KPI Dashboard

persekitaran YSB(6): ada apa pada NAMA?


Sering kita dengar bijak pandai berkata "Ada apa pada nama?"...

Di ruang ruang Ekonomi Berita Harian pagi ini, terpapar gambar di atas [tetapi... gambar dan ceritanya telah 'hilang' dari arkib berita...berita bergambar lain pula yang keluar. Pelik bin Ajaib punya kerja?]

Disebabkan gambar itu boleh menceritakan segalanya, entri ini tidak bercadang mengulas lanjut... Cuma hendak sentuh sedikit kisah seorang usahawan yang memiliki PhD itu sahaja. Beliau membeli jenama "IDEAL" dari sebuah syarikat di Jerman, setelah nama 'kampung'nya ternyata tidak membawa tuah. Kini produk keluaran Ideal Healthcare Sdn Bhd, di Kedah itu telah berada di pasaran 12 buah Negara!

Kesimpulannya: "...nama yang sesuai untuk entiti bisnes, produk dan perkhidmatan yang ditawarkan senenarnya PEMANGKIN kejayaan".

Ianya berupaya bertindak melakar dan membentuk persekitaran. Persekitaran yang boleh dikawal, berbanding hanya membiarkan persekitaran terus menerus menentukannya.

strategi ROBO


Kelmarin, ketika masuk kuliah KJ Method, Puan Sifu adalah tersebut berkenaan Strategi Lautan Biru (Blue Ocean Strategy)...

Di atas permintaan beberapa mentee, diberikan sedikit maklumat awalannya. Tetapi... kena berpindah rumah sekejap. Blog versi Bahasa Inggeris intellectual.INNOVATION.resources memberikan pengenalan kepada ROBOs.

Entri-entri khusus yang berkaitan 'strategi melaksanakan strategi' akan membicarakan strategi-strategi RedOcean dan BlueOcean... agar tidak 'lemas' dalam kedua-dua lautan tersebut (buzz words).

Sebagai makluman, buku Blue Ocean Strategy itu telah diterjemahkan ke dalam 39 bahasa setakat ini. Versi bahasa Indonesia telah berada di pasaran. Tidak lama lagi akan terbit versi Melayu dan Arab...

InsyaAllah, sedapat mungkin akan dipermudahkan maksud buzz words itu nanti. Sabar.

penulisan, ZAKAT dan LHDN

Semalam berpeluang hadir kuliah interaktif sebenar. Dapat lagi ilmu baru daripada Puan Sifu - KJ Method untuk tujuan penulisan buku...

Pagi ini, berkesempatan 'bersantai' di Pasar Tani Stadium Shah Alam. Sudah lebih tiga bulan tidak ke sana... sekadar memerhati gelagat dan kehidupan pagi orang-orang kampung yang hidup di bandar-bandar raya. Hampir satu jam mengekori lorong-lorong ikan, sayuran-sayuran dan makanan.

Selepas sarapan pagi (makanan pasar tani), masuk kuliah maya... singkap dan belek-belek yang mana terlepas tempoh hari. Tertarik dengan entri berkaitan Penulis dan LHDN.

Walau pun royalti penulisan masih jauh lagi untuk difikirkan, maklumat entri dan rempah-ratus mentee-mentee amat berfaedah. Yang pasti, ianya sentiasa dapat mengingatkan kenapa MENULIS?

Tentu sekali matlamat akhirnya, mencari keredaan Allah melalui proses MEMANDAIKAN BANGSA...

diari SEMALAM

Semalam,
hari Jumaat yang penuh keberkatan.

selepas solat Subuh: memandu bersendirian ke Melaka,
selepas urusan bisnes: terus ke Gerai88 (asam pedas tersohor),
selepas solat Jumaat di Masjid Negeri: terus balik ke Subang Jaya,

sebelum Asar: alhamdulillah tiba di rumah,
sebelum Maghrib: sempat seketika di kuliah,
sebelum Isya': terlena pulak!

Awal pagi ini,
hari Sabtu (kadang-kadang di sebut hariku)...

selepas menunaikan tugas untukNya,
masuk semula,
kuliah "memilih kereta"...

kereta. kereta. oh kereta!
memang minat semua manusia,
yang miskin apatah lagi yang berada.

tersenyum sendirian...
mengenang diari semalam,
Pegawai Keselamatan tempat bermesyuarat,
tempat letak kereta dikhaskan hadapan lobi syarikat!

persekitaran YSB (5) - POLITIK

Faktor PEST yang pertama ialah POLITIK.

Ahli politik, di mana sahaja di dunia sebenarnya adalah 'pembikin berita'.

Kadangkala berita gembira,
Kadangkala berita membawa derita,
Kadangkala berita yang tiada beritanya!

Berita-berita yang dipengaruhi politik banyak memberi kesan kepada persekitaran. Perubahan kuasa politik sering memberi kesan mendalam persekitaran bisnes sesebuah Negara. Namun, bagi Negara yang kerangka pemikiran di kalangan rakyatnya sudah 'mantap', perubahan kuasa politik tidak memberi kesan yang ketara. Contohnya Jepun dan USA.

Walau pun di Jepun Perdana Menterinya bertukar setiap tiga tahun, seolah-olah tidak memberi kesan kepada kuasa ekonomi Asia itu memacu dunia ekonomi global. Begitu juga USA, setiap kali pertukaran Presiden (dari dua parti politiknya) polisi luar negaranya, khususnya terhadap anak emasnya Israel tetap kekal. Mencari jalan untuk berperang digelanggan negara lain segar sepanjang zaman. Mengapa? Kerana kuasa politik USA ditangan kuasa ekonomi Israel di USA!

Politik dan kehidupan sudah sebati dalam hidup kita. Sampai ketikanya nanti penjurusan pemikiran kita berlandaskan politik itu menjadi tindakan sepontan!

Itu sebabnya, bagi kebanyakan orang Melayu hendak buat bisnes mesti main politik. Kalau tidak main politik tidak boleh bisnes! Inilah masalahnya dengan minda orang kita...

Lebih 12 tahun lalu, ketika ditugaskan untuk mengwujudkan Program Pembangunan Usahawan (melibatkan tiga Syarikat gergasi Negara); salah satu faktor kegagalan dan cabaran yang menanti adalah skeptisme "orang Melayu buat bisnes mesti main politik, kalau tidak main politik ia bukan Melayu!" Sestrategik mana untuk mengatasinya, rupa-rupanya 'main politik' jugalah pemusnahnya! Ada kebenarannya.

Begitulah juga dengan sukan... baru minggu ini timbul kesedaran bahawa orang politik yang menjadi 'pemimpin sukan' itu lebih memudaratkan, dari baiknya. Mungkin setelah jelas sekarang lunturnya kecemerlangan 'bisnes' beberapa jenis sukan yang dipolitikkan?

Yang pastinya, komponen politik dalam menjana persekitaran yang selalu berubah itu tidak memerlukan penjelasan yang panjang...

firasat GAMBAR



Dua imej tertera mungkin biasa sahaja. Satu hasil lensa kamera dan yang satu lagi hasil kerja kreatif Sdr jOnOs.

Apa beza keduanya?

Jawapannya hanya dapat diberikan oleh minda kita, yang akan memberikan 1001 jawapannya.

persekitaran YSB (4): MEMBENTUK PERSEKITARAN


Berjumpa kembali, selepas berehat seketika. Terima kasih kepada yang masih setia mengunjung... walau pun terasa hampa. Terima kasih juga, kerana masih ada yang setia menunggu...

26-27 dan 31 Julai, terlibat dalam sesi perkongsian ilmu bersama sekumpulan 20 orang kumpulan Pengurusan sebuah organisasi yang komited untuk merencanakan kerangka pelan strategik 30 tahunnya. Kali ini CEOnya "direhatkan". Komposisi kumpulan seimbang - lingkungan umur 20an, 30an, 40an dan 50an.

Mungkin ada yang bertanya, "Mengapa CEOnya direhatkan?". Jawapannya mudah, "Supaya kumpulan tersebut boleh 'merapu' dalam tempoh tiga hari berbincang...!" Perlu diingat, kumpulan tersebut akan membuat persembahan kepada CEOnya dalam tempoh dua minggu akan datang...

Dalam menjana idea yang baik, ianya bermula dengan 'seting' yang bersahaja. Minda tidak boleh terikat. Minda perlu melampaui sempadan protokol persekitarannya. Minda perlu dibiarkan mencetuskan benda-benda yang 'gila'. Gila-gila!...

Membaca entri Wasiat Bak di BISNES KELUARGA.Norlela Zubir, mulanya terasa sebak...
Tetapi selepas tiga kali mengulangi, watikah wasiat 7 Ogos 1984 itu ternyata satu dokumen kerangka pelan strategik bisnes keluarga almarhum Tuan Hj Zubir bin Hj Yusof; usahawan tulin bersemangat waja! Menarik watikah wasiat tersebut, yang ditulisnya lima tahun sebelum meninggal dunia (Semoga rohnya dicucuri Rahmat, Amin).

Kelmarin, satu lagi kerangka pelan strategik Negara dilancarkan - Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER), selepas Wilayah Pembangunan Iskandar (WPI). Cerita NCER menjadi bahan utama semua akhbar sehari dua ini... sekurang-kurang meredakan buat sementara cerita watina Mongolia dari mahkamah Shah Alam!

Apa bezanya Watikah Wasiat Bak (WWB) dan NCER?

Dari perspektif pemikiran strategik, kedua-duanya ada persamaan. Khususnya dalam aspek-aspek berikut:
a. pemikiran jauh (WWB: tiada had, NCER: 2025) pencapaian sasarannya,
b. penjanaan ekonomi (WWB: ekonomi keluarga, NCER: wilayah utara Malaysia),
c. pengintegrasian (WWB: keluarga dan bisnes, NCER: sektor pertanian, pengangkutan dan industri tinggi lain)
...dan banyak lagi kalau hendak dicari persamaannya.

Masih ingat lagi dengan PEST? (...kalau kurang pasti, toleh ke belakang sebentar).

Apa yang pasti, WWB dan NCER itu adalah kerangka dalam MEMBENTUK PERSEKITARAN (shaping the environment) dalam membuka minda pemikiran strategik. Lihatlah betapa komponen-komponen Politik, Ekonomi, Sosial dan Teknologi dibentuk dalam kedua-dua dokumen WWB dan NECR tersebut. Mengapa?

Jawapannya esok, InsyaAllah.

mencari PENAWAR strok

Dua bulan sudah, jiran saya (dalam lingkungan 65 tahun) diserang strok. Dua kali keluar masuk Pusat Perubatan ... tahu-tahu sahajalah kosnya.

Dua hari selepas keluar hospital kali kedua, beliau telah mencuba dan mencari penawar alternatif - secara tradisional.

Alhamdulillah, selepas tiga hari berturut-turut berulang dan 'berpantang' selama tiga hari selepas hari terakhir rawatannya itu ...kini hari-hari beliau memanjatkan kesyukuran kepadaNya kerana berupaya menjalani hidup hariannya seperti biasa - malah terdapat beberapa kesukaran yang dialami sebelum itu turut hilang! Dan yang pastinya, beliau tidak lupa bersenam setiap pagi di hadapan rumahnya.

Inilah salah satu modal budaya (berbentuk kepakaran rawatan penyakit yang dikatakan 'tiada ubat') yang mula pupus di dalam masyarakat kita.

Terima kasih kepada yang meminta untuk dipaparkan arah ke rumah Imam Mazlan... Perjalanan dari tol Ayer Keroh ke rumahnya mengambil masa lebih kurang 20-30 minit (bergantung kepada cara pemanduan) ...untuk dikongsi bersama.

InsyaAllah.

NOTA TERKINI |6 Jun 09|
Dimaklumkan bahawa Imam Hj Mazlan telah kembali ke Rahmatullah awal bulan Mei 2009. Semoga rohnya ditempatkan orang-orang yang beriman, amin

minda.STRATEGIK bercuti

maaf, minda.STRATEGIK bercuti sampai hujung minggu...

ada tugasan segera yang menyapa di Putrajaya dan Melaka.

lagi pun hari ini agak kurang selesa sedikit hendak menulis topik berat... (teringat lagu bangau-bangau apabila berkongsi maklumat di dalam bengkel "pemetaan strategi" ...kerbau: perut aku sakit..!)

Pak Editor Roslan pun sudah mula kejar-kejaran...

"kemana hilangnya Api dalam Kaca?"

"mana dia bab-bab contoh Berfikir secara Strategik!..."

persekitaran YSB (3) - 5 SOALAN


Kita teruskan bicara tentang persekitaran bisnes. Persekitaran yang mempengaruhi persepsi pemikiran kita. Telah juga disentuh betapa persekitaran yang selalu berubah itu membina kuasa persepsi minda kita.

Dalam merangsang pemikiran strategik, persekitaran YSB itu pemangkinnya. Bagaimana tindakan kimia itu berlaku di dalam minda kita?

Bandingkan kedua-dua imej berkaitan buku Harry Potter siri ke 7 di entri minda.MINDA kelmarin. Apa yang membedzakan keduanya?

Ya. Awang Selamat meratap lagi dalam senyum kambingnya. Sedangkan reaksi peminat fanatik siri HP itu sebaliknya! Dari kedua-dua imej itu terpanjarlah 1001 tafsiran minda yang menghubung kaitkan ruang lingkup persekitarannya. Tetapi, bukan itu yang kita hendak bicarakannya di sini.

Dalam memahami persekitaran bisnes yang kompetitif, dipetik lima soalan yang pernah diajukan oleh Jack Welch, bekas peneraju korporat gergasi dunia GE dalam bukunya ‘Winning’:
1. apakah ruang lingkup persekitaran yang dibayangkan?
2. di mana letaknya kehebatan pesaing kita dalam tempoh tiga tahun lepas?
3. dalam tempoh yang sama, apa yang telah kita lakukan?
4. apakah kebarangkalian serangan pesaing ke atas kita?
5. apakah pelan survival yang drastik dalam menangani persaingan?

Dibangkitkan persolan-persoalan di atas adalah untuk kita memahami ‘serangan selepas subuh pagi Sabtu 21 Julai 2007’ pasaraya TESCO dan Carrefour keatas pasaran buku import yang sebelum ini dikuasi MPH, Popular dan serakan dengannya!

Tanpa diduga, telah wujudnya suatu persekitaran yang baru pasaran buku import yang sebelum ini tidak terfikir oleh pemain-pemain tradisinya.

Mengapa Borders tidak turut sama menarik balik pengedaran buku itu seperti yang dilakukan MPH, Popular, Times dan Harris?

Apakah kenakalan TESCO dan Carrefour itu memberi satu isyarat baru senario buku-buku import?

Apakah jeritan Presiden MBA (Malaysia Bookseller Association) kepada TESCO dan Carrefour didengari atau hendak dilayan?

senyum kambing dan HPandTDH


Dua imej dipaparkan untuk santapan minda di hunjung minggu... sebagai input awalan kepada entri-entri minda.STRATEGIK yang disambung esok.

selamat harijadi ABANG YONG


21 Julai 2007, hari jadi cucu pertama, Redza Iskandar bin Remee yang ke 5. Panggilan manjanya Abang Yong (ketika masih pelat dahulu... untuk bahasakan diri Abang Long).
Kini baru masuk darjah satu di Dubai. Sudah tiga tahun berada di sana bersama adiknya Hana dan ibu Izzah, menemani ayahnya bertugas di MATRADE /Konsulate Malaysia, Dubai.
Tidak pernah lupa telefon untuk menyanyikan lagu "Happy Birthday" di pagi setiap kali harijadi datuk, nenek dan semua emak saudaranya serta sepupu sebaya Aisyah di Subang Jaya.

persekitaran YSB (2) - Maklumbalas

Hari ini, Jumaat 20.07.07...

Ramai di antara kita, mungkin tarikh itu adalah hari-hari biasa yang berlalu, selang 24 jam. Tetapi, tidak kurang pula ramai lagi yang berminat dengan firasat nombor mengeluarkan fatwa-fatwa nombor masing-masing ke atasnya!... 2007.07, 20072007 dan sebagainya. Seperti jugalah dengan tarikh 07.07.07 yang lalu. Apa sebenarnya ada pada nombor?

Sengaja dibawakan topik mudah berkaitan nombor tujoh (7) dan kosong (0) ini, sekadar untuk proses regangan minda. Begitulah juga dengan amalan biasa dilakukan sebelum memulakan senaman. Akhirnya, senaman yang mengeluarkan peluh itu sahaja yang diambil kira!

Minda kita dikawal terus oleh persekitarannya. Persekitaran jugalah yang merobah persepsi dan tindak-tanduk kita (klik entri Akademi Penulis, berkaitan persepsi). Bagaimana pula apabila kita berada di dalam keadaan persekitaran yang sentiasa berubah (YSB)? Cuba bayangkan apa yang akan terjadi sekiranya matlamat akhir kepada strategi yang ditetapkan, terus menerus mengikut rentak perubahan persekitaran itu.

Tentu sekali kita teringat kepada kata-kata 'seperti lalang ditiup angin' untuk membayangkannya! Mengapa?

Sepuloh hari lepas Puan Sifu menulis Apabila Jerung Terjun Masuk ke Kolam Keli. Analogi itu merupakan suatu keadaan yang lazimnya tidak berlaku. Tetapi, tidak juga dapat dihalang dari berlaku. Dalam persekitaran bisnes semua kemungkinan boleh berlaku. Hanya masa sahaja yang menunggu!

Apa yang akan berlaku apabila jerung (besar) masuk ke kolam keli (kecil)? Lazimnya minda kita akan memberi respon "mana mungkin boleh masuk!". Tetapi jika minda kita di asak bertubi-tubi (untuk membolehkan jerung berjaya berenang selesa di dalam kolam keli), apa pula respon minda kita? Tentu mencari kaedah untuk membolehkannya. Tetapi, impaknya belum pasti!

Mengapa minda kita boleh juga berubah responnya? Kerana sifat-sifat jerung, kolam dan keli telah diperolehinya. Dari mana?

Jawapanya MAKLUMBALAS persekitarannya.!

persekitaran YSB (1) - PEST

Bicara siri di minda.STRATEGIK seterusnya adalah merujuk kepada model sistem berfikir (MSB) yang di nyatakan sebelum ini. MSB adalah asas dan kekuatan kepada proses pemikiran strategik yang sedang kita bicarakan.

Kalau diamat-amati model itu semula, apakah faktor atau elemen yang terpisah dari sistem berkenaan? Ya, betul.... faktor persekitaran yang sentiasa berubah! (the ever changing environment). Kita rujuk sebagai persekitaran YSB, untuk memudahkan bicara. Juga, fokus yang akan diberikan hanya kepada persekitaran bisnes dan organisasi.

Entri-entri khusus selepas ini akan membuktikan betapa kehebatan menangani persekitaran YSB itulah sebenarnya kekuatan pemikiran strategik.

Mengapa dikatakan begitu?

Persekitaran bisnes merupai satu set ketumbukan tekanan-tekanan yang merangkumi aspek-aspek politik, ekonomi, sosial dan teknologi (PEST). Ya, kuasa "PEST" ...kuasa anai-anai! Bayangkan kehebatan anai-anai dalam meruntuhkan kekuatuan sesuatu struktur, sebagai analogi awalan untuk tujuan penyamanan minda...

Apa yang pasti, kuasa-kuasa PEST tersebut secara umumnya di luar kawalan dan pengaruh bisnes dan organisasi itu sendiri. Tidak kira apa jenis bisnes. Besar atau kecil. Semuanya tidak terkecuali! [Nota: Sengaja penulis menggunakan ungkapan "ketumbukan tekanan-tekanan" untuk memberi gambaran betapa PEST itu boleh dibaratkan sebagai suatu kuasa besar!...semacam negara Ugutan Syaitan Alam itu - USA?].

Perlu difahami, PEST memberi potensi impak yang positif dan juga negatif keatas bisnes atau organisasi. PESTlah juga yang memacu dan pemangkinnya.

Secara mudah, kekuatan pemikiran strategik itu berpaksikan kepada faktor luaran. Yang sentiasa berubah. Faktor yang selalunya di luar kawalan entiti bisnes itu sendiri. Itu sebabnya sering orang cerdik pandai mengatakan bisnes itu penuh dengan risiko. Memang ada kebenaran dalam ungkapan tersebut. Kerana PESTlah faktor penyumbang risikonya.

Ketepatan formulasi strategi bisnes digambarkan dengan keberkesanan pengemudian persekitaran POLITIK, EKONOMI, SOSIAL dan TEKNOLOGI; demi survival organisasi berkenaan.

Sebelum kita tinggalkan anai-anai di sini, satu lagi ungkapan bistari ingin dikongsi... Persekitaranlah yang sentiasa berubah. Yang tidak pernah berubah hanyalah perkataan 'berubah' itu sahaja?

model SISTEM BERfIKIR

Seperti yang dijanjikan, kali ini bicara pemikiran strategik akan menyentuh aspek teknikalnya. Sistem berfikir.

Berbedza dengan sistem-sistem yang biasa atau pernah kita gunakan, sistem ini tercipta dengan sendiri di dalam otak kita. Ia adalah sistem minda yang terbentuk apabila seseorang itu menggunakan otaknya. Untuk berfikir! Dalam hal ini, kedua-dua belah otaknya - kiri dan kanan digunakan. [Sebenarnya kita pun tidak sedar ketika mana kita gunakan yang kanan atau yang kiri... Begitulah hebatnya cipataan Tuhan].

Apa yang dibicarakan seterusnya bukanlah sesuatu yang asing bagi kita semua. Setiap kita telah mengalaminya sendiri, yang mungkin tanpa disedari sahaja.

Apa dia Sistem Berfikir?

Ada bermacam-macam sistem atau model atau bentuk-bentuk penjelasan mengenainya. Untuk tujuan bicara ini, kita ambil model yang digambarkan di atas. Model ini adalah yang paling asas.
Menjadi asas dalam perancangan strategik. [Nota: Penulis menemui model asas (terlupa pula milik siapa) di awal tahun 80an, diguna dan disesuaikan untuk tujuan kefahaman aspek-aspek pengurusan perubahan ketika berkhidmat di sektor awam dan swasta dahulu].

Untuk kemudahan bicara, ianya dirujuk sebagai Model Sistem Berfikir (MSB). Asas utama pemikiran strategik adalah MSB. Mengapa? Masih ingat lagi "Soal-Jawapan?". Jika kurang pasti rujuk semula untuk tujuan penyaman minda.

Kalau di lihat kepada MSB, kaedah asasnya adalah memikirkan "masa akan datang, hari ini" (the fUTURE is NOW). Wawasan 2020 direncanakan dalam tahun 1995 (RMK7) dan tentu sekali telah difikirkan dua atau tiga tahun sebelum itu! Dalam lain perkataan, telah dibayangkan pencapaian hasrat strategik Negara di tahun 2020, ketika berada dalam tahun 1995...

Tentu sekali Encik-Encik dan Tuan-Tuan (sebutan yang amat sinonim dengan Puan Sifu...) masih ingat betapa model minda ini digunakan ketika memikat isteri (atau suami) masing-masing 10, 20, 30 tahun yang lalu? Fikir-fikirkanlah semula peristiwa-peristiwa manis itu berpandukan MSB... Memikirkan yang indah-indah itu akan menjadikan yang sulit (perkara sukar difahami) itu mudah. Semudah 1-2-3-4.

Justeru itu, penghasilan novel-novel jibunsyi pastinya telah Encik-Encik dan Tuan-Tuan menggunakan model sistem berfikir dalam pembinaan episod-episodnya, tanpa disedari!

kekuatan NILAI TERAS


Kita teruskan lagi bicara pemikiran strategik.

Sebelum ini, telah disentuh di antara lainnya perkara-perkara berkaitan Peta Minda, Soal-Jawapan, Berfikiran Jauh dan Target... Jika ini pertama kali membacanya, rujuk dahulu entri-entri berkenaan - sekadar untuk pelarasan dan penyaman minda.

Entri Puan Sifu berkenaan Konflik Nilai menarik perhatian minda pagi ini.

Pemikiran strategik menuntut suasana dan persetikaran yang dapat merangsang ke arahnya. Salah satu alat pengurusan yang sering digunakan sesebuah organisasi itu adalah dengan menggunakan kerangka dan landasan yang dikenali sebagai NILAI TERAS. Ada yang menyebut hanya sebagai NILAI sahaja, ada pula sebagai NILAI-NILAI BERSAMA. Kita ambil sahajalah yang tengah...

Apa dia NILAI TERAS?

Nilai dalam konteks di sini adalah yang sukar dinilai, atau tidak boleh dinilai. Tidak ternilai!
Nilai itu adalah sesuatu yang abstrak. Dikatakan abstrak kerana ianya terdedah kepada penafsiran berbedza-bedza, bergantung dari perspektif mana penilai menilainya.

Tafsiran yang ingin di bawa disini hanya dari perspektif pengurusan organisasi dan bisnes sahaja. Di atas sifatnya yang abstrak, ianya perlu dipasak ke minda semua, dengan mengait-lekatkan aspek-aspek strategi, struktur, sistem, stail, staf dan skil yang di tentukan di dalam organisasi dan bisnes kita. Kekuatan Konsep 7S (McKinsey). Kita akan bicara Konsep 7S ini di lain masa.

Nilai teras itu ibarat rukun organisasi atau bisnes. Makamnya wajib! Wajib diAMALKAN oleh semua anggota dalam organisasi. Apabila (bukan kalau...) telah diamalkan ianya menjadi budaya. Apabila nilai teras telah dibudayakan, segala yang direncanakan selepas itu adalah menjadi suatu kebiasaan.

wooohhh.!!! agak panjang juga untuk menjawab siri Apa dia? kali ini. Tetapi jangan risau, untuk memudahkan lagi kefahaman, ikuti contoh ini.

Intellectual Innovation Resources Sdn Bhd (iiR) adalah sebuah syarikat pembekal latihan dan konsultan dalam pembangunan modal insan, khususnya dalam aspek-aspek pembangunan strategik dan pengukuran prestasi. Nilai teras yang diterapkan adalah "Innovation, Wisdom, Responsibility".

Sekali imbas ketiga-tiga nilai teras itu memberi gambaran bisnes yang dikendalikan oleh iiR. Apabila iiR berinteraksi dengan pelanggannya tiga rukun iiR itulah yang dipegang. Itulah rukun persempadanan komitmen kepada pelanggan. Dalam pasaran latihan kepakaran, kita tidak boleh mengistiharkan syarikat kita boleh lakukan semua jenis benda di muka bumi ini! Bungkus cepat!

Jumpa lagi di bicara akan datang yang akan menyentuh sistem berfikir. Salah satunya model minda "the fUTURE is NOW", insyaAllah.