Laut China Selatan yang mengasyikkan. MasyaAllah! AllahuAkbar!

minda.JUMAAT: nikmat

Minda Jumaat kali ini ingin membawakan pesanan daripada Sayidina Ali. Suatu pesan yang amat mendalam firasatnya tentang kehidupan...

"Sesungguhnya di antara nikmat dunia, cukuplah Islam itu sebesar-besar nikmat;

Sesibuk-sibuk kita di dunia, sibukkanlah diri dengan perkara-perkara berkaitan Allah; dan

Sebaik-baik iktibar (peringatan) adalah mengingati kematian".


Nota Ringkas
1. Islam itu pegangan, aqidah dan kepercayaan. Menegakkan Islam itu suatu perjuangan dan perlu berterusan, bukan bermusim... Keadilan, keselamatan dan apa sahaja yang dirangka perlu dipandu Islam - bukan kita cuba-cuba memandunya mengikut citarasa nafsu kita.

2. Dalam kesibukan di dunia juga perlu dipandu ketaatan kepada Allah. Kalau kita tidak ada masa untuk Allah, pasti Allah pun 'tidak layan' kita!

3. Ingat kepada kematian itu sendi kehidupan mukmin. Ianya mampu 'menghapuskan kelazatan' dunia yang natijahnya akan menjurus kepada ingatan kita tentang kebesaran Allah.

titik permulaan baru...

Setiap kali tiba 12 Rabiul Awal, kita merayakan Maulidur Rasul - tanpa 'tertinggal' dengan cuti umumnya... Tetapi apakah ia ada signifikannya dalam hidup kita, sebagai seorang Muslim?

Nabi Muhammad S.A.W. diutuskan Allah untuk membawa rahmat ke sekelian alam... bukan kepada manusia tetapi segala isi alam ini!

Kejutan tsunami politik tanah air masih dan semakin hebat diperkatakan - terakhir komposisi kabinet baru. Jelas desakan dan suara rakyat yang inginkan suatu perubahan telah diterjemahkan dari peti undi hinggalah ke istana!

Kabinet Pak Lah juga tidak ketinggalan?

Namun, apa pun yang akan dilakukan - lebih-lebih lagi "pihak-pihak yang menang" - semua pihak perlu menghayati pengajaran dari tiga ayat Surah An Nashr (Pertolongan) 110:

Apabila telah datang PERTOLONGAN Allah dan KEMENANGAN;

dan kamu lihat manusia masuk agama Allah dengan berbondong-bondong;

maka BERTASBIHLAH dengan memuji Tuhan mu dan MOHONLAH AMPUN kepadaNYA. Sesungguhnya Dia adalah Maha Penerima taubat.

Nota
1. Kredit: Kad Maulidur Rasul di atas dipinjam dari laman web UiTM Johor... Tabik Prof Kamil!


kabinet Pak Lah...


Rakyat Malaysia terpaksa menunggu 10 hari selepas dilanda tsunami PRU12...

sebelum Pak Lah mengumumkan barisan kabinet BN jam 12:00 tadi.

Senarai dan berita awal Bernama DI SINI

pensyarah baru


Berminat menjadi Pensyarah IPTA?

Kunjungi DI SINI. untuk menyahut pelawaan Prof Kamil...

selebriti 'Travelog Haji' yang telah banyak
berkongsi pengalamannya,
khususnya dalam 'mengubah sempadan imannya'.

si cantik...

Seperti biasa rutin mingguan saya adalah ke pasar... dan membantu isteri mengemaskan ayam dan ikan yang dibeli... Pagi Ahad bagaikan dijanji. Kucing-kucing di belakang rumah akan 'berkumpul'. Burung gagak akan memanggil kawan-kawannya - apabila telah menghidu 'rezeki mingguan' mereka....

Memang benar setiap rezeki di bumi Allah yang kita terima dan miliki, yang pastinya ada hak pihak lain keatas sebahagian darinya...

Contoh mudah: Seekor ikan tenggiri sekecil mana pun, apabila kita bawa balik dari pasar ada hak kucing dan gagak keatasnya. Ketika kita membersihkan ikan itu ingsang, perut dan beberapa bahagian lain kita akan 'buang'. Bahagian yang dibuang (sebenarnya kita telah bayar!) itulah rezeki mereka. Apabila ianya dijadikan lauk masak asam pedas (Melaka) ... tulang dan beberapa bahagian lain kita buang lagi - kini menjadi milik semut pula (dan kadang-kadang rezeki siput babi di tong sampah...).

Sejak akhir-akhir ini, seekor kucing yang melata di belakang rumah menjadi tarikan baru kepada saya. Saya panggil ia Si Cantik ... amat manja dan pandai meminta. Ia seekor anak kucing remaja yang 'awet muda'. Lihatlah apa yang dimakannya!... 'bahagian ayam' itu memang dibekalkan percuma oleh rakan penjual ayam di pasar - yang ingin sama mendapatkan keredaan Allah.

Si Cantik adalah generasi ke-5 dari bapak kucing yang kami panggil Si Koreng... 15 tahun dahulu anak bongsu saya membawa balik seekor anak kucing yang kotor seluruh badannya yang terjatuh ke dalam longkang... dan kucing-kucing yang datang dan pergi, untuk mencari makan (selalunya meminta) dari belakang rumah itu adalah dari keturunannya. Iras muka, corak bulu dan manjanya sama...

Si Cantik itu lain pula corak bulunya... darah campuran kucing Parsi!...

Nota
1. Kerana asyik membelai Si Cantik, hampir terlepas menonton siaran langsung F1 di Australia.

2. Mengapa saya meminati sukan lumba kereta F1? Baca DI SINI